KISAH LIMA: KISAH FIRAUN DIBINASAKAN, MENGAJAK MUSYRIKIN BERFIKIR & QURAISY AKAN KALAH.
Full video : https://youtu.be/bKmTaWHuBRo
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah Kisah Kelima dalam surah ini, iaitu: Kisah Firaun yang ingkar akan ajaran dan amaran Allah yang dibawa oleh Nabi Musa & Harun a.s, dia mendustakannya bahkan mahu membunuh Musa a.s.
- Maka dia dibinasakan oleh Allah s.w.t, dengan tenggelam di dalam Laut Qalzum bersama bala tentera yang mengikutnya.
- Kemudian ayatnya kembali kepada kisah kaum Quraisy Makkah, diceritakan bahawa Quraisy akan kalah. Lalu mengajak Musyrikin agar berfikir mengambil peringatan.
- Munasabah ayat: Orang yang datang kemudian sepatutnya mencukupi dengan amaran yang telah diberi kepada kaum yang terdahulu! Seperti kaum Firaun yang datang selepas kaum Lut yang sezaman dengan Nabi Ibrahim. Mereka telah tahu kisah kaum terdahulu yang ingkar & binasa.
Lalu mungkin ada yang menyangka Firaun dan kaumnya tidak diberi amaran kerana mereka sudah tahu bahawa siapa yang mendustakan rasul-rasul akan binasa!
Maka Allah menyatakan dengan jelas bahawa Firaun juga telah diberikan amaran dan diutuskan rasul kepada mereka! Ditutup pintu sangkaan bahawa Firaun itu dibinasakan tanpa diberikan amaran, maka Allah tegaskan dengan jelas dalam ayat 41 ini! Bahawa azab akan menimpa sesiapa yang tidak mahu beriman & dengar kata selepas diberi peringatan & amaran, maka tunggulah!
AYAT 41- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! FIRAUN DAN KAUMNYA TELAH DIDATANGI (RASUL-RASUL) PEMBERI AMARAN.} (AL-QAMAR 54:41)
- Firaun dan keluarganya serta seluruh pengikutya telah didatangi oleh rasul utusan Allah, iaitu Nabi Musa & Harun a.s.
- Ulama\’ berbincang tentang siapakah yang di maksudkan kaum Firaun ini kerana digunakan perkataan (ءَالَ) yang bermaksud ahli-keluarga:
i- memang kaum keluarganya sendiri.
ii- para pembesar & mereka yang rapat dengannya. - Kata al-Wahidi tentang perkataan (ٱلنُّذُرُ) amaran & tanda ini ialah:
i- Musa & Harun a.s.
ii- tanda kekuasaan Allah s.w.t iaitu mukjizat Nabi Musa- ada 9 yang disebut dl, al-Quran.
iii- amaran yang telah dikeluarkan! - Kita kata kesimpulannya: Termasuk belaka, Firaun telah diberi amaran, Nabi Musa a.s sebagai pembawa amaran itu yang membawa mukjizat-mukjizat.
AYAT 42- {MEREKA TELAH MENDUSTAKAN MUKJIZAT-MUKJIZAT KAMI SEMUANYA, LALU KAMI TIMPAKAN AZAB SEKSA KEPADA MEREKA SEBAGAI SEKSAAN DARI YANG MAHA PERKASA, LAGI MAHA KUASA.} (AL-QAMAR 54:42)
- Mereka yakni Firaun & keluarga & kaumnya mendustakan semua tanda mukjizat yang dibawa oleh nabi Musa a.s ini!
- Mukjizat Nabi Musa ada 9 perkara sebagai amaran kepada Firaun: tongkat, tangan yang bercahaya, banjir, belalang, kutu, katak, darah, kemarau & kurangnya buah-buahan tanaman mereka!
- Malangnya semua ini mereka tidak percaya & ketepikan! Ketika bala datang mereka minta bantuan Musa a.s; setelah hilang mereka ingkar & kufur balik!
- Firman Allah s.w.t tentang ayat-ayat ini:
i- {(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.} (Al-A\’raaf 7:133) - Maka Allah s.w.t timpakan ke atas mereka siksaan azab yang membinasakan dari Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
- Kata ulama\’ maksud kami timpakan ke atas (فَأَخَذۡنَٰهُمۡ): ialah Firaun dan tenteranya yang keluar ikut Firaun untuk mengejar Nabi Musa pada malam itu.
- Kata al-Biqa\’i juga: maksud Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa; iaitu Allah s.w.t tidak segera mengambil tindakan ke atas Firaun kerana Allah tahu akan tiba masanya mereka akan tenggelam dan tidak akan dapat lari!
*Bukan seperti kita hari ini yang bersegera buat sesuatu tindakan kerana takut hilang peluang atau kuasa yang ada. - Kenapa ayat tentang Firaun ini pendek & tidak ditutup dengan ayat peringatan sebagai kisah-kisa lain:
Kata ulama\’: Apa yang diulang oleh Allah di dalam al-Quran beberapa kali itu sudah cukup sebagai pengajaran & iktibar!
AYAT 43- {ADAKAH ORANG-ORANG KAFIR KAMU (WAHAI KAUM MUSYRIK MAKKAH), LEBIH BAIK (KEKUATAN, KEKAYAAN DAN KEHANDALANNYA) DARIPADA KAUM-KAUM KAFIR YANG TERSEBUT ITU? ATAU ADAKAH KAMU MEMPUNYAI SEBARANG BUKTI DALAM KITAB-KITAB SUCI TENTANG KEBEBASAN KAMU (DARI AZAB)?} (AL-QAMAR 54:43)
- Ayat ini kembali kepada kaum musyrikin Quraisy Makkah. Allah s.w.t tanya mereka apakah mereka berasa mereka lebih baik daripada kaum-kaum yang disebut sebelum ini samada dari segi kekuatan, kekayaan dan kehandalannya?
- Firman Allah s.w.t:
{Lalu Kami binasakan orang-orang yang lebih kekuatannya (dan lebih kejam serangannya) daripada mereka; dan telahpun disebutkan (berulang-ulang di dalam Al-Quran) tentang kisah-kisah dan misal perbandingan mengenai umat-umat yang telah lalu.} (Az-Zukhruf 43:8) - Allah cabar & tanya lagi atau apakah mereka mempunyai sebarang bukti yang ada dalam Kitab-kitab Suci terdahulu tentang kebebasan yakni keselamatan mereka dari azab Allah s.w.t?
- Pasti sekali tidak! Maka jika kamu nak selamat ambillah peringatan dan iktibar daripada kisah-kisah kaum yang telah binasa!
AYAT 44- {(MEREKA TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG BUKTI) BAHKAN MEREKA AKAN BERKATA (DENGAN ANGKUHNYA): KAMI SATU KAUM YANG BERSATU, YANG SUDAH TENTU DAPAT MEMBELA DIRI!} (AL-QAMAR 54:44)
- Sedangkan mereka tidak mempunyai apa-apa buktipun!
- Mereka berbangga dan menyombong dengan mengatakan mereka kumpulan yang ramai & bersatu, mereka tidak takut segala ancaman itu, akan dapat mengalahkan Nabi s.a.w & golongan pengikutnya yang lemah lagi dhaif!
- Mereka masih lagi berdegil keras kepala walaupun nasihat & amaran telah disampaikan, sudah pujuk mereka supaya beriman; maka mereka berhak untuk menerima kemurkaan Allah s.w.t!
AYAT 45- {KUMPULAN MEREKA YANG BERSATU ITU TETAP AKAN DIKALAHKAN DAN MEREKA PULA AKAN BERPALING LARI.} (AL-QAMAR 54:45)
- Apabila mereka memperlekehkan Rasulullah s.a.w Allah menjawabnya dengan tegas!
- Dalam ayat ini Allah s.w.t membayangkan akan kekalahan yang bakal dialami oleh kaum Quraisy Makkah! Mereka akan kalah, terbunuh, ditawan & bertempiran lari! Tetapi Allah tidak sebut di mana & bila!
Ini adalah mukjizat Rasulullah s.a.w iaitu kekalahan Quraisy ini akan berlaku di dalam Perang Badar pada Tahun Ke-2 H. Ayat ini adalah Makkiyyah.
- Firman Allah s.w.t:
{Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: \”Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan\”.
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).} (A-li\’Imraan 3: 12-13) - Hadis: Rasulullah s.a.w berdoa di satu tempat di Badar.
Ketika menghadapi saat genting, Baginda bermunajat dengan Allah demi kemenangan Islam:
اللَّهُمَّ أَنْجِزْنِيْ مَا وَعَدْتَنِيْ. اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِيْ. اللّهُمَّ إِنْ تَهْلِك هَذِهِ الْعِصَابَة لاَ تُعْبَد في الأرض
\”Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku.
Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku.
Ya Allah Ya Tuhanku, jika binasa kumpulan ini, (pejuang-pejuang mukmin), nescaya Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.\”
Rasulullah s.a.w terus berdoa dan memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar r.a berkata: \”Cukuplah. Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu.\”
Lalu Baginda pun mengenakan baju perangnya, kemudian keluar dan mengucapkan (firman Allah):
{Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang.
Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.} (Al Qamar: 45-46). [HR Bukhari].
AYAT 46- {(BUKAN KEKALAHAN ITU SAHAJA) BAHKAN HARI KIAMAT IALAH HARI YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA (UNTUK MENERIMA BALASAN YANG SEPENUH-PENUHNYA) DAN (AZAB SEKSA) HARI KIAMAT ITU AMAT DAHSYAT DAN AMAT PAHIT.} (AL-QAMAR 54:46)
- Munasabah ayat: Kekalahan mereka di dalam Perang BAdar ini adalah tanda kekalahan mereka di dunia lagi sebelum akhirat. Di akhirat kelak mereka akan meneriam balasan yang lebih dahsyat dan sepenuhnya!
- Ini adalah tanda mukjizat Rasulullah s.a.w bahawa Baginda sudah tahu Quraisy akan kalah & mereka akan menang.
- Kata UM Aisyah r.a:
عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ قَالَتْ لَقَدْ أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ { بَلْ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ }
\”Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah s.a.w di Makkah, aku mendengarnya ketika aku masih kanak-kanak yang sedang bermain.\” [HR Bukhari].
Ya Allah jauhkan kami semua dari api neraka!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 41- {Dan demi sesungguhnya! Firaun dan kaumnya telah didatangi (Rasul-rasul) pemberi amaran.}- timbul soalan apakah faedah Allah s.w.t sebut keluarga (ءَالَ فِرۡعَوۡنَ) Firaun? Sedangkan dalam kisah lain di sebut kaum (قوم)???
Jawapan:
Ini kerana kaum lebih umum daripada keluarga, semua yang dibawah taklukan Firaun akan termasuk di bawah kaum atau rakyat Firaun. Sedang mereka itu hanya pak turut atau hambanya saja!
Maka Aal (ءَالَ) di sini maksudnya adalah mereka yang rapat dengan Firaun dari kalangan keluarga & pembesar, menteri dan penasihatnya! Yakni yang mempunyai kekuasaan & kedudukan tinggi, mereka juga telah menerima peringatan & amaran, tetapi mereka tidak membantah & memberi nasihat kepada Firaun.
Juga kenapa disebut telah datang (وَلَقَدۡ جَآءَ) kepada Firaun?
i- ini kerana Nabi Musa & Harun tidak duduk bersama Firaun di tempat itu, bukan seperti nabi-nabi lain dan kaumnya. Tetapi mereka pergi mengadap khas dan masuk ke istana Firaun untuk menyampaikan dakwah.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut.} (Al-Hijr 15:61)
Malaikat juga datang dari tempat lain.
- Ayat 42- {Mereka telah mendustakan mukjizat-mukjizat Kami semuanya,}- semua tanda dan mukjizat yang dibawa oleh Musa didustakan oleh Firaun dan pengikutnya!
Kisah Firaun ini sama dengan kisah Nabi Nuh yang awal. Kita nampak susunan cerita ini, permulaan kaum yang kufur dengan tenggelam & berakhir dengan tenggelam juga!
Yang selamat pula:
i- kumpulan Nabi Nuh ialah mereka yang naik bahtera.
ii- selamatnya Nabi Musa & pengikutnya dengan keringnya dasar bumi dalam laut yang terbelah.
Inilah bumi yang kena matahari dan lihat langit sekali dalam seumur hidupnya, iaitu dasar laut laluan Nabi Musa a.s.
Ayat 42- {Lalu Kami timpakan azab seksa kepada mereka sebagai seksaan dari Yang Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.}- Allah s.w.t bawa sifat-Nya ini untuk melawan & melemahkan Firaun yang mengaku Tuhan & berasa dia gagah perkasa dan berkuasa!
- Ayat 43- {Adakah orang-orang kafir kamu (wahai kaum musyrik Mekah), lebih baik (kekuatan, kekayaan dan kehandalannya) daripada kaum-kaum kafir yang tersebut itu?}- menerangkan puak kafir yang terdahulu telah dibinasakan Allah s.w.t adalah lebih baik kekuatan, kekayaan dan kehandalannya!
Sedangkan puak musyrikin Quraisy yang menentang Rasulullah s.a.w ini bukanlah yang gagah kuat & hebat seperti mereka yang terdahulu, maka pastilah lebih mudah bagi Allah s.w.t untuk membinasakan mereka jika ingkar! - Ayat 45- {Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari.} – ayat ini sebagai satu khabar gembira (بشارة) kepada Rasulullah s.a.w, Baginda tahu Allah akan tunaikan janji-Nya apabila Dia berjanji.
Tetapi puak kafir makin terpedaya & angkuh sombong, tidak sedar bahawa mereka akan kalah!
Ini juga satu mukjizat Rasulullah s.a.w yang diberikan Allah.
Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.} (Al-Anfaal 8:44)
- Ayat 46- {(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.}- timbul persoalan kenapa Allah s.w.t sebutkan janji Kiamat ini kepada kaum Quraisy sedangkan ia untuk semua manusia?
Jawapan:
Janji Allah itu benar, azab untuk orang kufur dan ingkar manakala janji baik dengan syurga bagi orang yang beriman.
Maka kita jangan gopoh serahkannya kepada Allah s.w.t bilakah ia akan berlaku. Segala kezaliman dan kejahatan akan diadili & dibalas di Akhirat kelak!
Kerana puak kafir ini tidak percaya maka Allah sebutkan bahawa janji kita adalah pada hari Kiamat, kamu percaya atau tidak TUNGGULAH!
Semoga Allah s.w.t bantu kita, tolong kita pada hari Kiamat yang penuh huru-hara nanti!