View Categories

SURAH AR-RAHMAN : AYAT 19-25

\"\"

ALLAH S.W.T CIPTAKAN DUA JENIS LAUT, MUTIARA DAN MARJAN & BAHTERA BELAYAR DI LAUTAN.

Full video : https://youtu.be/KMB4rdMtXd0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita baca ayat tentang Allah S.W.T ciptakan dua jenis laut, ada yang tawar ada yang masin.
  2. Kemudian dikeluarkan mutiara yang putih dan marjan yang merah, sebagai perhiasan dari laut.
  3. Antara kekuasaan Allah Azza wa Jalla kapal & bahtera yang besar belayar di lautan, tidak tenggelam.
  4. Setelah Allah tunjukkan segala bukti keagungan & kekuasaan Allah s.w.t ini, tiada sebab lagi untuk kita tidak beriman & mengikut segala perintah Allah s.w.t, serta tidak mengingkari segala nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada kita di atas dunia ini.
  5. Allah s.w.t tanya 3 kali lagi dalam siri ini {فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ}.
  6. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah sebut dalam ayat yang lepas tentang timur & barat, pergerakan matahari, iaitu tentang ilmu falak yang di atas. Matahari berjalan & bergerak di atas paksinya.
    ii- sebagaimana juga manusia yang bergerak di atas muka bumi ini atau juga di atas laut, bergerak dengan kapal.

Firman Allah s.w.t:
{(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.} (Yaa Siin 36:40)

ii- maka munasabahlah Allah s.w.t sebut pula tentang dua lautan setelah Allah sebut tentang dua makhluk-Nya yang besar, yang berlari di angkasa.

iii- apabila disebut kepada timur & barat- ia membawa kepada isyarat kepada wujudnya lautan di bumi. Kerana daratan & lautan itu ada di timur, ada di barat.

iv- tentang daratan Allah sebut dalam ayat 10; bahawa Dia cipta bumi untuk manusia diami. Maka dalam ayat 19 ini Allah sebut pula nikmat-Nnya yang belum disebut lagi dalam surah ini iaitu dua lautan pula, yang masin & yang tawar.

v- maka munasabahlah Allah sebut ayat 19 ini setelah disebut timur dan barat kerana semua yang Allah buat ada hikmah, berkait dan ada kesinambungan.
Begitulah keindahan dan mukjizat al-Quran untuk kita teliti, korek & tadabbur mengambil peringatan dan pengajaran!

AYAT 19- {IA BIARKAN AIR DUA LAUT (YANG MASIN DAN YANG TAWAR) MENGALIR, SEDANG KEDUANYA PULA BERTEMU;} (AR-RAHMAAN 55:19)

  1. Antara tanda kekuasaan Allah s.w.t, Allah lepaskan dua air laut yang masin dan tawar walaupun bertemu, tidak bercampur dan bergaul. Ia bersambung tetapi tidak bercampur.
  2. Kalimah (مَرَجَ) Allah biarkan; boleh diterjemahkan:
    i- bermakna Allah s.w.t lepaskan saja air itu tanpa ada sekatan atau benteng atau tembok.

ii- ia bercampur tetapi tidak bergaul menjadi satu seolah ada satu garis pemisah dengan kuasa Allah s.w.t.

iii- ada setengah tempat ia bertemu tetapi tetap tidak bercampur. Yakni bertemu laluannya tetapi tidak menjadi satu.

iv- Asy-Syaukani kata: berjiran dua jenis air, pada mata kasar kita seolah tidak ada tembok tetapi ianya tidak bercampur seolah ada tembok.
Berjiran tetapi tidak bercampur. { ٱلْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ}.

  1. Ia ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t lagi:
    { Dan Dia lah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.} [Al-Furqan: 53].
  2. Yakni dipisahkan dengan kuasa Allah atau dipisahkan oleh daratan. Ada tenpat-tempat seperti di kuala sungai ia bertemu laluannya tetapi tidak bercampur airnya.

AYAT 20- {DI ANTARA KEDUANYA ADA PENYEKAT YANG MEMISAHKANNYA, MASING-MASING TIDAK MELAMPAUI SEMPADANNYA;} (AR-RAHMAAN 55:20)

  1. Yakni antara laut yang masin & laut yang tawar (sungai yang besar), ada pemisah yang menyekat dua jenis air ini daripada bercampur, yang boleh menyebabkan berubah sifat & jenis air itu. Setakat payau tempat bertemu itu.
  2. Kata al-Wahidi rhm.: Maksudnya ada pemisah antara dua lautan itu ialah pemisah dengan kuasa Allah s.w.t. Air masin tidak masuk ke dalam air tawar yang boleh merosakkan rasanya, begitu juga sebaliknya. Yakni terpisah dengan kuasa Allah.
  3. Kata Ibnu Kathir rhm.: Ia terpisah dengan daratan/bumi yang kering.
  4. Kesimpulannya kata ulama\’, dua lautan itu samada:
    i- terpisah dengan kuasa Allah semata-mata.
    ii- terpisah dengan bumi yang kering.
    Kedua-duanya benar dan ada.
  5. Firman Allah s.w.t lagi:
    {Dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui.} (An-Naml 27:61)
  6. Semua ini untuk kita ambil iktibar & pengajaran akan kekuasaan & kudrat Allah s.w.t.

AYAT 21- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:21)

  1. Allah s.w.t bertanya sekali lagi – kali ke-4.
  2. Wahai jin & manusia; dengan nikmat Tuhan kamu yang mana lagi mahu kamu ingkari?
    Jawapannya pastilah TDAK ADA.
  3. Jin dikatakan untuk membantu kita kerana kaumnya tiada nabi & rasul. Dia menumpang rasul kita, Nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w yang diutuskn untuk kedua jin & manusia!
  4. Jin adalah satu makhluk lain yang kita tidak nampak, jadi tidak sesuai & sukar untuk kita berkawan atau guna khidmat jin yang berlainan alam- wallahu a\’lam.

AYAT 22- {DARI KEDUA LAUT ITU, KELUAR MUTIARA DAN MARJAN;} (AR-RAHMAAN 55:22)

  1. Setelah Allah sebut tentang lautan, Allah nyatakan pula dari kedua lautan itu, yang masin & yang tawar, Allah keluarkan permata mutiara (ٱللُّؤْلُؤُ) dan marjan (ٱلْمَرْجَانُ) sebagai perhiasan.
  2. Ini adalah hasil perhiasan di lautan sebagaimana bumi ada hiasannya juga iaitu tumbuh-tumbuhan, pokok tanaman sebagaimana dalam ayat 10, 11 & 12.
  3. Mutiara, permata putih ini keluar dari air masin dan ada juga dari air tawar.
    Penemuan sains dan realiti mengesahkan ini.

Walaupun ada juga pandangan yang mengatakan sebaliknya.

  1. Marjan pula batu perhiasan berwarna merah, berasal dari coral (batu karang) dalam lautan. Sebagaimana pandangan beberapa ulama\’ salaf seperti:
    i- Ibnu Mas\’ud berkata: Marjan ialah batu permata merah.

ii- Ibnu Asyur pula kata: Marjan ini berasal dari haiwan laut yang berjari lembut kemudian menjadi keras atau batu, iaitu batu karang, wallahu a\’lam.

  1. Yang penting keduanya adalah perhiasan yang keluar dari Lautan, antara anugerah Allah kepada manusia yang amat luas dan banyak.

AYAT 23- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:23)

  1. Kemudian Allah s.w.t tanya lagi buat kali kelimanya.
  2. Mana satukah nikmat Tuhan kamu yang kamu mahu dustakan? Pastilah tiada!

AYAT 24- {DAN DIA LAH YANG MENGUASAI KAPAL-KAPAL YANG BELAYAR DI LAUT, YANG KEMBANG TINGGI LAYARNYA SEPERTI GUNUNG-GANANG;} (AR-RAHMAAN 55:24)

  1. Allah juga yang menguasai kapal-kapal dan bahtera besar, yang belayar dilaut yang luas, itu tanda kekuasaan Allah Azza wa Jalla. Allah yang mentadbir dan mengangkat layarnya yang kembang tinggi, nampak seperti gunung dari jauh dek tingginya.
  2. Allah nyatakan angin mengerakkan bahtera-bahtera yang mempunyai layar yang tinggi seperti bukit. Bahtera itu terlalu kecil bandingkan dengan lautan yang luas.
  3. Kata al-Baghawiyu rhm.: Kapal yang diangkat tinggi tiang layarnya itu ialah yang dipanggil (ٱلْمُنشَـَٔاتُ). Manakala yang tidak diangkat layarnya dipanggil (الفلك /البحار).
  4. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.} (Asy-Syuura 42:32)

ii- {Dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya,} (Ibrahim 14:32)

AYAT 25- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:25)

  1. Kemudian Allah s.w.t tanya lagi buat kali keenamnya.
  2. Mana satukah nikmat Tuhan kamu yang kamu mahu dustakan?
  3. Munasabah ayat kenapa Allah sebut laut kemudian tanya soalan ini:
    i- Oleh kerana bahtera yang belayar di lautan itu memberi manfaat yang besar kepada manusia dari segi rezeki; samada dari segi perniagaan eksport import, perikanan, pengangkutan atau pelancongan (cruise) seperti hari ini.

ii- kerana semua ini adalah nikmat yang besar dan banyak, maka Allah s.w.t tanya kepada manusia; nikmat apa lagi yang mahu didustakan!

  1. Tentang cruise: betapa manusia berani buat maksiat di tengah lautan yang luas atau sungai yang besar seperti Nil- walaupun telah banyak berlaku kemalangan tenggelam feri & kapal.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 19- {Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;}- ulama\’ tadabbur kata; Allah S.W.T namakan lautan dan sungai yang besar dengan satu nama saja (ٱلْبَحْرَيْنِ). Begitulah dalam bahasa Arab biasanya begitulah boleh penggunaan ini walaupun satu masin & satu tawar, dipanggil dua laut.

Seperti digunakan perkataan (ٱلْكسوفَيْنِ) dua gerhana- yakni satu gerhana matahari & satu gerhana bulan. Diguna bersama.

  1. Ayat 22- {Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;}- dalam ayat Allah s.w.t kata mutiara dan marjan keluar dari kedua jenis air masin dan air tawar juga. Berdasarkan ayat ini kata para ulama\’ kedua jenis permata ini keluar dari kedua jenis lautan ini.

Walaupun pun ada pandangan yang mengatakan hanya dari air masin sahaja. Mereka membawa beberapa hujjah, wallahu a\’lam.
Untuk maklumat lebih lanjut boleh tanya pakar dalam bidang ini.

  1. Ayat 22- {Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;}- seperti perbincangan di atas tadi. Allah kata keluar dari keduanya dan Allah yang mencipta keduanya pastilah Allah lebih tahu.
    Maka kita berpeganglah dengan zahir ayat tanpa perlu takwil dan tafsir. Maka ia lebih baik dan keluar dari masalah.

Walaupun ada pandangan kata mutiara atau marjan yang keluar dari laut masin lebih bernilai dari laut tawar- serta sebagainya.

  1. Ayat 24- {Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;}- dari ayat ini ulama\’ mengorek rahsia dari sudut bahasa: kenapa laut (فِى ٱلْبَحْرِ) disebut sebagai mufrad (singular) manakala kapal-kapal (ٱلْجَوَارِ) yang seperti gunung-gunung (كَٱلْأَعْلَـٰمِ) sebagai jamak (plural)?

Jawapan:
i- itu menunjukkan betapa besarnya laut itu. Walaupun sebuah laut dia mampu bawa banyak kapal yang besar seperti bukit!

ii- jika disebut laut-laut secara jamak (البحار) tidak menunjukkan sangat besar, kerana ada laut besar, ada laut kecil.

  1. Ayat 24- {Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;}- ini kerana asas kehidupan kita atas dunia ini ada empat; tanah, air, api & angin.

Maka Allah s.w.t telah sebut semuanya:
i- asal kejadian manusia iaitu tanah- dalam ayat 14.

ii- asal kejadian jin dari api- ayat 15.

iii- air sebagai asal kejadian kepada kebanyakan makhluk- ayat 22.

iv- manakala angin pula kerana ia tidak nampak, tidak dapat dilihat maka tidak disebut dalam ayat ini! Hanya disebut kepentingan & kesannya sahaja iaitu menolak layar kapal, angin yang meniupnya- dalam ayat 24. {Tafsir ar-Razi].

Ya Allah berikanlah kami kefahaman yang baik untuk memahami kalam-kalam-Mu, ajarkanlah apa yang kami tidak faham serta berilah manfaat dari apa yang sudah kami faham dan bantulah kami untuk beramal dengan al-Quran ini!

Powered by BetterDocs