View Categories

SURAH AN-NUR : AYAT 58-60

\"\"

ADAB AHLI RUMAH MINTA IZIN MASUK BILIK, 3 WAKTU LARANGAN MASUK TANPA IZIN & ETIKA PAKAIAN WANITA YANG SUDAH TUA TAK MAHU KAHWIN LAGI.

Full video : https://youtu.be/BVrJu39Vd28

MUQADDIMAH :

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t ajar kepada kita hukum dan cara untuk ahli keluarga berinteraksi sesama sendiri dalam rumah, meminta izin sebelum masuk bilik ibu bapa dan orang dewasa.
  2. Waktu larangan yang dinyatakan adalah tiga waktu orang berehat yang biasanya aurat terbuka lebih daripada waktu biasa. Jadi untuk menjaga pandangan serta mengelak dari terdedah kepada sesuatu yang tidak sepatutnya.
  3. Ini adalah tentang adab mendidik anak-anak dan bertanggung-jawab ibu bapa serta wali penjaga terhdap anak yang belum baligh.
  4. Maka jika anak-anak yang dewasa dan sudah baligh tentulah lebih perlu lagi menjaga adab dan meminta izin ini. Mereka juga sudah bertanggung-jawab terhadap segala perbuatan dan amalan baik buruk mereka sendiri.
  5. Dalam ayat ini juga disebut tentang etika pakaian serta kelonggarannya bagi wanita yang sudah berusia.
  6. Sebelum ini hukum untuk minta izin masuk dari luar rumah. Surah an-Nur ini isunya menyeluruh bermula dari etika kekeluargaan, masyarakat hatta kenegaraan.
  7. Jika kita sebagai rakyat atau ahli keluarga yang baik, insya\’ Allah, Allah akan hantar pemimpin yang baik juga untuk memberi hidayah pimpinan kepada ahlinya.
  8. Maka tugas setiap kita untuk membimbing dan mendidik tidak akan pernah terhenti sehinggalah ke nafas terakhir.
  9. Peringatan: Hukum pembantu rumah / bibik di dalam rumah kita hari ini, bukan bertaraf hamba (hamba ada akta hukum khas). Bibik dia seorang manusia merdeka yang wajib kita berurusan seperti ajnabi (orang asing) dari segi menjaga aurat (dia dan kita) dan lain-lain walaupun di dalam rumah.

AYAT 58- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, HENDAKLAH HAMBA-HAMBA KAMU DAN ORANG-ORANG YANG BELUM BALIGH DARI KALANGAN KAMU, MEMINTA IZIN KEPADA KAMU (SEBELUM MASUK KE TEMPAT KAMU), DALAM TIGA MASA; (IAITU) SEBELUM SOLAT SUBUH, DAN KETIKA KAMU MEMBUKA PAKAIAN KERANA KEPANASAN TENGAH HARI, DAN SESUDAH SOLAT ISYAK; ITULAH TIGA MASA BAGI KAMU (YANG BIASANYA TERDEDAH AURAT KAMU PADANYA). KAMU DAN MEREKA TIDAKLAH BERSALAH KEMUDIAN DARIPADA TIGA MASA YANG TERSEBUT, (KERANA MEREKA) ORANG-ORANG YANG SELALU KELUAR MASUK KEPADA KAMU, DAN KAMU MASING-MASING SENTIASA BERHUBUNG RAPAT ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN. DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN KEPADA KAMU AYAT-AYAT-NYA (YANG MENJELASKAN HUKUM-HUKUM-NYA); DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NUUR 24:58)

