View Categories

SURAH AN-NAMLI : AYAT 89-93

\"\"

SETIAP ORANG AKAN MENERIMA BALASAN, SIBUKKAN DIRI DENGAN IBADAT & MEMBACA DAN MENGKAJI AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/C968yxlmdgA

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini 31hb Ogos 2021 (merdeka ke 64) adalah siri terakhir bagi surah an-Namli ini iaitu siri ke 14, bermula dari ayat 89 berakhir dengan ayat 93.
  2. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t menyebut tanda-tanda Kiamat bermula dengan keluarnya binatang dari bumi. Kemudian apabila ditiup sangkakala berlakulah Kiamat yang amat dahsyat!
  3. Semua manusia terkejut dan ngeri, melihat bukit yang besar dan teguh itu tercabut dan bergerak dibawa angin dengan lajunya seolah bulu yang berterbangan, atau seperti awan yang ditiup angin. Banyak sudah dibincang tentang peristiwa ini dalam surah-surah sebelumnya, firman Allah s.w.t:
    i- {Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.} [Al-Kahfi 18:47]
    ii- {Dan gunung-ganang bergerak dari tempatnya dengan cara yang luar biasa.} (At-Tuur 52:10]
    iii- {Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.} (An-Naba\’ 78:20)
    iv- {Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);(At-Takwiir 81:3)
  4. Apabila berlakunya tiupan sangkakala yang kedua, berkumpulnya manusia dan bukit-bukit pun berterbangan. Allah s.w.t sebutkan perubahan bukit ini dengan 6 sifat:
    i- Terhentak dan berlanggar antara satu sama lain sehingga hancur {دَكًّا دَكًّا } [الفجر: 21]
    ii- Seperti bulu berterbangan {Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.} (Al-Qaari\’ah 101:5) { كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ }
    iii- dihancur-leburkan terus. {وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا} [الواقعة: 5]
    iv- lalu jadilah ia seperti debu berterbangan pula. {فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا} [الواقعة: 6]
    v- angin angkat bukit dari bumi, terapung di udara seperti zarrah. {وَتَسِيرُ الْجِبَالُ سَيْرًا } [الطور: 10]
    vi- hilang terus seperti fatamorgana sehinggalah bumi itu kosong dan rata, menjadi Padang Mahsyar. {فَكَانَتْ سَرَابًا} [النبأ: 20]
  5. Ini adalah perubahan yang berlaku kepada bumi/alam pada hari akhirat. Maka dalam ayat-ayat seterusnya hari ini adalah tentang keadaan manusia pula.
  6. Dalam siri ini kita akan melihat pengakhirannya bahawa setiap orang akan menerima balasannya. Maka kita sibukkan diri dengan ibadat, membaca dan mengkaji Al-Quran.
  7. Allah s.w.t sebut 3 prinsip dalam al-Quran: الأصول الثلاثة
    i- al-Mabda\’, permulaan. – المبدأ seperti permulaan Kiamat dengan muncul Daabbah.
    ii- al-Ma\’ad, pengakhiran. المعاد selepas Hisab dicampakkan ke dalam neraka bagi yang celaka dan sebaliknya.
    iii- an-Nubuwwah – kenabian النبوة. Yakni kita terima semua berita dan agama ini melalui yang ajaran disampaikan oleh para nabi.

AYAT 89- {SESIAPA YANG DATANG MEMBAWA AMAL KEBAJIKAN (YANG TELAH DIKERJAKANNYA) MAKA IA AKAN BEROLEH BALASAN YANG LEBIH BAIK DARIPADANYA, DAN MEREKA AKAN BEROLEH AMAN SENTOSA DARIPADA KEJADIAN-KEJADIAN YANG MENGERIKAN PADA HARI KIAMAT ITU.} (AN-NAML 27:89)

