View Categories

Surah Ali-‘Imran : Ayat 86-89

BAHAYA MURTAD, KEGELINCIRAN ORANG ALIM & SYARAT TAUBAT.

Full video : https://youtu.be/MGSCTfd7zzQ?si=QVLtEO2QI1o1Ar2x

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 86 sehingga 89, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang ketiga.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang bahaya murtad.
  1. Serta tentang kegelinciran orang alim yang tahu yang ada ilmu tetapi tetap buat dosa maksiat!
  1. Kemudian Allah bawakan syarat taubat bagi orang yang murtad dan lain-lain dosa.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT besarkan kedudukan Islam & iman dengan firman-Nya:
    {وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ}.

    ii- Kemudian Allah kuatkan lagi kedudukan & keagungan Islam itu dengan menyatakan dalam ayat ini janji siksaan amaran kepada orang yang meninggalkan Islam! 
    Allah tidak akan beri petunjuk kepada mereka yang lari dan berpaling dari Islam!
    Sempena 1 Ramadhan hari ini kita berdoa kepada Allah moga Ramadhan ini yang terbaik bagi kita dengan meningkatkan amal ibadat dengan sepenuh usaha & tenaga.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 86- {BAGAIMANA ALLAH AKAN MEMBERI PETUNJUK HIDAYAH KEPADA SESUATU KAUM YANG KUFUR INGKAR SESUDAH MEREKA BERIMAN, DAN JUGA SESUDAH MEREKA MENYAKSIKAN BAHAWA RASULULLAH (NABI MUHAMMAD) ITU ADALAH BENAR, DAN TELAH DATANG PULA KEPADA MEREKA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK AKAN MEMBERIKAN PETUNJUK HIDAYAHNYA KEPADA KAUM YANG ZALIM.} (ALI-‘IMRAN 3:86)

  1. Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang kufur ingkar. Iaitu yang mereka masuk Islam sekejap kemudian lari sedangkan dia sudah tahu & menyaksikan bahawa Rasulullah SAW itu benar.
  1. Sebab nuzul ayat :
    Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA yang menceritakan bahawa “Ada seorang dari kalangan Ansar murtad sesudah masuk Islam, lalu ia bergabung dengan orang-orang musyrik, tetapi setelah itu ia menyesal. Kemudian ia mengirimkan utusan dari kaumnya agar mereka menanyakan kepada Rasulullah ﷺ, apakah masih ada jalan taubat baginya. Lalu turunlah firman Allah SWT ini: {Bagaimana mungkin Allah memberi petunjuk suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman.} (Ali Imran: 86) sampai dengan firman-Nya:  {Kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} (Ali Imran: 89). Setelah itu kaumnya memanggilnya dan menyampaikan berita gembira itu kepadanya dan ia masuk Islam kembali.” [HR Imam An-Nasai, Imam Hakim, Imam Ibnu Hibban dan lain-lain].
  1. Ini kerana mereka laru sesudah beriman, sudah kenal Islam, sudah mengucap dua kalimah syahadah maka Allah kata Dia tidak akan beri lagi petunjuk kepada mereka!
  1. Tiga kesalahan utama mereka:
    i- Mereka sudah beriman.

    ii- Sudah berikrar, bersaksi bahawa Rasulullah SAW adalah benar utusan Allah, benar dalam apa yang dibawanya, benar & adil dalam hukum-hakamnya!

    iii- Juga telah datang kenapa mereka {ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ} hujjah-hujjah, dalil-dalil, bukti-bukti yang menyakan benarnya Islam & apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan jelas!
    Yakni jika mereka ahli kitab, mereka sudah ada Taurat & Injil yang menjelaskan segalanya. Atau jika mereka Arab musyrikin; mereka sudah saksikan mukjizat Al-Quran, mukjizat Rasulullah SAW yang begitu nyata. 
  1. Allah SWT tidak akan beri kepada mereka taufiq untuk mendapatkan kebenaran bagi mereka yang zalim kepada dirinya sendiri iaitu dengan berpaling dari kebenaran!
    Dia ikut yang batil setelah dia dia tahu tentang kebenaran & tentang kebatilan perkara itu!!

AYAT 87- {MEREKA ITU BALASANNYA IALAH BAHAWA MEREKA DITIMPA LAKNAT ALLAH DAN MALAIKATNYA SEKALIAN ORANG-ORANG (YANG BERIMAN).} (ALI-‘IMRAN 3:87)

  1. Balasan bagi mereka yang murtad dan lari daripada kebenaran ini setelah datang kepada mereka dalil keterangan yang jelas:
    i- Dilaknat oleh Allah

    ii- Dilaknat oleh para malaikat yang berjuta-juta.

    iii- Semua manusia yang beriman juga melaknat mereka!
  1. Maksudnya laknat ini ialah jauh daripada rahmat Allah! 
    Bahkan ada ulama’ yang kata : Apabila dilaknat oleh Allah & malaikat maka makhluk lain seperti haiwan-haiwan juga melaknatnya!

AYAT 88- {MEREKA KEKAL DI DALAMNYA, TIDAK DIRINGANKAN AZAB SEKSA DARIPADA MEREKA DAN MEREKA PULA TIDAK DIBERI TEMPOH ATAU PERHATIAN;} (ALI-‘IMRAN 3:88)

  1. Hukuman keempat : Mereka ini jika tidak bertaubat akan kekal di dalam laknat dan berada dalam neraka itu selamanya!
  1. Hukuman kelima : Tidak akan diringankan langsung azab siksa yang dikenakan ke atas mereka di Akhirat kelak.
  1. Hukuman keenam : Mereka juga tidak akan diberi tempoh, diberi tangguh & tidak diberi masa; yakni jika dia mati tanpa bertaubat- laknat itu akan kekal berterusan ke atasnya! 

AYAT 89- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT SESUDAH (INGKAR) ITU, SERTA MEMPERBAIKI KEBURUKAN MEREKA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ALI-‘IMRAN 3:89)

  1. Sebagaimana dalam sebab nuzul ayat tadi, keluarganya bertanya apakah dia amsih boleh bertaubat, apakah Allah terima atau tidak?
  1. Allah jawabnya dalam ayat ini bahawa sesiapa yang bertaubat serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!
  1. Yakni setelah menyesal dan bertaubat wajib dia meninggalkan segala perbuatan buruk itu, menjauhkan diri darinya serta memperbaiki {وَأَصْلَحُوا۟} atau tarik balik segala kerosakan yang dia telah buat! 
  1. Serta dia wajib beramal dengan amal yang soleh! 
    Apakah syarat amal itu menjadi soleh? 
    Iaitu dengan:
    i- Ikhlas kepada Allah SWT.

    ii- Ikut apa yang diajar oleh Nabi SAW. 
  1. Di akhir ayat Allah menyatakan dua sifat-Nya yang besar:
    i- Sesungguhnya Allah Maha Pengampun { ٱللَّهَ غَفُورٌۭ}- iaitu Allah sembunyikan dosa-dosa yang lepas. Tidak akan diungkit lagi, semuanya akan diampun dan dimaafkan oleh Allah SWT!

    ii- Lagi Maha Mengasihani { رَّحِيمٌ}- Allah curahkan rahmat & kasih-sayang-Nya, iaitu Allah lepaskan & tidak ambil tindakan ke atasnya dan curahkan rahmat-nya kepada orang yang bertaubat!
  1. Ya Allah ampunkan dosa kami & kedua ibu bapa kami, semua orang yang kami sayangi, sembunyi & hapuskan dosa-dosa kami, masukkan kami ke dalam kasih sayang & limpahan rahmat-Mu, yang membolehkan kami masuk ke dalam syurga-Mu!
  1. Hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. 
    Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.”
    [HR Bukhari & Muslim].
  1. Kenapa begitu?
    Supaya kita nampak bahawa kita dengan Tuhan ini bukan seperti pekerja dengan majikan- jika tak bayar gaji atau beri upah boleh dikomplen atau report kepada pihak berkuasa. 
  1. Tetapi jika dengan Tuhan kita tidak boleh dakwa dan minta balasan atas segala amalan kita; tetapi kita wajib kena usaha mencari rahmat Allah sebanyak mungkin dengan cara melakukan ibadat yang baik kepada Allah. Supaya kita menjadi orang yang layak mendapat rahmat Allah! 
    Amalan itu hanya menjadi sebab kita masuk syurga dengan rahmat Allah SWT! Kita nak rahmat Allah kenalah beramal!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 86- {Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman,}-

    Ayat ini menjadi isyarat bahawa balasan adalah mengikut amalan.
    Orang yang murtad itu telah melakukan 3 jenayah:
    i- Sudah beriman kemudian lari murtad balik.

    ii- Sudah bersaksi Rasulullah itu benar kemudian dia dustakannya semula.

    iii- Dia sudah melihat dalil & hujjah yang benar tetapi tetap menolak.

    Maka Allah letak di sini tiga hukuman juga:
    i- Laknat Allah

    ii- Laknat malaikat 

    iii- Laknat manusia yang beriman seluruhnya! Tiga lawan tiga ini adalah cukup merbahaya!
  1. Ayat 86- {Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata.}-

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menunjukkan bahawa tergelincirnya seorang yang alim daripada jalan yang benar lebih berhaya, lebih besar dosanya, lebih jahat, lebih dahsyat daripada tergelincirnya orang yang jahil!
    Orang jahil dia tidak ada ilmu maka logiklah dia lari tetapi orang yang tahu & ada ilmu jika dia lari berpaling juga maka amat besar dosa & kesalahannya!

