View Categories

SURAH AR-RAHMAN : AYAT 46-61

\"\"

DUA SYURGA DIBERIKAN KEPADA ORANG TAKUT KEPADA ALLAH, SIFAT SYURGA & BALASAN IHSAN.

Full video : https://youtu.be/3ho6QrRbMic

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bagi yang orang takut kepada Allah Azza wa Jalla akan anugerahkan dua syurga (جَنَّتَانِ) diberikan kepada mereka.
  2. Allah s.w.t juga ceritakan tentang sifat dua syurga yang tinggi kedudukannya (maqam) ini. Syurga itu mempunyai beberapa darjat mengikut tahap amalan penghuninya nanti.
  3. Juga tentang balasan ihsan, iaitu balasan kebaikan bagi perbuatan yang baik.
  4. Diulang soalan {فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ}- sebanyak lapan kali dalam episod tentang syurga & nikmatnya ini, sesuai dengan pintu syurga yang ada lapan.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas telah diceritakan apakah yang akan menimpa orang kafir mujrimin yang akan diseret ke dalam neraka lalu diazab dengan air panas, tembaga menggelegak dan lain-lain azab yang dahsyat.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut pula tentang balasan kepada orang yang bertaqwa dan takut kepada Allah s.w.t!

AYAT 46- {DAN ORANG YANG TAKUT AKAN KEADAAN DIRINYA DI MAHKAMAH TUHANNYA (UNTUK DIHITUNG AMALNYA), DISEDIAKAN BAGINYA DUA SYURGA,} (AR-RAHMAAN 55:46)

  1. Ayat ini mula menceritakan tentang balasan bagi yang beriman dan bertaqwa iaitu orang yang takut untuk bertemu dengan Allah pada hari Kiamat.
  2. Maka hendaklah dia bertaqwa di dunia ini dengan menjalankan arahan Allah s.w.t & menjauhkan larangan-Nya.
  3. Mereka akan dibalas dengan diberikan dengan dua syurga.
  4. Ulama\’ tafsir menterjemahkan apa maksud dua syurga (جَنَّتَانِ) ini?
    iaitu syurga yang penuh dengan nikmat balasan sebagai:
    i- sebuah syurga diberi kerana menjauhi dan meninggalkan segala larangan Allah.

ii- syurga kedua diberi kerana melakukan segala ketaatan kepada Allah s.w.t!

AYAT 47- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:47)

  1. Maka datanglah soalan pertama bagi episod ini, yang ke-18 jika bermula dari awal surah.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb!
    Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 48- {(DUA SYURGA) YANG ADA BERJENIS-JENIS POHON DAN BUAH-BUAHAN;} (AR-RAHMAAN 55:48)

  1. Antara sifat dua syurga ini ialah: sebuah taman atau kebun mempunyai berjenis-jenis pohon dan buah-buahan.

AYAT 49- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:49)

  1. Selepas setiap sifat syurga ini ditanya terus soalan ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb!
    Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 50- {PADA KEDUA-DUA SYURGA ITU TERDAPAT DUA MATAIR YANG MENGALIR;} (AR-RAHMAAN 55:50)

  1. Sifat syurga juga: terdapat dua matair yang mengalir indah lagi menyejukkan.

AYAT 51- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN.} (AR-RAHMAAN 55:51)

  1. Selepas setiap sifat syurga ini ditanya terus soalan ini.
    Ini soalan yang keempat episod syurga ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb!
    Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 52- {PADA KEDUA SYURGA ITU TERDAPAT DUA MACAM DARI TIAP-TIAP JENIS BUAH-BUAHAN (YANG BIASA DAN YANG LUAR BIASA).} (AR-RAHMAAN 55:52)

  1. Di dalam kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan.
  2. Buah itu pula ada yang biasa kita lihat dan yang luar biasa yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
  3. Ulama\’ kata maksudnya ada buah yang kering dan ada buah yang basah.

AYAT 53- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:53)

  1. Selepas setiap sifat syurga ini ditanya terus soalan ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 54- {MEREKA (BERSENANG-SENANG DI TEMPAT MASING-MASING DALAM SYURGA ITU DENGAN) BERBARING DI ATAS HAMPARAN-HAMPARAN, YANG LAPISAN-LAPISAN SEBELAH DALAMNYA – DARI SUTERA TEBAL YANG BERSULAM; DAN BUAH-BUAHAN KEDUA-DUA SYURGA ITU DEKAT (KEPADA MEREKA) UNTUK DIPETIK.} (AR-RAHMAAN 55:54)

  1. Ayat ini pula menceritakan tentang keadaan penghuni di dalam syurga:
    i- duduk berehat di atas hamparan yang tebal & lembut.

ii- hamparannya pula dari sutera tebal yang bersulam.

iii- serta terdapat buah-buahan kedua-dua Syurga itu yang dekat kepada mereka untuk dipetik makan.

AYAT 55- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:55)

  1. Selepas setiap sifat syurga ini ditanya terus soalan ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 56- {DI DALAM SYURGA-SYURGA ITU TERDAPAT BIDADARI-BIDADARI YANG PANDANGANNYA TERTUMPU (KEPADA MEREKA SEMATA-MATA), YANG TIDAK PERNAH DISENTUH SEBELUM MEREKA OLEH MANUSIA DAN JIN;} (AR-RAHMAAN 55:56)

  1. Terdapat juga pasangan dari kalangan bidadari-bidadari untuk menghiburkan & menemani. Pandangan dan perhatian mereka hanya tertumpu kepada pasangan mereka sahaja. tidak melilau kepada yang lain.
  2. Mereka juga adalah perawan yang terpelihara, tidak pernah disentuh oleh manusia dan jin sebelum ini.

AYAT 57- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:57)

  1. Kemudian ditanya lagi soalan ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 58- {BIDADARI-BIDADARI ITU (CANTIK BERSERI) SEPERTI PERMATA DELIMA DAN MARJAN.} (AR-RAHMAAN 55:58)

  1. Sifat bidadari-bidadari itu lagi amat cantik jelita, berseri seperti permata delima dan marjan.
  2. Hadis Rasulullah s.a.w:
    \”Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama.
    Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkemilau di langit. Setiap seorang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sum-sum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang yang bujang (single).\” [HR Bukhari & Muslim]
  3. Allah s.w.t sebut semua ini sebagai motivasi & galakan untuk kita beramal soleh bagi menggapai syurga yang penuh nikmat ini!
    Tak perlu kita fikir dan kaji tentang sifat & hal keadaan dalam syurga.
    Kita hanya fikir bagaimana kita nak sampai ke syurga insya\’ Allah.

AYAT 59- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:59)

  1. Kemudian ditanya lagi soalan ini, ini yang ketujuh selepas nikmat syurga.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab; tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb! Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!

AYAT 60- {BUKANKAH TIDAK ADA BALASAN BAGI AMAL YANG BAIK – MELAINKAN BALASAN YANG BAIK JUGA?} (AR-RAHMAAN 55:60)

  1. Ini adalah sifat orang yang akan mendapat balasan syurga, pengejar dan pendamba syurga.
  2. Tidak akan ada balasan bagi amal yang baik itu melainkan yang baik juga. Iaitu yang baik perangai dan sifatnya, elok dan sempurna amalannya, soleh beriman dan tidak syirik kepada Allah!
    Penuh keikhlasan kepada Allah s.w.t & mengikut Sunnah Nabi s.a.w.
  3. Yakni setiap balasan yang kamu terima tadi, segala nikmat syurga dengan buahnya bidadarinya dan semuanya adalah kerana kelayakan dan ciri-ciri ini.
    Maka mereka akan mendapat nikmat kebaikan di akhirat kelak!

AYAT 61- {MAKA YANG MANA SATU DI ANTARA NIKMAT-NIKMAT TUHAN KAMU, YANG KAMU HENDAK DUSTAKAN?} (AR-RAHMAAN 55:61)

  1. Kemudian Allah s.w.t tutup episod ini dengan bertanya lagi soalan ini.
  2. Dengan nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu nak dustakan?
  3. Kita jawab tiada apa yang nak kita dustakan ya Rabb!
    Semuanya kita syukuri akan nikmat Allah s.w.t!
  4. Semoga jawapan kita dengan lisan ini sama dan selari dengan hakikat perbuatan dan percakapan kita yang sebenarnya!
  5. Tamatlah lapan soalan kepada dua pemilik syurga yang pertama ini!
    Jika kamu nak & percaya kepada lapan perkara ini; maka kamu akan selamat daripada tujuh bentuk azab neraka sebelum ini!
  6. Berakhirlah episod kisah & soalan tentang 8 pegangan yang selamat, 7 ancaman dan 8 nikmat dari Allah s.w.t!
  7. Kemudian ayat seterusnya adalah tentang dua syurga darjat kedua pula.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 46- {Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,}- bagi orang yang takut kepada Allah s.w.t dan dia buat persiapan yang baik atas dunia ini maka dia akan dapat dua syurga.

Kata ulama\’ sandaran ayat (وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ) iaitu orang yang takut untuk berdiri bagi dihakimi Tuhannya ini- menunjukkan bahawa tempat itu sangat bermasalah dan menggerunkan.
Berdiri di hadapan Allah s.w.t yang Maha Agung untuk dihisab segala amalannya.

Ayat ini menggalakkan kita supaya ambil sifat (الخوف) takut kepada Allah kerana ia akan mempercepatkan perjalanan kita untuk memperbaiki diri atas dunia ini sebelum kita dimuhasabah di hadapan Allah Azza wa Jalla nanti.

Kata orang soleh: Takut kepada Allah kita akan berlari kepada-Nya;
tetapi takut kepada makhluk kita larikan diri darinya!

  1. Ayat 46- {Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,}- ulama\’ tadabbur kata- sifat takut ini akan melahirkan dua perkara:

i- kita beriman, yakin dan percaya bahawa kita akan bertemu dengan Allah. Ini kerana insan apabila takut kepada sesuatu perkara bermakna dia yakin akan benda itu!

Jika tak percaya kenapa pakai tangkal-tangkal azimat atau tasbih yang dipercayai kayu-kayu tertentu yang boleh bawa kebaikan atau seumpamanya???

ii- dia akan menjauhkan diri dari semua yang diharamkan Allah s.w.t dan menjalankan segala tuntutannya dituntut oleh Azza wa Jalla untuk memdapat keampunan dan keredhaan-Nya.

Maka orang yang mahu bertemu dengan Allah s.w.t dia kena buat persiapan yang sewajarnya!

Firman Allah s.w.t:
i- {Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).} (Al-Insyiqaaq 84:6)

ii- {Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.} (Al-Baqarah 2:223)

Para ulama\’ menyimpulkan bahawa:
Siapa yang takut kepada Allah s.w.t di dunia- Allah akan amankan keadaannya di Akhirat kelak. Jika sebaliknya, sebaliknya jugalah balasannya!

  1. Ayat 46- {Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,}- kita dapat lihat betapa teliti susunan dan sebutannya, jika Allah s.w.t sebut SATU syurga pun cukup dah bagi kita.
    Kenapa disebut dua?
    Jawapan:
    i- Sebelum ini Allah s.w.t telah sebut tentang dua jenis azab yang akan dikenakan atas mujrimin yang celaka iaitu mula-mula dibakar dalam api yang menjulang & disiram dengan air panas yang menggelegak. Mereka pula dibawa tawaf bergilir-gilir antara dua azab ini.

ii- lalu untuk balasan baik juga Allah s.w.t bawa perbandingannya (muqabalah-ayat sebaliknya)- bagi orang yang takutkan Allah s.w.t akan dibalas dengan dua nikmat iaitu dua syurga- satu bagi melakukan ketaatan dan satu lagi kerana meninggalkan larangan.

Lafaz bagi siapa (وَلِمَنْ) dalam ayat ini juga menunjukkan lafaz umum bahawa pahala bagi manusia & jin yang baik itu sama, tiada perbezaan; siapa saja.

  1. Ayat 48- {(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan;} & Ayat 50- {Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir & Ayat 52- {Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).}- Allah s.w.t nyatakan tentang dua jenis syurga yang ada pelbagai jenis pokok, dua jenis mata-air dan dua jenis buah-buahan.

Persoalan:
Semua itu adalah sifat syurga, ada pokok, ada mata- air & buah.
i- Seolah satu percakapan tetapi kenapa Allah s.w.t pisahkan setiap jenis nikmat itu dengan soalan itu? Kenapa dibezakan setiap nikmat itu?

ii- Sedangkan dalam ayat azab sebelum ini Allah s.w.t tidak pisahkannya antara satu lama lain setiap azab itu?

Jawapan:
Allah s.w.t kumpulkan segala ayat tentang azab itu dalam satu tempat sahaja, manakala ayat-ayat tentang nikmat Allah s.w.t asingkannya kerana:

i- Allah s.w.t mahu nyatakan bahawa sudut rahmat-Nya lebih utama & besar daripada sudut azab.

ii- Juga untuk menenangkan hati orang mukmin yang baik dan menggalakkan orang yang mendengar supaya semangat untuk melakukan kebaikan. Ini kerana banyak mengulang perkara yang disukai itu kerana ianya disukai!

Memperbanyakkan percakapan dalam benda yang baik dan lazat itu elok tetapi bercakap dalam perkara yang tidak enak seperti azab itu tidak baik.

Kerana itu Allah s.w.t panjangkan cerita tentang syurga, tetapi dalam bab neraka Allah s.w.t kumpulkannya kemudian bertanya!

  1. Ayat 60- {Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?}- ayat ini adalah penutup kepada lapan ayat yang menggalakkan kita untuk melakukan amalan -amalan yang boleh menyampaikan kita kepada 8 pintu syurga yang telah disediakan oleh Allah Azza wa Jalla.
    Ayat penggerak kepada hati kita untuk bersemangat melakukan amal ibadat.

Sempurnanya limpah kurnia dan kebaikan Allah kepada kita iaitu:
i- dengan memberi taufik kepada kita untuk menjadi Islam.

ii- kemudian memberi taufik kepada kita untuk melakukan ketaatan.

iii- lalu Allah s.w.t membalas pula kebaikan yang kita lakukan dengan kebaikan!
Dia yang suruh kita beribadat kemudian Dia balas kita dengan kebaikan!

Alhamdulillah segala syukur dan puji bagi Allah Azza wa Jalla atas segala kebaikan dan limpah rahmat ini.

Kita berdoa supaya kita dapat istiqomah di atas landasan kebaikan ini dan mendapat ihsan dari Allah s.w.t di Akhirat nanti.

Powered by BetterDocs