NABI SAW KELUAR KE UHUD, ADA KUMPULAN YANG GOYAH & ALLAH PERINGATKAN PERTOLONGANNYA KETIKA GHAZWAH BADAR.
Full video : https://youtu.be/gvepkEMGDsg?si=L9ZnkzwP3Dq-SFuW
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 121 sehingga 125, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini Allah SWT mula ceritakan tentang kisah Ghazwah (peperangan) Uhud yang bermula dari ayat 121 ini sehingga ayat 180 iaitu dalam 60 ayat tentangnya.
Dalam ayat yang kita nak baca hari ini juga terselit tentang kisah peperangan Badar.
Digunakan istilah Ghazwah yang bermaksud peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW sendiri- agar kita biasa dengan Sirah Rasulullah SAW.
- Allah kisahkan tentang bermula dari sebelum Nabi SAW keluar Ke Uhud, bagaimana Baginda SAW bermesyuarat (syura) dulu dengan para sahabat sebelum buat keputusan.
- Kemudian diceritakan ada dua kabilah dari kumpulan Islam yang goyah kerana dihasut oleh munafiqin!
Lalu supaya umat Islam tidak rasa takut & untuk menguatkan semangat mereka; Allah peringatkan pertolongannya ketika Ghazwah Badar yang mana kaum muslimin menang besar
- Hari ini dalam sejarah:
Kebetulan yang cantik sekali hari ini adalah 17 Ramadhan iaitu Tarikh yang sama berlakunya Ghazwah Badar yang bersejarah pada hari Jumaat, 17 Ramadhan Tahun Ke-2 Hijrah bersamaan 13hb Mac 624M.
- Amat penting untuk kita mengetahui dan memahami sirah peperangan ini agar kita tahu jika kita menang mengapa & jika kalah mengapa pula kita kalah???
- Untuk baca lebih lanjut tentang peperangan lain di Madinah boleh rujuk buku Madinah ini, alhamdulillah walaupun kecil dapat memberi manfaat bagi mereka yang menziarahi Madinah:
https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT menyatakan tentang senjata terbesar orang beriman adalah sabar & taqwa.
Jika ada dua sifat istimewa ini kita akan mendapat kemenangan yang besar.
Jika tidak ada kita akan diuji dengan ujian yang besar.
Allah juga melarang orang mukmin daripada mengangkat orang kafir sebagai ketua pemimpin, teman rapat, atau penasihat yang dipercayai!
ii- Maka dalam ayat ini pula Allah nyatakan bahawa Dia tahu & dengar bahawa Rasulullah SAW telah menyusun-atur kedudukan orang mukmin dalam peperangan Uhud itu serta bahawa Rasulullah SAW telah bermesyuarat dengan para sahabatnya sebelum keluar berperang!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 121- {DAN (INGATLAH WAHAI MUHAMMAD), KETIKA ENGKAU KELUAR PADA PAGI HARI DARI RUMAH AHLIMU (DI MADINAH), DENGAN TUJUAN MENEMPATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN PADA TEMPAT MASING-MASING UNTUK BERPERANG (DI MEDAN PERANG UHUD). DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (ALI-‘IMRAN 3:121)
- Ayat ini dan ayat yang berikutnya sehingga ayat 180 (60 ayat) kesemuanya akan menyebut kepada kita tentang Ghazwah (peperangan) Uhud; Juga ada selingan tentang Ghazwah Badar untuk mengingatkan kemenangan, kerana perang itu bertukar ganti ada menang ada kalah.
- Allah SWT mengingatkan Rasulullah SAW ketika Baginda keluar dari Madinah untuk ke Uhud.
Juga mengingatkan pengikutnya apa peristiwa yang mereka lalui bersama dalam Ghazwah Uhud serta sebab mereka tidak mencapai kemenangan besar sebagaimana dalam Ghazwah Badar! Jangan lupa jangan lari serta kena sabar kerana Allah SWT nak uji kita!
- Dalam Ghazwah Badar tentera Islam telah menang besar ramai pemuka Quraisy telah dibunuh.
Ini menimbulkan tidak puas hati Abu Sufyan dan lain-lain pemuka Quraisy yang masih ada lalu mereka merancang untuk menyerang Rasulullah SAW & orang Islam di Madinah untuk membasla dendam!