  1. Ayat ini mengajar hukum dan etika adab di dalam rumah orang yang beriman. Jika ada hamba (zaman dulu) dan anak-anak yang belum cukup umur, belum baligh (bermimpi jika anak lelaki atau datang haidh jika anak perempuan) ATAU belum baligh tetapi sudah sampai umur yang boleh baligh.
  2. Maka mereka ini sebelum masuk bilik tidur ibu bapa atau orang dewasa mesti minta izin dan maklumkan dulu. Ada beberapa caranya samada ketuk pintu atau bagi salam, yang penting biar ada isyarat dan diketahui.
  3. Jika sebelum ini adalah adab minta izin untuk masuk orang dari luar rumah. Yakni dari luar rumah, ini pula adab di dalam rumah.
  4. Allah s.w.t sebut dan tetapkan tiga waktu yang perlukan privasi ini, iaitu:
    i- sebelum solat subuh, yakni baru bangun tidur malam.
    ii- dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, selepas zohor.
    iii- dan sesudah solat Isyak, sudah bersiap mahu tidur malam.
  5. Inilah tiga masa yang biasanya terdedah aurat seseorang padanya, sedang menukar pakaian, bersiap untuk rehat atau tidur dan lain-lain.
  6. Maka sebab larangan dan ajaran adab ini kerana tiga waktu ini yang biasanya badan/aurat banyak terbuka. Oleh sebab itu Allah melarang hamba-hamba dan anak-anak di bawah umur untuk masuk ke kamar tidur orang dewasa tanpa izin pada waktu-waktu tersebut.
  7. Jika selain daripada tiga masa ini, mereka kanak-kanak dan pelayan itu bebas keluar masuk. Kenapa? Kerana mereka adalah orang-orang yang sering keluar masuk kepada kita,(طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ) untuk keperluan pelayanan dan keperluan lainnya.
  8. Perkataan yang sama digunakan untuk kucing, menunjukkan sesuatu yang berlegar disekeliling kita, Rasulullah S.A.W pernah bersabda, \”Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran ( مِنَ الطَّوَّافِينَ ) di sekeliling kamu.\” [HR Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa\’i, dan Ibn Majah.]
  9. Demikianlah Allah s.w.t telah menjelaskan tentang hukuman dan etika ini dengan jelas dan nyata! Islam mengajar semuanya dari luar rumah sehingga adab ke dalam bilik di rumah.
  10. Serta ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana akan segala urusan dan keadaan kita.
  11. Tetapi pada zaman globalisasi, zaman langit terbuka hari ini segalanya berubah dengan pantas, teknologi dan akhlak tabiat manusia semuanya berubah lebih ke depan (advance) membawa kesan baik dan buruk yang tidak terfikir oleh akal.
  12. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: \”Dua golongan penghuni neraka yang aku tidak pernah melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cemeti seperti seekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia dan perempuan yang berpakaian, tetapi telanjang berjalan berlenggang-lenggok dan menggoda, kepala mereka seperti bonggol unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.\” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

AYAT 59- {DAN APABILA KANAK-KANAK DARI KALANGAN KAMU TELAH BALIGH, MAKA HENDAKLAH MEREKA MEMINTA IZIN SAMA SEPERTI CARA ORANG-ORANG (YANG TELAH CUKUP UMUR) YANG TERSEBUT DAHULU, MEMINTA IZIN. DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN KEPADA KAMU AYAT-AYATNYA (YANG MENJELASKAN HUKUM-HUKUMNYA) DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NUUR 24:59)

  1. Apabila kanak-kanak ini telah baligh, mereka kena di ajar etika dan adab yang sepatutnya. Mereka tidak bebas lagi keluar masuk bilik ibu bapa atau orang dewasa lain, kena minta izin seperti orang dewasa lain juga.
  2. Demikianlah Allah s.w.t telah menjelaskan tentang hukuman dan etika ini dengan jelas dan nyata! Allah s.w.t tekankan sekali lagi.
  3. Serta ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui akan segala urusan dan keadaan kita hamba-Nya, lagi Maha Bijaksana dalam pentadbiran dan hukum-Nya.

AYAT 60- {DAN MANA-MANA PEREMPUAN TUA YANG TELAH PUTUS KEDATANGAN HAID, YANG TIDAK MEMPUNYAI HARAPAN BERKAHWIN LAGI MAKA TIDAK ADA SALAHNYA MEREKA MENANGGALKAN PAKAIAN LUARNYA, DENGAN TIDAK BERTUJUAN MENDEDAHKAN PERHIASAN MEREKA; DALAM PADA ITU PERBUATAN MEREKA MENJAGA KEHORMATANNYA (DENGAN TIDAK MENANGGALKAN PAKAIAN LUARNYA ITU ADALAH) LEBIH BAIK BAGI MEREKA; DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AN-NUUR 24:60)

  1. Kali ini dibawa hukum tentang cara pakaian: {Dan orang-orang yang tua dari perempuan-perempuan yang mereka tidak ingin nikah.}
  2. Untuk meletakkan had umur spesifik setakat mana tua ini agak sukar, tetapi ulama\’ memberi beberapa panduan garisan iaitu:
    i- perempuan-perempuan tua yang telah terhenti dari haid dan mengandung,
    ii- yang tiada selera berkahwin lagi,
    iii- yang sudah tidak suka bersenang-senang dan tidak ada rasa syahwatnya,
    iv- kerana keadaannya sudah tua atau lemah fizikalnya.
  3. Mereka ini tidak ada salahnya, yakni diberi kelonggaran untuk menanggalkan pakaian luarnya seperti jubah dan tudung luar bagi orang Arab.
  4. Bukan bererti perempuan tua boleh membuka tudung dan memakai baju yang menampakkan aurat, cuma tidak perlu pakaian jubah luar. Kita orang Melayu ini selapis itu sahaja, maka teruskanlah dengan pakaian biasa itu.
  5. Kelonggaran ini dengan syarat bukan bertujuan mendedahkan perhiasan mereka yang terselindung sebelum ini, jika terus berpakaian dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah lebih baik bagi mereka.
  6. Sekali lagi ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t menyeru: Ayat 58- {Wahai orang-orang yang beriman..} sebagai perintah dan ajaran untuk orang beriman dewasa yang bertanggung-jawab ke atas anak-anak dan orang-orang di bawah jagaannya.
  2. Kerana anak-anak itu jika tidak diajar dan dididik, jika mereka berbuat salah tidak berdosa tetapi akan naik ke atas tanggung-jawab ibu bapa atau wali penjaganya.
  3. Dalil bahawa wajib menjaga aurat itu pada setiap masa. Cuma pada masa kita mahu mendedah aurat ketika dalam keadaan privasi kena tutup pintu dan orang lain kena minta izin sebelum masuk.
  4. Allah s.w.t nyatakan kenapa sebab tiga waktu itu kena minta izin: {..itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).}
    Menunjukkan setiap hukum itu didatangkan dengan sebabnya, maka para pendakwah bila bawa hukum kena bawa dalil atau jika tiada dalil nyatakan sebab atau hikmahnya. Barulah pendengar boleh nampak kebaikan setiap hukum itu.
  5. Waktu selepas zohor itu adalah waktu rehat qailulah (nap) yang kurang menjadi adat dalam budaya kita. Ia termasuk dalam salah satu waktu larangan tadi.
  6. Kenapa Allah s.w.t sebut: {Kamu dan mereka tidaklah bersalah} sedangkan anak-anak tidak ditulis kesalahannya?
    i- dosa atau salah ke atas ibu bapa yang tidak mengajar anak-anaknya.
    ii- maksudnya tidak menjadi kesalahan, bukan dosa.
  7. Kelonggaran yang diberi kepada perempuan tua itu bukan untuk buka aurat terus tetapi bersederhana dan tidak berhias serta menunjukkan perhiasan yang tidak sepatutnya.
  8. Semoga kita semua diberi petunjuk hidayah untuk terus istiqomah mengamalkan segala hukum-hakam Syari\’ah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs