View Categories

SURAH AL-WAQI\’AH : AYAT 57-62

\"\"

SERUAN AGAR MEMERHATIKAN KEJADIAN MANUSIA DARI MANI, KEMATIAN & HIDUP SEMULA.

Full video: https://youtu.be/S2Iq51BHmzo

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyeru agar memerhatikan kejadian manusia dari air mani, maka jangan kamu ingat kamu boleh lepas dari kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Allah peringatkan juga tentang kematian & hidup semula, Allah yang berkuasa mencipta, manusia untuk kali yang pertama, berkuasa juga mencipta atau menhidupkan manusia buat kali keduanya.
  3. Tiada apa yang lemah atau kurang bagi Allah s.w.t untuk melakukannya, cuma kita makhluk yang lemah ini kena sentiasa ingat berhati-hati bahawa kita makhluk yang lemah.
  4. Munasabah ayat: Setelah kaum kafir ingkar akan kebangkitan semula mereka dan bahawa akan hidup semula datuk nenek mereka juga.

Lalu Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberitahu mereka bahawa bukan hanya mereka bahkan datuk nenek mereka , serta manusia yang terdahulu & terkemudian semuanya akan dihidupkan dan dikumpul balik di Padang Mahsyar.

ii- Allah juga ceritakan tentang balasan yang dahsyat yang akan menimpa orang-orang yang mengingkari kebangkitan semula. Dengan makanan dari pokok Zaqqum yang buruk serta minuman dari air panas menggelegak.

iii- maka untuk menunjukkan belas kasihan-Nya, Allah s.w.t bawa pula di sini ayat-ayat yang menunjukkan kepada dalil-dalil bahawa Allah s.w.t yang mampu dan berkuasa untuk mencipta mereka buat kali pertama, mampu melakukan kebangkitan semula itu!

AYAT 57- {KAMILAH YANG TELAH MENCIPTAKAN KAMU (DARI TIADA KEPADA ADA – WAHAI GOLONGAN YANG INGKAR), MAKA ADA BAIKNYA KALAU KAMU PERCAYA (AKAN KEBANGKITAN KAMU HIDUP SEMULA PADA HARI KIAMAT).} (AL-WAAQI\’AH 56:57)

  1. Allah s.w.t menegasakan bahawa Dia-lah yang mencipta kamu semua dulu dari tiada kepada ada.
  2. Wahai golongan yang ingkar ingatlah bahawa kamu dulu tiada, maka baiklah kamu beriman dengan hari Kiamat.
  3. Amat mudah bagi Allah s.w.t untuk mencipta kamu kembali buat kali kedua sebagaimana Dia telah mencipta kamu buat kali pertama dulu. Semuanya mudah bagi Allah s.w.t. Kamu yang memayahkannya.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:104)

ii- {Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Ar-Ruum 30:27)

AYAT 58- {(MENGAPA KAMU MASIH BERDEGIL?) TIDAKKAH KAMU MEMIKIRKAN KEADAAN AIR MANI YANG KAMU PANCARKAN (KE DALAM RAHIM)?} (AL-WAAQI\’AH 56:58)

  1. Adakah kamu masih berdegil? Tidakkamu fikir tentang air mani yang kamu pancarkan ke dalam rahim isteri kamu?
  2. Allah detailkan tentang cerita air mani ini dalam firman-Nya:
    {(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.
    Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)-
    Yang keluar dari \”tulang sulbi\” lelaki dan \”tulang dada\” perempuan.
    Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),} (At-Taariq 86: 5-8)

AYAT 59- {ADAKAH KAMU YANG MENCIPTAKANNYA ATAU KAMI YANG MENCIPTAKANNYA?} (AL-WAAQI\’AH 56:59)

  1. Kemudian Allah s.w.t tanya lagi dengan satu pertanyaan bebrbentuk cabaran.
  2. Apakah kamu yang mencipta mani/manusia atau Kami yang menciptanya???
  3. Kata ulama\’ tadabbur: Kita melihat dengan sebab kejadian itu – yakni Allah s.w.t mahu mengingatkan kita agar jangan mudah ingkar, lihat saja kepada kejadian diri kamu sendiri!
  4. Puak kafir ini apabila ditanya siapa yang mencipta manusia, mereka mengaku Allah yang mencipta mereka, tetapi apabila disebut tentang bangkit semula mereka tidak percaya!
  5. Kita adalah manusia yang dicipta dari air mani hasil dari ibu bapa lalu Allah menghidupkan kita.

AYAT 60- {KAMILAH YANG MENENTUKAN (DAN MENETAPKAN MASA) KEMATIAN (TIAP-TIAP SEORANG) DI ANTARA KAMU, DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI DAPAT DIKALAHKAN ATAU DILEMAHKAN;} (AL-WAAQI\’AH 56:60)

  1. Allah s.w.t juga telah menentu dan menetapkan masa dan waktu kematian setiap manusia. Kerja kita hanya membuat persiapan untuknya.
  2. Munasabah ayat: Ayat ini adalah untuk menetapkan ayat yang disebut sebelum ini. Iaitu Kami yang mencipta kamu! Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia juga yang menetapkan bila kamu akan mati!
    Jadi apa yang susah sangat untuk Allah menghidupkan kembali manusia selepas kematian itu??? Apa peliknya bagi Allah yang Maha Berkuasa?
  3. Tidak ada manusia yang boleh terlepas dari kematian pada waktu yang telah ditetapkan baginya!
  4. Ulama\’ tafsir kata makna {Kami tetapkan} (نَحْنُ قَدَّرْنَا):
    i- Kami tetapkan umur kematian seseorang itu berbeza-beza. Umurnya waktu mati tidak sama walaupun dalam satu umat atau keluarga. Ada yang panjang ada yang pendek umurnya.
    ii- Yakni Allah s.w.t telah tetapkan kematian ke atas setiap manusia!
  5. Firman Allah s.w.t:
    i- {Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.} (A-li\’Imraan 3:185)

ii- {Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.} (Al-A\’raaf 7:34)

  1. Allah s.w.t juga menegasakan bahawa Dia tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.
    Kata ulama\’ maknanya:
    i- Kami tidak lemah untuk mencipta dan menghidupkan semula manusia.

ii- atau menjadikan manusia sebagai suatu penciptaan yang baru pada hari kebangkitan nanti.

iii- Kami juga tidak lemah untuk mengambil tindakan ke atas kamu!
Kamu Tidak akan dapat lari daripada kekuasaan dan ketetapan taqdir Allah s.w.t!

AYAT 61- {(BAHKAN KAMI BERKUASA) MENGGANTIKAN (KAMU DENGAN) ORANG-ORANG YANG SERUPA KAMU (TETAPI TIDAK SEPERTI BAWAAN KAMU), DAN BERKUASA MENCIPTAKAN KAMU DALAM BENTUK KEJADIAN YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-WAAQI\’AH 56:61)

  1. Allah s.w.t juga menyatakan bahawa Dia mampu dan berkuasa untuk menggantikan manusia yang ingkar itu dengan mencipta orang lain yang lebih baik daripada mereka.
  2. Allah juga berkuasa mencipta apa saja bentuk kejadian kamu, yang kamu tidak tahu bagaimanana bentuk kejadiannya!
  3. Ada beberapa pandangan ulama\’ tafsir tentang maksud ayat ini:
    i- ada pandangan kata ada manusia yang mujrimin ditukar menjadi monyet dan lain-lain selepas kederhakaan mereka.
    ii- atau di Akhirat nanti; apabila bangkit, orang mukmin wajahnya cerah manakala orang kafir dengan wajah yang hitam gelap!

AYAT 62- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU TELAH SEDIA MENGETAHUI TENTANG CIPTAAN DIRI KAMU KALI PERTAMA, MAKA ADA BAIKNYA KALAU KAMU MENGAMBIL INGATAN (BAHAWA ALLAH YANG TELAH MENCIPTAKAN KAMU DARI TIADA KEPADA ADA, BERKUASA MEMBANGKITKAN KAMU HIDUP SEMULA PADA HARI AKHIRAT KELAK).} (AL-WAAQI\’AH 56:62)

  1. Allah s.w.t menegaskan bahawa wahai manusia; kamu sebenarnya sudah tahu bahawa Allah s.w.t yang mencipta kmau buat kali pertama sedang kamu tiada apa ketika itu! Dari lemah kamu menjadi kuat, dari lemah menjadi degil dan tidak dengar kata!
  2. Maka Allah s.w.t peringatkan manusia agar ambil peringatan dari apa yang telah Allah sebutkan ini!
    Ingatlah bahawa Allah s.w.t juga berkuasa untuk membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 57- {Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).}- Allah s.w.t bertanya kepada puak kafir yang ingkar, kenapa kamu masih ingkar dan tidak percaya?
    Yakni dalam ayat ini Allah s.w.t mengatakan bahawa mereka puak kafir tidak percaya.
    Tetapi mengapa dalam ayat (Az-Zukhruf 43:87) ini dan ada ayat-ayat lainnya Allah s.w.t mengatakan mereka mengakui bahawa Allah s.w.t yang mencipta mereka dari asal? Bukan berhala mereka?
    Firman Allah s.w.t:
    {Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: \”Siapakah yang menciptakan mereka?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah!\” (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakan-Nya)?} (Az-Zukhruf 43:87)
    Jawapan:
    Dua ayat ini tidak bercanggah.
    Kerana kata ulama\’:
    i- mereka hanya mengakuinya dengan lidah sahaja tentang kejadian pertama;
    ii- mereka mengakui dan percaya hanya penciptaan yang pertama sahaja. Tetapi menolak dan tidak percaya kepada Kebangkitan semula, hisab perngadilan dan hari pembalasan.
  2. Ayat 58- {(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)?}- perhatikan kepada keadaan kamu sekarang ini!
    Ini dalil yang kuat yang menunjukkan kepada kebangkitan hidup semula manusia.
    Manusia itu diciptakan dari air mani lalu menjadi janin kemudian manusia yang sempurna.
  3. Ayat 60- {Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;}- ayat ini menjadi hujjah untuk menolak pandangan muktazilah & qadariyyah (pandangan sesat menurut ulama\’ kita) yang mengatakan orang yang kena bunuh adalah orang mati sebelum ajalnya!
    Kerana dibunuh di tengah jalan umurmnya bukan kerana ajalnya lagi!

Kita kata itu adalah ajalnya yang ditentukan, sudah sampai tempohnya dan sebabnya adalah dibunuh! Na\’uzubillahi min zalik.

  1. Ayat 61- {(Bahkan Kami berkuasa) menggantikan (kamu dengan) orang-orang yang serupa kamu (tetapi tidak seperti bawaan kamu), dan berkuasa menciptakan kamu dalam bentuk kejadian yang kamu tidak mengetahuinya.} – Allah berkuasa untuk mencipta manusia lain yang lebih baik daripada kamu serta dalam apa bentuk yang dikehendaki-Nya.

Ulama\’ kata ayat ini menjadi penggalak untuk kita melakukan kebaikan dan amal soleh, kerana tukar & hidup balik itu maksudnya mati & perhimpunan di Mahsyar.

Jika tidak tahu berapa lama umur kita, panjang atau pendek, maka menjadi kewajipan kepada kita yang sudah tahu bahawa kita akan mati untuk membuat persiapan yang rapi!
Sebagai persediaan dan bekalan untuk menghadapi hisab, pengadilan dan pembalasan dari Allah s.w.t.

Jagalah lidah dan tangan kita pada musim yang amat banyak fitnah dan pembongkaran ini.
Kata Abi Ja\’far rhm.:
Alangkah peliknya manusia yang mengingkari kebangkitan semula; sedang dia telah melihat kejadian pertama manusia;
Alangkah peliknya manusia yang mengingkari kebangkitan semula selepas mati, sedangkan setiap hari dia bangkit semula dari tidurnya sedang tidur itu dianggap sebagai mati kecil!

  1. Ayat 62- {Dan demi sesungguhnya, kamu telah sedia mengetahui tentang ciptaan diri kamu kali pertama, maka ada baiknya kalau kamu mengambil ingatan (bahawa Allah yang telah menciptakan kamu dari tiada kepada ada, berkuasa membangkitkan kamu hidup semula pada hari akhirat kelak).}- ulama\’ tadabbur kata ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t yang berkuasa mencipta buat kali pertama, Dialah yang mampu dan bekuasa untuk mencipta buat kali kedua, bahkan pada logik kita manusia pun ia lebih mudah & senang!
    i- Sedangkan bagi Allah semuanya adalah mudah! Nak cipta yang baru atau menghidupkan semula.

ii- ulama\’ juga kata ini adalah dalil atas sahnya untuk membuat kias yang lama dengan yang baru adalah sama.
Allah nak buat benda baru atau nak ulang yang balik semua adalah sama.

Tamatlah kita untuk siri ini, semoga kita semua mati dalam husnul-Khatimah & redha Allah s.w.t

Powered by BetterDocs