SI BAKHIL HASUT ORANG, BERI INFAQ DENGAN RIYA’ & TIDAK RUGI JIKA MEREKA BERIMAN.
Full video : https://youtu.be/7d0BQVYZkg8?si=9YPCeKFOzAY4-kZZ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 37 sehingga 39 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ kelima.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah memberi amaran kepada kita agar jangan ambil sikap yang tidak betul iaitu bakhil, kikir, kedekut & kupit!
Allah tempelak si bakhil yang hasut orang lain untuk bakhil juga!
- Allah SWT juga menggalakkan untuk beri infaq dalam ayat-ayat yang lepas maka datang ayat ini SOP untuk infaq; iaitu jangan ada sifat riya’ kerana ia satu penyakit yang akan menghancurkan pahala.
Menjadikan amalan itu tidak bernilai di sisi Allah SWT!
- Kemudian dalam ayat ketiga Allah pesan agar pilih jalan yang baik, iaitu tidak rugi jika mereka beriman kerana akan aman & selamat dunia Akhirat.
Jika salah pilih jalan & tidak beriman maka akan celaka di dunia dan di Akhirat lagi menderita!
- Munasabah ayat dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas (ayat 36), Allah SWT cerca & mencela orang-orang yang sombong sama ada dengan perkataan atau perbuatannya. Dua sifat yang buruk ini amat dicela & tidak disukai.
ii- Maka ayat ini menyatakan siapakah orang yang bersifat sombong yang Allah cela dan cerca itu, iaitu orang yang bakhil dirinya dan menyuruh orang lain bakhil juga.
Orang yang paling bakhil atas muka-bumi ini adalah orang yang tidak ihsan berbuat baik & bantu/tolong ibubapanya yang dhaif dan lemah.
- Siapa yang kamu patut infaq dan bersedekah kepadanya?
Mereka itu adalah orang dekat dan akrab dengan kamu seperti ibu bapa, anak yatim, adik beradik, jiran terdekat, sahabat akrab, musafir dan hamba-hamba.
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 37- {IAITU ORANG-ORANG YANG BAKHIL DAN MENYURUH MANUSIA SUPAYA BAKHIL SERTA MENYEMBUNYIKAN APA-APA JUA YANG ALLAH BERIKAN KEPADA MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA. DAN (SEBENARNYA) KAMI TELAH SEDIAKAN BAGI ORANG-ORANG KAFIR ITU AZAB SEKSA YANG AMAT MENGHINA;} (AN-NISA’ 4:37)
- Allah nyatakan tentang orang yang bakhil kemudian dia suruh/ajak orang lain bakhil juga. Iaitu dengan halang & sekat orang daripada infaq, menderma, bersedekah dan seumpamanya.
- Golongan yang bakhil dan kikir antara orang yang Allah cela. Bakhil itu pula bukan dengan harta saja tetapi termasuk juga bakhil dengan ilmu!
Orang yang ada ilmu tetapi tidak mahu Kongsi dan sampaikan ilmunya maka itu termasuk dalam golongan bakhil!
- Manakala orang yang bakhil & menghasut buat orang lain bakhil juga ialah orang yang menghalang orang yang berilmu dari berkuliah & berceramah atas alasan yang tidak wajar!
Mereka punya kuasa lalu menyekat orang lain menyampaikan ilmu & kuliah.
Lainlah jika penceramah itu memang seorang yang suka menggunakan hadis palsu, cerita lucah atau ilmu yang songsang, apatah lagi sesat. Itu memang wajib dihalang!
- Orang yang bakhil dengan harta tidak akan tunjuk bahawa dia banyak harta, sentiasa berusaha untuk tidak menunjukkan dia mempunyai kekayaan.
Dia tidak zahirkan kesan nikmat yang Allah beri dalam jiwa, makan minum & pakaiannya, kononnya hidup berzuhud.
Tujuannya agar tiada orang mencarinya, datang untuk meminta tolong dari segi kewangan.
Itulah punca kedekut tidak mahu memberi!
- Manakala orang yang bakhil ilmu akan kedekut dengan ilmu yang diperolehinya sama ada ilmu akhirat atau ilmu keduniaannya.
Sampaikanlah apatah lagi ilmu yang diperlukan oleh masyarakat seperti menyatakan kebenaran, ajar al-Quran, hukum-hakam, ilmu fardhu ain, feqah, ilmu ekonomi Islam dan seumpamanya.
- Bakhil yang paling besar sekali sebagaimana yang dilakukan oleh yahudi ialah menyembunyikan tentang kebenaran Rasulullah SAW.
Sama juga hari ini, kerana takut & nak jaga kedudukan lalu sanggup menyembunyikan fakta & amalan yang merupakan sunnah Nabi SAW! Ini adalah satu perbuatan keji.
- Di akhir ayat Allah kata Dia telah sediakan bagi orang kafir yang bakhil & suruh orang bakhil, serta bakhil dengan ilmu meyembunyikan fakta kebenaran yang ada dalam kitab-kitab mereka- maka Allah sediakan azab neraka.
- Manakala orang beriman yang bakhil dengan hartanya dalam perkara sunat tetapi masih keluarkan zakat; maka dia tidak dikenakan azab tetapi dia akan berada dalam kerugian yang besar, untuk naik darjat di sisi Allah.
Rugi peluang! Banyak ruang besar yang Allah sediakan untuk mendapat pahala tapi tidak diambil, tidak digunakan sepenuhnya.
Nabi Muhammad SAW. juga mencela sikap kikir, beliau bersabda, “Penyakit apa yang lebih berbahaya daripada kikir?” Beliau juga bersabda, “Janganlah kalian bersikap bakhil. Orang-orang sebelum kalian hancur karena kebakhilan mereka. Mereka saling memerintahkan untuk bersikap bakhil, memutus hubungan silaturahim dan melakukan tindakan mungkar, dan akhirnya sikap bakhil, putusnya silaturahim dan tindakan mungkar biasa mereka lakukan.” (HR Abu Daud dan al-Hakim dari Ibnu Amr)
AYAT 38- {DAN JUGA ORANG-ORANG YANG MEMBELANJAKAN HARTANYA DENGAN MENUNJUK-NUNJUK KEPADA MANUSIA (RIAK), DAN MEREKA TIDAK PULA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN TIDAK JUGA BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT. DAN SESIAPA YANG (MENGAMBIL) SYAITAN ITU MENJADI KAWANNYA, MAKA SEBURUK-BURUK KAWAN IALAH SYAITAN.} (AN-NISA’ 4:38)
- Ini adalah isu yang keempat; iaitu orang yang membelanjakan hartanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia iaitu riya’!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat 37, Allah cela orang yang bakhil.
ii- Maka ayat ini datang celaan pada yang riya’ dan suka menunjuk-nunjuk pula, agar dilihat orang lain dan kagum dengannya. Iaitu orang yang boros dan membazir- kerana segala infaqnya sia-sia seolah dicurah begitu saja tanpa mendapat pahala!
Iaitu celaan kepada orang yang riya’, suka menunjuk-nunjuk agar dilihat orang lain dan kagum dengannya lalu memuji-mujinya sebagai orang yang baik, pemurah dan sebagainya!
- Inilah orang yang tidak mantap imannya, sama ada kepada Allah & hari Akhirat.
Dia derma & infaq tetapi mahu balasan segera atas dunia ini, mahu orang puji & puja dengan perbuatannya itu!
Maka Allah nyatakan bahawa dia tidak akan dapat habuan pahalanya di Akhirat kelak!
- Di akhir ayat Allah beri peringatan jika bersikap riya’ maka seolah dia mengambil syaitan sebagai kawannya!
Ingatlah seburuk-buruk kawan adalah syaitan! Jangan terjebak dengan orang-orang yang bersifat buruk agar kita tidak menjadi buruk.
- Kuliah AAM berdasarkan buku Hakikat Syaitan agar kita kenal syaitan & tahu akan tipu dayanya agar selamat darinya! Buku Hakikat Syaitan : https://dartaibah.com/…/Kitab-Hakikat-Syaitan-Edisi…
AYAT 39- {DAN APAKAH (KERUGIAN) YANG AKAN MENIMPA MEREKA JIKA MEREKA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT, SERTA MEREKA MENDERMAKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADA MEREKA? DAN (INGATLAH) ALLAH SENTIASA MENGETAHUI AKAN KEADAAN MEREKA.} (AN-NISA’ 4:39)
- Allah tanya apakah kamu akan ditimpa kerugian jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mendermakan sebahagian dari harta & rezeki yang dikurniakan Allah.
Pastilah tidak akan rugi bahkan sebaliknya orang yang tidak beriman & bakhillah yang akan kerugian besar di Akhirat kelak!
- Kerana itu Allah ungkit di sini bahawa segala harta & rezeki itu adalah kurnian dari Allah, kamu hanya tolong menguruskannya!
Ini Allah yang bagi rezeki tiba-iba kamu nak bakhil.
- Harta ini adakalanya boleh dapat secara senang atau mudah seperti harta dari pusaka.
Ada yang Allah murahkan rezeki dari perniagaan, lalu banyak untung & kaya raya.
Ada yang Allah uji, hidupnya susah, pekerjaan berat tetapi tidak mencukupi!
- Maka orang beriman yang punya harta, seeloknya digunakan secara baik, untuk berinfaq ke jalan kebaikan dan diredhai Allah SWT.
Orang yang tidak bakhil lalu berinfaq, harta akan menjadi miliknya.
- Manakala orang yang bakhil yang tidak infaq, selepas dia mati hartanya akan jadi milik orang lain atas dunia ini!
- Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa sesungguhnya Allah tahu niat kita, keikhlasan kita, yang zahir dan tersembunyi.
Jangan mulut kata lain, hati kata lain kerana Allah SWT mengetahui segalanya!
- Kita minta perlindungan dari Allah SWT agar kita tidak terumbang-ambing, hidup tidak membawa kebaikan untuk bekalan di Akhirat kelak.
Hidup kaya asset atas dunia tetapi miskin pahala di Akhirat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 37- {Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya.}-
Orang yang bakhil, suruh pulak orang jadi bakhil, sembunyi pulak hartanya takut orang minta derma, sembunyikan ilmu yang ada tidak mahu share!
Ini adalah tiga sifat mazmumah yang Allah cela.
Semoga kita dijauhkan ketiga-tiga sifat buruk ini:
i- Bakhil, tidak suka infaq derma hartanya fi-sabilillah.
ii- Kemudian dia juga suruh orang bakhil pula sama ada dengan menghalang atau menyekat orang daripada berbuat kebaikan.
iii- Sembunyikan harta atau ilmu kerana tidak mahu orang dapat faedah darinya!
Kita minta perlindungan Allah daripada segala sifat & keburukan ini.
- Ayat 37- {Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya.}-
Iaitu orang yang bakhil cuba sembunyikan kurniaan yang Allah berikan kepada mereka sama ada secara perbuatan dan perkataannya.
Kata ulama’ tadabbur : Sembunyi itu ada dua kategori:
i- Sembunyi dengan perbuatan- mereka sembunyikan kesan nikmat Allah ke atasnya, berpakaian seolah zuhud, kereta buruk, makan sedikit dan lain-lain; agar tidak diketahui orang dia punya harta.
Agar orang lain tidak berani meminta bantuan atau sedekah drinya!
ii- Yang kedua sembunyi dengan perkataan, menyatakan pada orang yang dia tidak ada kerja, tidak ada projek masuk, tidak ada gaji besar dan seumpamanya, buat miskin; semuanya ini juga agar tidak didekati oleh yang memerlukan.
Inilah sikap bakhil yang dikeji Allah.
Dapat projek hanya rezeki anak-anak- tidak mahu infaq- inilah bakhil harta.
Yang lebih teruk lagi bakhil ilmu!
- Dalam ayat 36-
Allah menyuruh agar kita berinfaq sebanyak mungkin akan harta kita.
Sedekah ini semua kategori masuk!
Tapi ingat baik-baik akan satu keadaan yang dikata ulama’ : من عدل عن المشروع ابتلي بالممنوع
Sesiapa yang melencong, lari dari jalan yang disyariatkan oleh Allah. Maka dia akan terjebak ke jalan yang dilarang.
Contoh:
i- Allah suruh infaq fi-sabilillah dengan ikhlas; tetapi apabila dia riya’ dia akan lari daripada yang asal.
ii- Allah beri peluang besar kepadanya dengan harta yang banyak tetapi dia bakhil maka hilanglah peluangnya untuk kaut pahala.
iii- Rasulullah SAW telah ajar amalan Sunnahnya yang sahih, tetapi kita tinggalkanya dengan ikut amalan yang direka oleh orang lain, yang tidak ada sandaran daripada al-Quran & hadis Nabi SAW maka sia-sialah.
Inilah yang kita bimbangkan hari ini, takut kita terjebak dengan apa yang dilarang dan meninggalkan apa yang disyari’atkan Allah!
- Ayat 38- {Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.}-
Ini adalah amaran & peringatan dari Allah tentang kesan memilih kawan yang tak betul.
Jika kita berkawan dengan orang bakhil- bakhillah juga, berkawan dengan kaki judi, kaki arak, kaki kelentong maka begitulah kita akan terdorong ke arahnya!
Jika terjebak berkawan dengan yang buruk perangainya, potensi untuk mengikut mengikut mereka sangat besar terutama pada anak-anak yang masih belum matang dan bawah umur!
Maka pilih dan pantaulah dengan siapa anak kita berkawan.
Jika kita berkawan dengan kawan yang sentiasa mengingati Allah, kita akan juga ingat pada Allah, dengan kawan yang pemurah kita juga akan pemurah, insya’ Allah.
- Ayat 39- {Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,..}-
Apa ruginya jika kamu beriman & infaq fi-sabilillah.
Tiada kerugiannya jika berinfaq, guna harta yang ada untuk buat kebaikan & kebajikan, berkongsi ilmu sebarkan kebaikannya dan seumpamanya.
Ayat ini mengajar kita fiqh untuk buat pertimbangan (fiqh al-muwazanah- فقه الموازنة); iaitu buat pertimbangan, imbangan & kajian sama ada sesuatu perkara yang kita nak buat itu mana lebih banyak dari segi kebaikan & keburukannya.
Kita kena imbangkan antara yang baik & buruk sebagai persiapan perjalanan hidup kita ke Akhirat nanti!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.