KEADAAN HARI KIAMAT, TIADA TEMPAT UNTUK LARI & MANUSIA SENDIRI MENYAKSIKAN AMALANNYA.
Full video: https://www.youtube.com/watch?v=6ahovNqMQLg
MUQADDIMAH:
- Dalam siri ini Allah s.w.t sekali menceritakan tentang keadaan huru-hara hari kiamat, manusia terbeliak biji-mata kerana terkejut melihat suasana yang berlaku.
- Pada hari itu tiada tempat untuk lari dari Allah, semua kita akan kembali kepada Allah, berdiri menunggu perbicaraan (Hisab) dan menunggu apakah keputusan & pembalasannya.
- Pada hari itu juga semua manusia tahu apa yang telah dia buat. Mereka sendiri akan menyaksikan amalannya.
- Semua cuba mencari alasan untuk menyelamatkan diri, tetapi semuannya tidak terpakai lagi! Nak cari alasan adalah sekarang sewaktu kita di atas dunia, bukan tunggu selepas mati!
- Kita berdoa kepada Allah agar hidupkan kita dengan iman, beramal dengan Islam serta cerahkan hati dengan ihsan!
- Juga agar kita menjiwai perasaan bahawa kita sentiasa berada di bawah pengawasan (muraqobah) Allah s.w.t, maka kita akan tinggalkan segala yang dilarang & yang dibenci oleh Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 7- {MAKA (JAWABNYA: HARI KIAMAT AKAN DATANG) APABILA PEMANDANGAN MENJADI TERPENDAR-PENDAR (KERANA GERUN TAKUT),} (AL-QIYAMAH 75:7)
- Maka jawabnya: kepada soalan orang kafir dalam Ayat 6- {Dia bertanya (secara mengejek): \”Bilakah datangnya hari kiamat itu?\”}.
- Iaitu hari Kiamat itu ialah apabila terbeliak biji mata kamu kerana takut gerun dengan apa yang ada di depan mata kamu!
Jika tak mahu percaya juga maka tunggulah!
AYAT 8- {DAN BULAN HILANG CAHAYANYA,} (AL-QIYAMAH 75:8)
- Bulan juga kehilangan cahayanya. Bukan gerhana seperti atas dunia ini, tetapi hilang terus cahayanya gelap gelita.
AYAT 9- {DAN MATAHARI SERTA BULAN DIHIMPUNKAN BERSAMA,} (AL-QIYAMAH 75:9)
- Matahari serta bulan telah hilang cahaya keduanya, kemudian keduanya dihimpunkan pula bersama.
- Hadis: Riwayat dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Matahari & bulan hilang cahanya pada hari Kiamat digulung sekali keduanya kemudian dilemparkan ke dalam neraka! [HR Bukhari] - Persoalan: Kenapa begitu? Apakah dosa bulan dan matahari sehingga dicampakkan ke dalam neraka??
- Kata al-Qastallani rhm. dalam kitabnya:
i- Kerana mereka (bulan & matahari) disembah oleh puak kafir maka ia dicampakkan ke dalam neraka juga untuk bersama dengan penyembahnya! Sembahan kafir semuanya seperti berhala, batu kayu dan lain-lain dicampak ke dalam neraka kecuali para malaikat, Nabi Isa & Uzair yang disembah oleh pengikut mereka tanpa keizinan mereka!
ii- Mereka dicampak ke dalam neraka bukan untuk diazab tetapi untuk menambahkan azab siksa, sesalan & dukacita puak kafir! Lihatlah apa yang kamu sembah dulu sekarang bersama kamu dalam neraka! Begitu juga batu berhala dan lain-lain sembahan.
iii- Untuk memberi pencerahan kepada ahli neraka bahawa segala perbuatan mereka adalah batil, apa yang mereka sembah dulu tidak dapat memberi apa-apa manfaat & kuasa kepada mereka.
AYAT 10- { (MAKA) PADA HARI ITU, BERKATALAH MANUSIA (YANG INGKARKAN HARI KIAMAT): \”KE MANAKAH HENDAK MELARIKAN DIRI?\”} (AL-QIYAMAH 75:10)
- Pada hari itu baru mereka sesal & insaf.
Sambil bertanya ke mana lagi kita nak lari???? - Kata al-Mawardi rhm. maksud ke mana nak lari { أَيْنَ ٱلْمَفَرُّ} ini ada dua pandangan:
i- Nak lari daripada Allah kerana malu & sesal.
ii- Nak lari untuk selamatkan diri daripada azab neraka Jahannam.
*Ini adalah kata-kata orang kafir.
**tetapi ada juga yang kata orang mukmin berkata begitu juga kerana melihat terlalu dahsyatnya keadaan pada hari itu!
AYAT 11- {TAK USAHLAH BERTANYA DEMIKIAN! TIDAK ADA LAGI TEMPAT PERLINDUNGAN!} (AL-QIYAMAH 75:11)
- Mereka lalu diherdik: Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan bagi kamu pada hari ini!
- Pada hari itu tiada perlindungan atau bayangan kecuali bagi 7 golongan sebagaimana dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang mendapat perlindungan di bawah bayangan Arasy.
- Hadis riwayat Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda:
قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)
\”Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah s.w.t pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (Arasy-Nya).
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى,
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah سبحانه وتعالى, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata \’Aku takut kepada Allah\’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.\”
[HR Bukhari, Hadis no 620].
Ya Allah semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendapat perlindungan bayangan Allah s.w.t ini!
AYAT 12- {PADA HARI ITU, KEPADA TUHANMU LAH SAHAJA TERSERAHNYA KETETAPAN SEGALA PERKARA.}
(AL-QIYAMAH 75:12)
- Pada hari Kiamat itu kepada Allah sahaja tempat kita kembali; samada berjaya dengan masuk atau ke neraka!
- Apabila mendengar tentang neraka & azabnya teruslah kita berdoa banyak-banyak minta perlindungan darinya:
اللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنْ النَّارِ
Manakala apabila dengar tentang syurga juga terus berdoa minta kita menjadi ahlinya!
- Hadis: Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، قَالَتِ الْجَنَّةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ،
قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ
Siapa yang meminta syurga 3 kali, maka syurga akan berkata: \’Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga.\’ Dan siapa yang memohon perlindungan dari neraka 3 kali, maka neraka akan berkata: \’Ya Allah, lindungilah dia dari neraka.
[HR Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain].
AYAT 13- {PADA HARI ITU, MANUSIA DIBERITAHU AKAN APA YANG IA TELAH LAKUKAN, DAN APA YANG IA TELAH TINGGALKAN.} (AL-QIYAMAH 75:13)
- Pada hari Kiamat itu juga Allah s.w.t akan nyata & dedahkan segala amalan kita yang awal sehingga yang akhir, yang baik atau yang buruk!
- Apakah yang kamu sediakan sebagai bekalan persediaan hari ini!
Apa yang kita sediakan dan buat pada masa telah lepas untuk akhirat, semuanya akan ada di depan kita! - Asas yang paling kuat & tapak yang paling kukuh ialah iman & tauhid kita kepada Allah Azza wa Jalla! Jika tiada ini, maka runtuh & tiada gunalah semuanya!
- Firman Allah s.w.t: *Ayat ini dapat memberi keinsafan jika kita hayatinya dengan hati yang terbuka. Ini adalah ayat-ayat tangisan orang soleh!
i- {Dan \”Kitab-kitab Amal\” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:\” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!\” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)
ii- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak, Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): \”Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)\”.} (Al-Israa\’ 17: 13-14)
- Jika kita telah bertaubat di atas dunia ini maka Allah s.w.t akan ampunkan & hapuskannya semasa di akhirat nanti.
Ya Allah sebagaimana Kamu sembunyikan dosa kami daripada manusia atas dunia ini, maka sembunyikanlah juga di akhirat nanti pada hari yang penuh huru-hara.
AYAT 14- {BAHKAN MANUSIA ITU, (ANGGOTANYA) MENJADI SAKSI TERHADAP DIRINYA SENDIRI,} (AL-QIYAMAH 75:14)
- Manusia menjadi saksi (بَصِيرَةٌۭ) ke atas dirinya sendiri. Tiada apa yang dapat disembunyikan kerana dia atahu apa yang telah dia lakukan.
- Tetapi bagi orang yang telah insaf & sempat bertaubat semasa di dunia lagi, Allah s.w.t akan ampunkannya & hapuskan dosanya.
- Ulama\’ tafsir kata maksud ayat ini ialah kita tahu apa yang kita buat ini semasa di dunia.
Ada juga yang kata ia adalah semasa di akhirat kelak, kita akan lihat semuanya apa yang telah kita buat.
AYAT 15- {WALAUPUN IA MEMBERIKAN ALASAN-ALASANNYA (UNTUK MEMBELA DIRI).} (AL-QIYAMAH 75:15)
- Tiada apa dapat disembunyikan walaupun dia cuba memberi pelbagai alasan (مَعَاذِيرَهُۥ) untuk untuk membela dirinya!
- Tetapi apakan daya segala anggota badannya telah menjadi saksi dirinya sendiri yang tidak dapat dibohongi lagi!
Semua kaki tangan mata telinga menjadi saksi sedang mulut telah dikunci dari memberi alasan! - Kita sentiasalah ingat bahawa suratan amalan yang kita nak terima nanti; kita sendirilah penulisnya!
Maka berhati-hatilah dalam segala tindak-tanduk, percakapan, tulisan dan perbuatan kita!
PENUTUP & FAEDAH:
- Ayat 7- {Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut),}- ayat ini datang dengan dimulai perkataan (apabila- فَإِذَا ) ia adalah sebagai jawapan kepada soalan para kafir dalam ayat sebelum ini:
{Dia bertanya (secara mengejek): \”Bilakah datangnya hari kiamat itu?}
Allah s.w.t tidak jawab bilakah Kiamat tetapi dijawab dengan diceritakan tentang keadaan huru-haranya. Maka nah ambillah sekarang tibalah hari Kiamat yang kamu tanya-tanya dulu, iaitu hari yang {Apabila pemandangan menjadi terbeliak (kerana gerun takut),}!
Ini adalah untuk kita menjawab soalan bodoh atau soalan perlian yang tidak perlu jawapan sebenar!
Uslub ini juga diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila ditanya soalan begini juga, tidak menjawab direct kerana tiada siapa tahu bilakah Kiamat hatta Baginda.
Hadis- Seorang Arab Badwi bertanya Nabi S.A.W:
\”Bilakah Kiamat?\”.
Baginda menjawab, \”Apa yang telah kamu siapkan?\”
Dia menjawab; \”Cinta Allah Azza wa Jalla dan Rasul-Nya.\”
Rasulullah SA bersabda: \”Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.\” [HR Muslim, 4775].
- Ayat 9- {Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,}- keduanya hilang cahaya dan digabungkan lalu dicampakkan ke dalam neraka.
Persoalan ditimbulkan oleh pihak atheis yang tidak percaya Tuhan:
Tidak akan berlaku lagi gerhana bulan jika ia duduk bersama matahari, kerana cahayanya ada!
Jawapan:
Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk menjadikan bulan atau matahari tidak ada cahaya! Ia kuasa Allah, pada hari Kiamat Allah kata dua-duanya tiada cahaya!
Benda-benda ghaib & tentang akhirat ini tidak perlu kita bincangkan dan persoalkan guna logik akal kamu! Tidak perlu rempuh masuk dalam perkara yang kamu tidak ada pengetahuan atau kemahiran tentangnya.
- Ayat 9- {Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,}- Ayat ini juga menolak hujah bagi mereka yang mengatakan dunia & alam ini berjalan begitu saja, yakni dengan sendiri dan semulajadi! Alam ini sudah lama bagi mereka.
Kita orang beriman mengatakan tidak! Matahari berjalan pada tempatnya (orbitnya), begitu juga bulan pada laluannya, keduanya tidak pernah bertemu dan ikut jadual masing-masing dengan kuasa & kehendak aturan Allah s.w.t.
Tetapi apabila tiba hari Kiamat, apabila Allah kata hilang cahayanya, mereka bertembung samada pecah belah & hancur lebuh atau seumpamanya!
- Ayat 9- {Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,}- ini menunjukkan kedahsyatan hari Kiamat. Ini kerana sebelum ini tidak pernah berlaku peristiwa ini, bulan & matahari dihimpunkan bersama!
i- Ia adalah menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t!
Allah yang berkuasa untuk menghimpunkan segala tulang-temulang yang telah hancur, berkuasa juga menghimpunkan bulan & matahari bersama!
ii- Dari sudut bahasa pula:
Digunakan lafaz muzakkar (lelaki) { وَجُمِعَ} untuk dua makhluk ini (yang satu lelaki & satu lagi perempuan) ٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَر}
Ini menunjukkan lelaki mengatasi ke atas perempuan apabila berkumpul dua jenis yang berlawanan ini.
- Ayat 14- {Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,}- ayat ini menjadi dalil bahawa apabila seseorang membuat pengakuan ke atas dirinya sendiri, ia boleh diterima dalam pengadilan.
Para hakim atau qadhi boleh menggunakan pengakuan ini dalam menjatuhkan hukuman. Ini kerana orang yang berakal tidak akan menyusahkan dirinya sendiri!
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.} (An-Nuur 24:24)
Perhatian:
i- Jika ia berkait dengan hak Allah ia boleh ditarik balik, yakni dibenarkan dalam bab hudud.
Contoh: Seseorang mengaku berzina, kemudian apabila mahu dijatuhkan hukuman rejam, dia tarik balik pengakuannya dan menafikan perbuatannya. Maka ia boleh diterima & tidak dihukum.
ii- Tetapi jika dalam bab yang berkait dengan hak manusia tidak mudah, tidak boleh ditarik balik.
Contoh: Seperti pada awalnya dia mengaku itu bukan tanah dia, tetapi mungkin selepas fikir, menyesal & rasa rugi, mahu tarik balik, mengaku tanahnya pula! Dalam kes ini tidak boleh tarik balik!
Insya\’ Allah akita akan sambung lagi dalam siri yang akan datang.