ALLAH PILIH NABI ADAM DAN NUH, KELUARGA NABI IBRAHIM & KELUARGA ‘IMRAN DARI ZURIAT YANG SAMA.
Full video : https://youtu.be/uc1i3d1BHZA?si=wycOftvzPVA_JB62
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 33 sehingga 34. Surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
- Dalam siri ini Allah nyatakan bahawa Dia pilih Nabi Adam dan Nuh, ini dari sifat atau kategori individu.
- Kemudian dari kategori keluarga pula Allah pilih dua keluarga;
i- Keluarga Nabi Ibrahim- yang darinya lahir dua cabang-
a) Melalui anaknya Ishak dan Ya’kub, lahir bani Israil yang ramai dari keturunannya para nabi & rasul.
b) Manakala melalui anaknya Ismail pula melahirkan zuriat dari kalangan Arab yang kemudian Allah pilih dari kalangan mereka Sayyidul Mursalin Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir.
ii- Kemudian disebut keluarga ‘Imran kerana dari sana lahir satu kelahiran yang Ajaib iaitu Nabi Isa AS yang dilahirkan oleh ibunya Sayyidah Maryam tanpa seorang bapa.
- Kemudian Allah ceritakan kepada kita { ذُرِّيَّةًۢ بَعْضُهَا مِنۢ بَعْضٍۢ}-
{Satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain}- yakni daripada zuriat keturunan yang sama, lahirnya rasul-rasul yang mulia yang diutuskan Allah, itulah yang Allah pilih daripada kalangan manusia, malaikat yang Allah pilih untuk diberi tempat, kemuliaan & keberkatan!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah bagi kata putus bahawa siapa yang nak dapat kasih sayang Allah & mencintai Allah dia terikat untuk ikut ajaran Rasulullah SAW! Siapa yang kuat ikut ajaran Nabi SAW, maka dakwaan cintanya adalah mantap!
Siapa yang dakwa sayang kepada Nabi tetapi ajaran & Sunnah Nabi tidak diamalkan tetapi ambil ajaran lain yang direka; itu dakwaan yang tidak benar.
Siapa yang ikut ajaran Nabi dengan sebenarnya maka itulah orang yang berhak mendapat rahmat & kasih sayang Allah SWT.
Apabila Allah sayang dia beritahu kepada malaikat & malaikat pula beritahu kepada penduduk langit semua & ditulis kepada penduduk bumi pula untuk sayang juga.
Begitulah Allah pilih hamba-hamba-Nya untuk disayangi & diberi rahmat!
Ya Allah masukkan kami ke dalam golongan ini.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan jalan-jalan untuk ikut nabi itu datang dari lorong yang dipilihAllah.
Bermula dari Nabi Adam AS diteruskan oleh Nabi Nuh, kemudian melalui Nabi Ibrahim lalu diteruskan oleh anak cucunya & diakhiri oleh Nabi Muhammad SAW! Jika nak Allah sayang kepada kita kena taat & patuh kepada perintah Allah & ikut Nabi SAW, jangan buat perkara yang derhaka & dimurkai Allah SWT!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 33-{SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMILIH NABI ADAM, DAN NABI NUH, DAN JUGA KELUARGA NABI IBRAHIM DAN KELUARGA IMRAN, MELEBIHI SEGALA UMAT (YANG ADA PADA ZAMAN MEREKA MASING-MASING).} (ALI-‘IMRAN 3:33)
- Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Dia telah pilih Nabi Adam AS dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat yang ada pada setiap zaman mereka itu!
- Pertama : Allah pilih nabi Adam AS:
i- Lalu dicipta dengan tangan-Nya sendiri, lalu ditiup rohnya, lalu diarahkan malaikat sujud menghormati kepadanya. Allah juga ajarkan kepada nabi Adam nama segala benda yang tidak diketahui oleh sesiapa sebelum ini hatta para malaikat! Itulah kemuliaanya.
ii- Kemudian Allah tempatkan Nabi Adam di dalam syurga, kemudian dengan taqdir & hikmah yang telah dirancang & disusun oleh Allah. Adam bersalah & dikeluarkan dari syurga. Adam kemudian bertaubat kepada Allah dan Allah menerima taubatnya!
iii- Adam bersalah lalu dia bertaubat dengan cara yang diilhamkan oleh wahyu dari Allah kepadanya lalu Allah terima taubatnya!