  1. Sesiapa yang bangkit dengan membawa amal kebajikan yang baik (الْحَسَنَة) maka ia akan mendapat pahala yang berganda-ganda, pahalanya lebih baik خَيْرٌ dan lebih banyak daripada apa yang dibuatnya.
  2. Kata ulama\’: Hasanah maknanya:
    i- Bermula dari iman dan tauhid kepada Allah s.w.t – lengkap semua kebajikan dikira hasanah, ibadat, akhlak mulia dan segala kebaikan yang bertepatan dengan Syariah Allah s.w.t.
  3. Maka mereka akan mendapat pahala lebih baik – yakni pahala itu lebih besar daripada kebajikan yang kamu buat. Yakni pahalanya diganda balasannya, dengan limpah kurnia Allah s.w.t, kita buat amalan sedikit tapi balasan pahala yang diberi Allah s.w.t amat besar dan nikmat sekali.
  4. Mereka ini, orang-orang yang beriman akan beroleh perlindungan daripada Allah s.w.t dengan memberinya perasaan aman dan selamat daripada segala huru-hara itu. Perasaan takut itu ada dalam diri semua orang, tetapi mereka aman dan selamat, berbeza dengan keadaan orang yang kufur dan ingkar.
  5. Kita yakinlah kerana ini adalah janji Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anbiya\’.

AYAT 90- {DAN SESIAPA YANG DATANG MEMBAWA AMAL JAHAT (YANG TELAH DIKERJAKANNYA) MAKA SUDAH TENTU MEREKA AKAN DITUMUSKAN MUKANYA KE DALAM API NERAKA, (SAMBIL DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”KAMU TIDAK DIBERI MELAINKAN BALASAN APA YANG KAMU TELAH LAKUKAN\”.} (AN-NAML 27:90)

  1. Manakala orang yang bawa amalan jahat adalah sebaliknya.
  2. Amal jahat -السَّيِّئَةِ kata ulama\’ bererti Syirik, atau bermula dari syirik dan semua benda tidak baik yang menyalahi Syariah Allah s.w.t. secara umumnya.
  3. Mereka akan dihumbankan ke dalam api neraka di atas mukanya, untuk menunjukkan kehinaan dengan hempas muka dulu. Orang kafir akan kekal selamanya di dalam neraka. Tetapi orang beriman akan berada mengikut tempoh kesalahannya.
  4. Persoalan: Macamana keadaan orang beriman yang dihumbankan ke atas mukanya? Katanya semuanya dibakar kecuali dahi tempat sujudnya, Allah masih muliakan tempat sujudnya. Semasa di dunia dia beriman dan masih sujud kepada Allah; tetapi kerana mengikut syaitan dan hawa nafsunya, terjerumus melakukan maksiat dan dosa, lalu dibalas dan diazab juga. Inilah yang kita takutkan walaupun kita sudah beriman!!!
  5. Lalu dikatakan kepada mereka: {Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.} ulama\’ kata ini adalah kata-kata malaikat penjaga neraka kepada mereka. Siksaan secara mental; kata-kata cercaan dan penghinaan.

AYAT 91- {(KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD):\” AKU HANYALAH DIPERINTAHKAN SUPAYA MENYEMBAH ALLAH TUHAN NEGERI (MAKKAH) INI YANG TELAH MENJADIKANNYA SUCI LAGI DIHORMATI DAN YANG MENGUASAI SEGALA-GALANYA; DAN AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA TETAP MENJADI DARI ORANG-ORANG ISLAM (YANG MENYERAH DIRI BULAT-BULAT KEPADANYA),} (AN-NAML 27:91)

  1. Selepas Allah s.w.t terangkan tentang hari Kiamat dan tanda-tandanya, perkara yang berlaku sebelum dan sesudahnya, lalu diperintahkan agar Rasulullah s.a.w berkata kepada kaum musyrikin Quraisy yang menentangnya, yang ada di depannya pada masa itu semoga mereka insaf.
  2. Supaya mereka bersyukur kepada Allah s.w.t dan menjadi orang Islam yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
  3. Tetapi arahan ini berjalan terus sehingga ke hari Kiamat, disambung oleh para ulama\’ dan pendakwah untuk disampaikan kepada umat manusia seterusnya. Ini adalah manhaj hidup kita, jalan yang harus dikuti untuk selamat.
  4. Antara isi ucapan Rasulullah s.a.w semasa Pembukaan Makkah: \”Tiada lagi Hijrah selepas ini, tetapi jihad fi sabilillah dan niat tetap ada, maka apabila kamu diarahkan untuk berperang, maka pergilah! Negeri Makkah ini adalah satu negeri yang Allah jadikan sebagai Tanah Haram (Allah telah memuliakannya) semenjak hari dicipta langit dan bumi, sehinggalah ke hari Kiamat.
    Belum pernah Allah halalkan berperang di dalamnya, sebelumku. Dan Allah tidak halalkan bagiku untuk memerangi penduduknya, kecuali beberapa saat di waktu siang.\” Dia haram dengan kemuliaan yang Allah berikan, sampai hari kiamat. Tidak boleh dipatahkan ranting pohonnya, tidak boleh diburu haiwannya, tidak boleh diambil barang hilangnya, kecuali untuk diumumkan, dan tidak boleh dicabut rerumputan hijaunya kecuali rumput izkhir\”. (HR Bukhari 3189 & Muslim 3289)
  5. Untuk bacaan lanjut tentang Tanah Haram Makkah & Madinah boleh dapat dua buku ini di: www.dartaibah.com
  6. Semua perkara itu dibawah penguasaan Allah s.w.t. Maka jadilah hamba yang beriman dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.

AYAT 92- {\”DAN SUPAYA AKU SENTIASA MEMBACA AL-QURAN\”. OLEH ITU, SESIAPA YANG MENURUT PETUNJUK (AL-QURAN DAN BERAMAL DENGANNYA) MAKA FAEDAH PERBUATANNYA ITU AKAN TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI, DAN SESIAPA YANG SESAT, MAKA KATAKANLAH KEPADANYA: \”SESUNGGUHNYA AKU HANYALAH SEORANG PEMBERI AMARAN\”.} (AN-NAML 27:92)

  1. Perintah Allah s.w.t lagi supaya Rasulullah s.a.w (dan kita semua) sentiasa membaca Al-Quran. Mengambil petunjuk dari al-Quran dan beramal dengannya.
  2. Al-Quran sebagai sumber hidayah dan sumber maklumat yang jelas. Sesiapa yang mengambil petunjuk dari al-Quran dia akan mendapat faedahnya untuk dirinya sendiri.
  3. Kata ulama\’ maksudnya mengambil faedah itu:
    i- berterusan sentiasa membacanya supaya terbuka depan mata dan terdedah hakikat, maklumat dan rahsia yang terkandung dalam al-Quran untuk meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t. Kitab tauhid yang tertinggi darjatnya, sumber Syariah dan Fardhu Ain, maka baca, kaji, tadabbur dan beramal dengannya.
    ii- mengajar orang al-Quran dengan tafsir dan tadabbur, ulang selalu, sebagai sumber kitab tauhid yang utama, kemudian sumber kedua adalah sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai penjelas kepada al-Quran dan perincian kepada hukum-hakamnya.
  4. Allah s.w.t juga ajar jika ada orang yang masih ingkar dan dusta, maka jangan sedih dan bimbang, Nabi s.a.w sudah menjalankan tugasnya, sesungguhnya dia hanyalah seorang pemberi amaran dan membawa khabar gembira. Maka para pendakwah sekelian janganlah putus asa dan berdukacita, teruskan usaha dakwah Rasulullah s.a.w.

AYAT 93- {DAN KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH (YANG MELIMPAHKAN NIKMAT-NIKMATNYA YANG TIDAK TERHITUNG), IA AKAN MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU TANDA-TANDA KEKUASAANNYA SUPAYA KAMU DAPAT MENGETAHUINYA (DENGAN JELAS NYATA)\”; DAN TUHANMU TIDAKLAH LALAI AKAN SEGALA YANG KAMU LAKUKAN.} (AN-NAML 27:93)

  1. Allah s.w.t ajar lagi kepada Rasulullah s.a.w agar sentiasa bersyukur dan memuji-Nya. Allah yang bersifat penuh Kemulian dan Kesempurnaan berhak mendapatkan pujian di dunia dan akhirat, dari semua makhluk-Nya.
    Juga betapa besar nikmat-Nya ke atas hamba-Nya yang tidak terhitung dan terbalas,
  2. Allah s.w.t juga telah memperlihatkan segala tanda-tanda dan amaran-Nya terlebih dahulu kepada manusia agar mereka tahu dan nampak. Tanda-tandanya kekuasaan-Nya di bumi, langit cakerawala serta dalam kejadian manusia itu sendiri banyak sekali, maka jangan sombong kita dengan Allah s.w.t.
  3. Firman Allah s.w.t: {Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?} (Fussilat 41:53)
  4. Allah s.w.t tahu dan menyaksikan semua yang kamu lakukan. Semuanya terakam dengan catatan para malaikat sebagai hujjah untuk ditegakkan dan dalil ke atas kamu, menunjukkan keadilan Allah s.w.t.
  5. Maka jangan sedih dan dukacita wahai Rasulullah tentang mereka yang mendustakan kamu, kerana mereka di bawah pemerhatian Allah s.w.t dan apabila Allah s.w.t ambil tindakan tiada seorang pun atau satu amalan pun yang akan terlepas.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 89 { maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya }- menunjukkan bahawa Allah s.w.t memberikan pahala yang begitu besar lebih banyak daripada amalan kita yang sebenar. Ganjaran pahala yang Allah berilan itu jauh lebih besar dari amalan yang dilakukan hamba-Nya.
  2. Ayat 89- {Sesiapa yang datang membawa kebajikan ..} Bagaimana kebajikan itu dibawa, sedangkan amalan yang dibuat semasa di dunia itu sesuatu yang tidak dapat dilihat? Jangan runsing Allah s.w.t berkuasa untuk menukar semua itu menjadi sesuatu yang berjisim, yang boleh dilihat dan ditimbang. Gambaran contoh:
    i- hadis tentang mati di bawa datang dan disembelih.
    Daripada Abu Sa\’id al-Khudri r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
    يُؤْتَى بِالْمَوْتِ كَهَيْئَةِ كَبْشٍ أَمْلَحَ
    Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih.
    فَيُنَادِي مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ
    Lalu seorang penyeru akan menyeru: Wahai penghuni syurga. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    ثُمَّ يُنَادِي يَا أَهْلَ النَّارِ، فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ،
    Kemudian diseru: Wahai penghuni neraka. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat.
    فَيَقُولُ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ، وَكُلُّهُمْ قَدْ رَآهُ،
    Lalu penyeru tadi berkata: Adakah kalian kenal siapakah ini? Lalu mereka menjawab: Ya. Ini adalah kematian. Kesemua mereka dapat melihatnya.
    فَيُذْبَحُ ثُمَّ يَقُولُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ، وَيَا أَهْلَ النَّارِ، خُلُودٌ فَلاَ مَوْتَ
    Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: Wahai penghuni syurga, kekallah kalian dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kalian dan tiada lagi kematian.
    ثُمَّ قَرَأَ {وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ} وَهَؤُلاَءِ فِي غَفْلَةٍ أَهْلُ الدُّنْيَا {وَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ}\”
    Kemudian baginda membaca: ((Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan; tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam : 39))). Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia. [HR Bukhari dan Muslim].
    ii- hadis muflis pahala – amalannya yang dibawa banyak, seperti gunung, tetapi habis diberi kepada mangsanya.
    Rasulullah SAW pernah bertanyakan kepada sahabat: \”Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?\”
    Lalu sahabat menjawab: \”Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.\”
    Rasulullah SAW berkata: \”Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.
    \”Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.\” [HR Muslim].
  3. Kenapa disebut datang dengan bawa kebajikan bukan dengan amalan soleh? Ini kerana amal soleh semasa di dunia itu boleh hilang dengan beberapa sebab, tidak sampai di akhirat, hilang di tengah jalan. Manakala kebajikan (hasanah) ialah apa yang lekat, yang sudah ditapis dan berjaya dibawa.
    Antara perkara yang membatalkan amalan:
    i- dalam ibadat dia riya\’, menunjuk-nunjuk.
    ii- apabila buat kebaikan – dia mengungkit amalannya.
  4. Ayat 89-{ dan mereka akan beroleh aman sentosa} – sedangkan dalam ayat lain Allah s.w.t kata semua manusia akan terkejut dengan tiupan sangkakala pertama, tetapi Allah s.w.t nafikannya daripada orang yang beriman, dia terkejut juga tetapi amann dan selamat dari segala huru-hara dan dahsyat itu.
  5. Ayat 90- {Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat..} maka untuk mereka ini balasan sebaliknya, mereka tidak akan aman dan selamat, bermula dari terkejut apabila mula dibangkitkan semula sehinggalah dicampakkan ke dalam neraka.
  6. Ayat 90 juga {\”Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan\”.} Allah s.w.t itu Maha Adil dan tidak zalim dan buat aniaya hamba-Nya, tetapi mereka sendiri yang buat aniaya dan menzalimi diri sendiri dengan kufur dan buat maksiat.
  7. Ayat 90 { ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka..} Menunjukkan azab di dalam neraka itu ada dua dimensi -azab fizikal dan azab mental. Kena bakar serta kena hina dan kata-kata kejian. Na\’uzubillah.
  8. Ayat 91- { إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ} – {Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah} ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diperintah wajib beribadat kepada Allah s.w.t, apatah lagi kita manusia biasa. Ini juga membatalkan fahaman ahli-ali ajaran sesat bahawa guru mursyid mereka para wali tidak perlu solat dan buat amal ibadat lagi. Sedangkan Rasulullah s.a.w manusia yang paling mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t masih diperintahkan untuk beribadat.
  9. Ayat 90 {Allah Tuhan negeri (Makkah) ini} – yakni Makkah sebagai Tanah Haram sejak awal kejadian langit dan bumi, lalu diisytiharkan semula oleh Nabi Ibrahim a.s supaya diketahui oleh umatnya semula. Hadis –
  10. Ayat 92- {\”Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran}. Ulama\’ kata ada beberapa tahap tentang membaca al-Quran ini:
    i- baca lafaz al-Quran secara lafaz dengan lidah, tilawah. Ini wasilah kepada bacaan yang hakiki iaitu;
    ii- baca dengan tengok dan memahami maknanya, belajar tafsir (huraian ayat oleh ulama\’) , serta tadabbur berfikir untuk merealisasi hidup kita dengan panduan al-Quran. Yakni ini dengan hati.
    ii- baca dan beramal dengan isi kandungannya iaitu beramal dengan anggota. Ikut segala hukum-hakam, larangan dan perintahnya.
    *Jangan sampai kita baca al-Quran tetapi tidak mencapai matlamatnya, jangan sampai menjadi seperti yang dikatakan orang- Kamu baca al-Quran tetapi al-Quran itu melaknatmu. Ini kerana baca saja tak buat yang dibacanya, kita kena beramal dengan apa yang ada, barulah baca yang sempurna.

Alhamdulillah tamatlah surah an-Namli ini dan kita akan sambung dengan surah yang ke-28 iaitu surah al-Qasas,insya\’ Allah.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs