ASHABUSY-SYIMAL DAN SEBAB KEBINASAAN & AZAB UNTUK MEREKA.
Full video : https://youtu.be/4cEhji4wwGg
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang kumpulan kiri iaitu Ashabusy-Syimal { أَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ}. Ia adalah kumpulan yang ketiga & terakhir.
- Allah nyatakan kenapa mereka menjadi golongan kiri ini, serta sebab kebinasaan mereka.
- Kemudian diceritakan tentang jenis-jenis azab yang ditimpakan ke atas mereka.
Kisah yang amat menakutkan, menggerunkan dan mencemaskan hati yang takut kepada Allah.
Ya Allah kami berlindung dengan-Mu dari azab neraka!
AYAT 41- {DAN PUAK KIRI, – ALANGKAH SEKSANYA KEADAAN PUAK KIRI ITU?} (AL-WAAQI\’AH 56:41)
- Puak kiri (أَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ), alangkah siksanya puak kiri ini. Siapakah mereka ini?
- Ada beberapa pandangan ulama\’ tentang apakah maksudnya puak kiri ini:
i- malaikat mengumpulkan mereka di sebelah kiri iaitu lorong untuk ke neraka.
ii- mereka dikumpulkan di sebelah kiri Arasy iaitu sebelum ke neraka.
iii- kerana mereka menerima suratan amalan dengan tangan kiri.
ingat jika nak terima pemberian orang ambillah dengan tangan kanan.
- Kesimpulannya; golongan kiri biasanya dikaitkan dengan sesuatu kumpulan yang tidak baik. Hatta dalam politik dan fahaman.
- Kata Ibnu Kathir rhm.: Boleh dijamakkan semua pandangan ulama\’ ini.
AYAT 42- {MEREKA DISEKSA DALAM ANGIN YANG MEMBAKAR DAN AIR YANG MENGGELEGAK.} (AL-WAAQI\’AH 56:42)
- Jenis azab pertama; mereka disiksa dengan angin yang kering dan panas membakar!
- Serta disiram dengan air menggelegak yang sangat panas.
AYAT 43- {SERTA NAUNGAN DARI ASAP HITAM,} (AL-WAAQI\’AH 56:43)
- Mereka dinaungi dengan bayangan asap hitam yang menakutkan.
AYAT 44- {YANG TIDAK SEJUK, DAN TIDAK PULA MEMBERI KESENANGAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:44)
- Bayangan yang tidak memberi kesejukan dan keselesaan.
- Beginilah beberapa gambaran siksaan mereka, maka kita jauhilah sifat mereka yang akan diterangkan dalam ayat seterusnya ini.
AYAT 45- {SESUNGGUHNYA MEREKA SEBELUM ITU DILALAIKAN OLEH KEMEWAHAN (DUNIA, DARI MENGINGATI HUKUM TUHAN).} (AL-WAAQI\’AH 56:45)
- Sebab pertama yang menyebabkan mereka mendapat azab itu, sifat yang wajib kita hindari dan jauhi!
- Mereka ini semasa di dunia dulu dilalaikan oleh kemewahan! Mereka hidup penuh dengan nikmat keseronokan, kemewahan, ikut hawa nafsu tanpa sekatan, berpoya-poya tanpa mengingati hukum Tuhan. Sombong lagi angkuh!
- Maka mereka berhak mendapat azab yang dahsyat itu di Akhirat kelak!
- Peringatan: Kaya tidak menjadi sebab keangkuhan dan kesombongan jika ia adalah dari hasil yang halal serta pandai menguruskan harta mengikut Syariah Allah dan menunaikan haknya. Jangan pula sombong takabbur dan kufur nikmat yang Allah berikan.
AYAT 46- {DAN MEREKA PULA SENTIASA MELAKUKAN DOSA YANG BESAR,} (AL-WAAQI\’AH 56:46)
- Sebab kedua: Mereka juga sentiasa melakukan dosa-dosa yang besar.
- Dosa yang terbesar sekali ialah syirik kepada Allah s.w.t. Ia adalah kezaliman yang terbesar dan jenayah yang tdi diampunkan Allah.
- Kita orang Islam jangan sangka tiada syirik kerana banyak lagi perbuatan lain yang boleh membawa dan mengundang kepada syirik.
- Tetapi malangnya apabila ditegur benda yang berbahaya kepada aqidah, mereka melawannya balik dengan mengatakan ia adalah benda khilaf; bahkan dilempar balik tuduhan dan pelbagai tohmahan kepada yang menegur pula!
AYAT 47- {DAN JUGA MEREKA SELALU BERKATA: \”ADAKAH SESUDAH KITA MATI SERTA MENJADI TANAH DAN TULANG, BETULKAH KITA AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA?} (AL-WAAQI\’AH 56:47)
- Sebab ketiga: Mereka semasa di dunia dulu tidak percaya lalu mendusta serta mengingkari kebangkitan semula selepas mati.
- Mereka mempersoal dan bertanya dengan main-main dan perlian kepada rasul yang diutuskan.
AYAT 48- {\”DAN ADAKAH JUGA DATUK NENEK KITA YANG TELAH LALU, (AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA)? \”} (AL-WAAQI\’AH 56:48)
- Mereka juga bertanya lagi dengan perli dan tidak percaya: Apakah datuk nenek kita yang telah lalu, yang telah lama mati dulu; akan dibangkitkan hidup semula juga?
AYAT 49- {KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): \”SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TELAH LALU DAN ORANG-ORANG YANG TERKEMUDIAN,} (AL-WAAQI\’AH 56:49)
- Lalu Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menjawab: Bahawa semua manusia yang terdahulu (ٱلْأَوَّلِينَ) dan yang terkemudian (وَٱلْـَٔاخِرِينَ) semuanya akan dibangkitkan semula.
- Tentang maksud {orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,}, kata para ulama\’ tafsir:
i- orang yang dahulu adalah datuk nenek kamu dulu; manakala yang terkemudian adalah pada kamu sendiri.
ii- orang yang dahulu semua manusia sejak dari zaman Nabi Adam; manakala yang terkemudian adalah pada zaman kita ini.
iii- ada kata manusia yang dahulu ialah umat-umat sebelumnya; manakala orang terkemudian ialah umat Nabi Muhammad s.a.w.
AYAT 50- {\”TETAP AKAN DIHIMPUNKAN PADA MASA YANG DITENTUKAN – PADA HARI KIAMAT YANG TERMAKLUM.} (AL-WAAQI\’AH 56:50)
- Tetap akan dihimpunkan setempat kesemua manusia pada masa yang ditentukan pada hari Kiamat nanti.
AYAT 51- {\”KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA KAMU WAHAI ORANG-ORANG YANG SESAT YANG MENDUSTAKAN (KEDATANGAN HARI KIAMAT),} (AL-WAAQI\’AH 56:51)
- Jawapan kedua kepada mereka: Wahai kamu semua orang-orang yang sesat; yang mendustakan hari Kiamat tunggulah!
AYAT 52- {TETAP AKAN MEMAKAN (PADA HARI ITU) DARI SEBATANG POKOK, IAITU POKOK ZAQQUM,} (AL-WAAQI\’AH 56:52)
- Kamu kelak akan memakan pokok zaqqum, sejenis pokok yang berduri!
- Pokok ini mempunyai rupa yang sangat huduh & mengerikan, rasanya pahit dan berduri yang menyakitkan.
AYAT 53- {\”MAKA KAMU AKAN MEMENUHI PERUT KAMU DARI POKOK (YANG PAHIT BUAHNYA) ITU,} (AL-WAAQI\’AH 56:53)
- Tetapi kerana terlalu lapar sangat mereka terpaksa memakan juga buah ini walaupun berduri dan buruk rupanya!
- Bila menelannya ia terlekat di tekak mereka!
AYAT 54- {\”SELEPAS ITU KAMU AKAN MEMINUM PULA DARI AIR PANAS YANG MENGGELEGAK,} (AL-WAAQI\’AH 56:54)
- Lalu mereka terpaksa meminum air panas yang menggelegak untuk menolaknya.
- Maka hancur segala usus dan urat kerongkong mereka!
Na\’uzubillahi min zalik!
AYAT 55- {\”IAITU KAMU AKAN MINUM SEPERTI UNTA YANG BERPENYAKIT SENTIASA DAHAGA DAN TIDAK PUAS-PUAS\”.} (AL-WAAQI\’AH 56:55)
- Allah gambarkan cara mereka meminumnya pula; Mereka meminumnya seolah unta yang kena penyakit dahaga (شُرْبَ الْهِيمِ), walaupun minum tetap sentiasa dahaga dan tidak puas-puas.
- Lalu walaupun panas dan siksa mereka tetap meminumnya air panas menggelegak itu! Setelah mati hidup balik! Na\’uzubillah!
AYAT 56- {INILAH (JENIS-JENIS AZAB) YANG DISEDIAKAN UNTUK MENYAMBUT MEREKA PADA HARI PEMBALASAN ITU.} (AL-WAAQI\’AH 56:56)
- Allah tutup kisah ini dengan menyatakan inilah jenis-jenis azab yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
- Zaqqum dan air panas ini disediakan oleh malaikat sebagai menyambut mereka (هَـٰذَا نُزُلُهُمْ), sebagai minuman selamat datang mereka ketika mula sampai ke dalam neraka!
- Ya Allah amat mengerikan dan menakutkan gambaran tentang azab neraka ini!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 41- {Dan puak kiri, – alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?}- dalam siri lepas Allah s.w.t ceritakan tentang kumpulan kebajikan yang duduk dalam nikmat dan kebahagiaan juga puak kiri yang hidup dalam azab.
Dalam surah ini Allah s.w.t sebut kedua puak kanan dan kiri ini sebagai satu kumpulan sahaja iaitu { أَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِينِ} dan { أَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ}.
Persoalan: Tetapi kenapa dalam ayat lain (an-Nahli 48) Allah s.w.t sebut puak kiri sebagai jamak (plural) { وَٱلشَّمَآئِلِ}?
Kenapa dalam ayat ini kumpulan kiri disebut sebagai satu (singular) sahaja?
Jawapan:
i- ini kerana ia adalah sudut dan ianya hanyalah satu sahaja. Allah sebut mereka ini sebagai satu kumpulan yang kiri, yang berdosa dan yang akan ke neraka kesemuanya!
Mereka berada di SATU lorong/sebelah kiri, tempat mereka dikumpulkan adalah sebelah kiri.
ii- tetapi dalam ayat yang menceritakan tentang jalan-jalan untuk membawa kepada kumpulan kiri ia disebut secara jamak.
Ini kerana jalan yang batil & sesat itu banyak makai a adalah jamak. Jalan pengikut dajjal kiri, jalan pengikut syaitan kiri, pengikut hawa nafsu kiri, pengikut dajjal kiri, pengikut taghut kiri dan lain-lain.
Tetapi pengikut Nabi Muhammad s.a.w hanya satu maka ia mufrad! Maka jelaslah!
- Ayat 42- {Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak.}- ayat ini mengandungi tiga unsur sejuk atau dingin atas dunia ini iaitu:
i- air
ii- udara
iii- bayang.
Oleh kerana ia adalah azab maka ia berlawanan dengan nikmat atas dunia ini. Segala nikmat yang dingin itu bertukar menjadi azab! Segala benda yang sejuk atas dunia menjadi sesuatu yang paling panas dan menyiksa di Akhirat!
Maka ayat ini menjadi amaran keras kepada kita agar berhati-hari atas dunia agar terhindar dari menjadi golongan kiri yang akan ditimpa pelbagai azab yang dahsyat ini!
- Ayat 45- {Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).}- kata ulama\’ tadabbur; ayat ini mencela kemewahan dan terlalu mengikut kelazatan dunia. kerana mewah itu boleh membawa kepada sombong & angkuh, yang menyebabkan mereka lupa berfikir akan akibat-akibat buruk yang boleh membawa kepada mereka.
Inilah punca yang membawa mereka kepada azab neraka. (مُتْرَفِينَ)- mewah lalu sombong & angkuh.
Boros juga boleh membawa kepada dosa dan neraka, ciri-ciri manusia yang angkuh dan sombong atas dunia.
- Ayat 45- {Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).}
Ayat 46- {Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,} (Al-Waaqi\’ah 56:46)
Ayat 47- {Dan juga mereka selalu berkata: \”Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?} – asas kepada kebinasaan manusia itu tiga perkara.
Dalam tiga ayat ini kita dapatinya:
i- pertama ialah orang yang sombong. Lalu dia tidak percaya kepada rasul lalu memerli dan menghinanya.
ii- syirik kepada Allah s.w.t.
iii- ingkar kepada kebangkitan semula.
Inilah tiga asas kepada kebinasaan utama manusia.
Maka jika nak selamat bersifatlah dengan tawadhuk, beriman kepada Allah s.w.t dan percaya kepada hari Kiamat dan kebangkitan semula.
- Ayat 56- {Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.}- kata ulama\’ tadabbur; ayat ini adalah ayat perli dan untuk menghina ahli neraka.
Kerana perkataan {نُزُلُ} – {untuk menyambut} biasanya digunakan untuk penghormatan dan meraikan seseorang tetamu yang dimuliakan atau ditunggu kedatangannya.
Makanan atau minuman sambutan tetamu (welcome drink).
Maka ia adalah satu amaran keras, menggunakan bahasa untuk melemahkan jiwa dan menyakiti hati orang-orang yang diazab.
Kerana yang disediakan untuk menyambut mereka itu adalah buah Zaqqum yang berduri & air panas menggelegak maka ia adalah satu perlian dan siksaan! Allahu al-Musta\’an!
Ya Allah jadikanlah kami orang-orang yang mencintai al-Quran lalu menjadi ahlinya! Serta jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu dan segala jalan yang boleh membawa kepadanya!