View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 88-91

BERINTERAKSI DENGAN MUNAFIQIN, MEREKA NAK KAFIRKAN UMAT ISLAM & SIFAT PURA-PURA MUNAFIQ.

Full video : https://youtu.be/QVZuI8-ymJM?si=nVTpbImDnAO6DN9Y

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 88 sehingga 91 bagi Surah An-Nisa’.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang bagaimana cara berinteraksi dengan munafiqin, ada kala kita perlu berkeras ada kala kita perlu bertoleransi, lihat kepada keadaannya.
  1. Allah nyatakan bahawa niat & perancangan jahat utama mereka ialah nak kafirkan umat Islam agar kufur seperti mereka!
  1. Allah juga dedahkan dalam ayat ini sifat pura-pura si munafiq yang suka berbohong dan cakap tak serupa bikin.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Ayat ini adalah cabang kepada kisah munafiqin dalam ayat-ayat lepas. Allah SWT telah nyatakan tentang watak munafiq dan feel perangai, sifat-sifat buruk mereka pada awal ayat-ayat sebelum-sebelum ini!

    ii- Lalu Allah SWT sebut beberapa sifat munafiq yang dapat dikenali, yang mudah untuk kita cam dari awal lagi. 
    Jika dapat kesan dari awal kita boleh ambil langkah berjaga-jaga & berhati supaya kita tidak terperangkap dengan di’ayah jahat mereka! 
    Munafiq ini bukan hanya pada zaman Nabi SAW dulu saja, tetapi wujud sehingga ke akhir zaman ini. 
    Semua watak-watak yang disebut dalam al-Quran sentiasa akan muncul dan ada pada sepanjang zaman! Seperti Firaun, Abu Jahal & munafiqin.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 88- {MAKA APAKAH YANG MENYEBABKAN KAMU (BERPECAH) MENJADI DUA GOLONGAN TERHADAP KAUM MUNAFIK ITU, PADAHAL ALLAH TELAH MENJERUMUSKAN MEREKA (KE DALAM KEKUFURAN) DISEBABKAN APA YANG TELAH MEREKA USAHAKAN? ADAKAH KAMU PULA HENDAK MEMBERI PERTUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG TELAH DISESATKAN OLEH ALLAH? PADAHAL SESIAPA YANG TELAH DISESATKAN OLEH ALLAH, MAKA ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENDAPAT JALAN UNTUK MENYELAMATKANNYA.} (AN-NISA’ 4:88)

  1. Munafiq ini adalah satu sifat atau makhluk yang kita tidak nampak atau dapat kesan dengan mata kasar kerana ia adalah soal dalam hati iaitu keimanan! 
    Kerana itu orang Islam berpecah dua dalam menghadapi & berinteraksi dengan mereka!
  1. Lalu Allah SWT tegur orang mukmin kenapa tidak boleh buat kesepakatan atas kekufuran golongan munafiq! 
    Jangan kamu ragu & syak lagi, watak kekufuran mereka jelas, keburukan mereka jelas- maka orang munafiq adalah orang yang kafir! 
    Yakni dapat di lihat dengan jelas dari segi zahir mereka akan dalil-dalil kemunafiqan! 
    Ini adalah untuk munafiq i’tiqadi bukan sekadar munafiq amali.
  1. Mengatakan kafir kepada orang yang jelas kafir itu adalah satu kemestian & kebenaran!
    Tidak kata mereka itu kafir apabila jelas kekufuran mereka itu adalah satu kesalahan!
    Mengkafirkan sesama Islam itu yang salah & melampaui batas! 
    Maka orang mukmin kena layan & berinteraksi dengan mereka sebagaimana dengan kafir biasa.
  1. Orang mukmin kena jelas watak & pendirian mereka- di depan kafir kita kena nyatakan kebenaran Islam, jangan mudah koyak & lunak dengan mereka, lebih-lebih lagi dengan kafir yang mempunyai kuasa! 
  1. Kemudian Allah tanya lagi, apa tujuan kamu berbaik dengan mereka setelah jelas kekufuran mereka? 
    Apakah kamu mahu menyelamatkan mereka dengan memberi petunjuk hidayah kepada mereka, sedangkan telah jelas Allah menyatakan mereka sesat!
  1. Kita berdoa kepada Allah agar tetapkan iman kita, anak-cucu kita, semua keluarga yang kita sayangi- sama ada iman yang zahir atau batinnya!

AYAT 89- {MEREKA SUKA KALAU KAMU PULA MENJADI KAFIR SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MENJADI KAFIR, MAKA (DENGAN YANG DEMIKIAN) MENJADILAH KAMU SAMA SEPERTI MEREKA. OLEH ITU JANGANLAH KAMU MENGAMBIL (SEORANG PUN) DI ANTARA MEREKA MENJADI TEMAN RAPAT KAMU, SEHINGGA MEREKA BERHIJRAH PADA JALAN ALLAH (UNTUK MENEGAKKAN ISLAM). KEMUDIAN KALAU MEREKA SENGAJA BERPALING INGKAR, MAKA TAWANLAH MEREKA DAN BUNUHLAH MEREKA DI MANA SAHAJA KAMU MENEMUINYA; DAN JANGAN SEKALI-KALI KAMU MENGAMBIL (SEORANG PUN) DI ANTARA MEREKA MENJADI TEMAN RAPAT ATAU PENOLONG;} (AN-NISA’ 4:89)

  1. Orang munafiq ini suka jika orang beriman menjadi kafir & munafiq seperti mereka juga! Maka jika kamu kufur juga maka samalah seperti mereka!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah tanya; apakah kamu boleh beri hidayah kepada orang yang sudah Allah sesatkan mereka? 
    Pertanyaan ini adalah menunjukkan tidak mungkin ia terjadi! 

    ii- Lalu Allah nyatakan dalam ayat ini; mereka bukan setakat kafir tetapi nak mengkufurkan orang Islam juga! Mereka nak sangat kamu menjadi kufur seperti mereka!
  1. Maka jika kafir atau munafiq yang ada agenda sebegini, nak sangat agar orang Islam kafir- kamu jangan berbaik dengan mereka apatah lagi jadikan mereka sebagai teman rapat! 
    Jangan minta pertolongan dan bocorkan rahsia orang muslim kepada mereka!
  1. Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita cara berinteraksi dengan mereka; Jangan percaya & berbaik dengan mereka sehinggalah mereka tunjukkan bukti kejujuran mereka, sikap mereka yang jelas bahawa mereka benar-benar telah berhijrah dengan menyokong Islam & boleh menentang sesama mereka.
  1. Jika mereka tidak mahu berubah, tidak mahu berhijah kepada Islam juga, masih degil nak menentang; maka perangilah mereka- ajak mereka berlawan secara berdepan! 
  1. Bahkan Allah ajar orang Islam apabila menemui mereka yang menentang dalam peperangan ini, cara menangani mereka:
    i- Maka tawanlah mereka

    ii- Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya;

    iii- Dan jangan sekali-kali kamu mengambil seorang pun di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;
  1. Kita bertegas pada tempat yang Allah izinkan, kita berlembut & toleransi apabila Allah perintahkan! 
    Dengan munafiq kita jangan dok main lemah & mudah serah tengkuk, apabila Allah telah beri kita hujjah untuk lawan munafiq maka lawanlah jangan kamu takut lagi!
  1. Sila baca kisah sejarah Islam tentang Andalusia yang sangat menyayat hati. 

    Antara isu tragis yang membawa kejatuhan empayar kerajaan Islam Andalusia ialah terlalu percaya dan terlampau berbaik dengan orang kafir, dengan kerajaan kafir yang sebenarnya adalah musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkannya.
    Kita ambillah pengajaran dan ibrah dari sejarah kaum terdahulu. 

AYAT 90- {KECUALI ORANG-ORANG YANG PERGI (MEMINTA PERLINDUNGAN) KEPADA SUATU KAUM YANG ADA IKATAN PERJANJIAN SETIA ANTARA KAMU DENGAN MEREKA, ATAU ORANG-ORANG YANG DATANG KEPADA KAMU SEDANG HATI MEREKA MERASA BERAT HENDAK MEMERANGI KAMU ATAU MEMERANGI KAUMNYA. DAN JIKA ALLAH MENGHENDAKI, NESCAYA IA MENJADIKAN MEREKA BERKUASA MELAWAN KAMU, KEMUDIAN TENTULAH MEREKA MEMERANGI KAMU. DALAM PADA ITU, JIKA MEREKA MEMBIARKAN KAMU (DENGAN TIDAK MENGANCAM ATAU MENGGANGGU), SERTA MEREKA TIDAK MEMERANGI KAMU DAN MEREKA MENAWARKAN PERDAMAIAN KEPADA KAMU, MAKA ALLAH TIDAK MENJADIKAN BAGI KAMU SESUATU JALAN (YANG MEMBOLEHKAN KAMU MEMERANGI ATAU MENAWAN) MEREKA.} (AN-NISA’ 4:90)

  1. Inilah prinsip Islam : Orang kafir nak minta perlindungan diberi, orang minta berdamai- berdamailah, orang nak serang & berlawan, jangan takut lawanlah, berjihadlah sehingga syahid!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelum ini Allah kata jika munafiq itu betul-betul kafir & mereka mahu perangi kamu; maka lawan & perangilah mereka!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah kata jika Allah beri mereka kuasa mereka akan lawan kamu; tetapi sekarang ini mereka lemah & kebingungan lalu nak berdamai, menyerah diri kepada kamu; maka jangan pula kamu ambil kesempatan menindas mereka; terimalah salam perdamaian mereka untuk waktu itu! 
    Jika tak mahu hulur tangan membantu pun biarkan mereka begitu jangan ambil kekerasan atas mereka.
  1. Begitulah keadaan orang munafiq apabila tahu kedudukannya terancam, tembelangnnya telah pecah & mereka akan diambil tindakan oleh kaum muslimin; lalu mereka menjadi lemah dan mahu berdamai! 
    Minta bertenang minat nak berdamai- maka Allah tak buka lagi untuk kamu serang atau tawan mereka!
  1. Allah gambarkan mereka ini terbahagi kepada beberapa keadaan:
    i- Sama ada mereka lari pergi kepada golongan kafir yang ada ikatan perjanjian setia dengan Islam mencari perlindungan dengan mereka! Mereka ini Allah kata kita beri hak sama kepada mereka.

    ii- Atau mereka datang berjumpa dengan orang Islam dengan hati yang berat kerana tidak mahu berperang melawan orang Islam, mereka juga tidak mahu berperang melawan kaum mereka yang kufur itu juga! 
    Maka dengan mereka ini juga Allah kata biarkan mereka berada di tengah-tengah, dengan syarat mereka betul-betul tidak ada perancangan jahat nak belot- benar-benar tidak mahu berperang & tidak bermaya! 
  1. Yakni Allah SWT ajar lagi. Jika puak kafir itu datang untuk berdamai, serah diri kepada kamu tidak mahu berperang serta mereka tidak membuat onar dengan tidak mengancam atau mengganggu, maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan yang membolehkan kamu memerangi atau menawan mereka.
  1. Yakni kita kena terima tawaran perdamaian mereka, lalu tidak boleh lagi menyerang atau memerangi mereka itu!  
    Inilah tiga keadaan yang orang Islam tidak boleh menyerang & menawan orang kafir atau munafiq tanpa provokasi dari mereka terlebih dahulu!
  1. Tetapi dalam masa yang sama kita kena ambil langkah berhati-hati, berjaga-jaga, jangan mudah koyak & percaya kepada mereka dengan mudah! 
    Wajib ambil langkah untuk jaga keselamatan & hadapi sebarang kemungkinan pengkhianatan mereka. 
    Jangan lalai jangan alpa. Terus menerima mereka dengan hati yang terbuka tetapi sentiasalah ambil langkah berjaga & berhati! 

AYAT 91- {KAMU JUGA AKAN DAPATI GOLONGAN-GOLONGAN YANG LAIN (YANG PURA-PURA ISLAM) SUPAYA MEREKA BEROLEH AMAN DARI PIHAK KAMU, DAN (SEBALIKNYA MEREKA MELAHIRKAN KEKUFURANNYA) SUPAYA MEREKA BEROLEH AMAN DARI PIHAK KAUMNYA (YANG MASIH KAFIR). TIAP-TIAP KALI MEREKA DIAJAK KEPADA FITNAH (PENCEROBOHAN), MEREKA SEGERA TERJERUMUS KE DALAMNYA. OLEH ITU, JIKA MEREKA TIDAK MEMBIARKAN KAMU (DAN TERUS MENGGANGGU ATAU BERPIHAK KEPADA MUSUH), DAN (TIDAK PULA) MENAWARKAN PERDAMAIAN KEPADA KAMU DAN JUGA (TIDAK) MENAHAN TANGAN MEREKA (DARIPADA MEMERANGI KAMU), MAKA HENDAKLAH KAMU BERTINDAK MENAWAN MEREKA DAN MEMBUNUH MEREKA DI MANA SAHAJA KAMU MENEMUINYA; KERANA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG KAMI JADIKAN BAGI KAMU ALASAN YANG TERANG NYATA UNTUK BERTINDAK TERHADAPNYA.} (AN-NISA’ 4:91)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 90- Allah kata ada sekumpulan orang kafir yang betul-betul nak berdamai, tidak mahu berperang dengan orang Islam!

    ii- Maka dalam ayat 91 ini Allah u-turn ingatkan kembali kita tentang satu lagi golongan iaitu yang sentiasa menipu membuat perancangan jahat, bersumaph dengan nama Allah itulah puak munafiq yang manis mulut di depan Nabi SAW tetapi sebaliknya di belakang! 
  1. Lalu Allah SWT perintahkan orang mukmin agar berhati-hati dengan pihak munafiq yang hipokrit, bermuka-muka, berpura-pura baik dan beriman di depan orang Islam tetapi sesama pihak kafir mereka masih baik dan tetap teguh bersatu menyokong mereka!
  1. Mereka ini seolah talam dua muka, si pokko yang berubah-rubah:
    i- Mengaku beriman, tenang dan aman damai- ini untuk mendapat perlindungan Nabi SAW & orang Islam agar selamat harta benda & nyawa mereka daripada orang Islam! 

    ii- Serta dalam masa yang sama sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya supaya mereka beroleh aman pula dari pihak kaumnya yang masih kafir.
  1. Tetapi sebenarnya kekufuran mereka masih menebal dan masih setia dengan kumpulan kafir mereka- setiap kali mereka diajak kepada fitnah pencerobohan, melawan Rasulullah SAW & orang Islam- bila-bila masa saja mereka akan menyahut seruan & ajakan pihak kafir untuk memerangi orang Islam!
  1. Setiap kali diuji apabila kawan kafir itu ajak kafir & syirik mereka akan segera bangun menyahut serauan itu! 
    Bertambah kekufuran & kejahatn mereka untuk mengkhianati orang Islam. 
    Begitulah setiap watak yang Allah sebut dalam al-Quran akan muncul pada setiap zaman sehingga ke hari Kiamat.
  1. Begitu juga sekarang ini : Kita boleh lihat puak kafir ini apabila mereka lemah mereka datang bergantung, menempel dengan kita tetapi apabila ada isu yang memihak kepada kafir mereka akan bangnkit bersama dengan geng kafir itu!
  1. Maka jika mereka tidak tinggalkan sifat penentangan, tidak mahu berdamai menyerah diri dan masih mahu memerangi orang Islam; lalu Allah beri arahan: kebenaran & perintah untuk memerangi mereka di mana saja kamu jumpai mereka! Tiada sebab untuk kamu tidak melakukannya! 
  1. Kita bertegas di tempat yang Allah perintahkan; kita berlembut pada tempat yang Allah izinkan! 
    Apabila Allah telah beri kita hujjah untuk lawan & perangi munafiqin maka kita lawanlah! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 88- {Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu,}-

    Allah tanya kenapa kamu ini (guano demo ni)?
    Allah menyatakan rasa takjub akan sikap sebahagian orang beriman yang masih ragu-rau & teragak dalam menjatuhkan hukum bahawa golongan munafiq itu kafir, kerana mereka masih ragu lagi, lalu Allah nyatakan bahawa sebenarnya munafiq adalah kafir yang jelas! 
    Allah nyatakan di sini jangan berlunak dengan mereka kena ambil langkah & pendirian yang jelas; apabila nampak secara zahir sifat & watak-watak munafiq, tinggalkan mereka.

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini adalah menjadi dalil bahawa jika seorang mujtahid mempunyai dalil yang lemah, tidak kukuh, maka orang lain tidak boleh ambil pandangannya itu menjadi dalil dengannya! 
    Jika ambil juga maka ijtihad & langkahnya tidak betul.
    Jika orang jelas nampak tidak betul, kita jangan mudah ikut, jangan mudah percaya, mudah nak serah leher kepada orang tertutama yang bukan Islam!
  1. Ayat 88- {padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan?}-

    Padahal mereka terjerumus dalam kufur akibat perbuatan & pilihan mereka sendiri.
    Kata ulama’ tadabbur : Ini menunjukan bahawa amalan kita ini akan melahirkan perkara yang sama!
    Orang yang buat amal soleh, insya’ Allah akan bertambah amal solehnya! 
    Manakala orang yang buat maksiat akan melahirkan maksiat juga! 
    Perbuatan orang munafiq ini tak jelas, oleh kerana iktiqad mereka tidak betul- maka perbuatan atau amalan mereka akan nampak pincang & sumbang dalam agama Islam.
    Jangan percaya kepada mereka, kerana tidak ikhlas dalam perjuangan, mereka ini hanya menempel kerana nak menyelamatkan diri mereka daripada dikenakan hukuman.
    Maka dengan sebab mereka kafir, Allah timpakan ke atas mereka perangai buruk yang berterusan!
    Ada amalan yang meningkatkan iman & darjat; ada juga amalan yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka!
    Ingatlah dosa besar akan menjerumuskan kepada kufur.
  1. Ayat 88- {Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.}–

    Allah tanya kamu nak beri hidayah kepada orang yang Allah sesatkan?
    Sesungguhnya hidayah & taufiq semua di bawah kuasa Allah SWT! Yang beri taufiq Allah SWT yang menyesatkan Allah SWT juga!
    Bagi kitanya berusaha untuk mendapat taufiq & hidayah dari Allah SWT! Sebagaimana yang kita baca 17 kali sehari dalam solat kita: { ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ}- {Tunjukilah kami jalan yang lurus.}.
    Jika Allah tak beri petunjuk tak mungkin kita akan dapatnya! Serta orang yang sesat kita tak boleh nak beri petunjuk kepadanya!

    Firman Allah SWT tentang bapa saudara Nabi SAW iaitu Abu Tolib:
    {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).} (Al-Qasas 28:56)
    Kita tidak boleh beri hidayah kepada sesama manusia- kita hanya boleh beri ilmu, nasihat & maklumat untuk buka pintu hati mereka supaya beriman & beramal insya’ Allah!
  1. Ayat 89- {Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam)}-

    Allah suruh uji dulu jika mereka mengaku beriman.
    Jika kamu mengaku beriman; kamu kena uji dulu mereka! 
    Jika dulu dengan berhijrah. Sekarang dengan tinggalkan maksiat, tinggalkan kawan-kawan yang jahat, tinggalkan sifat-sifat buruk!
    Fenomena buruk sekarang ini: Apabila ada kuliah & ceramah oleh syeikh atau pendakwah dari luar, dari tempat jauh, ada pelajar-pelajar yang bertanya dengan soalan menguji seperti; apa pandangan kamu tentang orang ini? Tentang orang itu? Sengaja nak mencipta polemik dengan soalan provokasi yang boleh menjadi fitnah dalam masyarakat!
    Apabila jawapan tak kena dengan apa yang mereka mahu akan terus kena cop dengan label-label & gelaran yang boleh memecah belahkan!
  1. Ayat 91- {Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu,..}-
     
    Allah ajar jika mereka menghulurkan perdamaian, maka kita kena terimanya! 
    Jika orang jujur kita kena jujur juga!
    Inilah sikap Islam yang sentiasa menghulurkan salam perdamaian! 
    Tetapi kadang-kadang manusia ini tidak jujur hanya mahu berbaik apabila lemah, nak berdamai apabila tersepit tiada tempat bergantung!
    Dalam dunia Islam ini jangan kita mudah terpedaya, akan ada kelompok lain yang mengaku beriman tetapi sebenarnya dalam hati mereka penuh kebencian & penentangan terhadap Islam!
    Inilah golongan munafiq yang bermuka-muka dan suka menipu!
    Kita dengan orang bukan Islam ini begitulah keadaannya, dengan sesama Islam pun begitu juga! 
    Jika orang nak berdamai kita terima tetapi jika ada bibit-bibit penentangan atau pembelotan, kita kena peka, kita kena segera tanganinya!
    Jangan dok tak apa, tak apa sehingga tidak dapat diselamatkan lagi!

    Ajaran Islam adalah jelas. Jangan bersekongkol, bersubahat dengan orang pembelot, penipu & pembohong. 
    Kena nyatakan demi keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

    Contoh : Apabila berlaku penderaan dalam rumahtangga, anak isteri di pukul oleh suami- atau kes buli di kalangan pelajar, buatlah aduan, jangan biarkan begitu saja menahan bahaya menanggungnya tanpa faedah & kebaikan. 
    Jika tahu & menjadi saksi, kena laporkan; jangan biarkan penderaan berlaku dalam keluarga dan masyarakat kita.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs