View Categories

SURAH AL-QALAM : AYAT 34-41

\"\"

BALASAN BAGI MUTTAQIN, TIDAK SAMA GOLONGAN TAAT DAN INGKAR & PATAHKAN HUJJAH PUAK KAFIR.

Full video : https://youtu.be/SHi5iH1TVBM

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang balasan bagi orang yang bertaqwa iaitu al-muttaqin yang akan mendapat balasan syurga.
  2. Allah s.w.t juga menegaskan bahawa tidak akan sama golongan yang taat dan golongan yang ingkar.
  3. Maka dalam ayat-ayat ini dipatahkan hujjah puak kafir dengan dibawa beberapa soalan mencabar dan menempelak fahaman mereka itu.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang pemilik kebun yang cintakan dunia lalu Allah uji dengan kemusnahan kebun mereka.
    Ia juga peringatan kepada orang yang kafir yang ingkar akan perintah Allah bahawa mereka juga akan dibinasakan. Kemudian Allah ceritakan tentang keadaan orang kafir yang cukup bahaya.

ii- lalu sebagaimana kebiasaan uslub al-Quran; Allah s.w.t bawa pula kisah sebaliknya – tentang orang yang bertaqwa yang akan diberi nikmat syurga.

AYAT 34- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DISEDIAKAN BAGI MEREKA TAMAN-TAMAN SYURGA YANG PENUH NIKMAT, DI SISI TUHAN MEREKA.} (AL-QALAM 68:34)

  1. Allah s.w.t nyatakan dalam ayat ini bahawa bagi orang yang bertaqwa, di akhirat kelak akan mendapat balasan syurga yang penuh dengan nikmat yang berkekalan, yang tidak akan kurang & rosak!
  2. Makna bertaqwa yang paling ringkas ialah mereka yang taat, mengikut perintah, arahan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

AYAT 35- {PATUTKAH KAMI (BERLAKU TIDAK ADIL, DENGAN) MENJADIKAN ORANG-ORANG ISLAM (YANG TAAT), SAMA SEPERTI ORANG-ORANG YANG BERDOSA (YANG KUFUR INGKAR)?} (AL-QALAM 68:35)

  1. Allah bawa satu soalan yang berbentuk serangan untuk orang kafir berfikir dan sentap!
  2. Apakah patut Allah s.w.t berlaku tidak adil dengan menjadikan seorang muslim yang patuh taat kepada perintah Allah; sama dengan seorang kafir yang ingkar dan berdosa?
  3. Pastilah sesuatu yang tidak adil dan tidak patut sama-sekali!
  4. Kerana itu pihak berkuasa agama mesti tegas patut membuat satu garis panduan yang jelas untuk memberi kefahaman yang sebaiknya kepada masyarakat untuk menjaga aqidah ummat.
    Apakah perayaan orang kafir yang dapat dihadiri dan apa yang tidak?
  5. Biar jelas supaya tidak celaru- contohnya agar kita tahu ada perayaan agama yang tidak boleh kita hadiri dan sokong kerana boleh merosakkan aqidah.
    Biar mereka tahu agama kita tidak membenarkannya, walaupun hanya sekadar suka-suka!

AYAT 36- {APA SUDAH JADI KEPADA AKAL KAMU? BAGAIMANA KAMU MENETAPKAN HUKUM (YANG TERANG-TERANG SALAHNYA ITU)?} (AL-QALAM 68:36)

  1. Bagaimanakan fikiran kamu? Apakah akal kamu sudah celaru dan keliru sehingga menetapkan hukum yang jelas lagi zahir salahnya itu????
  2. Ini satu hukuman yang tidak adil dan tidak logik, yang tidak adil dan boleh merosakkan pemikiran.

AYAT 37- {ADAKAH KAMU MEMPUNYAI SESEBUAH KITAB (DARI ALLAH) YANG KAMU BACA DAN PELAJARI?} (AL-QALAM 68:37)

  1. Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w tanya lagi kepada puak kafir itu: Apakah kamu ada hujjah iaitu satu kitab yang diturunkan dari sisi Allah yang kamu baca dan rujuk darinya yang mengatakan semua agama sama?
    Semua orang yang beriman dan tidak adalah sama?
  2. Tidak mungkin sama sekali! Soalan ini adalah untuk mengasak mereka supaya berfikir dan tahu bahawa mereka tidak ada hujjah & dalil atas segala dakwaan!
  3. Pihak berkuasa juga kena pastikan anak-anak orang Islam bahawa akan isu ini dan jelas akan hakikat sebenarnya!

AYAT 38- {BAHAWA DI DALAM KITAB ITU MEMBOLEHKAN KAMU MENDAPAT APA SAHAJA YANG KAMU PILIH?} (AL-QALAM 68:38)

  1. Apakah kitab itu membenarkan kamu memilih apa saja yang kamu nak buat?
  2. Pastilah tidak! Kita orang Islam hanya yakin bahawa hanya Islam agama yang benar & al-Quran kitab yang asli!

AYAT 39- {ATAU ADAKAH KAMU MENDAPAT AKUAN-AKUAN YANG DITEGASKAN DENGAN SUMPAH DARI KAMI, YANG TETAP HINGGA HARI KIAMAT, MENENTUKAN BAHAWA KAMU DAPAT MENCAPAI APA YANG KAMU PUTUSKAN?} (AL-QALAM 68:39)

  1. Apakah bagi kamu wahai puak kafir ada satu perjanjian atau sokongan bersumpah dari pihak Kami bahawa kamu pilih apa saja yang kamu nak.
  2. Semuanya tidak ada, kitab tidak ada, akuan bersumpah tidak ada, maka kamu jangan berani-berani dakwa itu ini jika tidak ada hujjahnya dari al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Semua pertanyaan ini supaya mereka berfikir dan menguatkan lagi hujjah orang Islam agar mantap!

AYAT 40- {BERTANYALAH KEPADA MEREKA: \”SIAPAKAH ORANGNYA DI ANTARA MEREKA YANG MENJAMIN BENARNYA HUKUM: BAHAWA MEREKA AKAN MENDAPAT DI AKHIRAT APA YANG DIDAPATI OLEH ORANG ISLAM?\”} (AL-QALAM 68:40)

  1. Tanyalah lagi kepada mereka wahai Rasulullah s.a.w: Siapakah yang menjamin (زَعِيمٌ) mereka bahawa mereka akan mendapat balasan yang sama seperti orang mukmin di akhirat kelak? Adakah orang yang menjamin dakwaan dan hukum mereka itu?
  2. Pastilah ini satu pertanyaan yang tidak akan terjawab kerana tidak ada penjaminnya bagi orang yang kafir.
  3. Kita orang yang beriman pastilah penjamin kita Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.

AYAT 41- {ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI SEKUTU-SEKUTU (YANG SEFAHAM DENGAN MEREKA? KALAU ADA) MAKA HENDAKLAH MEREKA MEMBAWANYA, JIKA BETUL MEREKA ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AL-QALAM 68:41)

  1. Jika mereka orang yang benar dan ada penyokong, maka bawalah sekutu-sekutu kamu itu!
  2. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah s.w.t tolak fahaman orang musyrikin & mujrimin yang menyangka bahawa orang Islam & orang kafir sama saja.

ii- maka Allah s.w.t cabar lagi orang kafir itu jika mereka tiada dalil, tiada hujjah, tiada kitab yang turun, maka bawalah sekutu-sekutu yang menyokong jika ada, jika benar apa yang mereka dakwa itu!

  1. Pastilah tiada sekutu mereka, kerana mereka itu syirik kepada Allah s.w.t maka pastilah mereka ada masalah dan memandang lekeh kepada kekuasaan Allah s.w.t.
    Kerana itu mereka mengatakan Allah perlu ada sekutu untuk membantunya! Wal \’iayazubillah.
  2. Ini kerana mereka tidak kenal Allah s.w.t Yang Maha Esa yang Tunggal Yang tiada sekutu Yang Maha Berkuasa!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 34- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.}- Allah tegaskan bahawa hanya orang yang beriman dan bertaqwa yang akan mendapat balasan syurga yang penuh nikmat di sisi Allah.

Ulama\’ tanya kenapa disebut syurga yang penuh nikmat { جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ}, sedangkan jika disebut syurga kita sudah tahu bahawa ia adalah nikmat?

JAWAPAN :

Kata ulama\’ kerana Allah mahu menunjukkan bahawa nikmat itu adalah nikmat yang berkekalan, berterusan dan tidak akan hilang & rosak!

Maka kita pun kena kekal atas landasan keimanan yang benar kepada Allah s.w.t, atas Sunnah Rasulullah s.a.w.

Bukan jalan yang menyeleweng dan syubhat, sekali iman yang mantap, sesekali iman yang goyah ikut sama merai orang kafir & syirik!

  1. Ayat 35- {Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)?} – ini adalah satu pandangan 2yang amat dangkal & cetek, akal yang pendek dan salah; orang baik & tidak baik sama??

KATA ULAMA\’ TAFSIR :

Antara tanda-tanda tidak cerdik dan salah dalam menjatuhkan hukum ialah kita menjadikan orang yang fasiq sama dengan orang yang mukmin, orang yang baik sama dengan orang yang jahat!

Allah s.w.t telah menceritakan kepada kita antara hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t ialah Dia tidak akan beri balasan dan hukuman yang sama antara orang mukmin & orang kafir, orang soleh & orang toleh!
Masing-masing ada tempat & balasan yang disediakan Allah s.w.t di akhirat kelak!

Kita berdoa kepada Allah semoga kita semua & orang yang kita sayangi berada dalam keredhaan Allah s.w.t & sentiasa di atas landasan yang benar.

Maka kita hadapilah ujian yang kecil atas dunia, yang akan memberi pahala kepada orang yang sabar. Ingatlah penyesalan di akhirat tidak ada guna lagi!

  1. Ayat 37- {Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari?}- apakah kamu ada Kitab yang kamu rujuk untuk menyokong dakwaan kamu itu?

Kata ulama\’ tafsir, ayat ini menjelaskan bahawa tidak harus, tidak boleh sesiapa pun menyanggah apa yang ada dalam Kitab Allah s.w.t iaitu al-Quran.

Sesiapa yang lawan Kitab Allah s.w.t samada dengan akal dia atau dengan kitab falsafah lain, dengan logik akal, mengaku ada kasyaf (nampak yang ghaib), bercakap tentang agama dengan rasa dan seumpamanya; maka dia telah sesat & terpesong.

Agama bukan dengan rasa hati, perasaan dan logik akal, ia ada ukuran dan mizannya iaitu al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w!
Maka jika ia bercanggah dengan dua sumber utama ini, kita segera tolaknya walaupun ia dipakai oleh sebahagian orang yang mengaku alim.

  1. Ayat 35- {Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)?}- ini adalah aqli- Allah s.w.t buat analogi misal bandingan supaya manusia berfikir dan menyedari bahawa tidak akan sama sekali orang yang beriman dengan musyrik, orang yang baik dengan orang yang jahat, orang yang ikut Sunnah Nabi dan yang menolaknya!

Kerana itu dalam Islam salah satu cara perundanganya ialah menerima qiyas yang sahih- tetapi bukan qiyas yang fasiq.
Yakni kita boleh buat analogi bandingan, sebagaimana yang banyak Allah s.w.t buat dalam al-Quran.

  1. 40- {Bertanyalah kepada mereka: \”Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam?\”}- kata ulama\’ ayat ini menjadi dalil kepada pensyariatan penjamin atau memberi jaminan.

Tetapi dalam Islam hanya seorang sahaja yang Allah s.w.t lantik sebagai penjamin kepada segala amalan dan pahala yang akan Allah berikan iaitu Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w!

Orang lain tidak ada authoriti untuk memberi jaminan tentang perkara ini selain daripada Nabi s.a.w yang dilantik oleh Allah s.w.t sebagai utusan (rasul) seluruh alam!

Malangnya banyak dalam buku-buku yang kita baca dan yang tersebar secara meluas sekarang di internet; ibadat yang dijamin dan direka oleh orang lain yang kita tidak dapat pastikan. Yang sahih Nabi ajar pun pun belum tentu habis kita amalkan tetapi sudah mahu buat amalan yang beribu-ribu bilangannya!

Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih dapat menyelamatkan kita di dunia & akhirat.

Powered by BetterDocs