View Categories

SURAH AL-QIYAMAH : AYAT 36-40

\"\"

MANUSIA DIJADIKAN DENGAN MATLAMAT, ASALNYA DARI MANI & TANDA KUASA MEMBANGKIT SEMULA.

Full video : https://youtu.be/VDf3Z94hGOY?si=L67KNuH6tqCBAuOX

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa salah sangka sebahagian manusia yang menyangkan mereka dijadikan bebas tanpa tanggung-jawab seperti haiwan.
  2. Allah tegaskan bahawa manusia dicipta dengan matlamat, bukan sia-sia.
  3. Allah s.w.t ingatkan bahawa manusia berasal dari Nabi Adam yang dibuat dari tanah yang kemudiannya menjadikan manusia dari air mani.
  4. Surah ini menceritakan susunan tertib terbalik iaitu bermula tentang hari Kiamat, kematian manusia & akhirnya tentang kejadian asal manusia!
  5. Ini semua adalah dalil atau tanda kuasa Allah s.w.t untuk membangkit semula manusia ini!
  6. Kita sentiasa memohon agar kita hidup dalam iman, mati dengan husnuk-khatimah kemudian dibangkitkan sebagai golongan kanan yang mendapat keredhaan Allah s.w.t dan menjadi ahli syurga, Insya\’ Allah.
  7. Info: Hari ini 17hb Ramadhan berlaku sejarah besar dalam Islam kerana berlakunya peperangan pertama dalam Islam iaitu: Ghazwah Badar al-kubra. Ia berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadhan Tahun ke-2 Hijrah bersamaan 13 Mac 624M.
    Ia membawa sinar kemenangan yang besar dalam Islam.

Adapun tentang tarikh Nuzul-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulama\’ tentangnya.
Menurut riwayat yang paling kuat ialah turunnya al-Quran pada 24hb Ramadhan- wallahu a\’lam.

AYAT 36- {PATUTKAH MANUSIA MENYANGKA, BAHAWA IA AKAN DITINGGALKAN TERBIAR (DENGAN TIDAK DIBERIKAN TANGGUNGJAWAB DAN TIDAK DIHIDUPKAN MENERIMA BALASAN)?} (AL-QIYAMAH 75:36)

  1. Apakah manusia menyangka bahawa dia adalah sama saja dengan haiwan? Akan dibiarkan begitu saja, hidup bebas begitu tiada suruhan & larangan, tiada kebangkitan semula & pengadilan yang akan menghukum segala amalan baik & buruknya!
  2. Munasabah ayat :
    i- sebelum ini Allah s.w.t sebutkan keadaan manusia ketika nazak hendak mati bagaimana ada yang baik & yang buruk khatimahnya.

ii- kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t ungkit semula kejadian manusia supaya manusia berfikir!
Apakah manusia sangka Allah s.w.t akan biarkan mereka hidup bebas seperti haiwan tanpa ada tanggung-jawab & tidak dipersoalkan di hadapan Allah Azza wa Jalla!
Tidak-tidak sekali!

  1. Sebelum ini pada awal surah dalam ayat 3- Allah s.w.t telah tanya & ungkit kepada orang kafir yang bertanya dengan mengejek: {Patutkah manusia (yang kafir) menyangka { أَيَحْسَبُ} bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)?} (Al-Qiyamah 75:3)

ii- Lalu Allah s.w.t jawab bahawa usahkan tulang yang besar, tulang jari yang kecil pun boleh Allah kumpul & cantumkan semula dengan sempurna.
Dan Allah ulang sekali lagi di sini apakah manusia menyangka { أَيَحْسَبُ} dia bebas hidup? Born to be free? Tidak sekali-kali {كلا}!!!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {\”Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?\”} (Al-Mu\’minuun 23:115)
  2. Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati keluar dari kuburnya untuk dihisab & dihitung.

AYAT 37- {BUKANKAH IA BERASAL DARI AIR MANI YANG DIPANCARKAN (KE DALAM RAHIM)?} (AL-QIYAMAH 75:37)

  1. Kemudian Allah ungkitkan bahawa manusia itu berasal dari air mani yang dipancutkan ke dalam rahim ibunya!
  2. Kata ulama\’ ini adalah dalil kedua yang menunjukkan betapa benarnya kebangkitan semula.
    Penciptaan pertama manusia yang begitu mudah, apatah lagi penciptaan untuk kali kedua, menghidupkan semula yang sudah ada, pasti lebih mudah bagi Allah s.w.t!
  3. Banyak lagi firman Allah s.w.t tentang kejadian asal manusia ini:
    i- {(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?
    Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?} (Al-Waaqi\’ah 56:59)

ii- {Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang?
Lalu Kami jadikan air (benih) itu pada tempat penetapan yang kukuh,
Hingga ke suatu masa yang termaklum?} (Al-Mursalaat 77: 20-22)

AYAT 38- {KEMUDIAN AIR MANI ITU MENJADI SEBUKU DARAH BEKU, SESUDAH ITU TUHAN MENCIPTAKANNYA, DAN MENYEMPURNAKAN KEJADIANNYA (SEBAGAI MANUSIA)?} (AL-QIYAMAH 75:38)

  1. Kemudian Allah nyatakan proses kejadian manusia di dalam rahim:
    i- dari air mani menjadi seketul darah beku,

ii- kemudian berubah kepada peringkat seterusnya, tulang yang dibaluti daging dan seterusnya.

iii- sehingga sempurna kejadiannya sebagai seorang manusia!

  1. Allah s.w.t jadikan manusia itu begitu sempurna kejadian dan sifatnya, lalu lahirlah dia ke dunia ini.

Walaupun ada beberapa kejadian yang tidak sempurna, tidak cukup sifat. Itu adalah ujian dari Allah s.w.t atas dunia ini.

AYAT 39- {LALU TUHAN MENJADIKAN DARIPADANYA DUA JENIS – LELAKI DAN PEREMPUAN.} (AL-QIYAMAH 75:39)

  1. Manusia itu pula Allah s.w.t jadikan jantinanya samada lelaki atau perempuan.
    Kita tidak boleh pilih dan tahu apa yang Allah pilih ini.

Walaupun pada hari dengan teknologi moden boleh pilih jantina anak tetapi bukan 100% tepat & berjaya.
Hanya sedikit yang Allah beri ilmu ghaib ini kepada manusia.

  1. Lelaki adalah lelaki jangan nak jadi perempuan, begitu juga sebaliknya!
    Kejadian kamu telah ditentukan oleh Allah s.w.t yang Maha Pencipta!
  2. Hadis Rasulullah s.a.w daripada Ibnu \’Abbas r.a, katanya,
    عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.
    \”Rasulullah saw melaknat lelaki yang menyerupai (meniru-niru gaya perempuan), dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.\” [HR Bukhari].

AYAT 40- {ADAKAH (TUHAN YANG MENJADIKAN SEMUANYA) ITU – TIDAK BERKUASA MENGHIDUPKAN ORANG-ORANG YANG MATI? (TENTULAH BERKUASA)!} (AL-QIYAMAH 75:40)

  1. Apakah kamu sangkakan Allah s.w.t yang berkuasa menjadikan semua ini; tidak mapu & tidak berkuasa untuk menghidupkan orang-orang yang mati? Tentulah Allah berkuasa {بلى}!
  2. Allah s.w.t bertanya dengan peringatan kepada orang yang sombong angkuh tidak mahu terima Islam supaya mereka berfikir!
  3. Hadis riwayat dari Busrin bin Jihasyi al- Qurasyi r.a:
  • [عن بسر بن جحاش القرشي:] بزقَ النَّبيُّ ﷺ في كفِّه، ثمَّ وضعَ أصبعَهُ السَّبّابةَ وقال:
    \” يقولُ اللهُ: أنّى تُعجِزُني ابنَ آدمَ وقد خلقتُكَ من مثلِ هذِهِ، فإذا بلغت نفسُكَ هذِهِ وأشارَ إلى حلقِهِ قلتَ: أتصدَّقُ، وأنّى أوانُ الصَّدقةِ .الألباني (ت ١٤7٠)، صحيح ابن ماجه 77٠٥ • حسن • شرح الحديث
    Pada suatu hari Rasulullah s.a.w meludah atas tangannya, letaknya jarinya atas air itu llau bersabda bahawa Allah s.w.t berfirman dalam hadis Qudsi:
    Wahai anak Adam siapakah yang kata Aku lemah? Aku telah mencipta kamu dari air yang seperti ini (lalu kamu berjalan dengan megah bangga, hartamu ada sedekah ada tidak.) Janganlah sehingga nyawa kamu sudah sampai di halkum barulah kamu berkata: Aku mahu sedekah! Aku mahu sedekah! (tiada guna lagi). [HR Ibnu Majah, Ahmad dan lain-lain- sahih].

4. Cara kita respon kepada ayat-ayat al-Quran yang membawa pertanyaan untuk berfikir begini:
i- Hadis- bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ قَرَأَ مِنكُم بـِ وَالتِّينِ وَالزَيْتُون ، فَانْتَهَى إِلَى : أَلَيْسَ اللهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ فَلْيَقُلْ : بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ ، وَمَنْ قَرَأَ : ( لَا أُقْسِمُ بِيَومِ القِيَامَةِ فَانتَهَى إِلَى : أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَن يُحْيِيَ المَوْتَى ، فَلْيَقُلْ : بَلَى ، وَمَن قَرَأَ ( وَالمُرْسَلَات ) ، فَبَلَغَ : فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ فَلْيَقُل : \” آمَنَّا بِاللهِ \”
شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج سنن أبي داود ٨٨٧ • إسناده ضعيف
Barangsiapa yang membaca surah al-Tin sehinggalah kepada ayat, (أَلَيْسَ اللهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ), maka hendaklah dia menyebut, (بَلَى ، وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ). Barangsiapa yang membaca surah al-Qiyamah sehinggalah kepada ayat (أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَن يُحْيِيَ المَوْتَ), maka hendaklah dia menyebut (بَلَى).
Barangsiapa yang membaca surah al-Mursalat sehinggalah sampai kepada ayat (فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُون), maka hendaklah dia menyebut (آمَنَّا بِاللهِ). [HR Abu Daud: (887) Sheikh Arna\’ut mengatakan \”Sanadnya Dhaif\”].

ii- Athar (kisah sahabat)- adalah Ibnu Abbas r.a apabila beliau membaca ayat-ayat al-Quran =:
a- غل ada pertanyaan begini { أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَـٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يُحْـِۧىَ ٱلْمَوْتَىٰ}, beliau akan menjawabnya {سبحانك اللهم, بلى}:
ib- apabila ayat yang berbunyi { سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى } – akan terus menjawabnya { سبحان ربي الأعلى, سبحان ربي الأعلى }:

5. Sekarang adalah masa untuk kita beribadat, jangan lemah dan malas: cuba kira dalam setiap 20 rakaat solat tarawih berapa kali kita telah baca doa iftitah, surah al-Fatihah, tasbih dalam rukuk & sujud tasyahhud, selwat ke ats Nabi s.a.w dan lain-lain bacaan & doa? Alhamdulillah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?}- apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan hidup begitu saja atas dunia ini, hidup makan minum beranak pinak kemudian mati hancur seperti haiwan-haiwan lain?

Takkanlah Allah nak biarkan mereka buat kezaliman, kejahatan dan kerosakan atas dunia ini kemudian biarkan mereka begitu saja jika terlepas & selamat dari hukuman sesama manusia atas dunia ini????

Jika begitu ia akan menyalahi hikmah dan kebijaksanaan Allah s.w.t.

Maka ayat ini ayat ingkar kepada golongan yang tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t!

Allah s.w.t apabila buat manusia ini baik & jahat pasti setiap satunya akan ada balasan dan hukumannya.
Setiap orang akan menerima balasan, buat baik balasa baik, buat jahat pasti buruk juga balasannya.

Ini juga menunjukkan keadilan Allah s.w.t ke atas hamba-Nya, tidak akan ada yang teraniaya dan dizalimi- semuanya kan dapat keadilan!

banyak ayat-ayat al-Quran ayat-ayat yang Allah s.w.t minta kita tengok, teliti & berfikir akan asal kejadian penciptaan manusia!

i- {Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?} (Al-Qiyamah 75:37)
ii- {Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang? Lalu Kami jadikan air (benih) itu pada tempat penetapan yang kukuh,
Hingga ke suatu masa yang termaklum?
Serta Kami tentukan (keadaannya), maka Kamilah sebaik-baik yang berkuasa menentukan dan melakukan (tiap-tiap sesuatu)!} (Al-Mursalaat 77: 22-23)

iii- {Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),} (Yaa Siin 36:77)

iv- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
Kemudian Kami jadikan \”pati\” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.} (Al-Mu\’minuun 23: 12-14)

  1. Ayat 36- {Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?}- ayat ini menjadi dalil akan berlakunya Perhimpunan (الحشر) semula manusia di akhirat kelak!

Ini kerana apabila Allah s.w.t suruh buat benda baik, larang dari buat dosa maksiat, bermakna Allah memberi tanggung-jawab taklif ke atas seseorang manusia dengan perintah & larangan-Nya.

Kamu baik & tinggal larangan maka Ashabul-Yamin, tak buat apa yang disuruh, tak tinggal apa yang dilarang- maka kamu ini ashabusy-syimal.

Maka ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t bangkit & himpunkan semula manusia untuk mendapat upah (balasan) atas segala perbuatannya, baik atau buruk!

Allah bagi perintah & larangan untuk dihisab & diadili balik- upah atau balasan ini di akhirat manakala pekerjaannya di dunia ini!

Atas dunia ini jika buat ibadat kita tak nampak lagi kebaikannya. Kerana itu jika buat ibadat wajib ikhlas kerana Allah s.w.t bukan kerana inginkan habuan dunia & pujian orang lain!

  1. Ayat 37- {Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?}- Allah s.w.t mencipta kamu dulu dari air mani terpancar yang tiada nilainya!

Maka jika Allah s.w.t mampu menciptakan manusia dari tiada lansung kepada ada sempurna, daripada air mani yang hina; maka takkanlah Allah s.w.t tak mampu nak undur balik- menghidupkan semula yang sudah mati, yang sudah diciptanya pada pertama kali dulu! Ia adalah sesuatu yang amat mudah bagi Allah yang Maha Berkuasa!

Maka manusia ini jangan sombong, kena tahu dan kenal asal-usul kejadian dirinya!
Jika sombong juga maka itu bukan manusia biasa tapi manusia luar-biasa!

  1. Ayat 37- {Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)?}- Allah kata dari air mani yang terpancar {مَّنِىٍّۢ يُمْنَىٰ}.
    Persoalan:
    kenapa perlus disebut perkataan terpancar {yuma}, kenapat tidak hanya kata air mani saja, apa faedahnya?
    Jawapan:
    Isyarat kepada hinanya asal kejadian manusia!
    Untuk mengingatkan manusia bahawa kamu berasal dari mani yang terpancut keluar dari lorong kencing seorang lelaki, berkumpul dan berkembang dalam rahim, kemudian bila nak lahir keluar pula dari jalan kecing seorang wanita!

Makak makhluk yang begini kejadiannya, tidak layak untuk degil keras kepala melawan Allah s.w.t!

  1. Ayat 39- {Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis – lelaki dan perempuan.}- Allah s.w.t kata Dia cipta manusia ini samada lelaki atau perempuan.
    Tetapi ada juga sekali-sekala manusia itu dijadikan khunsa (iaitu mempunyai kedua jantina ini! Khunsa dari sudut istilah para fuqaha ialah: Seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan.

Maka cara untuk berhukum dengan khunsa ini ialah:
i- Khunsa musykil: Seseorang yang tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan.

Ulama\’ telah menulis perbahasan khas tentang hukum khunsa musykil ini.
Rujuk kitab

إيضاح المشكل في أحكام الخنثى المشكل

ii- Khunsa ghairu musykil:
Seseorang yang jelas padanya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan.
Dia dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan.
Individu seperti ini tidak dikategorikan sebagai khunsa musykil.
Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan, tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan.

Hukum untuknya dalam mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya.
Sekiranya jelas tanda-tanda kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Dalam bidang perubatan, khunsa dikenali sebagai Disorder of Sex Development (DSD). Penemuannya lebih kompleks daripada perbahasan para ulama terdahulu.

  • Ini tidak termasuk lelaki atau perempuan biasa yang bukan khunsa, yang berwatak dan berpakaian sebaliknya! Ini adalah golongan yang dilaknat Allah s.w.t!
  • Sesiapa yang menyatakan sama lelaki & perempuan dia juga telah menyalahi hukum tabi\’i kejadian manusia yang dicipta Allah s.w.t!

Peringatan: Jangan sekali-kali kita memberi sokongan kepada golongan maknyah ini dengan memberi mekap anak-anak perempuan kita, ia adalah satu perbuatan yang haram kerana mereka ini jelas lelaki!

Alhamdulillah kita telah khatam surah al-Qiyamah yang banyak membincangkan tentang hari Kiamat & Akhirat yang penuh huru-hara.

Semoga ia memberi peringatan dan memasukkan perasaan takut ke dalam hati kita untuk melakukan maksiat dan sentiasa membuat persiapan bekalan untuk bertemu dengannya!

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة

Powered by BetterDocs