View Categories

SURAH AS-SAFF : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH, INTISARI SURAH, CELAAN BERCAKAP TAPI TAK BERAMAL & KELEBIHAN SAF PEPERANGAN.

Full video : https://youtu.be/bQKlYniHjMo

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 24 Jumadal Ula 1444H bersamaan 19hb Disember 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah As-Saff – سورة الصف.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah As-Saff adalah surah ke-61 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Mumtahanah, dalam juz ke 29, mengandungi 14 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek, iaitu sedikit ayatnya.
  4. Sepakat para ulama\’ (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Madaniiyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah As-Saff – {الصف} yang bermakna barisan tentera yang berbaris ketika berperang.
    Ini kerana pada ayat ke-4, Allah s.w.t menyebut perkataan ini {صَفًّۭا} iaitu saf peperangan.
  2. Masyhur ia dengan nama surah saf sebagaimanan yang dikenali di kalangan sahabat.
  3. Hadis – riwayat Abdullah bin Salam r.a; Rasulullah s.a.w membacakan surah as-Saaf ini kepada kami. [HR Bukhari].
  4. Imam-imam hadis meletakkan nama ini seperti dalam Sahih Bukhari, dalam at-Tirmizi serta ditulis dengan nama ini dalam al-Quran juga.
  5. Mengikut Abu Hassan as-Sakhrawi ada juga yang menamakannya sebagai surah \”Al-Hawariyyin\” kerana ia disebut juga dalam surah ini.
    Tetapi tidak masyhur seperti nama surah as-Saff.
  6. Pada ayat 4- Allah s.w.t menyebut dan menegaskan bahawa Dia mengasihi orang-orang beriman yang berperang untuk mempertahankan agamanya dalam saf barisan yang tersusun rapi seolah mereka bangunan yang tersusun kukuh!

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Mananamkan semangat berjihad mempertahankan Islam dari sebarang pencerobohan.
  2. Sebelum itu Allah s.w.t juga menegur sebahagian orang Islam yang bercakap memperkatakan sesuatu, tetapi tidak melakukannya. Teguran ini pada awalnya ditujukan kepada sebahagian pemuda-pemuda Islam pada zaman Nabi s.a.w. mereka mengatakan:

\”Jika mereka tahu apakah amalan yang disukai oleh Allah s.w.t mereka akan melakukannya.
tetapi apabila turun ayat al-Quran bahawa amalan yang disukai Allah itu ialah keluar berjihad, ada di antara mereka yang tidak mengamalkan apa yang mereka katakan tadi!

Lebih bercakap sekarang merasa takut.
Kerana itu kita kena berlapik dalam bercakap, berhati-hati dan sentiasa sandarkan kepada Allah!

  1. Kemudian Allah s.w.t menerangkan tidak ada yang lebih zalim selain dari kaum kafir yahudi, Nasrani dan musyrikin selepas diajak oleh Rasulullah s.a.w supaya memeluk Islam tetapi mereka tetap mengingkarinya.
  2. Ayatnya: Ayat 8- {Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).}
  • Yakni walaupun orang kafir nak lawan, Allah bagi jaminan Dia akan sempurnakan agama ini!

5. Pada bahagian akhir ayat ini Allah s.w.t menunjukkan kepada orang beriman satu jenis perniagaan {تِجَـٰرَةٍۢ} yang tidak akan pernah rugi iaitu selamanya bahkan akan menyelamatkan mereka dan memberi sepenuh kebahagaan. Iaitu hendaklah mereka tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta berjuang dengan nyawa, harta dan dirinya sendiri.

6. Selain itu mereka juga akan memperoleh limpah kurnia lain yang sangat mereka ingini iaitu pertolongan dari Allah s.w.t dan kemenangan yang besar!

inilah janji Allah yang amat benar dan dinantikan kepada orang yang berjuang, yang beriman dan yang menegakkan Islam .

KELEBIHAN SURAH :

  1. Hadis riwayat oleh Abdullah bin Salam r.a; bekas seorang ahli Kitab Taurat, ulama\’ atau pendeta yahudi yang jujur, amanah dan berintegriti. Apabila dia melihat Rasulullah s.a.w dia terus percaya dan mengesahkan bahawa inilah Nabi & Rasul yang dibaca sifat-sifat dan sebutan tentangnya dalam Kitab Taurat & Injil.

Katanya: Pada suatu hari kami para sahabat sedang duduk berbincang untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w apakah amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t. tetapi tiada seorang pun yang sanggup pergi bertanya.

Tiba-tiba Rasulullah s.a.w menyuruh kami semua berkumpul lalu datang membacakan surah as-Saf yang baru diwahyukan kepada Baginda.

Kata sahabat Abu Salamah; kemudian Abdullah bin Salam r.a membacakannya kepada kami pula! [HR Ahmad dan lain-lain].

Inilah Surah as-Saf yang menyatakan perpaduan dalam jihad dan barisan perjuangan umat Islam.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Galakan, ajakan untuk membela agama dengan berjihad fi-sabilillah.
  2. Menyahut seruan Allah & Rasulullah s.a.w supaya berjuang, jangan lari!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t mulakan seorang ini dengan bertasbih kepada Allah s.w.t. Ini adalah salah satu dari tujuh surah yang bermula dengan tasbih. Allah s.w.t membersihkan diri-Nya dari segala sifat yang tidak layak bagi-Nya.
  2. Larangan daripada bercakap tetapi tidak mengamalkannya.
    Bercakap zuhud tetapi perangai mewah!
    Bercakap tentang sedekah tetapi tidak mengamalkannya.
  3. Cerita tentang Nabi Musa a.s dan kaumnya serta bagaimana kaumnya Bani Israil menyakitinya.
  4. Menyebut tentang kisah Nabi Isa a.s dan khabar gembira yang dibawanya iaitu selepasnya akan datang seorang Nabi akhir yang bernama Ahmad.
  5. Menyatakan perangai dan sifat sebati orang kafir yang akan menentang kebenaran dan tidak mahu cahaya agama Allah ini menerangi dunia dan berkembang- mereka akan lawan.
  6. Surah ini mengajak orang mukmin untuk berjihadi fi-sabilillah dengan jiwa raga dan harta serta agar mengikut jejak golongan hawariyyun, iaitu pengikut setia Nabi Isa a.s.
  7. Khabar gembira bahawa kumpulan Islam akan mengalahkan orang kafir.

MUNASABAH SURAH AS-SAFF DENGAN SURAH AL-MUMTAHANAH – سورة الممتحنة SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al- Mumtahanah :

  1. Dalam Surah Al-Mumtahanah; Allah s.w.t mula surah dengan bawa larangan agar jangan berwala\’, memberi kasih sayang dan sokongan taat setia kepada orang kafir yang menentang Islam. Penutup surah pun sama.

ii- dalam surah ini Allah s.w.t galakan, ajak agar satukan umat Islam dalam satu saf untuk menentang orang kafir musuh Islam tidak kira apa jenis sekalipun!
Iaitu sebagaimana yang telah kita kenal dalam surah lepas samada kafir yang zahir-Yahudi & Nasrani, kafir yang tersembunyi- munafiq dan kafir dari kalangan keluarga.
Jadi ayat ini arahan agar kita satukan saf supaya kita dapat menghadapi semua kemungkinan serangan mereka yang kafir.

  1. Dalam surah yang lepas Allah s.w.t ajar cara berinteraksi dengan non-muslim dalam negara Islam atau luar negara semasa waktu aman dan = damai.

ii- dalam surah ini pula Allah s.w.t menggalakkan untuk berjihad yakni cara berdepan dengan orang kafir dalam suasana peperangan.

Allah s.w.t mencela perbuatan kaum yahudi pengikut Musa dan Nasrani pengikut Nabi isa yang tidak menerima dan derhaka kepada ajaran dan pesan rasul mereka tentang kedatangan Rasul akhir zaman iaitu Nabi Muhammad s.a.w!


أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, TETAP MENGUCAP TASBIH KEPADA ALLAH; DAN DIA LAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AS-SAFF 61:1)

  1. Allah menyebut bahawa secara umumnya semua makhluk yang dilangit atau yang di bumi bertasbih kepada Allah s.w.t!
  2. Tasbih ini ada dua jenis:
    i- semua makhluk bertasbih secara umumnya yang kafir atau mukmin. (لسان الحال)
    ii- tasbih khas iaitu dari makhluk yang beriman dari kalangan manusia & jin. (لسان المقال) yang kafir tidak, ini tasbih khas.
  3. Sebab Nuzul ayat ini sama, iaitu hadis dari Abdullah bin Salam r.a tadi.
  4. Pada akhir ayat ini Allah s.w.t perkenalkan dua sifat-Nya di sini:
    i-Dia lah Yang Maha Kuasa { ٱلْعَزِيزُ} Allah berkuasa atas segalanya, perancangan-Nya rapi dan penuh hikmah.

ii- lagi Maha Bijaksana {ٱلْحَكِيمُ} meletakkan segala sesuatu pada tempatnya!

AYAT 2- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! MENGAPA KAMU MEMPERKATAKAN APA YANG KAMU TIDAK MELAKUKANNYA!} (AS-SAFF 61:2)

  1. Pada suatu masa pada zaman Rasulullah s.a.w ada sebahagian pemuda yang bercakap: Jika mereka tahu apakah amalan yang disukai dan diredhai Allah s.w.t; nescaya mereka akan terus melakukannya!

TETAPI apabila diberitahu apakah amalan itu (iaitu berjihad), ada sebahagian mereka tidak mengotakan kata-katanya bahkan cuba melepaskan diri darinya.

  1. Maka Allah s.w.t larang di sini bagi orang mukmin untuk bercakapa saja tetapi tidak beramal atau amalan yang bercanggah dengan kata-kata!
  2. Bercakap sedap, ceramah sana-sini, kuliah berdegang-degung tetapi perangai tidak beramal dengan apa yang diserunya.
    Bukan tidak boleh berdakwah tetapi baikilah diri dan jangan terlampau lebih dalam percakapan daripada amalan!
  3. Hadis Rasulullah s.a.w tentang sifat munafiq secara amali:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi S.A.W, baginda bersabda:
\”Tanda munafik ada tiga; jika berbicara dia dusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat\”. [HR Bukhari & Muslim].

  1. Begitulah sifat munafiq bercakap sedap dan bermuka-muka, berjanji supaya orang tak lari dan ikut dia! Kita jangan ikut dan jauhilah sifat munafiq ini!

AYAT 3- {AMAT BESAR KEBENCIANNYA DI SISI ALLAH – KAMU MEMPERKATAKAN SESUATU YANG KAMU TIDAK MELAKUKANNYA.} (AS-SAFF 61:3)

  1. Apakah akibat perbuatan ini?
    Allah amat membenci perbuatan ini, perbuatan orang yang bercakap menyeru kepada sesuatu tetapi dia sendiri tidak melakukannya! Yakni Allah s.w.t mencela orang yang lari dari pergi berperang!
  2. Hadis- Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah r.anhuma berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

يُؤتى بالرجل يومَ القيامةِ . فيُلقى في النارِ . فتندلِقَ أقتابُ بطنِه . فيدورُ بها كما يدورُ الحمارُ بالرَّحى . فيجتمع إليه أهلُ النارِ . فيقولون : يا فلانُ ! مالَكَ ؟ ألم تكن تأمرُ بالمعروفِ وتنهى عن المنكرِ ؟ فيقول : بلى . قد كنتُ آمُرُ بالمعروفِ ولا آتِيه ، وأنهى عن المنكرِ وآتِيه

\”Didatangkan seorang lelaki pada Hari Kiamat, lalu dicampakkan dia ke dalam Neraka.
Maka terkeluarlah usus dari perutnya. Lalu dia berputar-putar dengannya sebagaimana berputarnya seekor keldai di dalam penggiling. Lantas penghuni neraka berkumpul dan bertanya:
\”Wahai fulan, kenapa kamu begini?
Bukankah kamu dulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran?
Maka lelaki itu menjawab: \”Ya, bahkan benar. Saya dulu menyuruh kepada kebaikan tetapi saya sendiri tidak melakukannya.
Dan saya menegah kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya.\” [HR al-Bukhari & Muslim]

  1. Maka kita cubalah ubah diri kita agar berubah kepada kebaikan yang lebih baik, walaupun tidak sesempurna yang didakwah. Jika nak bersedekah jangan tunggu kaya, dan jika nak berdakwah jangan tungggu kita sempurna baiknya!

AYAT 4- {SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERPERANG UNTUK MEMBELA AGAMANYA, DALAM BARISAN YANG TERATUR RAPI, SEOLAH-OLAH MEREKA SEBUAH BANGUNAN YANG TERSUSUN KUKUH.} (AS-SAFF 61:4)

  1. Allah s.w.t memuji dan menyatakan bahawa Dia mengasihi orang yang keluar berperang serta tentera yang beratur rapi dalam barisannya!
  2. Allah s.w.t gambarkan susunan saf tentera dan strategi yang rapi, seperti satu binaan atau bangunan yang tersusun dan kukuh. Kuat dan mantap, maka akan dapat mengalakan musuh, Insya\’ Allah.
  3. Hadis dari Abu Musa r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

‏ الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ‏

\”Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana sebahagian yang satu menguatkan sebahagian yang lain.\”
Baginda lalu menyusupkan antara jari-jarinya. (HR al-Bukhari)

  1. Kata pendakwah: Orang mukmin akan lemah jika dia sedikit atau berseorangan tetapi akan kuat dengan persaudaraan dan kesatuan ummat!

Jika kita bersatu sungguh dan mantapkan kekuatan kita akan dapat berkerjasama, yang ada harta dan duit sumbangkan dari kewangan, yang miskin dan kuat dapat sumbangkan tenaga, yang bijak sumbanngkan idea dan fikran dan seumpamanya sehingga mantap susunan strategi kita!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- Allah sebut bahawa semua makhluk atas dunia ini bertasbih kepada-Nya samada yang dilangit dan di bumi; kemudian Allah s.w.t sebutkan dua sifat-Nya yang mulia ini.
    Apakah rahsianya?

Jawapan: Kata ulama\’ tafsir dan tadabbur:
i- dalam ayat ini Allah s.w.t sifatkan zat-Nya yang mulia dengan Yang Maha Kuasa, kerana selepas ini ayat arahan untuk berperang dan keluar berjihad, maka kamu jangan takut kepada musuh kerana kamu ada Allah Yang Maha Perkasa yang Maha gagah lagi kuat, yang akan beri pertolongan kepada kamu!

ii- kemudian Allah sebut sifat-Nya Maha Bijaksana. Ini kerana apabila difardhukan jihad, sesuatu yang boleh mengorbankan jiwa raga, meninggalkan anak isteri.
Maka ia pastilah bukan sesuatu yang sia-sia, Allah s.w.t fardhukan bukan hanya untuk kamu terkorban, tetapi Dia telah sediakan satu persiapan yang besar, balasan pahala yang amat besar, syurga yang begitu hebat nikmatnya!

Kamu akan mati bila-bila masa sahaja, di mana saja; maka mati dalam keadaan yang mulia lebih baik daripada mati dalam sia-sia.

  1. Ayat 2- {Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!} – ayat ini secara umumnya mengingkari semua orang yang bercakap tidak sama dengan perbuatannya dalam semua keadaan.
    Dalam perjanjian dia tak tunai, dia larang dia buat, dia suruh tetapi dia tak buat!
    Sepatutnya dia dulu yang mula, atau jika masih belum buat dia kena usaha untuk buatnnya.

Ini kerana jika begitu keadaannya, samada:
i- dia seorang pendusta kerana hanya kelentong saja pendengarnya.

ii- dia seorang yang sombong takabbur.

Hukum itu hanya untuk orang lain, dia telah berlepas dari segala perintah itu kononnya kerana telah tinggi makamnya.

  1. Ayat 3- {Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.}- ayat ini menyatakan Allah amat murka dengan perbuatan begini.
    Maka ayat ini menjadi dalil yang kita WAJIB menunaikan semua janji dengan orang.
    Jangan mudah-mudah mengabaikan janji dengan orang atau memperkotak-katikannya.

Termasuklah janjji dengan Allah s.w.t- seperti bernazar untuk ketaatan, nak buat sesuatu ibadat atau kebaikan, wajib tunaikannya.
Kecuali nazar maksiat yang membawa lagha dan mungkar tidak wajib buat.

Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. [HR al-Bukhari].

Hadis- Dari Ibnu Abbas r.anhuma, katanya: \”Pada suatu ketika Nabi s.a.w. berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri lalu Baginda bertanya – tentang nama dan perlunya berdiri.

Para sahabat berkata: \”Dia adalah Abu Israil bernazar hendak berdiri di terik matahari, tidak akan duduk-duduk, tidak akan bernaung, tidak akan bercakap dan tetap akan berpuasa.\”

Nabi s.a.w. lalu bersabda: \”Perintahkan padanya, supaya ia hendaklah berbicara, berteduh dari matahari, duduk-duduk dan juga supaya ia meneruskan puasanya.\” [HR Bukhari]

Yakni nazar lagha nak berdiri bawah panas, tidak bercakap dan tidak duduk- batal, tetapi nazar ketaatan seperti puasa boleh diteruskan!

Termasuk juga orang yang bersumpah, jika ada araha yang lebih baik dia kena batalkan sumpahnya itu dan bayar kaffarah.

Sesiapa yang meletakkan dirinya untuk melakukan satu ketaaatan; dia kena buat jika tidak dia termasuk dalam orang yang hanya bercakap dan berjanji kosong dan dimurkai Allah s.w.t!

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.}- ayat ini Allah s.w.t galakkan hamba-hamba-Nya supaya berjihad.

Serta Allah s.w.t ajar agar bagaimana cara pelaksanaannya: dalam jihad mesti ada kesatuan, ada strategi dan perancangan yang tersusun dan rapi dalam peperangan atau apa saja perancangan.
Inilah cara Islam; mesti ada perancangan yang rapi dan langkah yang tersusun.

Kita kena mantapkan iman, kukuhkan kesatuan dan mantapkan strategi dalam perjuangan memartabatkan agama Allah ini!

Nabi s.a.w larang kita dari duduk sorang-sorang, kita kena duduk dalam Jemaah, kena ikut para sahabat, tabi\’en dan ulama\’ yang muktabar supaya kita tidak lari dari landasan yang benar serta terperangkap dengan fahaman yang sesat dan terpesong.

Saf ini adalah seperti dalam saf dalam solat. Kerana itu kita kena samakan dan rapatkan saf solat kita jika tidak syaitan akan datang kacau, hati kita tidak bersatu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

Hadis- Daripada Abu Mas\’ud R.A berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: \”Adapun Rasulullah S.A.W memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil berkata: Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih sehingga hati kamu juga turut berselisih.\” [Riwayat Muslim (432)]

Ada yang kata kerana hati tidak bersatu maka saf tidak sama; ada yang kata saf tidak sama kerana itu hati tidak bersatu! Keduanya betul!

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.}- dalam ayat Allah s.w.t nyatakan sifat-Nya- Allah s.w.t menyayangi, sayang dan cinta kepada orang yang ada sifat-sifat ini.

Iaitu Allah s.w.t mengasihi orang yang ada sifat ini:
i- orang yang bergerak, keluar berperang dan berjihad; bukan yang lemah dan pemalas, tidak bergerak hanya berpeluk tubuh!
Bukan yang lemah dan malas bergerak dan usaha sehingga dia pula akan melemahkan agama!

ii- ikhlas kerana Allah dalam segenap niat dan perbuatan!
Ini soal dalam hati, bukan orang boleh tahu dan nampak.

iii- kena ada saf, kesatuan, iaitu dalam satu saf yang kukuh dan mantap.

iv- seperti satu binaan- bangunan yang kukuh! Agar tidak ada ruang untuk orang masuk merosakkan barisan kita.

v- yang tersusun, supaya orang tidak boleh serang kita untuk memecahkan kesatuan ini!

Para ulama\’ tadabbur kata inilah syarat untuk mendapatkan mahabbah Allah s.w.t bagi seorang pejuang, kena ada 5 sifat ini.

Kita sambung lagi dalam siri yang akan datang dengan ayat yang seterusnya, Insya\’ Allah.

Maklumat Terkini:
Keadaan banjir pada tahun ini agak berat di Kelantan dan air melimpah di kawasan yang tidak dijangka dan tidak sampai sebelum ini.

Manakala keaadan di PSD setakat selepas kuliah subuh ini masih seperti biasa, air sungai melimpah di belakang Sakan Siti Khadijah dan tidak melebihi kebiasaannya setiap tahun- setakat pagi ini.

Kita berdoa agar Allah s.w.t memelihara kita semua dari bencana yang luar biasa.

Powered by BetterDocs