Abu Lahab tidak pergi ke Badar tetapi dia telah mati seminggu selepas itu dan mayatnya begitu busuk sebagai pengajaran kepada orang lain!
- Apabila mendengar kemaraan tentera Quraisy ini, Rasulullah SAW berbincang dengan para sahabat sama ada mahu tunggu dalam bandar atau keluar menunggu di luar bandar Madinah.
Terdapat dua pendapat:
i- Golongan orang tua yang berpengalaman mencadangkan agar mereka menunggu musuh masuk dan berperang dalam bandar Madinah.
ii- Manakala kaum pemuda yang tidak sempat berperang di Badar bersemangat mahu keluar menunggu di luar bandar. Akhirnya majoriti besar adalah suara golongan pemuda ini- lalu Rasulullah terimanya!
- Pada hari tersebut Rasulullah SAW terus bersiap dengan memakai baju besinya untuk keluar berperang seperti yang diputuskan! Apabila melihat ini, golongan pemuda yang mengutarakan cadangan tersebut tadi berasa gerun dan cemas melihat Rasulullah SAW memakai baju besi untuk keluar berperang, lalu mereka menawarkan agar Baginda boleh sahaja menukar keputusan itu jika mahu. Maka Nabi SAW bersabda: “Tidak layak bagi seorang Nabi apabila dia sudah memakai baju besi, untuk membuka semula baju besinya sebelum dia masuk ke medan perperangan”. [HR Bukhari].
- Yakni Nabi ajar keputusan mesyuarat mesti dihormati dan mesti dilaksanakan.
Dengan disiplin yang demikianlah yang menyebabkan segala gerak kerja yang dilakukan oleh Nabi SAW mendapat sokongan yang padu daripada para sahabat RA yang walau pun jumlah mereka yang kecil.
- Dalam perjalanan ke Uhud bilangan tentera yang asalnya 1000 orang berkurangan apabila ada yang berpatah balik kerana termakan hasutan ketua munafiq.
ii- Hadis daripada Zaid bin Thabit RA katanya: لَمَّا خَرَجَ النَّبِيُّ ﷺ إِلَى أُحُدٍ، رَجَعَ نَاسٌ مِمَّنْ خَرَجَ مَعَهُ، وَكَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ ﷺ فِرْقَتَيْنِ: فِرْقَةً تَقُولُ: نُقَاتِلُهُمْ، وَفِرْقَةً تَقُولُ: لاَ نُقَاتِلُهُمْ، فَنَزَلَتْ {فَمَا لَكُمْ فِي المُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا} [النساء: 88] وَقَالَ: إِنَّهَا طَيْبَةُ، تَنْفِي الذُّنُوبَ، كَمَا تَنْفِي النَّارُ خَبَثَ الفِضَّةِ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW keluar ke perang Uhud, maka sekelompok orang yang keluar bersama Baginda berpatah balik. Adapun sahabat-sahabat Nabi SAW terbahagi menjadi dua kelompok; satu kelompok mengatakan: ‘Kita perangi mereka.’ Dan satu kelompok mengatakan: ‘Kita tidak memerangi mereka.’ Maka turunlah ayat: {فَمَا لَكُمْ فِي المُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا} (Maka apakah yang menyebabkan kamu berpecah menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah menjerumuskan mereka ke dalam kekufuran disebabkan apa yang telah mereka usahakan?) [Surah al-Nisa’: 88] Baginda SAW lalu bersabda: ‘Ia adalah Taybah (Madinah), menghilangkan dosa sebagaimana api menghilangkan kotoran pada perak’.” [HR al-Bukhari (4050) dan Muslim (1384)].
- Berdasarkan nas Al-Quran ini, sebahagian ulama’ berhujjah bahawa tidak boleh meminta bantuan atau pertolongan dari tentera bukan Islam untuk bersama-sama menentang tentera musuh.
Sebagaimana dalam hadis UM Aisyah RAnha, katanya:
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قِبَلَ بَدْرٍ فَلَمَّا كَانَ بِحَرَّةِ الْوَبَرَةِ أَدْرَكَهُ رَجُلٌ قَدْ كَانَ يُذْكَرُ مِنْهُ جُرْأَةٌ وَنَجْدَةٌ، فَفَرِحَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ حِينَ رَأَوْهُ. فَلَمَّا أَدْرَكَهُ قَالَ لِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ: جِئْتُ لِأَتَّبِعَكَ وَأُصِيبَ مَعَكَ. قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَارْجِعْ فَلَنْ أَسْتَعِينَ بِمُشْرِكٍ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW keluar (untuk berperang) ke Badar, tatkala Baginda sampai di Harratul Wabarah, Baginda ditemui oleh seorang lelaki yang terkenal gagah berani. Maka para sahabat Rasulullah SAW merasa gembira ketika melihat kedatangannya. Lelaki tersebut berkata kepada Rasulullah SAW: ‘Aku sengaja mengikuti kamu kerana hendak ikut berperang di pihak kamu dan bersama-sama denganmu.’ Rasulullah SAW bertanya kepadanya: ‘Apakah kamu sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Jika demikian, kembalilah kamu pulang, sebab kami tidak memerlukan pertolongan orang-orang musyrik’.” [HR Muslim (1817).
- Selesai memeriksa tenteranya Rasulullah SAW pun melalui sebuah kebun kepunyaan seorang buta yang kafir.
Apabila dia dengar Rasulullah SAW lalu dia mengambil pasir untuk melempar kepada Baginda.
Apabila sahabat menunjukkan perbuatannya itu Rasulullah SAW bersabda:
Biarkan dia- itulah orang yang buta mata & buta hatinya!
Inilah strategi peperangan Nabi SAW, Baginda tidak akan pergi direct ke destinasi & tidak akan beritahu; ini agar musuh keliru & tidak dapat pastikan kedudukan tentera Islam.
Hanya sekali saja, iaitu ketika mahu pergi berperang di Tabuk Rasulullah SAW memaklumkan kepada para sahabat kerana perjalanannya sangat jauh, 700 km dari Madinah melalui jalan lebuhraya sekarang- mereka perlu membuat persedian yang rapi.
- Sesampai di Bukit Uhud sebagaimana Allah sebut dalam ayat ini; Rasulullah SAW susun strateginya dengan menyusun-letak kedudukan tentera pemanah seramai 50 orang di atas Jabal Ainain atau Jabal Rumah (Pemanah) namanya sekarang dan selebihnya bertempur dengan musuh di medan peperangan.
- Allah tutup ayat ini dengan mengatakan ingatlah bahawa Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Iaitu apa yang kamu bincang dalam mesyuarat dan strategi perang yang dilakukan, apa yang ada dalam hati orang yang mukmin yang ikhlas atau hati orang munafiq yang main-main!
AYAT 122- { (INGATLAH) KETIKA DUA PUAK DARI KAMU (PADA HARI PEPERANGAN UHUD ITU) TERASA LEMAH SEMANGAT (UNTUK MENERUSKAN PERJUANGAN) KERANA TAKUT, PADAHAL ALLAH PENOLONG DAN PELINDUNG MEREKA; DAN (JIKA SUDAH DEMIKIAN) KEPADA ALLAH SAHAJALAH HENDAKNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU BERTAWAKAL.} (ALI-‘IMRAN 3:122)
- Yakni Allah juga ingatkan semula keadaan dua puak dari golongan Islam yang lemah & goyah- tidak yakin & tidak berapa semangat untuk terus berperang kerana takut kalah akibat termakan diayah yang disebar oleh bapa munafiq- Abdullah bin Ubai bin Salul!
- Kata Jabir bin Abdullah RA- Bahawa yang dimaksudkan dengan {dua puak dari kamu terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, – إِذْ هَمَّت طَّآئِفَتَانِ مِنكُمْ } dalam ayat 122 surat Ali Imran ialah Bani Salamah dan Bani Harithah. [Riwayat Bukhari & Muslim].
Ulama’ tafsir tanpa khilaf kata mereka ini adalah Bani Salimah & Bani Harithah.
- Lalu Allah peringatkan: Kenapa mesti mereka berasa tidak yakin dan lemah semangat padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; lalu Allah ajar orang mukmin kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
Akhirnya alhamdulillah Allah jaga mereka & mereka tidak jadi balik terus berperang.
AYAT 123- {DAN SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENOLONG KAMU MENCAPAI KEMENANGAN DALAM PEPERANGAN BADAR, SEDANG KAMU BERKEADAAN LEMAH (KERANA KAMU SEDIKIT BILANGANNYA DAN KEKURANGAN ALAT PERANG). OLEH ITU BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH, SUPAYA KAMU BERSYUKUR (AKAN KEMENANGAN ITU).} (ALI-‘IMRAN 3:123)
- Apabila melihat semangat tentera Islam yang lemah & turun ini; Allah mengingatkan mereka akan kemenangan mereka dalam peperangan Badar sebelum ini!
- Sedangkan mereka adalah tentera yang lemah iaitu kerana sedikit bilangan & kekurangan senjata; 313 orang lawan 1000 tentera musyrikin!
Tetapi dengan pertolongan Allah SWT mereka mencapai kemenangan besar! 70 orang pemuka Quraisy telah terbunuh dan 70 ditawan!
- Yakni Allah peringatkan kepada kita bahawa faktor kemenagan itu dua; sabar & taqwa.
Umat Islam di Badar telah merealisasikan kemenangan yang dapat diingat sehingga sekarang.
- Maka walaupun mereka seperti tewas dalam Ghazwah Uhud tetapi mereka mestilah sabar & tetap bersyukur atas kemenangan yang telah Allah beri sebelum ini!
Bila kita bersyukur kita kena ikut arahan & jangan langar perintah Allah Azza wa Jalla.
AYAT 124- {(INGATLAH WAHAI MUHAMMAD) KETIKA ENGKAU BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (UNTUK MENGUATKAN SEMANGAT MEREKA): “TIDAKKAH CUKUP BAGI KAMU, BAHAWA ALLAH MEMBANTU KAMU DENGAN TIGA RIBU TENTERA DARI MALAIKAT YANG DITURUNKAN?,”} (ALI-‘IMRAN 3:124)
- Allah peringatkan lagi ketika Rasulullah SAW memberi semangat dan motivasi kepada tentera Islam.
- Ingatlah walaupun bilangan kamu sedikit hanya 300 lebih tentera, tetapi Allah menolong kamu dengan membawa turun 3000 tentera malaikat yang diturunkan dari langit!
- Yakni Rasulullah SAW telah memberi khabar gembira kepada kaum muslimin bahawa Allah akan hantar bantuan dengan menurunkan tentera malaikat untuk membantu mereka!
AYAT 125- {BAHKAN (MENCUKUPI. DALAM PADA ITU) JIKA KAMU BERSABAR DAN BERTAQWA, DAN MEREKA (MUSUH) DATANG MENYERANG KAMU DENGAN SERTA-MERTA, NESCAYA ALLAH MEMBANTU KAMU DENGAN LIMA RIBU MALAIKAT YANG BERTANDA MASING-MASING.} (ALI-‘IMRAN 3:125)
- Allah akan menolong orang Islam dalam menghadapi pencerobohan musuh jika umat Islam berdiri teguh atas dasar syarat yang diberi dipenuhi.
- Iaitu dengan bersifat sabar, jangan lari dari perjuangan, cekal dan tabah serta bertaqwa- dengan melakukan ibadat & jauhkan maksiat, dengan teguh menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, disamping itu mereka terus berusaha serta bersedia dengan sungguh-sungguh!
- Lalu Allah kata jika kamu berasa tidak padan, tidak cukup lagi dengan bantuan 3000 malaikat itu, Allah akan turunkan 5000 bilangan malaikat yang bertanda untuk turut berperang menolong kamu!
- Dalam ayat ini Allah guna perkataan { بَلَىٰٓ ۚ}- jika kamu betul-betul berhajat- tak padan 3000 Allah akan hantar 5000 malaikat!
- Persoalan; apakah malaikat ini datang sekadar menakutkan musuh atau serta peperangan itu sungguh?
Ulama’ kata : Mereka menyertai peperangan & membunuh musuh dengan hakikinya!
i- Diriwayatkan juga dari Abi Zumail, ia berkata, “Ibnu Abbas RA. berkata kepadaku: ‘Salah seorang lelaki muslim yang sedang menghadapi seorang musyrik di depannya menerangkan kepada kita bahawa tiba-tiba ia mendengar suara pukulan cemeti di atasnya dan suara seorang pahlawan yang mengatakan, ‘Hadapilah (Aqdim) Haizum -nama kuda tunggangan Malaikat Jibril AS.’ Lalu ia lihat lelaki musyrik itu terkapar.” Dia berkata lagi: “Lelaki muslim itu mengamatinya, ternyata kepalanya telah remuk dan wajahnya terkoyak seperti (bekas) libasan cemeti. Lalu ia memanggil sekelompok kaumnya (untuk lihat juga). Kemudian orang Ansar itu datang dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda, “Engkau benar bahawa itu bantuan langit yang ketiga. Pada hari itu, mereka membunuh tujuh puluh orang (musuh) dan menawan tujuh puluh orang lainnya.”
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 121- {Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), }-
Dalam ayat ini Allah SWT mengkhususkan percakapan (khitab) kepada Rasulullah SAW sedangkan Baginda keluar bersama tenteranya.
Allah tuju ayat ini kepada Baginda SAW { وَإِذْ غَدَوْتَ } kerana Baginda adalah sebagai ketua dan Baginda yang menentukan masa bila nak keluar dan ke mana.
Dari rumah kamu { مِنْ أَهْلِكَ } adalah rmh UM Sayyidah Aisyah RA iaitu rumah Baginda yang paling dekat dengan masjid Nabi.
{dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud).}-
Ini menunjukkan sangat tinggi cara susun-atur Rasulullah SAW dalam pentadbiran dan peperangannya.
Tentera pemanah di atas bukit kecil, tentera lain turun ke medan peperangan di bawah dan lain-lain susunan.
Baginda juga telah berpesan kepada para tentera pemanah yang ditempatkan atas bukit Ainain (Jabal Rumah- nama sekarang) agar jangan sekali-kali tinggalkan post mereka itu walau apa terjadi!
Apabila Rasulullah SAW keluarkan perintah ini syaitan terus datang menghasut agar para sahabat buat sebaliknya! Inilah ujian Allah SWT kepada para sahabat ini. Sehingga kesemua tentera pemanah berjumlah 50 orang ini syahid dibunuh musuh kesemuanya!
- Ayat 122- {(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut,}-
Dua kabilah goyah kerana dicucuk jarunm hasutan oleh golongan musyrikin!
Kata para ahli ilmu : Kita ini jangan sombong & takabbur, jangan cakap besar kerana kita ini berada di bawah jagaan & taufiq Allah SWT. Jika Allah tak jaga kita, kita tak akan selamat daripada terjebak dengan dosa & maksiat.
Dulu nak buat maksiat kena cari tempat & perginya; tetapi hari ini ini alat untuk buat maksiat ada dalam poket masing-masing- atas keimanan kita nak guna untuk kebaikan atau keburukan.
Jika iman kuat kita akan dapat melawannya jika iman lemah kita akan terpedaya!
Ini semua adalah taufiq dari Allah SWT; Allah yang jaga mereka.
Alhamdulillah Allah jaga dua kablilah Bani Salimah & Bani Harith ini lalu mereka tidak lari!
Maka kita pun jangan cakap besar; jika Allah tak jaga & beri taufiq kepada kita; kita juga akan terjebak dengan perkara-perkara yang tidak baik!
Ayat ini mengajar kepada kepada kita erti tawakkal & pergantungan diri kepada Allah SWT. jangan rasa kita bijak, pandai strategi & banyak idea & teori!
Kita kena banyak minta taufiq dari Allah SWT barulah kita selamat!
- Ayat 122- {(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut,}-
Kenapa golongan mukmin ini goyah?
Kata ulama’ tafsir: mereka goyah kerana propaganda & di’ayah yang dimainkan oleh kafir & munafiq.
Propaganda ini jika didengar selalu atau hari-hari secara berterusan akan memberi kesan kepada jiwa orang yang beriman walaupun pada awalnya mereka tidak percaya dan menolaknya!
Kerana itu jangan dengar berita & khabar karut kerana takut akan terpengaruh akhirnya!
Hasutan & tohmahan yang berterusan akan memberi kesan kepada hati sedikit sebanyak!
Sepertimana kaum musyrikin Makkah yang membuat fitnah dan tuduhan bahawa Rasulullah SAW adalah sama ada seorang yang gila, ahli sihir atau penyair untuk menjauhkan orang ramai dari Baginda.
Tetapi jangan runsing orang yang gali lubang untuk menjatuhkan orang lain, suatu hari nanti dia sendiri akan jatuh ke dalam lubang itu dengan kuasa Allah!
Kerana itu orang yang berkuasa yang naik dengan cara khianat & jahat; dia akan terus buat khianat pula kepada orang kerana dia takut orang lain akan buat jahat juga kepadanya dan akan jatuh & kehilangan kuasanya pula!
Inilah kuasa viral!
Kita para pendakwah juga kena gunakan kuasa viral ini; kita nak sebar kepada masyarakat bahawa inilah Sunnah Nabi SAW yang sahih, inilah amalan yang Nabi ajar & buat.
Kena gunalah viral lawan viral juga!
Pada akhir ayat Allah SWT kata:
{dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.}-
Inilah senjata orang beriman yang paling besar iaitu tawakkal kepada Allah!
Jika tidak akan terjerumus kepada syirik & kesesatan!
- Ayat 124- {(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,”}-
Kenapa Allah hantar malaikat dengan begitu ramai? Sedangkan jika seorang malaikat yang amat hebat saja sudah mencukupi!
Jawapan :
Tujuan Allah sebut bilangan malaikat ini untuk meyakinkan hati orang mukmin bahawa pertolongan Allah itu besar serta tentera Allah SWT itu ramai, tidak ada angka dan kita tidak tahu bilangan mereka. Untuk menguatkan hati orang mukmin agar jangan goyah; walaupun bilangan kita sedikit tetapi malaikat yang bersama kita adalah ramai sekali.
Allah juga sebut { ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُنزَلِينَ } ini bermakna markas, tempat duduk malaikat & pusat pentadbirannya adalah di langit.
Malaikat ini kerjanya ini turun naik melakukan tugas yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka tukar shift dua kali sehari- subuh & asar.
Kecuali malaikat hafazah yang menjaga setiap manusia- mereka sentiasa bersamannya 24 jam seriap masa.
- Ayat 123- {Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).}-
Jika kamu rasa susah, penat dalam perjuangan, tidak menang-menang, tidak dapat nak laksanakan undang-undang Allah dan lain-lain; kamu sabarlah!
Ambillah pengajaran dari kisah Ghazwah Badar ini- walaupun bilangan tentera Islam sedikit tetapi dengan pertolongan Allah mereka menang besar!
Yakni bilangan sedikit atau ramai, jika cukup syarat akan dapat pertolongan Allah SWT!
Rasulullah SAW bermunajat kepada Allah sambil menangis di Badar tanpa henti sehingga jatuh (rida’) kain selempangnya!
Sehingga Abu Bakar menyuruh Rasulullah SAW cukup untuk bermunajat kerana pasti Allah akan tolong mereka!
Sedangkan semasa dalam Ghazwah Uhud mereka sudah berasa selesa sehingga lupa akan pesan Rasulullah SAW agar jangan tinggalkan tapak ini!
Yakni Allah ingatkan Rasulullah SAW & orang Islam jika kamu lemah sekarang; tetapi ingatlah Aku sudah beri pertolongan & kemenangan kepada kamu dalam peperangan Badar- mudah-mudahan kamu boleh sabar & ikut jejak dalam peperangan Badar!
Jangan lupa dua sifat yang sentiasa disebut iaitu sabar & taqwa.
Orang yang bertaqwa kena sabar!
Tetapi dalam ayat ini Allah hanya sebut taqwa kerana sudah sinonim bahawa orang yang bertaqwa adalah orang yang sabar!
Ya Allah jadikan kami ini orang yang sabar- orang yang sabar meninggalkan maksiat, sabar melakukan ibadat, sabar dalam mengikut Sunnah nabi SAW & meninggalkan segala larangan bid’ah, khurafat dan segala perkara yang tidak baik.
Ya Allah, dalam bulan mulia ini jadikan kami, kedua ibu bapa kami dan semua orang yang kami sayangi sebagai orang yang Kamu bebaskan daripada api neraka!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam.