KISAH NABI LUT & KAUMNYA, MELAKUKAN PERBUATAN KEJI SESAMA JANTAN & DAHSYATNYA KEBINASAAN KAUM LUT.
Full video: https://youtu.be/7QAcw8ZR5cY
MUQADDIMAH :
1. Dalam siri yang lepas kita telah dengar kisah tentang 5 orang nabi dan kaum mereka, iaitu Nabi Musa, Ibrahim, Nuh, Hud dan Soleh a.s. Pada hari ini kita akan dengar pula kisah Nabi Lut a.s dan kaumnya di Qura Sadum.
2. Beberapa cara bacaan telah kita lalui, sila ambil perhatian:
i- قَوْمُ لُوطٍ الْمُرْسَلِينَ كَذَّبَتْ, كَذَّبَتْ عَادٌ الْمُرْسَلِينَ, كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ الْمُرْسَلِينَ
ii- ثَمُودُ الْمُرْسَلِينَ كَذَّبَتْ,
3. Kaum Lut ini telah membuat satu perbuatan keji yang tidak pernah dibuat oleh manusia sebelum ini. Lalu Allah s.w.t turunkan azab-Nya ke atas mereka.
4. Begitulah kaum terdahulu, dosa utama mereka adalah syirik tetapi pecahan kejahatan berbeza kerana itu berbeza cara azab yang Allah s.w.t turunkan untuk membinasakan mereka.
5. Begitu juga asas dakwah para nabi dan rasul itu juga satu, kepada Tauhid menyembah Allah s.w.t.
AYAT 160- {(DEMIKIAN JUGA) KAUM NABI LUT TELAH MENDUSTAKAN RASUL-RASUL (YANG DIUTUS KEPADA MEREKA). (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:160)
1. Bermula dari ayat ini Allah s.w.t menceritakan pula perihal kaum Nabi Lut a.s yang telah diutuskan kepada kaumnya.
2. Mereka telah mendustakan nabi mereka Lut a.s lalu bererti mereka telah mendustakan semua rasul-rasul sebelum ini juga.
AYAT 161- {KETIKA SAUDARA MEREKA – NABI LUT, BERKATA KEPADA MEREKA: \”HENDAKNYA KAMU MEMATUHI PERINTAH ALLAH DAN MENJAUHI LARANGANNYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:161)
1. Allah s.w.t mengutuskan Nabi Lut saudara mereka Lut a.s. tetapi Lut bukan dari keturunan nasab kaum ini, dia adalah dari Babylon, berhijrah keluar bersama Nabi Ibrahim. Dia tingal di kampung mereka ini Qura Sadum dan berkahwin dengan penduduk di situ. Isterinya adalah penduduk asal kampung itu.
2. Nabi Lut adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s bin Azar, nama penuhnya ialah Lut bin Haran bin Azar لوط بن هران بن ازار
3. Nabi Lut memulakan dakwah pertamanya supaya bertaqwa kepada Allah, mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
AYAT 162- {\”SESUNGGUHNYA AKU INI RASUL YANG AMANAH, (YANG DIUTUS OLEH ALLAH) KEPADA KAMU. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:162)
1. Nabi Lut a.s juga memperkenalkan tugas dan dirinya, sebagai seorang Rasul yang amanah, yang diutus oleh Allah kepada mereka.
AYAT 163- {\”OLEH ITU, TAKUTILAH KAMU AKAN (KEMURKAAN) ALLAH, DAN TAATLAH KEPADAKU. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:163)
1. Nabi Lut lalu memberi ingatan agar mereka takut akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepada ajarannya.
2. Inilah dakwah para nabi, seruannya sama, kepada agama tauhid yang suci dan mencari keredhaan Allah s.w.t.
AYAT 164- {\”DAN AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG UPAH MENGENAI APA YANG AKU SAMPAIKAN (DARI TUHANKU); BALASANKU HANYALAH TERSERAH KEPADA ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:164)
1. Nabi Lut juga menyatakan bahawa dia tidak meminta upah daripada mereka kaumnya atas usaha dakwahnya itu.
2. Begitulah semua para nabi, mereka ikhlas menjalankan tugas yang diperintahkan Allah s.w.t. Balasannya hanya diserahkan di sisi Allah s.w.t.
AYAT 165- {\”PATUTKAH KAMU MELAKUKAN HUBUNGAN JENIS DENGAN LELAKI DARI KALANGAN MANUSIA, (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:165)
1. Nabi Lut terus menegur kejahatan yang mereka buat, iaitu berhubung jenis sesama jenis (homoseks).
2. Ulama\’ kata tidak pernah ada lagi umat sebelum ini yang melakukannya, iaitu main sesama jantan ini. Bahkan haiwan pun tidak melakukannya.
AYAT 166- {\”DAN KAMU TINGGALKAN APA YANG DICIPTAKAN OLEH TUHAN KAMU UNTUK KAMU (MELAKUKAN HUBUNGAN YANG HALAL) DARI BADAN ISTERI-ISTERI KAMU? (KAMU ORANG-ORANG YANG BERSALAH) BAHKAN KAMU ADALAH KAUM YANG MELAMPAUI BATAS (KEINGINAN KEBANYAKKAN HAIWAN)!\” (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:166)
1. Mereka telah keluar dari fitrah, luar tabi’i kejadian manusia. Sedangkan Allah sudah mencipta kaum wanita untuk mereka melakukan hubungan yang halal.
2. Bahkan mereka adalah kaum yang melampau- batas, melebihi keburukan haiwan.
AYAT 167- {MEREKA MENJAWAB: \”SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU TIDAK BERHENTI WAHAI LUT (DARIPADA MENCACI DAN MENYALAHKAN KAMI), NESCAYA ENGKAU AKAN DIUSIR KELUAR!\” (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:167)
1. Mereka terus sentap dan marah apabila ditegur oleh nabi Lut, lalu terus mengugut untuk mengusir dia keluar dari kampung mereka itu jika dia tidak berhenti daripada menasihat dan menegur mereka.
2. Firman Allah s.w.t juga tentang jawapan kaum Lut ini: {Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci\”.} (An-Naml 27:56)
3. Begitulah orang yang tertutup hatinya, tidak lapang dada apabila ditegur tentang sesuatu yang buruk terus melenting dan menjawab dengan kasar, caci maki dan kutukan terhadap pendakwah atau orang yang menegur dan memberi nasihat pula.
AYAT 168- {NABI LUT BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU DARI ORANG-ORANG YANG BENCIKAN PERBUATAN KAMU YANG KEJI ITU\”. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:168)
1. Lalu Nabi Lut menjawab balik dengan berkata bahawa dia bukan bencikan mereka yang sudah menjadi seperti keluarganya tetapi sesungguhnya dia bencikan perbuatan mereka yang keji itu.
AYAT 169- { (NABI LUT BERDOA): \”WAHAI TUHANKU, SELAMATKANLAH DAKU DAN KELUARGA SERTA PENGIKUT-PENGIKUTKU DARI APA YANG DILAKUKAN OLEH GOLONGAN (YANG JAHAT) ITU.\” (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:169)
1. Akhirnya Nabi Lut a.s berdoa kepada Allah s.w.t: \”Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.\”
2. Doa-doa para Nabi itu mustajab. Maka jika para nabi telah berdoa atas dunia ini, Allah telah kabulkannya. Kerana itu Rasulullah s.a.w telah menyimpan doanya untuk memberi syafaat kepada umatnya pada Hari Kiamat kelak.
AYAT 170- {MAKA KAMI SELAMATKAN DIA DAN KELUARGANYA SERTA PENGIKUT-PENGIKUTNYA – SEMUANYA. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:170)
1. Lalu Allah s.w.t kabulkan doanya dan memerintahkan supaya Lut keluar bersama keluarganya yang beriman dari kampung itu pada waktu awal subuh. Lalu mereka keluarlah dengan selamatnya.
AYAT 171- {KECUALI SEORANG PEREMPUAN TUA TERTINGGAL DALAM GOLONGAN YANG KENA AZAB ITU. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:171)
1. Kecuali seorang perempuan tua yang tidak beriman dan menjadi tali barut kepada kaumnya. Dikatakan itulah isteri Nabi Lut yang celaka.
2. Firman Allah s.w.t dalam ayat lain:
{Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ. (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut). [Az-Zariyat: 35-36] Juga dalam surah al- Qamar: 34-35.
AYAT 172- {KEMUDIAN KAMI HANCURKAN YANG LAIN (YANG MENENTANG NABI LUT).} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:172)
1. Lalu Allah s.w.t musnahkan semua mereka yang kufur dan ingkar, yang menentang Nabi Lut itu.
AYAT 173- {DAN KAMI HUJANI MEREKA DENGAN HUJAN (AZAB YANG MEMBINASAKAN); MAKA AMATLAH BURUKNYA HUJAN AZAB YANG MENIMPA KAUM YANG TELAH DIBERI AMARAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:173)
1. Cara kebinasaan mereka ialah Allah s.w.t turunkan hujan batu ke atas mereka, satu hujan yang sangat dahsyat azabnya.
2. Kemudian Allah s.w.t balikkan bumi mereka dari atas ke bawah, cara azab yang berbeza akibat perbuatan songsang mereka itu.
3. Firman Allah s.w.t juga: Surah Hud 82-83. { Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.} (Hud 11:82)
AYAT 174- {SESUNGGUHNYA PERISTIWA YANG DEMIKIAN, MENGANDUNGI SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH); DAN DALAM PADA ITU, KEBANYAKAN MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:174)
1. Dalam peristiwa itu menunjukkan tanda kekuasaan Allah s.w.t, iaitu tandanya ialah azab yang membinasakan seluruh orang kafir itu.
2. Tetapi seperti biasa, masih ramai manusia yang tidak mengambil pengajaran dan beriman kepada Allah s.w.t. samada dari kalangan kaum Nabi Lut ini atau manusia yang datang selepasnya. Terutama kaum Quraisy pada masa ayat-ayat ini diturunkan.
AYAT 175- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD), DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:175)
1. Seperti biasa sebagai kepada penutup kepada kisah para nabi Allah s.w.t tutup dengan ayat ini.
2. Untuk menyatakan bahawa Allah, Dia-lah sahaja Yang Maha Kuasa, yakni berkuasan dan mampu bila-bila masa saja untuk menurunkan tindakan dan hukuman azab yang segera ke atas mereka yang kufur dan ingkar.
3. Tetapi Dia juga Yang lagi Maha mengasihani; untuk menangguhkan azab itu kepada suatu tempoh yang dikehendaki-Nya, mudah-mudahan mereka bertaubat dan beriman, lalu selamatlah dunia dan akhirat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Kepada para pendakwah wajib menunjuk atau memberi alternatif atau pilihan masyarakat bagi setiap pintu yang ditutup dalam Syara’. Contoh:
i- Seperti wajib menjauhi zina, maka galakkan masyarakat (ibu bapa) permudahkanlah perkahwinan yang halal dan
ii- bagi masyarakat yang suka berzikir dan beramal, supaya mereka tidak terjebak dengan yang tidak sahih dan sesat; maka kita tunjuk dan ajar yang sahih dan benar dari Rasulullah s.a.w. yang ringan dan terjamin pahalanya.
2. Nabi Lut a.s menjelaskan pendiriannya yang membenci perbuatan kaumnya yang keji itu (Ayat 168). Begitulah sepatutnya para ulama dan pendakwah harus mempunyai keberanian untuk menegur kesalahan masyarakat atau netizen. Melewatkan penjelasan ketika diperlukan adalah salah. Walaupun pasti akan dikecam balik dengan teruknya!!!
3. Ayat (167) cara orang yang zalim menghalang para pendakwah ialah dengan cara menghalaunya keluar dari tempat itu. Sama seperti hari ini, boikot, halang dari masuk, disekat lesen, tauliah dan seumpamanya.
4. Dalam kes liwat ini, kedua-dua pelaku dan mangsa (الفاعل و المفعول) wajib bertaubat, walaupun dia mangsa. Untuk menyucikannya.
5. Perbuatan homoseks ini amat terkeji dan rosak fitrah, hatta haiwan pun tidak melakukannya. Manusia yang normal, kafir atau beriman, fitrah seksnya akan kenal pasangan lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Setiap bayi yang lahir, dilahirkan di atas fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Sahih Muslim no: 2658)
6. Ayat (166) ini juga sebagai dalil HARAM melakukan hubungan liwat (sodomy) walaupun dengan isteri atau perempuan. Kerana itu bukan tempatnya walaupun dengan isteri, melanggar Syariat dan rosak fitrah!
7. Dalam ayat 166- Nabi Lut beritahu bahawa Allah s.w.t telah ciptakan wanita sebagai pasangan kepada lelaki. Maka kita kena kempen dan galakkan manusia untuk ikut, buat benda yang baik dan patuh Syariah.
8. Cara Nabi Lut, tegur dengan baik, nasihat dan ajar dulu kaumnya, kemudian baru berkeras. Begitulah juga cara yang perlu kita ikut dalam berdakwah dan memberi nasihat.
9. Ayat 166– Allah s.w.t mengatakan mereka adalah kaum yang melampaui-batas. Ulama\’ kata sesiapa yang melanggar hukum Allah s.w.t samada dalam bab aqidah dan Syariah itulah kaum yang melampau.
10. Ugutan mereka untuk menghalau Nabi Lut (Ayat 167) – dalil bahawa orang zalim itu akan menggunakan kekasaran untuk menghalang kebenaran dari tersebar.
11. Doa Nabi Nuh a.s (ayat 169) – menunjukkan bahawa kita kena banyak berdoa kepada Allah s.w.t dalam berbagai keadaan, untuk diri sendiri ahli keluarga dan semua.
12. Hanya isterinya yang tinggal dan binasa dalam azab bersama kaumnya- Ayat 171, kata ulama\’ menunjukkan bahawa orang yang dekat (keluarga) dengan nabi, rasul, imam, ustaz, pendakwah, ulama\’ dan seumpamanya itu belum tentu menjamin keimanan dan selamat dari azab. Sebagaimana isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut ini. Semoga Allah s.w.t lindungi keluarga dan anak isteri kita.
13. Seperti biasa pesanan mesra Abu Anas pada hari Jumaat: Ingat Jumaat- Ingat selawat dan jangan lupa baca surah al-Kahfi. Serta jangan lupa doakan kesembuhan untuk seluruh pesakit dan keselamatan para petugas frontliner dan kita semuanya.
Selawat terbaik ialah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w sendiri:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلٰى مُحَمَّدٍ وَعَلٰى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلٰى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلٰى آلِ إِبْرَاهِيْمَ و بَارِكْ عَلٰى مُحَمَّدٍ وَعَلٰى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلٰى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلٰى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِيْ الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدُ مَجِيْدٌ
Wallahu a’lam.