Allah SWT berfirman: {“Kemudian Tuhannya memilih Dia, maka Dia menerima taubatnya dan memberinya petunjuk.”} (Tahaa: 122)
- Kedua : Selepas Nabi Adam Allah pilih Nabi Nuh AS, dia adalah rasul yang pertama selepas nabi Adam AS.
i- Zuriatnya yang menyambung kembali kehidupan manusia di dunia setelah tenggelam semua golongan kafir dengan banjir besar dulu! Nabi Nuh dikenali sebagai Bapa manusia Generasi kedua.
ii- Iaitu apabila berlakunya banjir besar yang memusnahkan semua orang kafir & Allah pilih selamatakan Nabi Nuh & orang beriman yang berada di atas bahtera bersama Nabi Nuh AS.
iii- Zuriat Nabi Nuh yang beriman menyambung generasi manusia & ramai dari mereka adalah para anbiya’ wal-mursalin!.
iv- Kata Ibnu Abbas RA: Jarak antara Nabi Adam & Nuh adalah 10 kurun! Kurun itu dikira macamana & berapa tahun wallahu a’lam. Kerana usia Nuh AS sendiri sudah 1000 tahun lebih!
v- Kemudian berlaku penyelekewengan yang dibuat oleh manusia kerana terlalu memuja golongan soleh.
Selepas mati orang soleh di kalangan mereka syaitan datang menghasut meracuni dalam hati mereka! Lalu pelukis-pelukis dipanggil, digambarkan patung untuk diletakkan dekat tempat mereka solat. Selepas datang generasi berikutnya mereka meneruskan pemujaan dan penyembahan tanpa mengetahui kisah sebenar!
vi- Nabi Nuh dibangkitkan sebagai rasul pertama selepas Adam AS. Semua rasul-rasul ini agamanya sama iaitu Islam yang mentauhidkan Allah Azza wa Jalla!
Tetapi syariatnya berbeza mengikut kesesuaian zaman & manusia pada waktu itu.
vi- Contohnya masa nabi Adam dibolehkan pernikahan antara adik-beradik, kerana pada masa itu tiada manusia atau keluarga lain!
Pada zaman nabi Nuh tidak dibolehkan lagi, tidak boleh kahwin sesama keluarga yang dekat seperti adik-beradik, ibu atau bapa saudara dan seumpamanya.
Waris paling dekat yang boleh dikahwini dalam Syari’at kita ialah sepupu. Seperti Ali bin Abu Talib sepupunya Rasulullah SAW, yang dikahwinkan dengan anak perempuannya iaitu Sayyidah Fatimah RA. Jadi Ali adalah sepupu & menantu kepada Rasulullah SAW.
Jadi Nabi Nuh AS. adalah rasul pertama yang diutus oleh Allah SWT kepada penduduk bumi setelah Nabi Adam dengan membawa Syari’ah yang lebih terperinci & luas daripada zaman nabi Adam kerana manusia telah semakin ramai & berkembang biak.
- Kemudian Allah SWT menyebut tentang kategori keluarga pula iaitu dua keluarga yang mulia iaitu keluarga Ibrahim {ءَالَ إِبْرَٰهِيم} dan keluarga Imran {وَءَالَ عِمْرَٰنَ}.
- Pertama : Keluarga nabi Ibrahim AS yang dianugerahkan lahir dari zuriatnya ramai para rasul & anbiya’ termasuk nabi kita, Muhammad SAW. Keluarga Ibrahim ini terpecah dua dengan dua jalur anaknya iaitu:
i- Satu kumpulan dari Ishak kemudian anaknya Ya’kub yang digelar Israil dan Al-Asbat (لأسباط) iaitu anak cucu keturunannya seperti Yusuf & juga keluarga Imran- yang lahir darinya Maryam ibu kepada Nabi Isa AS.
ii- Dari jalur anaknya nabi Ismail- yang dari Ismail lahirnya Nabi Muhammad SAW dari keturunan Arab. Kerana itu dalam Al-Quran banyak menyebut tentang mereka ini kerana ada kaitannya!
- Kemudian Allah sebut Dia memilih ahli keluarga Imran. Imran ini ialah bapa & ibu kepada Sayyidah Maryam yang darinya terlahirlah nabi Isa AS. Mereka dipilih dan dimuliakan atas sekelian alam, yakni golongan terbaik dari kalangan manusia pada zaman masing-masing. Mereka semua ini jauh tempohnya iaitu dari zaman nabi Ibrahim kepada nabi Isa sudah beberapa ribu tahun. Ada juga ulama’ yang kata kerana mereka adalah para nabi, maka maksudnya {عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ} ialah atas sekelian manusia atas dunia ini juga bukan pada zaman mereka sahaja! Tetapi sesama nabi & rasul pun darjatnya masing-masing pula, ada ulul-azmi kemudian yang paling tinggi darjatnya ialah Rasulullah SAW!
- Ayat ini ditafsir bersama beberapa firman Allah SWT lagi:
i- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima Kitab-kitab agama; maka sebahagian di antara mereka: orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik – derhaka.{ (Al-Hadiid 57:26)
ii- {Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (agama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.} (An-Nisaa’ 4:54)
- Imran, ayah kepada Sayyidah Maryam, ibu kandung kepada Nabi Isa AS ini dikatakan nama lengkapnya adalah ‘Imran bin Yasyim bin Misya bin Hazqiya bin Ibrahim (datang dari keturunan Nabi Ibrahim) dan nasabnya berakhir sampai ke Nabi Sulaiman bin Daud AS. Jadi Nabi Isa AS. adalah berasal dari zuriat Nabi Ibrahim AS.
AYAT 34-{ (MEREKA KEMBANG BIAK SEBAGAI) SATU KETURUNAN (ZURIAT) YANG SETENGAHNYA BERASAL DARI SETENGAHNYA YANG LAIN. DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENDENGAR, LAGI SENTIASA MENGETAHUI.} (ALI-‘IMRAN 3:34)
- Mereka para nabi-nabi ini berkembang biak sebagai satu keturunan (نسلا), satu zuriat setengahnya berasal dari satu zuriat yang lain.
- Iaitu dari keturunan Adam AS. pergi kepada Nabi Nuh, mati habis yang kafir, tinggal keluarga Nuh yang baki atas dunia. Dari keturuan Nuh lahirnya Nabi Ibrahim AS. yang lahir darinya para anbiya’ yang lain seperti Musa, Harun, Isa dan Muhammad SAW.
- Allah pilih mereka menjadi orang yang beriman, yang taat kepada agama & orang-orang yang tolong menolong antara mereka.
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:
{Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.} (Al-An’aam 6:87)
- Inilah keluarga-keluarga yang sebahagian daripadanya datang dari sebahagian yang lain, anak beranak, satu cawangan keluarga!
- Dalam ayat ini kita dapat lihat Allah sebut 2 nama dari kategori individu (Adam & Nuh) dan dua dari kategori keluarga (Ali-Ibrahim & Ali-‘Imran). Persoalannya: Kenapa Allah sebut nama empat orang ini sahaja, sedangkan ramai lagi nabi-nabi lain?
- Jawapan: Hikmahnya kerana semua rasul & nabi-nabi yang lain datang dari jalur mereka. Sebelum datang Nabi Ibrahim- nasab keturunannya datang dari Nabi Nuh, manakala selepas Nabi Ibrahim semua rasul & nabi yang lain datang dari keturunan Nabi Ibrahim pula!
- Cuma keluarga (Al) Imran walaupun datang dari keturunan Nabi Ibrahim juga; tetapi disebut khas kerana kelahiran Nabi Isa agak ganjil berbanding dengan manusia biasa.
- Ada 3 kelahiran yang ganjil atas dunia ini iaitu :
i- Adam lahir tanpa ibu & bapa.
ii- Hawa tanpa ibu ada bapa.
iii- Isa ada ibu tiada bapa!
- Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Mengetahui { سَمِيعٌ عَلِيمٌ}- yakni Allah tahu siapa di kalangan hamba-Nya yang Dia nak pilih & nak beri kelebihan. Dia juga maha mendengar & tahu keadaan mereka, tahu apa yang mereka kata & tahu juga apa yang ada dalam hati mereka; ikhlas atau tidak. Kerana itulah Allah pilih dan ambil mereka sebagai hamba-Nya yang terpilih & dimuliakan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 33-{Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).}-
Kata para ulama’ kenapa dibawa ayat ini?
Jawapan:
Kerana kafir tulen penyembah berhala di Makkah & ahlu Kitab juga bersama mereka dalam mendustakan & mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW kerana dengki kepada Baginda SAW.
Maka Allah bawa ayat ini untuk menguatkan keturunan Rasulullah SAW yang datang dari keturunan para anbiya’ yang sama, dari Adam, Nuh, Ibrahim!
Walaupun bukan dari bani Israil tetapi dari keturunan yang sama iaitu daripada Ibrahim AS.
Hujjah yang tidak boleh dibahaskan lagi.
Ayat ini juga datang untuk menolak kedua hujjah mereka- nak bantah akan pendapat ahli kitab dan kaum Quraish yang Nabi Muhammad SAW berasal dari keturunan yang tidak baik, nak lipat hujjah jahat yang dimainkan puak kafir.
Mereka menolak Rasulullah SAW kerana:
i-Quraisy tolak Nabi SAW kerana ajaran yang berbeza.
ii- Manakala Yahudi tolah Baginda kerana bukan dari kaum yahudi! Jadi Allah nyatakan susur galur Baginda daripada awal- dari Ibrahim AS melalui jalur anaknya Ismail AS. Manakala yahudi dari Nabi Ya’kub melalui anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ishak AS, maka pelik apanya mereka semua dari satu keturunan yang sama.
i- Point pertama adalah untuk menolak dakwaan ahli kitab yang mendakwa bahawa nabi hanya dari kalangan bani Israil saja!
ii- Juga keduanya untuk membatalkan syubhah fahaman kaum musyrikin Quraisy bahawa nabi sepatutnya bukan dari kalangan manusia! Jadi beritahu bahawa semua nabi-nabi terdahulu adalah dari kalangan manusia juga, bukan dari kalangan malaikat!
- Ayat 34-{(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain.}-
Keluarganya datang sebahagiannya daripada sebahagian yang lain! Yakni para nabi itu berasal dari keturunan yang sama- dari satu zuriat kepada satu bahagian keluarga yang lain!
Keluarga Ibrahim adalah anak-anaknya iaitu nabi Ishak & Ismail AS.
Ibrahim asalnya dari Nuh, Nuh dari nabi Adam.
Keluarga Imran pula berasal dari Musa, Harun, Isa & ibunya semua dari keturunan dari nabi Ibrahim, yakni keluarga Imran juga punya susur galur dari nabi Ibrahim AS.
Adapun Nabi Muhammad SAW, berada pada martabat yang paling tinggi sekali, kerana dia adalah Habibburahman Allah lantiknya sebagai Rahmatan lil-Alamin, pembawa rahmat kepada alam, yang dianugerahkan kepada manusia sejagat.
Sabda Rasulullah SAW: اِنَّما أنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ Aku ini rahmat yang Allah anugerahkan kepada kamu (رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ). [HR al-Hakim].
Alhamdulillah ada sebuah kitab Sirah Nabi Muhammad SAW yang bertajuk: “Rahmatun Muhdah- ” KLIK DI SINI
- Ayat 34-{Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.}-
Ayat ini ada sentuhan tadabbur untuk kita!
Apabila Allah beritahu yang Dia pilih, Dia yang atur, Dia lantik para nabi itu- maka Allah mahu nyatakan bahawa semua perlatikan & pilihan itu bukan suka-suka, tetapi dengan ilmu-Nya yang Maha Benar & tepat!
Maka kerana para rasul & nabi itu Allah sendiri yang pilih; kamu kena ikutlah mereka yang telah Allah pilih itu!
Mereka pastilah manusia yang ada keistimewaannya tersendiri!
Mereka dipilih dan dimuliakan atas seluruh makhluk, mereka adalah orang-orang pilihan.
Allah nak menguatkan hujjah dan bukti akan dakwah yang disampaikan oleh para Nabi.
- Ayat 33-{Dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran,}-
Allah sebut pula dua keluarga- keluarga Ibrahim & keluarga Imran. Ini kerana dari mereka inilah lahirnya ramai nabi dan rasul. Dari Nabi Ibrahim saja berapa orang anak cucu keturunannya yang jadi nabi & rasul.
Begitu juga keluarga Imran bermula dari Nabi Musa AS berapa orang lagi nabi selepasnya.
Bila Allah pilih, ada orang yang dengan keluarganya ada yang secara individu.
Kerana itu apabila kita berselawat dengan selawat yang sahih, selawat yang paling afdhal sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW sendiri kepada para sahabat; ia dikembarkan sekali selawat ke atas Nabi Muhammad & ke atas keluarganya dengan selawat ke atas Nabi Ibrahim & ke atas keluarganya.
Terdapat beberapa riwayat yang sahih yang mengajar cara bacaan selawat ini; dan selawat Ibrahimiyyah sebagaimana yang kita baca dalam tasyahud akhir semasa solat adalah yang tebaik & paling afdhal.
Ini kerana Rasulullah SAW walaupun seorang Rasul yang hebat tetapi tidak ada daripada keturunan Baginda yang menjadi nabi kerana Baginda SAW adalah rasul yang terakhir!
Kerana itu kita kembarkan dengan Ibrahim & Al-Ibrahim yang ramai daripada keturunannya adalah para nabi & rasul.
- Ayat 34-{ keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).}-
Kenapa di sebut khas pula keluarga Imran sedangkan mereka juga berasal dari keturunan Nabi Ibrahim?
Jawapan:
Dari segi kaedah bahasa Arab: terdapat sebutan khas selepas sebutan am untuk menunjukkan keistimewaan. Jadi Ali-‘Imran disebut pula secara khas walaupun mereka juga berasal dari keturunan Nabi Ibrahim juga.
Kerana nak menzahirkan kedudukan Nabi Isa AS, Kerana isu nabi Isa ini adalah punca perbalahan dengan pelbagai golongan dalam dunia ini seperti yahudi & nasrani!
i- Kita berbalah dengan Yahudi kerana mereka kata Isa anak tak sah taraf.
ii- Manakala kita berkelahi dengan nasrani kerana mereka mendakwanya sebagai anak Tuhan!
iii- Kita orang Islam mengatakan bahawa Isa adalah hamba Allah yang terpilih & dilantik sebagai salah seorang rasul Allah.
Persoalan kedua: Kenapa hanya disebut keluarga Ibrahim tetapi tidak disebut tentang Ibrahim itu sendiri?
Jawapan:
Apabila disebut keluarga seseorang itu baik, seperti keluarga Ibrahim ini, maka pastilah si bapa iaitu Ibrahim sendiri yang utama & terbaik dulunya. Maka tak perlu sebut lagi tentangnya kerana secara auto sudah dimaklumi.
Ibrahim ini adalah Bapa Kepada Nabi-Nabi (ابو الانبياء), (ابو الحنفاء) AS.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran.
Wallahu A’lam