View Categories

SURAH AL-QIYAMAH : AYAT 26-35

\"\"

KEADAAN KETIKA NAZAK, TINGKAH-LAKU KAFIR DI DUNIA & AMARAN ALLAH KEPADA SI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/UbBR9_VMt0E?si=avWwK-DmJ9BQeXqS

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah ceritakan keadaan orang yang sedang nazak, ketika menghadapi sakaratul-maut.
  2. Serta apakah tingkah-laku kafir di dunia dulu yang menynebabkan mereka mendapat azab itu!
  3. Dalam ayat ini juga Allah memberi amaran kepada si kafir.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut keadaan hari Kiamat serta dinyatakan dunia ini akan berakhir! Alam ini akan musnah dan akan bertukar kepada alam lain iaitu alam Akhirat.

ii- maka Allah s.w.t nyatakan dalam ayat ini, sebelum itu kita akan melalui proses kematian untuk memasuki alam lain itu! Diceritakan tentang saat manusia ketika menghadapi sakaratul-maut iaitu kesakitan menghadapi maut! Atau nazak yakni- malaikat menarik rohnya.

AYAT 26- {SEDARLAH (JANGANLAH MENGUTAMAKAN DUNIA DAN MELUPAKAN AKHIRAT. INGATLAH AKAN HAL ORANG YANG HENDAK MATI) APABILA ROHNYA SAMPAI KE PANGKAL KERONGKONG,} (AL-QIYAMAH 75:26)

  1. Allah memberi peringatan lagi kepada orang lagha dengan dunia akan saat kematian (nazak). Jangan mengutamakan dan & melupakan akhirat lagi!
  2. Ingatlah kamu apabila nyawa kamu sudah sampai di halkum! Kamu akan mati dan melalui satu proses yang cukup dahsyat! Penyesalan pada waktu itu tidak berguna lagi!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –
    Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, –
    Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,
    Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami), –
    Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar ?} (Al-Waaqi\’ah 56: 83-87)
  4. maut itu terlalu sakit & dahsyat sehingga tidak keluar dari mulut mereka yang nak mati jeritan atau mengaduh!

AYAT 27- {DAN (ORANG-ORANG YANG HADIR DI SISINYA HEBOH) BERKATA: \”SIAPAKAH YANG DAPAT MENAWAR JAMPI (DAN MENGUBATNYA)?\”} (AL-QIYAMAH 75:27)

  1. Lalu kaum keluarga di sisinya sibuk mencari ubat & penawar untuk mengubatinya!
    Mencari siapakah yang dapat menjampi untuk mengubatinya! Jika sekarang ini telefon hospital, panggil doktor panggil ambulan!
  2. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa malaikat sudah tiba, saat kematian sudah sampai! Kerana itu kita jangan panik dan gopoh jika bersama mereka ini!

AYAT 28- {DAN IA SENDIRI YAKIN, BAHAWA SESUNGGUHNYA SAAT ITU SAAT PERPISAHAN;} (AL-QIYAMAH 75:28)

  1. Sedangkan orang nak mati itu sudah tahu bahawa sudah tiba saat kematiaanya, berpisah dengan keluarga & meninggalkan dunia ini!

AYAT 29- {SERTA KEDAHSYATAN BERTINDIH-TINDIH;} (AL-QIYAMAH 75:29)

  1. Kedahsyatan maut itu sakitnya bertindih-tindih!
  2. Kata al-Mawardi maksud ayat ini ada beberapa tafsiran:
    i- rapatnya perjalanan dari dunia ke akhirat- atau alam barzakh. Sudah dekat.

ii- sakit bertambah sakit!

iii- bertindih betisnya atas satu sama lain kerana dahsyatnya sakaratul-maut.

iv- berkumpulnya dua kumpulan malaikat untuk menyelesaikan urusan rohnya.

  1. Kata ulama\’ antara tanda orang yang baik mati ialah berpeluh dahinya, Ini kerana dia berasa malu untuk bertemu dengan Allah s.w.t kerana merasakan sedikit amal kebaikannya!

AYAT 30- {(MAKA) KEPADA TUHANMU LAH – PADA WAKTU ITU – ENGKAU DIBAWA (UNTUK MENERIMA BALASAN).}(AL-QIYAMAH 75:30)

  1. Maka pada ketika itulah kamu dibawa kembali kepada Tuhanmu untuk menerima pembalasan.
  2. kata Ibnu Kathir rhm.: Ini bermakna roh itu akan diangkat naik ke langit! Jika yang baik dalam kain kafan yang indah & wangi. Jika yang celaka pastilah sebaliknya!
  3. Hadis riwayat al-Bara\’ bin Azib r.a tentang saat kematian manusia yang panjang tetapi kita ambil secara ringkas tentang sakaratul-maut sahaja.
    Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Sesungguhnya seorang hamba yang beriman bila sudah terputus dari kehidupan dunia dan menghadap ke akhirat maka turunlah malaikat dari langit yang putih wajahnya bagaikan matahari. Dia datang membawa kain kafan dari syurga dan wangian dari syurga.

Kemudian mereka semua duduk di depan orang itu sejauh mata memandang. Selanjutnya, datanglah malaikat maut lalu duduk di kepalanya sambil berkata, \”Wahai jiwa yang baik (dalam sebuah riwayat, \”jiwa yang tenang\”), keluarlah menuju keampunan dan keredhaan dari Allah.
Maka roh manusia itu pun keluar dan mengalir bagaikan titisan air lalu malaikat-maut mengambilnya.

Sedangkan kalau yang mati itu adalah orang kafir (dalam sebuah riwayat orang fajir atau durjana) ketika dia akan berpisah dengan dunia dan menuju ke akhirat maka akan turun para malaikat yang kasar dan bengis dari langit kepadanya. Wajah mereka hitam mereka membawa permadani kasar dari api neraka.

Mereka duduk di hadapan orang kafir ini sepanjang mata memandang. Lalu datanglah malaikat maut duduk di kepalanya dan berkata, \”Wahai jiwa yang jelek keluarlah menuju kemurkaan dan kebencian dari Allah!\”

Lalu rohnya keluar dari jasad dan disentap tarik bagaikan menarik sabut yang berserat banyak dari guni yang basah sehingga banyak keringat dan urat-urat yang terputus darinya. Dia lalu dilaknat oleh setiap malaikat antara langit dan bumi, serta semua malaikat yang ada di langit. Pintu-pintu langit ditutup untuknya.
Tidak ada pintu kecuali penjaganya akan berdoa kepada Allah agar roh orang ini tidak naik kepada Allah melalui pintu mereka. [HR Ahmad dan lain-lain]

Alangkah ngeri dan menakutkan sekali!

AYAT 31- {(OLEH SEBAB ORANG YANG KUFUR INGKAR TIDAK PERCAYAKAN HARI AKHIRAT) MAKA IA TIDAK MENGAKUI KEBENARAN (YANG DIWAJIBKAN MEYAKININYA) DAN IA TIDAK MENGERJAKAN SEMBAHYANG (YANG DIFARDHUKAN MENGERJAKANNYA)!} (AL-QIYAMAH 75:31)

  1. Semua siksaan dan kedahsyatan itu kerana mereka tidak beriman kepada hari akhirat, lalu menolak & ingkar kebenarannya.
  2. Mereka juga tidak mengerjakan solat yang difardhukan ke atas mereka!

AYAT 32- {AKAN TETAPI IA MENDUSTAKAN, DAN BERPALING INGKAR!} (AL-QIYAMAH 75:32)

  1. Dia mendustakan dan lari berpaling dengan ingkar dari al-Quran, dari dakwah Rasulullah s.a.w!

AYAT 33- {KEMUDIAN IA PERGI KEPADA KELUARGANYA DENGAN BERLAGAK SOMBONG MEGAH.} (AL-QIYAMAH 75:33)

  1. Sedangkan sebelum ini dia sombong angkuh tidak peduli kepada nasihat & peringatan.
  2. Berjalan pergi kepada keluarga dengan penuh berlagak & megah!

AYAT 34- {(WAHAI ORANG YANG KUFUR INGKAR!) SUDAHLAH DEKAT KEPADAMU KEBINASAANMU, SUDAHLAH DEKAT!} (AL-QIYAMAH 75:34)

  1. Kemudian Allah cela mereka: Sedangkan kebinasaan bagimu sudah dekat! Itulah yang paling layak bagi kamu!

AYAT 35- {KEMUDIAN API NERAKALAH LEBIH LAYAK BAGIMU, LEBIH LAYAK.} (AL-QIYAMAH 75:35)

  1. Kemudian Allah s.w.t ulang lagi; api nerakalah yang paling layak untuk kamu! Itulah yang paling layak bagi kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 26- {Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,}- kata ulama\’ ini adalah teguran yang kedua selepas soalan orang kafir sebelum ini tentang hari Kiamat.

i- Teguran atau jawapan pertama ialah: Allah jawab bahawa hari Kiamat itu ialah apabila terbeliak biji mata kamu melihat keadaan hari Kiamat yang penuh huru-hara {Ayat 7} Ini adalah Kiamat dunia yang besar.

ii- teguran kedua ini adalah apabila Allah s.w.t ceritakan saat kematian iaitu Kiamat kecil atau Kiamat personal bagi setiap individu {Ayat 26}!

Kata ulama\’; Ayat ini mensifatkan bahawa roh manusia itu adalah satu jisim yang boleh berpindah dari satu tempat ke satu tempat!

  1. Ayat 28- {Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;}- Sedangkan orang yang sedang nazak itu sudah tahu bahawa itu adalah saat berpisah rohnya dari badannya.

Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang nak mati sudah tahu & yakin- ulama\’ kata perkataan {وَظَن} ini membawa makna yakin! Yakin bahawa dia akan mati dan berpisahlah rohnya dari jasadnya!
Cuma dia tidak dapat menceritakan kepada orang sekelilingnya!

Dia tahu dia akan berpisah meninggalkan ahli keluarganya di atas dunia ini. Ketika itu baru dia percaya & sedar insaf tetapi tiada gunanya lagi apabila nyawa sudah di halkum.

Roh itu selagi tidak keluar dari jasadnya tidak akan dipangil mayat, masih lagi hidup. Seperti orang yang koma dalam keadaan tidak boleh bergerak, bercakap dan seumpamanya.

Ya Allah permudahkan sakaratul-maut kami!

  1. Ayat 28- {Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;}-
    Ayat ini kata ulama\’ seperti ar-Razi rhm.: Menunjukkan bahawa roh itu cara hidupnya yang tersendiri! Dia berpisah dari jasadnya yang telah mati dan masuk kubur, tetapi roh itu tetap di alamnya yang baru iaitu alam barzakh! Roh yang baik di tempat yang baik, begitu juga sebaliknya bagi roh yang tidak baik!

Roh itu tidak akan kembali lagi ke alam dunia ini, ke rumahnya untuk melihat anak cucunya atau kaum keluarga yang lain.

Hatta roh para syuhada\’ tidak boleh kembali ke dunia. Bagaimana mereka minta dengan Tuhan nak balik semula ke dunia untuk kembali berjihad dan mati syahid sekali lagi & memberitahu kepada kaum keluarganya tentang kelebihan yang besar mati syahid!

  1. Ayat 31- {dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)!}- dosa orang kafir itu bertingkat-tingkat dosanya.

Selain daripada dosa kafir, dosa tidak solat mereka juga melakukan pelbagai dosa & maksiat lain.

Tentang hukum tinggal solat dengan sengaja, mereka percaya tetapi tidak buat; terdapat khilaf di kalangan ulama\’:
i- ulama\’ Syafei kata: tidak kafir kafir lagi tetapi fasiq.

ii- mazhab Hambali kata sudah kafir kerana banyak hadis yang menunjukkan ke arah itu!

Manakala yang menafikan fardhu solat- kafir terus!

  1. Ayat 33- {Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah.}- mereka ini berjalan kepada keluarga mereka dengan sombong & angkuh!

Maka kata ulama\’ ini menunjukkan bahawa orang yang berjalan dengan sombong atas dunia ini dibenci dan dimurkai Allah s.w.t!

Sebagaimana kisah orang terdahulu seperti Qarun yang berjalan atas dunia dengan penuh sombong & angkuh! Lalu Allah s.w.t menjadikan bumi terbelah dan menelannya!

Firman Allah s.w.t:
{Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (karena sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.} [Luqman: 18].

Maka jangan sombong & angkuh kerana ia adalah satu sifat buruk yang dibenci Allah s.w.t!

Peringatan mesra setiap minggu, hari ini hari Jumaat:
i- jangan lupa baca surah al-Kahfi
ii- perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

INGATLAH JUGA :

Separuh (ذهب) Ramadhan telah berlalu tahun ini, baki hari-hari yang tinggal adalah seperti emas (الذهب) nilainya! Jangan biarkan ia berlalu pergi begitu saja!

Powered by BetterDocs