View Categories

SURAH AL-WAQI\’AH : MUQADDIMAH

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISATI SURAH, KELEBIHAN SURAH & MUNASABAH ANTARA SURAH.

Full video : https://youtu.be/NqPF6BdWggk

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Sabtu 10 R. Thani 1444H bersamaan 5hb November 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Waqi\’ah – سورة الواقعة.
  2. Surah Al-Waqi\’ah adalah surah ke-56 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Ar-Rahman, dalam juzuk ke 27, mengandungi 96 ayat yang pendek-pendek.
    Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek.
  3. Tentang turun di mana surah ini terdapat beberapa pandangan:
    i- Majoriti para ulama\’ Sahabat & Tabi\’in sepakat (ittifaq\’ ulama\’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

ii- Ada kata Makkiyyah kecuali satu ayat 82, atau ayat sebelumnya,

iii- Bahkan ada juga yang mengatakan keseluruhan surah ini Madaniyyah yakni turun di Madinah.

  1. Tetapi Ibnu Jauzi rhm. berkata: Dipersetujui oleh kebanyakan ulama\’ tafsir mengatakan Surah Al-Waqi\’ah – سورة الواقعة adalah Makkiyyah,
    Ini kerana ia banyak menyebut tentang hari Kiamat, kekuasaan Allah s.w.t dan tidak menyebut tentang hukum.
  2. Surah ini surah yang popular, terkenal di kalangan orang ramai serta sering dibaca sebagai satu surah untuk menarik rezeki- dakwaan ini tiada asas dari dalil yang sahih.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-Waqi\’ah {الواقعة} yang bererti Kiamat. Kerana pada awal surah ini Allah s.w.t menegaskan apabila berlakunya hari Kiamat itu tiada siapa dapat mendustakan kejadiannya, kerana ia sudah berlaku di depan mata!

Kita yang beriman wajib yakin dari sekarang ini serta membuat persiapan yang sepatutnya, bukan hanya sekadar yakin teori, bahkan kena yakin amali!

  1. Nama inilah yang digunakan dalam mashaf-mashaf yang ada di tangan kita hari ini serta dalam hadis-hadis yang sahih. Tidak ada nama lain yang diketahui tentangnya.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Puak kafir musyrikin yang ragu & menafikan tentang hari akhirat dan kebangkitan semula, lalu Allah s.w.t membawa pelbagai dalil untuk membuktikan bahawa hari Kiamat itu akan tetap berlaku!
    Mula berlakunya hari itu ialah apabila dunia ini dan segala isinya dihancurkan. Alam dunia musnah lalu digantikan dengan alam Akhirat.

i- alam dunia- alam yang kita hidup dan lalui sekarang ini. Tempat untuk kita mengumpul bekalan ke Akhirat.

ii- alam barzakh iaitu alam kubur- alam pemisah antara dunia & akhirat. Tempat menunggu sebelum berlakunya hari Kiamat. Ia samada taman syurga atau seolah lubang neraka, bergantung kepada amalan masing-masing.

iii- alam Akhirat iaitu akan bermula selepas Kiamat. Allah tukar alam dunia ini kepada alam Akhirat. Alam pembalasan yang kekal abadi.

  1. Pada hari itu manusia akan terbahagi kepada tiga golongan:
    i- ashabul-yamin (أصحاب اليمين)- golongan yang menerima suratan dengan tangan kanan. Yang akan berbahagia kerana mendapat sebaik-baik balasan.

ii- ashabusy-syimal (أصحاب الشمال)- golongan yang menerima suratan dengan tangan kiri. Yang akan menderita kerana mendapat azab siksa, balasan yang dahsyat. Sejak dalam kubur lagi huru-hara, apabila keluar dari kubur juga huru-hara. Na\’uzu billah.

iii- As-Sabiquna al-Awwalun (السابقون الأولون)- puak yang telah mendahului dalam mengerjakan kebaikan atas dunia ini!
Apa yang Allah larang terus mereka tinggalkan, apa yang Allah perintahkan terus mereka buatnya!
Kerana itu mereka akan mendahului pula dalam mencapai seaik-baik balasan di Akhirat kelak dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Bukan seperti scammer dalam agama yang mereka-mereka ibadat dan amalan dengan pahala sekian-sekian, yang tiada dalam hadis & Sunnah.

Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang mulia ini.

  1. Kepada orang kafir yang meragui kebenaran al-Quran, Allah menegaskan kepada mereka bahawa apa yang mereka baca itu adalah al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi pengajaran & bimbingan, yang tersimpan terpelihara dalam Kitab sebaiknya, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk yang diakui bersih suci!
    Al-Quran ini adalah dari Allah Rabbul-Alamin!

Lebih-lebih lagi apabila ia turun kepada Quraisy yang memahaminya, kerana dalam bahasa mereka.

  1. Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa segala keterangan yang disebut adalah kebenaran yang diyakini.
    Oleh itu ucaplah tasbih dengan memuji nama Tuhanmu yang Maha Besar Kekuasaan-Nya.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH AL-WAQI\’AH – سورة الواقعة TAFSIR MUHARRAR :

  1. Isu penting dalam surah ini ialah menetapakan Kebangkitan semula dan bahawa setiap orang akan menerima balasan dan hisab di hari Akhirat. Yang baik balasan baik dan sebaliknya.
  2. Allah juga memperingatkan tentang huru-hara hari Kiamat serta Allah nyatakan manusia akan dibahagikan kepada tiga golongan nanti.

TAJUK-TAJUK SURAH :

  1. Memperingatkan tentang hari Kiamat. Allah ceritakan tentang huru-haranya serta nyatakan kategori manusia pada hari itu serta ke mana hala-tuju setiap kumpulan itu!
  2. Allah s.w.t juga ceritakan beberapa ciri-ciri yang menunjukkan kepada keagungan Allah s.w.t, luasnya rahmat Allah serta agungnya limpah kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya.
  3. Menguatkan bahawa al-Quran itu turun dari sisi Allah s.w.t!
    Bukan Rasulullah s.a.w rekanya sendiri atau ambil daripada sesiapa!
    Rasulullah s.a.w juga seorang yang tidak membaca & menulis supaya tidak dapat dituduh.
    Al-Quran merupakan nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada hamba-Nya melalui Rasul-Nya tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukurinya bahkan ada yang mendustakannya!
  4. Allah juga ceritakan keadaan manusia ketika nak mati iaitu apabila nyawa di halkum. Serta keadaan orang nak mati dan bahagian mereka. Lalu bagaimana akhir kesudahan bagi setiap kumpulan yang melalui proses kematian tersebut.

MUNASABAH SURAH AL-WAQI\’AH – سورة الواقعة DENGAN SURAH AR-RAHMAN – سورة الرحمن SEBELUMNYA :

Berhubung-kait surah ini dengan Surah Ar-Rahman dari beberapa sudut, seolah dua surah berkembar:

  1. Kedua surah ini menyebut tentang sifat-sifat & kejadian yang belaku pada hari Kiamat. Juga menyebut sifat syurga & neraka.
  2. Suasana manusia di Akhirat:
    i- Allah sebut dalam Surah ar-Rahman keadaan orang mujrimin serta juga keadaan orang yang takut kepada Allah (al-Muttaqqin). Serta dinyatakan sifat azab di dalam neraka & sifat bagi syurga dan ahli syurga juga.

ii- Allah s.w.t juga sebut keadaan ini di dalam surah al-Waqiah serta manusia dibahagikan kepada tiga. Allah s.w.t juga mahu zahirkan rahmat-Nya yang luas iaitu dua kumpulan yang baik manakala hanya satu kumpulan yang tidak baik. Sebagaimana Allah sebut sebelum ini 7 kali azab untuk orang jahat tetapi 8 kali dua bagi nikmat ahli syurga.

  1. Kejadian pada hari Kiamat:
    i-Dalam surah ar-Rahman Allah sebut tentang keadaan langit yang terbelah pada hari Kiamat.

ii- dalam Surah Al-Waqi\’ah ini pula disebut bahawa bumi bergoncang.

Seolah dua surah ini banyak tajuk dan isu yang sama cuma susunannya saja berbeza, disebut pada awal Surah Al-Waqi\’ah ini dengan apa yang akhir pada Surah Ar-Rahman.

KELEBIHAN SURAH AL-WAQI\’AH – سورة الواقعة

  1. Hadis dari Abdullah Ibnu Mas\’ud R.A diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya. [Lihat al-Jamie\’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)]
Ibnu Hajar kata sanadnya terlalu lemah. Ramai ulama\’ mengatakannya sanadnya tidak sahih & tidak boleh berhujjah dengannya!

  1. Daripada Ibnu Abbas R.A, sabda Nabi S.A.W:
    سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ

\”Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.\” (Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)
Juga hadis dhaif & tidak sahih.

  1. Hadis 3- Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w membaca Surah al-Waqiah dalam solat subuh. [HR at-Tirmizi. Hasan atau sahih lighairihi].
  2. Rasulullah S.A.W beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi\’ah bersama surah yang lain.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Ibnu Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar R.A bertanya kepada Rasulullah S.A.W: \”Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?\”
Baginda menjawab: \”(Kedahsyatan isi kandungan) surah Hud, AL-WAQI\’AH, al-Mursalat, al-Naba\’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban.\” (Sunan at-Tirmizi, Mustadrak al-Hakim) Sahih al-Jami\’ nilainya sebagai sahih.

Daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas\’ud r.a sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan R.A menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas\’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»

Maksudnya: Apakah engkau risau akan puteri-puteriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah S.A.W bersabda: \”Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.\”
(Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240).
Ibnu Hajar rhm. juga berkata hadis ini Gharib serta kebanyakan ulama\’ katanya tidak sahih!

  1. Daripada hadis ini boleh disimpulkan yang sahihnya bahawa surah al-Waqi\’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat dipamerkannya dengan dahsyat sehingga boleh menyebabkan Rasulullah s.a.w beruban.
  2. Manakala tentang kaitan dengan kekayaan semua hadisnya tidak ada yang sahih!
    Maka hati-hatilah, ikhlaskan niat kita dalam amal ibadat kepada Allah s.w.t, bukan semata-mata kerana nak habuan dan kekayaan dunia.

Powered by BetterDocs