View Categories

SURAH AN-NAMLI : AYAT 29-37

\"\"

NABI SULAIMAN MENGUTUS SURAT KEPADA BALQIS, BALQIS MENCUBA NASIB DENGAN MENGUTUS HADIAH & SULAIMAN BAGI ANCAMAN KALAU TAK MAHU ISLAM.

Full video : https://youtu.be/bci2ukMKFGU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini disambung kisah Nabi Sulaiman a.s a.s. dan kebesaran Kerajaan nabi Sulaiman a.s dan perarakan tenteranya. Dalam episod pertama tentang kisahnya dengan semut di Wadi an-Naml.
  2. Episod kedua ialah tentang kisah Hud-hud yang hilang kemudian datang membawa satu berita yang besar.
  3. Ini adalah episod ketiga kisah nabi Sulaiman a.s ini, iaitu bersama Ratu Kerajaan Saba\’, Ratu Balqis atau Bilqis yang diceritakan oleh hud-hud.
  4. Yakni apabila hud-hud membawa laporan tentang Kerajaan Saba\’ yang menyembah matahari ini nabi Sulaiman a.s segera menghantar hud-hud membawa surat dan dakwahnya kepada mereka.
  5. Adalah senang bagi hud-hud sebagai burung untuk terbang keluar masuk kerana istana Ratu Balqis mempunyai tingkap-tingkap yang banyak di sebelah timur dan baratnya kerana mereka penyembah matahari.
  6. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kebenaran kisah yang hud-hud bawa serta untuk segera berdakwah apabila mendengar kesyirikan yang berlaku.
  7. Maka kita lihat apa yang terjadi dalam episod ini setelah Ratu Balqis menerima surat itu dari nabi Sulaiman a.s ini.

AYAT 29- {(SETELAH MEMBACA SURAT ITU), BERKATALAH RAJA PEREMPUAN NEGERI SABA\’: \”WAHAI KETUA-KETUA KAMU! SESUNGGUHNYA TELAH DISAMPAIKAN KEPADAKU SEPUCUK SURAT YANG MULIA.} (AN-NAML 27:29)

  1. Setelah hud-hud mencampak surat itu kepada Ratu Balqis- bagaimana caranya-ialah secara tidak rasmi, hanya hud-hud campakkaan surat itu dan ianya sampai ke tangan Ratu Balqis dan dibacanya.
  2. Baklqis lalu memaklumkan kepada pembesarnya bahawa dia telah menerima satu surat yang mulia.
  3. Kenapa Balqis menyifatkan surat itu sebagai: {surat yang mulia.} كِتَابٌ كَرِيمٌ
    Kata ulama\’ ianya mungkin kerana:
    i- surat itu sendiri, kertasnya cantik.
    ii- tulisannya yang indah dan tersusun.
    iii- isi kandungannya yang mulia, rasmi, beradab dan tertib.
  4. Apakah bahasanya? Kerajaan Saba\’ adalah kerajaan Arab manakala kerajaan Sulaiman a.s adalah kerajaan Ibrani. Ulama\’ mengandaikan nabi Sulaiman a.s menulisnya dalam bahasa Arab, kerana samada dia sendiri pandai bahasa Arab atau menggunakan penterjemahnya, surat itu pula hanyalah pendek dan padat.

AYAT 30- {\”SESUNGGUHNYA SURAT ITU DARI NABI SULAIMAN, DAN KANDUNGANNYA (SEPERTI BERIKUT): `DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI,} (AN-NAML 27:30)

  1. Apakah isi kandangan surat itu? Mengadungi nama pengirim kemudian Basmalah – {Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani}

AYAT 31- {`BAHAWA JANGANLAH KAMU MENINGGI DIRI TERHADAPKU, DAN DATANGLAH KAMU KEPADAKU DENGAN MENYERAH DIRI (BERIMAN DAN MEMATUHI AJARAN AGAMA ALLAH).} (AN-NAML 27:31)

  1. Nasihat pertama Sulaiman a.s sebagai seorang raja agar mereka jangan meninggi diri ke atas pemerintahannya. أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ
  2. Kemudian nasihat kedua berdakwah sebagai seorang Nabi dan rasul; menyeru Ratu Balqis dan pengikutnya agar datang kepadannya dengan menerima Islam. وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
  3. Ulama\’ merumuskan isi kandungannya:
    i- menegaskan keEsaan Allah s.w.t yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
    ii- melarang mereka daripada menurut hawa nafsu dan wajib menerima kebenaran.
    iii- mengajak mereka agar beriman menerima agama Allah s.w.t agar mereka bahagia dunia dan akhirat.

AYAT 32- {RAJA PEREMPUAN ITU BERKATA LAGI: \”WAHAI KETUA-KETUA KAUM, BERILAH PENJELASAN KEPADAKU MENGENAI PERKARA YANG AKU HADAPI INI; AKU TIDAK PERNAH MEMUTUSKAN SESUATU PERKARA SEBELUM KAMU HADIR MEMBERI PENDAPAT DAN MEMPERSETUJUINYA\”.} (AN-NAML 27:32)

  1. Ratu Balqis, pemerintah yang bijak menggunakan sistem demokrasi, bermesyuarat dengan para menteri kabinetnya terlebih dahulu, bertanya pendapat mereka sebelum membuat keputusan.

AYAT 33- {MEREKA MENJAWAB: KITA ADALAH ORANG-ORANG YANG KUAT GAGAH DAN AMAT BERANI MEREMPUH PEPERANGAN; DAN PERKARA ITU (WALAU BAGAIMANAPUN) \”WAHAI KETUA-KETUA KAUM; OLEH ITU FIKIRKANLAH APA YANG ENGKAU HENDAK PERINTAHKAN.} (AN-NAML 27:33)

  1. Mereka menjawab bahawa mereka bersedia untuk menurut perintahnya si Ratu, jika mahu berperang silakan, kerana mereka adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan. Atau jika si Ratu memilih untuk berdamai mereka juga akur.
  2. Tetapi keputusan mutlak diserahkan kepada Ratu mereka, terpulang kepada kebijaksanaannya. Dalil bahawa ketaatan mereka ini sepenuhnya.

AYAT 34- {RAJA PEREMPUAN ITU BERKATA: \”SESUNGGUHNYA RAJA-RAJA, APABILA MASUK KE SEBUAH NEGERI, MEREKA MEROSAKKANNYA, DAN MEREKA MENJADIKAN PENDUDUKNYA YANG MULIA HINA-DINA; DAN SEDEMIKIAN ITULAH MEREKA AKAN LAKUKAN.} (AN-NAML 27:34)

  1. Lalu Ratu Balqis memberi pandangannya berdasarkan pengalaman sebelum ini, bahawa seorang Raja apabila masuk ke sesebuah negeri akan menakluknya, menjadikannya rosak binasa dan menjadikan penduduknya hina-dina, dengan sebab jadi tawanan atau hamba.
  2. Jadi Ratu Balqis yang bijak mengambil keputusan untuk berlembut, memilih jalan damai kerana tidak mahu peperangan yang akan membawa kehancuran negaranya.

AYAT 35- {\”DAN BAHAWA AKU HENDAK MENGHANTARKAN HADIAH KEPADA MEREKA, KEMUDIAN AKU AKAN MENUNGGU, APAKAH BALASAN YANG AKAN DIBAWA BALIK OLEH UTUSAN-UTUSAN KITA.\”} (AN-NAML 27:35)

  1. Lalu dia mencuba nasib mengambil hati Raja Sulaiman a.s dengan menghantar hadiah-hadiah yang indah dan bernilai tinggi. Serta menungu apa reaksi dan balasan Nabi Sulaiman a.s nanti.
  2. Tentang apakah hadiah itu tidak perlu kita bahaskan apa yang tiada tersebut dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w yang sahih.

AYAT 36- {MAKA APABILA (UTUSAN PEMBAWA HADIAH ITU) DATANG MENGADAP NABI SULAIMAN, BERKATALAH NABI SULAIMAN (KEPADANYA): \”TIDAKLAH PATUT KAMU MEMBERIKAN KEPADAKU PEMBERIAN HARTA-BENDA, KERANA APA YANG TELAH DIBERIKAN ALLAH KEPADAKU LEBIH BAIK DARI APA YANG TELAH DIBERIKANNYA KEPADA KAMU; (BUKAN AKU YANG MEMANDANG KEPADA PEMBERIAN HADIAH) BAHKAN KAMULAH YANG BERGEMBIRA DENGAN HANYA KEKAYAAN YANG DIHADIAHKAN KEPADA KAMU (ATAU YANG KAMU HADIAHKAN DENGAN PERASAAN MEGAH). (AN-NAML 27:36)

  1. Apabila hadiah itu tiba kepada Sulaiman a.s dia mengatakan dia tidak pelik dan kagum dengan hadiah yang mahal lagi indah kerana apa yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya jauh lebih indah dan berharga.
  2. Nabi Sulaiman a.s juga tidak memandang dan gembira kepada pemberian hadiah itu, bukan seperti manusia biasa yang akan bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepadanya atau yang berbangga dengan apa yang dihadiahkan kepada orang lain dengan perasaan megah.
  3. Dalam hal ini Nabi Sulaiman a.s amat tegas, tidak mahu menerima hadiah itu serta mereka ingat dia akan menutup matanya, lalu membiarkan mereka terus dengan kesyirikannya.
  4. Baginda berkata: {\”Tidaklah patut kamu\”} أَتُمِدُّونَنِ – ulama\’ mengatakan ini uslub bahasa yang tegas dan marah, mencela dan menyatakan kepelikan! Inilah orang yang berakal; akan tahu bila untuk marah dan bertegas, iaitu apabila orang melanggar perintah Allah s.w.t. dan Syariah-Nya. Mesti berpegang kepada prinsip jangan samapai tegadai dek kerana hadiah dan pemberian yang mahala-mahal.

AYAT 37- {\”KEMBALILAH KEPADA MEREKA, (JIKA MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN) MAKA DEMI SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENDATANGI MEREKA DENGAN ANGKATAN TENTERA YANG MEREKA TIDAK TERDAYA MENENTANGNYA, DAN KAMI AKAN MENGELUARKAN MEREKA DARI NEGERI SABA\’ DENGAN KEADAAN HINA, MENJADI ORANG-ORANG TAWANAN.\” (AN-NAML 27:37)

  1. Nabi Sulaiman a.s memerintahkan agar rombongan itu balik semula dengan hadiahnya serta memberi pesanan dan amaran keras untuk ratu mereka:
    i- jika mahu selamat, maka berimanlah dan datanglah serah diri.
    ii- atau jika tidak mahu beriman, dia akan pergi serang mereka , maka kan terjadilah apa yang ditakuti oleh Ratu Balqis nanti, kehancuran dan kehinaan bagi negaranya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Apabila Ratu Balqis memangggil para menterinya: { \”Wahai ketua-ketua kaum..}
    menunjukkan penting berbincang dan bermesyuarat (syura).
  2. Selepas mesyuarat para pemimpin menyerahkan keputusan muktamad kepada Ratu mereka, {terserahlah kepadamu} وَالْأَمْرُ إِلَيْكِ
    menunjukkan mereka beradab dan menerima keputusan pemimpin.
  3. Ayat Nabi Sulaiman a.s ini: أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ – adakah mahu rasuah aku dengan harta? untuk terus membiarkan kamu dengan kesyirikan!
    Sikap ini menunjukkan ketegasan dan kemarahannya kerana agama.
  4. maksudnya surat yang mulia كِتَابٌ كَرِيمٌ menunjukkan sepucuk surat yang lengkap dan rasmi, mengandungi isu yang besar, cukup standard bukan main-main.
  5. Surat Nabi Sulaiman a.s bermula dengan بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ kemudian dengan namanya sebagai kepala surat (letterhead)
  6. Gagah dan tegasnya Sulaiman a.s dapat dilihat melalui isi suratnya. أَلَّا تَعْلُوا عَلَيَّ janganlah kamu meninggi diri terhadapku.
  7. Surat rasmi atau penting tidak perlu panjang dan meleret, cukuplah yang pendek dan mantap, straight to the point.
  8. Orang Islam yang ada kuasa wajib bentangkan (sampaikan dan kenalkan) Islam itu ke atas orang kafir. Nyatakan dan berdakwah tentang Islam, jangan malu dan segan tidak bertempat.
  9. Ratu Balqis menghantar hadiah kepada Nabi Sulaiman a.s kerana dua sebab:
    i- untuk mencuba nasib, yakni usahanya dalam strategi untuk menyelamatkan kerajaan dan negaranya dari diserang.
    ii- untuk menguji nabi Sulaiman a.s Iaitu jika dia hanya seorang raja biasa dia akan gembira dengan hadiah itu, tetapi sebagai seorang Nabi dan pendakwah, Sulaiman a.s tidak tergoda dengan hadiah-hadiah itu.
    Maka harus kita lakukan ini juga untuk melihat kedudukan atau pendirian seseorang itu. Juga kita sebagai pendakwah jangan mudah tergoda dan tergadai prinsip dek habuan dunia.
  10. Sebagai seorang pemimpin negara Sulaiman a.s amat tegas, suruh mereka kembali dan memberi amaran keras akan datang menyerang jika mereka menolak dakwahnya.
    Inilah yang sepatutnya seorang pemimpin dan ketua negara mesti menzahirkan kekuatan negaranya, jangan nampak lemah dan tunjuk kekurangan di hadapan musuh.

Apa yang akan terjadi kepada Balqis? tunggu siri yang akan datang insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs