MUNAFIQIN MENIPU ALLAH, SOLAT DALAM KEADAAN MALAS & TIDAK TETAP PENDIRIAN.
Full video : https://youtu.be/2U6Ir-Wv30M?si=sD_xOkkUEySaiW05
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 142 sehingga 143 bagi Surah An-Nisa’.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah sambungan daripada ayat yang lepas, di mana munafiq yang kerjanya memerli orang Islam & sebagai musuh dalam selimut serta mengintai-intai mencari peluang serta bergembira jika orang Islam ditimpa musibah.
Maka dalam ayat ini Allah dedahkan tentang munafiqin yang cuba menipu Allah, sedangkan Allah & Rasul-Nya tahu, mereka yang tertipu dengan tipuan mereka itu!
- Sifat mereka juga : Solat dalam keadaan malas kerana mereka solat nak tunjuk muka kepada Rasulullah & orang Islam, bukan kerana Allah SWT.
- Allah juga nyatakan bahawa puak munafiqin ini tidak tetap pendirian, seperti lalang yang condong cenderung ke arah mana angin tiup! Kita tidak mahu begini- kita mahu jadi pokok yang tetap teguh tidak bergoyang dek tiupan angin yang mendatang!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang golongan munafiqin yang kerjanya memerli orang Islam & mengintai-intai menunggu peluang sama ada untuk menyatakan kemenangan atau menarik sokongan, kerana ingin menipu Allah.
Inilah perangai mereka- musuh dalam selimut, duri dalam daging, api dalam sekam & yang seumpamanya!
ii- Maka Allah dedahkan dalam ayat ini; bahawa bukan Allah yang tertipu tetapi mereka tertipu dengan tipu-daya mereka itu sendiri!
Allah balas balik dengan menjadikan perancangan yang mereka buat gagal, kembali ke atas kepala mereka bukan menguntungkan mereka!
Itulah keburukan & kezaliman yang dibuat oleh mereka ke atas diri sendiri lalu mereka terpedaya terus berada dalam kesesatan sehinggalah Allah campakkan mereka ke dasar neraka yang terbawah sekali, yang paling panas & dahsyat di Akhirat kelak!
- Amat menakutkan sifat munafiq ini, kita wajib berhati-hati kerana antara sifat mereka ialah bencikan orang yang beriman & berkasih sayang dengan orang kafir!
Yakni menunjukkan wala’ kepada orang kafir!
Ya Allah bersihkan hati kami dari sifat munafiq, bersihkan kelakuan kami dari sifatnya juga!!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 142- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG MUNAFIK ITU MELAKUKAN TIPU DAYA (TERHADAP AGAMA) ALLAH (DENGAN PERBUATAN PURA-PURA BERIMAN SEDANG MEREKA KAFIR PADA BATINNYA), DAN ALLAH PULA TETAP MEMBALAS TIPU DAYA MEREKA (DENGAN MEMBIARKAN MEREKA DALAM KEADAAN MUNAFIK). } (AN-NISA’ 4:142)
- Golongan munafiq cuba menipu Allah dengan menzahirkan sifat iman sedangkan dalam hati mereka adalah kekufuran.
Maka dengan sebab itu selamatlah nyawa & harta mereka, mereka juga dapat masuk ke dalam masjid!
- Bahkan ada yang solat di belakang Nabi SAW!
Solat mereka pergi kerana nak tunjuk muka tetapi apabila Nabi SAW beri kuliah & peringatan mereka tidak dengarnya!
Ini kerana semua itu kena atas muka & sifat mereka!
Kita pun beringat! Jika ada perasaan malas nak dengar kuliah, ceramah atau tazkirah itu adalah perangai buruk mengikut gaya munafiq!
- Maka dengan kejahilan mereka tentang Allah SWT maka mereka berasa selamat kerana boleh tipu Tuhan!
Sedangkan Allah balas tipu-daya mereka itu dengan membiarkan mereka terus menjadi munafiq, berasa mereka benar & selamat; lalu terus tenggelam dalam kesesatan & kekufuran mereka.
- Rasulullah SAW telah ada memberi isyarat akan sifat & ciri-ciri mereka ini dalam hadisnya, ada riwayat yang kata 3 ada yang kata 4:
i- Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” [HR Bukhari].
Ditambah dalam riwayat Muslim : Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mendakwa diri Muslim.
ii- Riwayat dari Abdullah bin ‘Amru RA: أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ
Ertinya: Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tandanya, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, yaitu: jika diberi amanat, khianat; jika berbicara, dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berbuat zalim. [HR Muslim].
- Ingatlah Munafiq ini ada dua jenis:
i- Munafiq iktiqadi : Seperti dalam ayat ini, berasa mereka telah dapat tipu Tuhan, hati mereka kufur tidak beriman sebenarnya, hanya menzahirkan keimanan untuk manusia yakni mereka adalah orang kafir.
ii- Munafiq amali : Yang mempunyai sifat-sifat yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW ini. Mereka in ini tidak kafir tetapi mempunyai sifat munafiq, dosa besar!
- Yang kita bincangkan ini ialah munafiq iktiqadi dan dalam masa yang sama mereka juag mempunyai sifat munafiq amali ini!
Maka atas dunia ini selamatlah mereka dengan penipuan mereka itu kerana Allah tidak dedahkan rshsia mereka!
- Itu adalah istidraj (استدراج), satu keadaan yang Allah beri, yang membuatkan mereka tidak sedar, berasa mereka betul & benar lalu menjadi semakin angkuh dan sombong lalu semakin sesat & menyeleweng!
- Maka jika kita mendapat banyak kesenangan dan rezeki yang luas atas dunia ini, kena muhasabah diri kita agar ianya bukan istidraj dari Allah!
AYAT 142- { MEREKA PULA APABILA BERDIRI HENDAK SEMBAHYANG, MEREKA BERDIRI DENGAN MALAS. MEREKA (HANYA BERTUJUAN) RIAK (MEMPERLIHATKAN SEMBAHYANGNYA) KEPADA MANUSIA (SUPAYA DISANGKA BAHAWA MEREKA ORANG YANG BERIMAN), DAN MEREKA PULA TIDAK MENGINGATI ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG) MELAINKAN SEDIKIT SEKALI (JARANG-JARANG).} (AN-NISA’ 4:142)
- Sifat munafiq ini lagi:
i- Pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas, kerana terpaksa nak suruh orang tengok dan menyangka mereka beriman.
Firman Allah SWT: {dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.} (At-Taubah 9:54)
ii- Mereka juga solat & melakukan ibadat lain kerana riya’ nak menunjuk kepada manusia!
Ini supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman, lalu selamat nyawa & harta mereka serta untuk mencari habuan & pangkat dunia.
iii- Mereka pula tidak mengingati Allah : iaitu mereka juga solat dengan kosong, tidak khusyuk kerana mereka buat bukan ikhlas nak beribadat kerana Allah!
Hanya kerana nak tunjuk muka & selamatkan diri!
iv- Mereka juga sedikit sekali solatnya yakni jarang-jarang aje ketika di masjid atau depan orang lain!
Apabila orang tak lihat seperti di rumah mereka, pastilah mereka tak solat terus!
- Hadis tentang solat orang munafiq:
i- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِنَّ أَثْقَلَ صَلَاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ، وَصَلَاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا.
Maksudnya: “Seseungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah solat isyak dan solat al-Fajar (subuh). Sekiranya mereka mengetahui (pahala) apa yang terdapat pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” [Riwayat Muslim]
ii- Daripada ‘Uthman bin ‘Affan RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن صَلّى العِشاءَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَن صَلّى الصُّبْحَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما صَلّى اللَّيْلَ كُلَّهُ. الراوي: عثمان بن عفان • مسلم، صحيح مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa menghadiri solat Isya’ berjemaah, maka dia mendapat pahala solat separuh malam. Sesiapa solat Isya’ dan Subuh berjemaah, maka dia mendapat pahala seperti pahala solat sepanjang malam. [HR Muslim].
ii- Antara ciri-ciri munafiq juga mereka solat dengan laju dan suka melewatkan solat:
Dari Anas bin Malik RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تِلكَ صَلَاةُ المُنَافِقِ، يَجْلِسُ يَرْقُبُ الشَّمْسَ حتَّى إذَا كَانَتْ بيْنَ قَرْنَيِ الشَّيْطَانِ، قَامَ فَنَقَرَهَا أَرْبَعًا، لا يَذْكُرُ اللَّهَ فِيهَا إلَّا قَلِيلًا.
Maksudnya: “Demikian itulah solat orang munafik, dia duduk sambil menunggu tenggelamnya matahari (sengaja melewatkannya) apabila matahari berada pada kedudukan dua tanduk Syaitan (hampir tenggelam) barulah dia bangun mematuk dengan empat patukan (Kiasan solat 4 rakaat Asar dengan cepat) tidaklah dia mengingati Allah di dalam solatnya itu melainkan sedikit sahaja.” [HR Muslim].
- Hadis-hadis ini menceritakan betapa buruknya cara golongan munafiqin mengerjakan solat (jika mereka solat) iaitu dalam keadaan malas, melewat-lewatkannya, tanpa khusyuk, dengan laju dan seumpamanya.
AYAT 143- {MEREKA BERKEADAAN “MUZABZAB” (TIDAK MEMPUNYAI PENDIRIAN YANG TETAP) ANTARA (IMAN DAN KUFUR) ITU; MEREKA TIDAK BERPIHAK TERUS KEPADA GOLONGAN (KAFIR) DAN TIDAK PULA BERPIHAK KEPADA GOLONGAN (YANG BERIMAN). DAN SESIAPA YANG DISESATKAN OLEH ALLAH, MAKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENDAPAT JALAN UNTUK MENYELAMATKANNYA.} (AN-NISA’ 4:143)
- Golongan munafiq ini adalah mereka yang tidak mempunyai pendirian yang tetap. Mereka seperti lalang yang condong mengikut tiupan angin, terumbang-ambing antara iman dan kufur, Islam bukan kafir pn tidak secara zahirnya!
- Zahirnya dalam keadaan beriman tetapi batinnya kafir, hatinya tidak beriman kepada Allah Azza wa Jalla, yang menyababkan mereka terumbang-ambing!
Mereka tidak berpihak terus kepada golongan kafir dan tidak pula berpihak kepada golongan yang beriman- dalam keadaan waswas & penuh keraguan.
- Hadis : Rasulullah SAW:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: مَثَلُ الْمُنَافِقِ، كَمَثَلِ الشَّاةِ الْعَائِرَةِ بَيْنَ الْغَنَمَيْنِ تَعِيرُ إِلَى هَذِهِ مَرَّةً وَإِلَى هَذِهِ مَرَّةً. [صحيح] – [رواه مسلم] – [صحيح مسلم: 2784]
Dari Ibnu Umar RA meriwayatkan, Nabi ﷺ bersabda: “Dimisalkan orang munafik adalah seperti kambing yang bolak-balik di antara dua gerombolan kambing; sesekali datang ke kelompok ini dan pada kesempatan lain datang ke kelompok yang satunya.” [HR Muslim].
- Kata Qatadah RA tentang makna ayat (مُّذَبْذَبِينَ)- terumbang-ambing adalah:
Bukan orang Islam betul & tidak pula kafir yang jelas menyatakan syiriknya.
Mereka dikenali dengan perangai buruk mereka, dengan orang Islam kasar, ilmu tidak ada, bukan yahudi atau Nasrani, tetapi manusia yang antara dua alam.
- Hadis : Sabda Rasulullah SAW:
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
…وَتَجِدُونَ مِنْ شِرَارِ النَّاسِ ذَا الْوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلاءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلاءِ بِوَجْهٍ
Maksudnya: Kamu akan mendapati sejahat-jahat manusia adalah manusia yang bermuka-muka, dia mendatangi satu kumpulan dengan satu muka dan mendatangi kumpulan lain dengan muka yang lain. [HR al-Bukhari dan Muslim]
- Kemudian di akhir ayat Allah nyatakan bahawa sesiapa yang disesatkan oleh Allah, tiada siapa dapat menyelamatkannya.
Bahkan hatta Rasulullah SAW sendiri tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 142- {Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya),}-
Allah sebut dengan jelas bahawa sifat munafiqin ialah licik dan penipu!
Ini adalah ketetapan dari Allah (Sunnatullah) bahawa akan muncul golongan ketiga di kalangan orang Islam iaitu golongan munafiqin. Mereka ini muncul apabila Islam kuat!
Di Makkah tidak ada munafiq lagi kerana pasti mereka akan dimusuhi oleh puak musyrikin Quraisy.
Yang ada cuma orang Islam yang lemah & dhaif, yang terpaksa menyembunyikan keislaman mereka pula!
Siapa yang buat penipuan; Allah akan balas penipuan & tipu-dayanya itu!
Sifat ini amat bahaya sekali kerana apabila dia tipu orang sebenarnya dia sendiri yang tertipu!
Sebagaimana kata pepatah : Siapa yang gali lubang untuk jatuhkan orang lain; dia sendiri yang akan jatuh dalam lubang itu!
Yakni buat perancangan jahat berniat untuk kenakan orang lain, tetapi akhirnya dia sendiri yang kena & jatuh!
- Ayat 142- {Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas.}-
Sifat munafiqin lagi adalah malas nak solat, maka Allah tidak terima solat mereka itu.
Maka sesiapa yang ada perasaan malas untuk solat, dia memiliki unsur-unsur sifat munafiq dalam jiwanya!
Maka kita kena jaga diri kita daripada sifat ini, jangan bermalas-malas & cuai tentang solat! Jangan ada rasa malas & berat untuk solat!
- Ayat 142- {Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia..}-
Semua ibadat yang mereka buat adalah RIYA’ untuk menunjuk kepada manusia, TIADA IKHLAS.
Maka sesiapa yang ada sifat riya’ dengan amalannya; dia memiliki unsur-unsur sifat munafiq dalam jiwanya!
Pergi solat nak tunjuk kepada orang, pergi haji nak menunjuk, sedekah pun menunjuk. Tiada yang ikhlas kerana Allah SWT!
Kata ulama’ : Riya’ ini pintunya luas! Bukan dalam bab solat, puasa, sedekah & ibadat saja! Ia juga boleh terjadi perbuatan lain seperti dalam perangai, pemakaian, percakapan dan lain-lain.
Pakai jubah & serban nak suruh orang kata dia seperti ulama’, wara’ dan sebagainya adalah riya’.
Juga pakai selekeh & tidak terurus nak suruh orang sangka dia zuhud, tawadhuk dan seumpamanya juga dikira riya’!
Maka kita usahakan agar kita dapat ikhlas dalam amalan & ibadat kita, kita buat adalah kerana nak ibadat kepada Allah bukan kerana manusia- jika kerana orang binasalah ibadat itu! Allahu al-Musta’an!
- Ayat 143- {Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu;}-
Munafiqin ini seolah lalang, terumbang-ambing tiada pendirian.
Tetapi bahayanya dia teragak antara kafir & iman!
Maka atas dunia ini kita hukumnya sebagai Islam tetapi di Akhirat dia tetap akan kena hukuman sebagai kafir!
Ulama’ menyatakan : Mereka ini terumbang-ambing; kerana mereka tidak ada aqidah, tidak ada kepercayaan yang jelas & sahih, mereka tidak ada pendirian, tidak yakin dengan Islam tetapi terpaksa berlakon menerimanya maka hatinya tidak tenagan & hidupnya.
Kerana itu dalam ibadat ini kita kena yakin dan kena letakkan amalan kita ini dalam neraca Sunnah Nabi SAW barulah kita yakin akan ibadat kita.
Beramal dengan Sunnah pahala dapat & hati tenang insya’ Allah!
Orang munafiq ialah orang yang tiada pendirian & tiada ketenangan hati.
Baiklah kita tenang hati, biarlah orang marah kepada kita pun tak apa, asalkan Allah tak marah & redha!
- Ayat 143- {Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.}-
Siapa yang Allah sesatkan tiada siapa boleh selamatkannya!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini mengajar kita orang yang beriman supaya sentiasa kembali kepada Allah!
Dalam apa perkara pun hendaklah kita bergantung kepada Allah, jangan rasa kita kuat & mampu mengatasinya.
Nabi SAW ajar kita untuk sentiasa berdoa tetaplan hati kita dengan doa ini: اللهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.
Kita juga hendaklah sentiasa mencari hidayah & petunjuk dari Allah sebagaimana yang kita baca setiap hari yang wajib 17 kali dalam solat kita:
اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَۙ
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Ya Allah bersihkanlah hati kami daripada sifat munafiq, mata kami daripada khianat, lidah kami daripada dusta & bersihkanlah amalan kami dari riya’.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.