SERUAN AGAR MEMERHATIKAN DALIL KEBANGKITAN SEMULA, BIJI MENGELUARKAN POKOK DAN AIR YANG DIMINUM & API DARI POKOK YANG HIJAU.
Full video : https://youtu.be/Gob4g2XPCoU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t kemukakan tiga lagi dalil yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t menghidupkan semula manusia selepas dia mati.
i- dalil pertama ayat ke-58 (siri lepas)
ii- dalil kedua- manakala untuk siri ini bermula dengan ayat 63.
iii- dalil ketiga- ayat 68
iv- dalil keempat- ayat 71. - Kesemua ini adalah seruan dari Allah s.w.t agar manusia berfikir, memerhatikan dalil kebangkitan semula dengan melihat kepada kejadian di sekeliling mereka sendiri.
- Dalil yang akan disebut dalam siri ini ialah bagaimana: biji mengeluarkan pokok dan air yang diminum dan api yang keluar dari pokok yang hijau.
- Munasabah ayat: Setelah dibawa dalil yang pertama dalam ayat 58 iaitu kejadian manusia yang berasal dari air mani yang ditanam dalam rahim manusia.
i- untuk menunjukkan bahawa kebangkitan semula itu mudah saja bagi Allah s.w.t, lihatlah bagaimana Allah s.w.t bawa bandingan yang mudah kamu lihat dan jumpainya.
Allah s.w.t bawa ayat ini dengan dalil yang kedua dengan perbandingan yang mudah dilihat dan difahami. Iaitu pokok yang kering dapat hidup dan mengeluarkan anak pokok dari biji benihnya yang telah kering.
ii- apa munasabah berpindahnya dalil dari kejadian manusia { مَّا تُمْنُونَ} dalam ayat 58 kepada dalil dengan tumbuhan { مَّا تَحْرُثُونَ} pula dalam ayat ini; Apa persamaannya?
Jawapan: Terdapat persamaan yang jelas antara manusia { مَّا تُمْنُونَ} & tumbuhan { مَّا تَحْرُثُونَ}.
Kita dan tumbuhan tumbuh keluar dari bumi sebagai firman Allah s.w.t ini:
{\”Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,} (Nuh 71:17)
Kita terjadi dari hasil pati yang berasal dari bumi, walaupun telah diolah menjadi air mani, makanan dan minuman!
iii- biasanya makhluk manusia akan tengok dan dapat melihat perkembangan tumbuhan ini. Maka ini menjadi dalil & tanda besar bahawa Allah s.w.t mampu untuk mencipta dan menghidupkan balik manusia.
Allah s.w.t menyeru mereka untuk melihat perkembangan dan tumbesaran pokok yang mereka tanam.
a- sebagaimana pokok perlu dicampak benihnya, iaitu ditanam ditempatnya barulah tumbuh anaknya.
b- begitu juga manusia, perlu ditanam benihnya dulu iaitu air mani yang diletakkan pada tempatnya, iaitu rahim perempuan. Barulah akan terjadi janin kemudian anak yang membesar.
Kerana itulah perempuan disebut sebagai \”ladang\’ dalam satu firman Allah s.w.t.
Inilah tiga kaitan atau munasabah antara { مَّا تُمْنُونَ} & { مَّا تَحْرُثُونَ}.
AYAT 63- {MAKA (MENGAPA KAMU MASIH BERDEGIL?) TIDAKKAH KAMU MELIHAT APA YANG KAMU TANAM?} (AL-WAAQI\’AH 56:63)
- Ini adalah dalil yang kedua Allah s.w.t mahu sentap puak kafir supaya celik mata buka telinga, supaya mereka berfikir.
- Puak kafir ditanya apakah mereka tidak lihat kepada pokok-pokok yang mereka tanam?
- Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah s.w.t pecahkan biji-biji benih lalu keluarkan anak pokoknya?
- Firman Allah s.w.t tentang kejadian pokok-pokok ini:
i- {Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah.
Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?} (Al-An\’aam 6:95)
ii- {(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya):
Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.
Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, –
Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
Dan buah anggur serta sayur-sayuran,
Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma,
Dan taman-taman yang menghijau subur,
Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, –
Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.} (\’Abasa 80: 24-32)
AYAT 64- {KAMUKAH YANG MENUMBUHKANNYA ATAU KAMI YANG MENUMBUHKANNYA?} (AL-WAAQI\’AH 56:64)
- Sekali lagi Allah s.w.t ulang pertanyaan untuk memberi hujjah yang semakin mantap & kemas!
- Apakah kamu yang menumbuhkan pokok-pokok itu atau Kami, Tuhan yang menumbuhkannya???
- Munasabah ayat: Puak kafir tidak mendakwa bahawa mereka yang menumbuhkan benih-benih itu, mereka akui bahawa Allah s.w.t yang menumbuhkan benih-benih itu!
Tetapi mereka tidak akui kepada kebangkitan semula, tidak percaya bahawa Allah dapat menghidupkan orang yang mati. Yakni mereka percaya sekerat, tidak penuh!
Maka Allah s.w.t bawa pertanyaan ini sebagai hujjah ke atas mereka.
AYAT 65- {KALAU KAMI KEHENDAKI, SUDAH TENTU KAMI AKAN JADIKAN TANAMAN ITU KERING HANCUR (SEBELUM IA BERBUAH), MAKA DENGAN ITU TINGGALAH KAMU DALAM KEADAAN HAIRAN DAN MENYESAL,} (AL-WAAQI\’AH 56:65)
- Setelah jawapan ini Allah nyatakan lagi; Jika Allah mahu Dia boleh jadikan pokok itu menjadi kering lalu hancur. Lalu kamu tidak akan mendapat manfaat dari pokok-pokok itu.
- Maka barulah kamu tahu dan menyesal, kerana tidak lagi akan mendapat hasil darinya!
- Kata ulama\’ maksud perkataan (تَفَكَّهُونَ): Mereka mengeluarkan ucapan penyesalan yang menunjukkan mereka sedih & dukacita atas apa yang berlalu!
AYAT 66- {(SAMBIL BERKATA): \”SESUNGGUHNYA KAMI MENANGGUNG KERUGIAN.} (AL-WAAQI\’AH 56:66)
- Iaitu mereka berkata: Sesungguhnya kamu telah ditimpa kerugian.
AYAT 67- {\”BAHKAN KAMI HAMPA (DARI MENDAPAT SEBARANG HASIL).\”} (AL-WAAQI\’AH 56:67)
- Iaitu menyesal akibat pokok yang mereka tanam menjadi kering, tidak tumbuh membesar dan mengeluarkan hasil sebagaimana yang dikehendaki!
- Maka kehampaan dan kecewalah mereka!
AYAT 68- {SELAIN DARI ITU, TIDAKKAH KAMU MELIHAT AIR YANG KAMU MINUM?} (AL-WAAQI\’AH 56:68)
- Kemudian Allah s.w.t pergi pula kepada dalil yang berikutnya, boleh Allah s.w.t menghidupkan balik dan kuasa Alllah s.w.t itu besar.
- Iaitu berpindahnya dalil dari penciptaan tanaman kepada penciptaan air dan minuman! Ini kerana pokok-pokok itu juga manusia tidak akan dapat hidup tanpa adanya air!
- Firman Allah s.w.t:
{Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?} (Al-Anbiyaa\’ 21:30)
AYAT 69- {KAMUKAH YANG MENURUNKANNYA DARI AWAN (SEBAGAI HUJAN), ATAU KAMI YANG MENURUNKANNYA?} (AL-WAAQI\’AH 56:69)
- Allah tanya lagi dengan perlian untuk menguatkan dalil: Air hujan yang turun dari langit apakah kamu wahai manusia atau Tuhan yang menurunkannya?
AYAT 70- {KALAU KAMI KEHENDAKI, KAMI AKAN JADIKAN DIA MASIN, MAKA ADA BAIKNYA KALAU KAMU BERSYUKUR.} (AL-WAAQI\’AH 56:70)
- Allah katakan juga jika Dia mahu boleh saja Dia jadikan air itu masin! Maka dimanakah akan kamu cari air yang tawar dan sedap untuk diminum?
- Maka hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menyediakan air yang bersih, jernih dan tawar untuk kegunaan kamu!
AYAT 71- {AKHIRNYA, TIDAKKAH KAMU MELIHAT API YANG KAMU NYALAKAN (DENGAN CARA DIGESEK)?} (AL-WAAQI\’AH 56:71)
- Ini adalah dalil yang keempat mengikut turutan dari awal.
- Tidak kamu lihat bagaimana kamu menyalakan api dengan menggesek kayu (ٱلَّتِى تُورُونَ) daripada pokok.
- Munasabah ayat: Allah s.w.t berpindah kepada perkara yang ketiga. Iaitu alat untuk memproses makanan dan minuman, iaitu API.
- Pokok atau kayu itu pula sebagai alat untuk mengeluarkan api itu. Ini secara asal atau tradisionalnya. Kemudian berpindah kepada alat-alat lain.
- Ahli tafsir kata pokok yang mengeluarkan api ini bukan semua jenis pokok. Pokok ini ada bahan api di dalam, ada jenis yang khas dan tertentu yang dikenali oleh orang zamn dahulu & mereka yang pakar.
- Allah s.w.t bawa semua dalil ini untuk manusia berfikir kepada kebangkitan semula!
AYAT 72- {KAMUKAH YANG MENUMBUHKAN POKOK KAYUNYA, ATAU KAMI YANG MENUMBUHKANNYA?} (AL-WAAQI\’AH 56:72)
- Sekali lagi Allah s.w.t tanya: Kamukah yang menumbuhkan pokok kayu itu atau Kami, Tuhan yang menumbuhkannya?
- Pastilah jawapannya tidak dapat diputar atau diseleweng lagi, semuanya adalah kejadian dari kuasa Allah s.w.t!
- Firman Allah s.w.t:
{\”Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu\”.} (Yaa Siin 36:80)
AYAT 73- {KAMI JADIKAN API (YANG TERCETUS DARI KAYU BASAH) ITU SEBAGAI PERINGATAN (BAGI ORANG-ORANG YANG LALAIKAN KEBENARAN HARI AKHIRAT) DAN SEBAGAI BENDA YANG MEMBERI KESENANGAN KEPADA ORANG-ORANG MUSAFIR.} (AL-WAAQI\’AH 56:73)
- Allah s.w.t yang menjadikan kayu yang basah itu dapat mengeluarkan api!
- Ini adalah sebagai satu peringatan kepada mereka yang lalai, yang tidak percaya dan mendustakan kebenaran tentang Akhirat & bangkit semula.
- Api juga untuk memberi kesenangan kepada para musafir juga. Banyak sekali kegunaan api ini untuk orang musafir zaman dahulu.
- Hadis- daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
\”Api dunia yang kamu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api nereka.\” Mereka bertanya: \”Wahai Rasulllah, meskipun semua dikumpulkan?\” Rasulullah S.A.W bersabda: \”Ia lebih panas 69 kali.\” [HR Muslim].
AYAT 74- {OLEH YANG DEMIKIAN – (WAHAI ORANG YANG LALAI) – BERTASBIHLAH DENGAN MEMUJI NAMA TUHANMU YANG MAHA BESAR (SEBAGAI BERSYUKUR AKAN NIKMAT-NIKMATNYA ITU).} (AL-WAAQI\’AH 56:74)
- Allah s.w.t tutup episod ini dengan arahan untuk bertasbih dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. Iaitu mensucikan-Nya daripada segala sekutu, kekurangan, kelemahan, keaiban dan kesalahan.
- Semua ini sebagai menunjukkan bahawa kamu bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu: kejadian manusia, makanan, minuman dan api yang digunakan untuk memprosesnya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 63- {Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?}- ayat ini menjadi kewajipan kepada setiap manusia untuk buka mata telinga, lapangkan dada untuk meneliti & memerhati kepada dalil-dalil keagungan keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
Ini supaya manusia akan beriman dan percaya kepada janji-janji Allah s.w.t. dengan segala nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita.
Nikmat yang telah disebut ini ialah: nikmat kejadian manusia, nikmat makanan. minuman & api.
Ayat ini juga menunjukkan dalil kepada harus dan digalakkan untuk kita bercucuk tanam. Allah s.w.t mengungkit nikmat yang diberi supaya kita berfikir.
- Ayat 64- {Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?}- timbul persoalan di dalam ayat ini dikatakan Allah s.w.t itu (ٱلزَّٰرِعُونَ), iaitu yang menanam & menumbuhkan pokok.
Dalam ayat lain Allah s.w.t kata:
{(bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya (يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ).} (Al-Fat-h 48:29)
Maka persoalannya:
i- Kami (Tuhan) yang menanam pokok atau petani yang menanam pokok; nisbah kepada petani yang tanam pokok.
JAWAPAN :
Telah sabit dalam kitab tafsir bahawa bercucuk tanam (حرث) menabur benih, pada awalnya itu bersambung dengan menanam (زرع) menumbuhkan pokok iaitu pekerjaan petani pada akhirnya. Boleh saja disebut yang mana dulu tetapi dari segi seninya dalam bercucuk tanam, begitulah susunan yang sepatutnya.
ii- maka kenapa Allah s.w.t kata mengagumkan penanam (يُعْجِبُ ٱلزُّرَّاعَ) bukan mengagumkan (حراث)?
JAWAPAN :
Kerana orang yang menabur benih, pada peringkat awal (حرث) masih belum tahu samada pokok itu akan hidup atau membesar, akan mengeluarkan buah atau tidak.
Tetapi pada masa fasa yang akhir (زرع) pokok itu sudah tumbuh, dia sudah tahu dan lihat hasilnya, sudah keluar buah maka ia akan mengagumkan petani.
Kerana itulah isteri itu dikatakan sebagai ladang/kebun (datangilah kebun tanaman kamu- فَأْتُوا۟ حَرْثَكُمْ) iaitu seperti tempat menanam fasa awal. Masih belum tahu akan berhasil atau tidak, baru nak semai benih. Kalau ada rezeki akan terhasillah janin dan akan lahirlah bayinya. #
Kita boleh kata Allah s.w.t menanam pokok tetapi kita tidak kata Allah s.w.t itu sebagai penanam pokok (الزارع).
Allah s.w.t yang Maha Berkuasa dan sifat-Nya menumbuhkan apa saja yang dikehendaki-Nya.
- Ayat 69- {Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya?} sehingga kepada ayat tentang nikmat yang berikutnya – ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t berkuasa atas segala perkara. Allah kata jika Dia mahu boleh dijadikan air itu masin, tetapi Allah s.w.t tidak melakukannya.
Hanya air laut saja yang dijadikan masin untuk menyimpan ikan-ikan dan pelbagai hidupan, laut juga besar dan tidak mengalir, jauh dari kehidupan manusia, juga untuk memproses & mengitar semula bangkai-bangkai serta segala bahan buangan yang mengalir masuk dari sungai ke dalamnya.
Air sungai pula berada dalam lingkungan kehidupan kita, mengalir di celah kampung dan bandar, maka ia menjadi sumber utama kegunaan manusia, sebagai minuman dan basuhan, pastilah kena jernih dan air tawar. Ia juga mengalir dan bergerak maka proses pembersihan berlaku dengan sendiri, tidak perlu kepada air masin.
Maha Suci & Kaya Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t:
i- {Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): \”Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu.} (As-Sajdah 32:13)
ii- {Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.} (Al-Baqarah 2:253).
- Ayat 70- {Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.}- yakni kerana Allah s.w.t tidak jadikan air itu masin, maka hendaklah kamu bersyukur!
Timbul persoalan di kalangan ulama\’:
Kenapa dalam ayat tentang tanaman sebelum ini kenapa Allah s.w.t tidak sebut {ada baiknya kalau kamu bersyukur.}- tetapi dalam ayat tentang air ini Allah s.w.t suruh bersyukur?
Jawapannya, ini kerana:
i- Allah sebut; kamu minum kamu syukur. Manakala dalam tanaman tidak disebut kamu tanam kemudian kamu memakannya maka tidak disebut supaya kamu bersyukur.
Maka ia sesuailah dengan ayatnya kamu minum { تَشْرَبُونَ} maka kamu bersyukurlah { تَشْكُرُونَ}.
Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w: \”Allah sangat suka kepada hambaNya yang mengucapkan tahmid (Alhamdulillah) sesudah makan dan minum.\” (HR. Muslim)
ii- sebab kedua: dalam bab makanan atau tanaman; kamu tanam, kamu yang usaha buat itu maka kerana itu tidak disebut bersyukur. Kerana hujan itu Allah s.w.t yang turunkan, bukan kerana hasil usaha kamu, semata-mata nikmat Allah s.w.t maka wajarlah kita disuruh bersyukur!
iii- dikatakan nikmat makan tidak berhenti setakat makan sahaja. Biasanya selepas makan kita kena minum air. Maka selepas lengkap disebut nikmat makan & minum, maka disuruh bersyukur. Bukan kata selepas makan tak perlu bersyukur, tetapi selepas lengkap nikmat maka kita pun bersyukur atas semuanya.
- Ayat 73- {Kami jadikan api (yang tercetus dari kayu basah) itu sebagai peringatan}- ayat ini kata api datang dari pokok. Ayat dalam surah Ya Sin kata bahkan ia datang dari pokok hijau, bukan hanya pokok yang biasa.
Ayat ini menjadi dalil bahawa sebab-sebab saja tidak memberi kesan dengan sebab tabiatnya semata-mata, tidak betul pandangan sebegini.
Ini kerana:
i- ada juga pokok yang tidak mengeluarkan api.
ii- ada juga api yang tidak panas seperti api yang membakar Nabi Ibrahim a.s.
Kita mengatakan semua benda itu berlaku dengan sebab, tetapi kita tidak boleh berpegang dengan sebab semata-mata. Kita kena sandarkan; ini menjadi sebab tetapi yang memberi segalanya dengan izin Allah s.w.t
Kata ulama\’ tadabbur: Api ini antara nikmat yang besar yang Allah s.w.t berikan kepada kita kerana banyak sekali kegunaannya.
Juga apabila kita lihat api dunia jangan lupa kepada api di akhirat kelak yang 70 kali ganda panasanya!!!!!
- Ayat 74- {Oleh yang demikian – (wahai orang yang lalai) – bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar (sebagai bersyukur akan nikmat-nikmatNya itu).}- dari ayat ini kita lihat kepada perkataan {bismi- dengan nama – بِٱسْمِ}. Perkataan bismi ini dieja dengan dua cara yang berbeza dalam al-Quran iaitu sama ada ditulis huruf alif (بِٱسْمِ) atau tidak (بِسْمِ).
A- Dalam ayat ini ditulis huruf alif, terdapat 3 ayat lain yang ditulis begini dalam al-Quran: (بِٱسْمِ)
i- Surah al-Waqiah: ayat 74 & 96.
ii- Surah al-Haaqqah: ayat 52.
iii- Surah al-\’Alaq: ayat 1.
Penjelasan ulama\’ tentang ini:
i- ayat yang mensucikan (bertasbih) Allah s.w.t ditulis alif biasanya.
ii- menunjukkan hubungan kita dengan Allah s.w.t yang begitu rapat dan berterusan.
iii- penggunaannya tidak kerap atau tidak banyak kali sebagaimana (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ) yang kita baca setiap pekerjaan.
B- Manakala yang tidak ditulis huruf alifnya (بِسْمِ) terdapat dalam beberapa ayat ini;
a- ayat pertama bagi surah al-Fatihah atau permulaannya: (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).
b- Surah Hud: ayat 41
c- Surah an-Namli: ayat 30
Kenapa dalam tiga ayat ini tiada alif (بِسْمِ)?
JAWAPAN :
i- kerana ia diawal surah bagi al-Fatihah.
ii- bertujuan untuk memberi keselamatan & segera menerima kebaikan (tunduknya Kerajaan Saba\’ selepas menerima surat dari Nabi Sulaiman).
iii- menjauhi bahaya (dalam ayat itu selamat dari gelombang lautan).
iv- manakala sebab bagi lain-lain tempat ialah: kerana kerap pengunaannya seperti dalam Bismillah pada awal setiap surah sebagai permulaan surah: (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).
Serta sebagai bacaan kita bagi memulakan setiap pekerjaan kerana Allah s.w.t.
Bagi para asatizah untuk bacaan lanjut boleh lihat sebuah kitab yang cantik ini:
\”عنوان الدليل من مرسوم خط التنزيل\”
Susunan:
أبو العباس أحمد بن محمد بن عثمان الأزدي المعروف بابن البناء المراكشي