    Sebab orang lari walaupun ada ilmu :
    i- Nak jaga kepentingan diri. Jika cakap yang benar takut orang tak suka, kena sekat daripada berdakwah dan lain-lain.

    ii- Tiada sekatan pun, dia sendiri yang mahu mengejar dunia, mahu mencari pengaruh & ikut hawa nafsu. 
    Sesiapa yang sesat atas ilmu- dia tahu tetapi tetap sesat; maka dia tidak akan dapat petunjuk Allah SWT! 
    Orang yang buat juga salah selepas dia tahu benda itu salah; maka ini amat bahaya kerana dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT & jauh dari rahmat-Nya.
  1. Ayat 86- {Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman,}-

    Biasanya : Orang yang jahil apabila diajar & diberitahu- senang terima & ikut, mudah terima ajaran.
    Manakala orang yang tahu tetapi yang keras kepala- bukan lawan kerana jahil tetapi lawan kerana nafsu, dia tahu tetapi tidak mahu ikut sama ada kerana takut hilang jawatan atau hilang pengaruh atau dia sendiri takabbur berasa dia rasa sangat pandai & serba tahu; susah untuk terima pendapat, nasihat serta ajaran yang benar dari orang lain. 
    Maka payah nak ubat, tidak ada penawar yang mudah dapat mengubat mereka ini.
    Dalam ayat ini Allah besarkan kedudukan orang kafir itu kerana mereka sudah terima kenyataan, iman, syahadah & keterangan tetapi tetap kafir juga!
  1. Ayat 86- {Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman}-

    Dari sunnatillah : Orang yang Allah beri nikmat kemudian dia ingkar kufur nikmat; Allah akan tarik kembali nikmat itu! 
    Orang yang sudah mendapat iman tetapi dia lari lalu kufur; Allah tidak akan beri lagi petunjuk kepadanya!
    Seperti orang yang ada nikmat harta tetapi tetap tidak mahu sedekah tidak mahu infaq- cukup bahaya kerana nikmat itu Allah akan tarik dengan sebab kufur nikmat itu.
    Allah beri kesenangan patutnya dia gunakan untuk jalan kebaikan; tetapi dia tidak, bahkan gunakannnya pada jalan maksiat & kerosakan! 
    Begitu juga orang yang ada ilmu tetapi dia tidak beramal dengan ilmunya, sembunyikan hukum & maklumat kerana kepentingan dunia atau nak jaga orang besar; maka mungkin suatu hari Allah akan tarik ilmunya kerana tidak beramal dengan sebenarnya!
  1. Ayat 89- {Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka,}-

    Orang yang bertaubat & betul-betul menyesal serta memperbaiki keburukan mereka.
    Ayat ini dalil bahawa taubat saja tidak uckup; kena perbetulkan balik & baik pulih apa kesalahan atau kerosakan yang telah dibuatnya; terutamanya orang yang berbuat salah sesama manusia.
    Contoh- seperti orang yang menzalimi dan mengkhianati hak orang; wajib dia bertaubat serta mengembalikan milik orang jika dia ambil tanpa hak, mesti pulihkan kembali nama & maruah orang yang dirosakkannya dulu dengan fitnah & tuduhan yang palsu! 
    Bukan hanya sekadar tarik diri begitu saja- kena bertanggungjawab dengan jawatan & tugasan yang dipegang.
    Taubat saja tidak cukup, kena taubat diikuti dengan amal soleh baru dikira benar-benar bertaubat.

    Allah tutup ayat ini dengan dua nama-Nya yang mulia:
    Ayat 89- {Maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}
    i- Allah Maha Pengampun {غَفُورٌۭ} mengandungi al-maghfirah, bila Allah kata Dia ampunkan maka Allah sembunyikan dosa-,dosa dan aib kita serta di maafi akan segala dosa kita.

    ii- Maha Mengasihani { رَّحِيمٌ }- Allah beri apa yang kita nak, kita nak Allah berikan kita kebaikan dunia & Akhirat, hidupkan kita sebagai seorang muslim & mukmin, matikan kita dalam husnul khatimah dan lain-lain.
    Sempena dengan kedatannga Ramadhan Mubarak yang mulia ini, tahniah & alhamdulillah kerana kita sudah sampai kepada Ramadhan sebagaimana doa kita sebelum ini.
    Dalam ayat ini Allah nyatakan sifat-Nya yang penuh kemaafan & betapa rahmat-Nya Yang Maha Luas; maka kita ambillah kesempatan untuk berdoa dengannya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu Al-Quran. 
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs