NABI MUSA SELESAI TEMPOH BERKHIDMAT, BAWA ISTERINYA KE MESIR & MENERIMA WAHYU BERKATA-KATA DENGAN ALLAH S.W.T DI TURSINA.
Full video : https://youtu.be/HGRzYdjK0Wo
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas Nabi Musa a.s. telah mengikat perjanjian dengan mentuanya bahawa beliau akan dikahwinkan dengan salah seorang dari anaknya dengan syarat dia bekerja dengannya selama lapan tahun, atau menggenapkannya menjadi sepuluh tahun dengan kerelaannya sendiri.
- Beza antara ayat 28 dan ke 29 adalah selama 8 atau 10 tahun, yakni apabila Musa a.s telah menyelesaikan waktu yang ditentukan itu. Ramai ulama\’ kata Nabi Musa a.s genapkan 10 tahun.
- Ini apabila kaum Yahudi bertanya kepada ulama\’ tafsir Sa\’id bin Jubair rhm., berapa lama Musa a.s di Madyan, lalu dia suruh mereka tunggu dia akan bertanya kepada ulama\’ ummat ini iaitu Ibnu Abbas r.a. Ibnu Abbas r.a berkata, sangkaan beratnya adalah Musa a.s menunaikan masa yang paling banyak, paling baik, dan paling sempurna, dari kedua masa itu. Ini berdasarkan contoh yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w yang amat amanah dan cermat dalam perjanjian atau percakapannya. Maka nabi Musa a.s sebagai seorang nabi dan rasul juga pasti sama sifatnya.
- Tempoh yang lama ini semuanya ada hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t sebagai satu latihan persiapan kepimpinan dan tanggung-jawab untuk menggalas tugas yang lebih besar lagi. Sehingga Musa a.s mencapai umur yang dikehendaki Allah s.w.t.
- Kisah kali ini apabila Nabi Musa a.s selesai tugasnya di Madyan dan mahu kembali ke Mesir bersama keluarganya,
AYAT 29- {SETELAH MUSA MENYEMPURNAKAN TEMPOH KERJANYA ITU DAN (MENDAPAT IZIN) BERJALAN DENGAN ISTERINYA (KEMBALI KE MESIR), IA MELIHAT (DALAM PERJALANANNYA ITU) API DARI SEBELAH GUNUNG TURSINA. (KETIKA ITU) BERKATALAH IA KEPADA ISTERINYA: \”BERHENTILAH; SESUNGGUHNYA AKU ADA MELIHAT API, SEMOGA AKU DAPAT MEMBAWA KEPADA KAMU SESUATU BERITA DARI SITU, ATAU SEPUNTUNG DARI API ITU, SUPAYA KAMU DAPAT MEMANASKAN DIRI\”.} (AL-QASAS 28:29)
- Apabila nabi Musa a.s cukup menghabiskan tugas dan khidmatnya dalam tempoh yang dijanjikan, dia meminta izin bapa mentuanya untuk kembali ke negerinya, Mesir. Dia juga mahu membawa isteri dan keluarganya bersama.
- Lalu keluarlah Musa a.s bersama keluarganya, setibanya pada waktu malam mereka ketiadaan api untuk berdiang memanaskan badan dan sebagai penyuluh jalan yang gelap. Tiba-tiba Musa a.s nampak api dari sebelah Gunung Tursina, di Semenanjung Sinai.
- Dia pun menyuruh mereka (keluarga dan pengiringnya) untuk menunggu امْكُثُوا sementara dia pergi ke tempat yang cerah itu untuk:
i- bertanya jalan, menunjuk arah kepada mereka.
ii- meminta sepuntung dari api itu, supaya mereka dapat memanaskan badan. - Ini menunjukkan keprihatinan dan bertanggung-jawabnya Musa a.s kepada keluarganya.
AYAT 30- {MAKA KETIKA IA SAMPAI KE TEMPAT API ITU, (KEDENGARAN) IA DISERU DARI TEPI LEMBAH YANG DI SEBELAH KANAN, DI TEMPAT YANG DILIMPAHI BERKAT, DARI ARAH POHON KAYU (YANG ADA DI SITU): \”WAHAI MUSA, SESUNGGUHNYA AKULAH ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM. (SESUNGGUHNYA API ITU ADALAH SEBAGAI SATU ISYARAT YANG DIDATANGKAN OLEH ALLAH UNTUK MENARIK PERHATIAN MUSA KE TEMPAT ITU DAN BUKANNYA ZAT ALLAH, WALLAHU A\’LAM) (AL-QASAS 28:30)
- Apabila dia sampai di lembah, tempat yang cerah itu, tiba-tiba Musa a.s mendengar satu suara yang menyerunya dari arah pokok kayu yang ada di situ.
- Musa a.s mendengar satu suara berkata: {\”Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.\”}. Jelas di sini Musa a.s mendengar Allah s.w.t berkata-kata kepadanya, bagaimana kita tidak perlu kaji dan fikir, wallahu a\’lam.
- Lembah itu dipangggil {di tempat yang dilimpahi berkat}- Ulama\’ kata ia dipanggil Wadi yang Berkat kerana:
i- Musa a.s dilantik menjadi nabi dan rasul di situ,
ii- mendapat penghormatan mendapat wahyu secara lansung dari Allah s.w.t.
iii- di situ juga dia diberikan mukjizat,
AYAT 31- {\”DAN (SEKARANG) CAMPAKKANLAH TONGKATMU\”. (IA PUN MENCAMPAKNYA), MAKA APABILA IA MELIHAT TONGKATNYA ITU (MENJADI SEEKOR ULAR BESAR) BERGERAK CEPAT TANGKAS, SEOLAH-OLAH SEEKOR ULAR KECIL, BERPALINGLAH IA MELARIKAN DIRI DAN TIDAK MENOLEH LAGI. (LALU IA DISERU): \”WAHAI MUSA, DATANGLAH KEMARI DAN JANGANLAH ENGKAU TAKUT. SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BEROLEH AMAN. (AL-QASAS 28:31)
- Sebagaimana dalam kisah yang lepas dalam surah-surah sebelumnya Allah s.w.t bertanya lagi kepada Musa a.s tentang tongkatnya, dan Musa a.s juga mengambil kesempatan itu urtk bercakap dengan Allah stw, kerana itu dia digelar \”Kalimullah.\”
- Dalam ayat ini Allah s.w.t terus menyuruh Musa a.s lemparkanlah tongkat yang ada di tangannya, Musa a.s. pun melemparkannya.
- Musa a.s. melihat tongkatnya itu bergerak-gerak menjadi seekor ular yang besar tetapi ia merayap dengan cepat dan tangkas seperti ular yang kecil layaknya.
- Melihat ini, Musa a.s. lari ke belakang tanpa menoleh lagi kerana sangat ngeri melihat kejadian itu.
- Allah s.w.t. berfirman menyerunya, {\”Wahai Musa! Datanglah kembali dan jangan takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.\” }
- Maka Musa a.s. kembali ke tempat tadi dengan tiada rasa takut lagi, bahkan merasa tenteram dan percaya, yakin bahawa yang berbicara kepadanya adalah Tuhan.
AYAT 32- { \”MASUKKANLAH TANGANMU MELALUI BELAHAN DADA BAJUMU, NESCAYA KELUARLAH IA PUTIH BERSINAR-SINAR DENGAN TIADA CACAT; DAN KEPITLAH TANGANMU DI CELAH KETIAKMU KETIKA MERASA TAKUT (NESCAYA HILANGLAH TAKUTMU). YANG DEMIKIAN ADALAH DUA BUKTI DARI TUHANMU (UNTUK ENGKAU MENUNJUKKANNYA) KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA. SESUNGGUHNYA MEREKA ITU ADALAH KAUM YANG FASIK – DERHAKA.\”} (AL-QASAS 28:32)
- Musa a.s juga diberikan mukjizat kedua, Allah s.w.t menyuruhnya memasukkan tangan melalui leher bajunya dan letakkannya ke dadanya. Apabila dikeluarkan tangannya itu, ia akan mengeluarkan sinar berkilauan putih yang menyilaukan. Namun, ia bukanlah kerana terkena penyakit seperti sopak.
- Allah s.w.t juga ajar Musa a.s cara untuk menenangkan dirinya apabila takut dan gemuruh, iaitu dengan: {Kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika merasa takut (nescaya hilanglah takutmu)}.
- Ini adalah dua mukjizat yang besar anugerah dari Allah s.w.t, sebagai bukti kebenaran Musa a.s untuk pergi berdepan dengan Fir\’aun dan kaumnya.
- Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik lagi derhaka.
AYAT 33- {NABI MUSA MERAYU DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, BAHAWA AKU TELAH MEMBUNUH SEORANG DARI KALANGAN MEREKA; OLEH ITU AKU TAKUT MEREKA AKAN MEMBUNUHKU. \”} (AL-QASAS 28:33)
- Apabila Musa a.s mendengar perintah Allah s.w.t untuk kembali Mesir, berdepan dan berdakwah kepada Fir\’aun, dia berasa takut dan tidak yakin diri.
- Ini kerana dia pernah melakukan kesalahan mebunuh orang mereka (Qibti) dulu, jadi dia takut mereka akan membunuhnya nanti.
- Dia juga merasakan dia tidak yakin dan gemuruh, tidak fasih dan petah lidahnya.
AYAT 34- {\”DAN SAUDARAKU – HARUN, IA LEBIH FASIH LIDAHNYA DARIPADAKU, MAKA UTUSLAH DIA BERSAMA-SAMAKU SEBAGAI PENYOKONG YANG MENGAKUI KEBENARANKU; SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG BAHAWA MEREKA AKAN MENDUSTAKAN DAKU\”.} (AL-QASAS 28:34)
- Musa a.s lalu mencadangkan agar Allah s.w.t melantik saudaranya Harun untuk berdepan dan berdakwah bersamanya. Ini kerana Harun lebih fasih lidahnya, petah berhujjah.
- Jika Harun diutus bersama-samanya dia boleh menjadi penyokong yang mengakui kebenarannya; ini kerana dia amat bimbang bahawa mereka akan mendustakannya.
- Ulama\’ kata adik beradik yang baik, yang tidak lupa kepada saudaranya ialah Musa a.s. dengan berkatnya, saudaranya dilantik menjadi nabi dan rasul yang mulia juga.
AYAT 35- {ALLAH BERFIRMAN: \”KAMI AKAN MENGUATKAN TENAGA DAN DAYA-USAHAMU DENGAN SAUDARAMU (HARUN), DAN KAMI AKAN MEMBERIKAN KUASA KEMENANGAN KEPADA KAMU BERDUA OLEH ITU MEREKA TIDAK AKAN SAMPAI KEPADA MAKSUD MEMBAHAYAKAN ATAU MENGALAHKAN KAMU. DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI ITU, KAMU BERDUA SERTA PENGIKUT-PENGIKUT KAMU AKAN MENANG\”. (AL-QASAS 28:35)
- Alhamdulillah Allah s.w.t. menerima permohonan Musa a.s lalu dengan rahmat-Nya memperkenankan permintaannya untuk melantik Harun sebagai nabi dan rasul bersamanya.
- Allah s.w.t memberi jaminan akan memberikan kuasa kemenangan kepada mereka berdua. Oleh itu Fir\’aun dan kaumnya tidak akan dapat membahayakan atau mengalahkan mereka.
- Allah s.w.t. juga berjanji kepada Musa a.s. dan Harun a.s., bahawa mereka berdua dan para pengikutnya pasti akan menang berkat ayat-ayat keterangan (mukjizat-mukjizat) yang Allah s.w.t berikan kepada mereka. Maka jangan khuatir dan bimbang.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Dalam ayat 29] { (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya: \”Berhentilah;} امْكُثُوا kenapa digunakan lafaz jamak (untuk ramai-plural) dalam ayat ini? Bukankah untuk isterinya seorang sahaja? Kata ulama\’ ini kerana beberapa sebab:
i- sebagai menunjukkan penghormatan kepada isterinya, guna sighah jamak.
ii- ada bersamanya pembantu yang mengiringi mereka.
iii- ada anak mereka bersamanya. - Nabi Musa a.s adalah seorang yang amat prihatin dan bertanggung-jawab terhadap keluarganya. Muamalahnya dengan isterinya dan keluarga amat baik. Ini bersesuaian sekali dengan sebuah hadis: \”Daripada \’Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.\” [HR at-Tirmizi].
- Musa a.s minta: {maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong} Ini menunjukkan dengan adanya pembantu dapat menjayakan lagi kerja-kerja dan usaha dakwah. Pentingnya kena ada pembantu dan penyokong supaya dakwah dapat berjalan. Hakikatnya setara mana hebat seorang pendakwah itu tetapi jika tiada pendokong, strategi dan sistem yang seiring dengan zaman, susah untuk berjaya.
- Allah s.w.t sediakan sebab untuk menjayakan sesuatu dakwah itu. Nabi Musa a.s akan berdepan dengan kaumnya, bani Israil yang amat banyak karenah dan alasan-alasan.
Lalu Allah s.w.t hantarnya ke Madyan untuk berlatih pengurusan dan kesabaran, dengan mengembala kambing yang banyak ragamnya dan tidak mendengar kata.
Hadis: Dari Abu Hurairah dari Rasulullah S.A.W bersabda : \”Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi kecuali dia memelihara kambing.\” Para sahabat bertanya \”Dan tuan?\” Rasulullah S.A.W menjawab \”Benar, aku pernah memeliharanya dengan upah beberapa qirath bagi penduduk Makkah.\” [HR Ibnu Majah].
- Qirath merupakan sebagian dari dinar dan dirham.
- Hikmah para Nabi dilatih untuk menggembala kambing sebelum menjadi Nabi adalah agar mereka memiliki sifat sabar dan kasih sayang, pandai mengawal dan mengelakan perpecahan, dan lain-lain pengalaman.
- Ayat 29 { dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir)} menunjukkan suami berhak bawa isterinya ikut ke mana yang dia pergi/tinggal. Tetapi dengan syarat dipenuhi (tidak terhalang) segala hak dan tanggung-jawab maqasid (tujuan) sesuatu perkahwinan itu.
- Nabi Musa a.s berasa sejuk juga tersalah jalan. Kata ulama\’, para nabi itu seperti manusia biasa juga, dia rasa sejuk, lapar, penat dan lain-lain. Ini juga menunjukkan:
i- Para nabi itu tidak mengetahui perkara ghaib.
ii- mereka juga tidak ada kuasa untuk menghalang mudharat atau membawa manfaat ke atas diri mereka sendiri. - Musa a.s tersalah jalan. Yakni bila ada tujuan akan ada sebabnya, Musa a.s tersesat jalan lalu sampai ke Tursina untuk bertemu Allah s.w.t dan dilantik menjadi rasul. Kata ulama\’ para motivator; Apa yang terbaik itu adalah apa yang Allah s.w.t pilih untuk kita.
- Nabi Musa a.s mencari api untuk memanaskan badan. Berusaha dan berikhtiar, mengambil sebab tidak menafikan tawakkal dan keimanan kepada Allah s.w.t. seperti kita ambil vaksin sebagai salah satu ikhtiar mengurangkan risiko penyakit, insya\’ Allah.
- Nabi Musa a.s lari bila pertama kali tengok ular yang besar dan ganas itu. Naluri manusia takutkan sesuatu yang mengerikan tidak salah dan tidak mengurangkan imannya.
- Ilmu menenangkan jiwa, letakkan tangan di dada. Kata Ibnu Abbas r.a: Sesiapa yang rasa takut atau terkejut, berpandukan kisah nabi Musa a.s ini, letakkanlah tangannnya di dada, gosok-gosok, insya\’ Allah hilang gemuruh dan akan tenang, jika tidak semua pun, berkurangan sedikit.
Kata Ibnu Kathir rhm: Walaupun ayat ini diturunkan kepada nabi Musa a.s tetapi boleh kita lakukannya sebagai mengikut apa yang disuruh oleh Allah s.w.t.
Wallahu a\’lam.