View Categories

SURAH AT-TAGHABUN : AYAT 16-18

\"\"

LAKUKAN KETAATAN SEMAMPU MUNGKIN, JAUHI SIFAT BAKHIL & GALAKAN INFAQ HARTA.

Full video : https://youtu.be/HbnjvnO2Fzg?si=PgvVvarwKhqe3141

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyuruh kita lakukan ketaatan semampu mungkin, untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
  2. Kemudian Allah suruh kita jaga diri & jauhi sifat bakhil yang amat buruk.
  3. Allah juga memberi galakan untuk bersedekah infaq harta fi-sabilillah, tetapi hendaklah dengan ikhlas kerana Allah s.w.t tahu semua yang ada dalam hati kita.

AYAT 16- {OLEH ITU BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH SEDAYA SUPAYA KAMU; DAN DENGARLAH (AKAN PENGAJARAN-PENGAJARANNYA) SERTA TAATLAH (AKAN PERINTAH-PERINTAHNYA); DAN BELANJAKANLAH HARTA KAMU (SERTA BUATLAH) KEBAJIKAN UNTUK DIRI KAMU. DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG MENJAGA SERTA MEMELIHARA DIRINYA DARIPADA DIPENGARUHI OLEH TABIAT BAKHILNYA, MAKA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AT-TAGHAABUN 64:16)

  1. Allah memerintahkan orang yang beriman agar bertaqwa; iaitu ikut dan taat dalam menjalankan perintah Allah & menjauhi larangannya- mengikut sekadar kemampuan kamu (مَا ٱسْتَطَعْتُمْ).
  2. Ini menunjukkan rahmatnya Allah s.w.t ke atas hamba-Nya. Allah tidak kata wajib buat terus semua perintah-Nya, mampu atau tidak.
  3. Ayat ini dikembarkan dengan firman Allah s.w.t ini:
    i- {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.} (Al-Baqarah 2:286)

ii- {Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, – merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.} (Al-A\’raaf 7:42)

  1. Hadis –

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah:
\”Wahai sekalian manusia, Allah telah mewajibkan haji bagi kamu, maka laksanakanlah ibadat haji.\”
Seorang laki-laki bertanya, \”Wahai Rasulullah, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?\”
Maka Baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali.
Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, \”Jika aku mengatakan \’ya\’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu. Tinggalkanlah (jangan bertanya) terhadap sesuatu yang aku biarkan (diam).\”

\”مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ \”

\”Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya maka hendaklah kamu jauhinya, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan.

Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah binasa kerana banyak bertanya dan berselisih dengan para nabi.\” (HR Bukhari dan Muslim).

  1. Arahan kedua seterusnya ialah agar kamu kena dengar & taat iaitu menerima arahan Syari\’ah Allah dan mendengar segala nasihat dan pesanan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Jangan tinggalkan apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang Allah & Rasul-Nya, itulah taqwa.
  2. Arahan ketiga ialah untuk membuat kebajikan untuk diri kita dan membelanjakan harta apa yang wajib dan sunat.
  3. Iaitu yang pertamanya wajib keluarkan zakat, beri nafkah kepada orang yang wajib kita beri nafkah sebagai satu fardhu, kemudian sedekah-sedekah sunat yang lain! Inilah yang sebaiknya dan kebaikan bagi diri sendiri!
  4. Jangan sampai harta menjadi bala kepada kita, ada harta banyak tetapi tidak keluarkan haknya yang wajib (zakat) apatah lagi yang sunat!
  5. Perintah seterusnya iaitu yang keempat dalam ayat ini ialah agar jaga diri daripada menjadi bakhil- antara sebab manusia menjadi bakhil ialah kerana ingin disimpan untuk anak cucu.
  6. Sesiapa yang selamat dari sifat ini, Allah s.w.t campakkan ke dalam hatinya tidak tamak untuk mengumpul harta, dapat harta diinfakkannya!
  7. Allah mengatakan bahawa mereka inilah orang-orang yang berjaya kerana dia mendapat apa yang dicitakannya; iaitu hartanya menjadi miliknya yang akan menunggunya sebagai pahala di akhirat kelak!
  8. Inilah keajaiban sedekah- harta yang disedekahkan itu akan menjadi milik kita, menunggu sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, tetapi harta yang ditinggalkan akan menjadi milik orang lain!
  9. Hadis daripada Ibnu Umar ra. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
    \”Jauhkanlah oleh kamu akan dirimu daripada bakhil. Bahawanya binasa umat yang dahulu adalah kerana sifat bakhil.\” [HR Abu Daud].
  10. Sabda Rasulullah s.a.w:
    Tidak berkumpul selama-lamanya sifat iman dan bakhil dalam hati orang yang beriman.
    [HR an-Nasa\’ei].
    *Jika seorang yang mantap imannya dia tidak akan bakhil dan suka bersedekah.
  11. Hadis – Sedekah yang paling afdhal:
    Sabda Rasulullah s.a.w:

أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى

(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan).
[HR al-Bukhari Muslim].

  1. Maka jika nak sedekah, sedekahlah ketika kita masih sihat dan perlukan harta itu, bukan tunggu ketika kita sakit dan nak mati dah. Bukan tidak dapat pahala tetapi jika sempat alhamdulillah, jika tak sempat tetapi akan jadi milik orang lain!

AYAT 17- {DAN KALAU KAMU MEMBERI PINJAMAN KEPADA ALLAH, SEBAGAI PINJAMAN YANG BAIK (IKHLAS), NESCAYA ALLAH AKAN MELIPAT GANDAKAN BALASANNYA KEPADA KAMU SERTA MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA KAMU; DAN ALLAH AMAT MEMBERI PENGHARGAAN DAN BALASAN KEPADA GOLONGAN YANG BERBUAT BAIK, LAGI MAHA PENYABAR (UNTUK MEMBERI PELUANG KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH SUPAYA BERTAUBAT).} (AT-TAGHAABUN 64:17)

  1. Allah s.w.t berjanji bahawa jika kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik dan ikhlas.
  2. Allah s.w.t buat anaologi sedekah itu seolah hutang/pinjaman kepada Allah.
    Maksud pinjaman di sini ialah sedekah dan infaq yang ikhlas kepada Allah, nescaya Allah akan melipat gandakan balasan-Nya kepada kamu!
    Adakalanya Allah akan bagi sehingga 700 kali ganda!
  3. Janji Allah s.w.t lagi, Dia mengampunkan dosa-dosa kamu; menyembunyikan kesalahan kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik iaitu sedekah ini.
  4. Firman Allah s.w.t tentang hal ini juga:
    {Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.} (Al-Baqarah 2:261)
    Inilah limpah kurnia Allah s.w.t kepada hamba-Nya.
  5. Kepada siapakah kita nak sedekah ini? Pertama sekali kepada orang yang terdekat seperti anak-isteri yang di bawah tanggungan kita.
  6. Sabda Rasulullah s.a.w:

وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِي فِيّ امْرَأَتِكَ

\”Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala). (HR Muslim).

  1. Maka Allah janji Dia akan ampunkan dosa-dosa kamu, sembunyikan kesalahan kamu, Allah jaga kamu daripada segala yang tidak baik, semua ini sebagai balasan atas apa yang kamu infaq! Allah jaganya juga daripada kematian yang tidak baik.
  2. Hadis- sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Orang yang berbuat baik kepada orang lain, dia akan selamat daripada mati yang tidak baik, manakala sedekah secara rahsia akan memadamkan kemurkaan Allah s.w.t dan hubungan silatur-rahim akan memanjangkan umur.\” [HR at-Tabarani].

Mati dalam keadaan baik- bukan hanya baik dari segi atas dunia saja, tetapi iaitu baik dalam agama tanpa memberi fitnah kepada agamanya, mati dalam keadaan beriman kepada Allah, dalam husnul-khatimah dan mendapat semua pahala hasil kebaikan yang dibuatnya.

  1. Pada akhir ayat Allah s.w.t mengatakan Dia akan:
    i- dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan (شَكُورٌ) kepada golongan yang berbuat baik iaitu bersedekah ini.

ii- Allah lagi Maha Penyabar (حَلِيمٌ) yakni beri tempoh untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah iaitu yang bakhil tidak mahu bersedekah supaya insaf & bertaubat.

  1. Yakni Allah s.w.tberterima kasih dan akan beri pahala kepada orang yang bersedekah dan jika dia masih bakhil tidak mahu bersedekah, Allah Maha Penyabar, Dia bagi tempoh moga-moga mereka ini akan insaf dan terbuka hati untuk bersedekah fi-sabilillah.

AYAT 18- {DIA LAH YANG MENGETAHUI SEGALA YANG GHAIB DAN YANG NYATA, (DAN DIA LAH JUA) YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AT-TAGHAABUN 64:18)

  1. Allah juga menyatakan bahawa Dia juga yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata (عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ).
    Kamu sedekah ikhlas atau tidak Allah s.w.t maha tahu apa yang zahir atau tidak.
  2. Dia-lah jua yang Maha Kuasa (ٱلْعَزِيزُ), lagi Maha Bijaksana (ٱلْحَكِيمُ ).

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 16- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;]- sesungguhnya Allah ayat ini menghilangkan kesusahan dan kesempitan yang besar kepada orang mukmin. Allah s.w.t tidak memaksa kamu jika kamu tidak mampu.

Contohnya:
i- Haji hanya sekali seumur hidup yang wajibnya.
ii- puasa- jika tidak mampu boleh berbuka dan gantikan semula apabila sihat!
Jika tidak sihat terus boleh bayar fidyah pula.
iii- solat- jika tidak mampu berdiri boleh duduk, tidak boleh duduk seterusnya ikut kemampuan kamu.

Allah s.w.t tidak memaksa dan menyusahkan diri kamu, tetapi manusia itu sendiri kadang-kadang yang menyusahkan diri mereka sendiri buat apa yang Syari\’ah tidak ajar!

  1. Ayat 16- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;}- ayat ini menunjukkan bahawa semua perkara yang diwajibkan oleh Allah s.w.t ke atas hamba-Nya apabila mereka tidak mampu nak buat maka ia samada:
    i- digugurkan. Seperti orang tua atau sakit teruk yang tidak mampu lansung puasa digugurkan dan kena bayar fidyah.

ii- atau ditukar kepada yang lain. Seperti yang tidak mampu berdiri dalam solat ditukar kepada duduk atau baring dan lain-lain. Seperti dalam hadis di mana Rasulullah s.a.w susun rukun solat ikut kemampuan.

Sabda Rasulullah s.a.w:
\”Solatlah dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu solatlah di atas lambung (secara mengiring).\” [HR al-Bukhari].

  1. Ayat 16- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;}- ayat ini mengisyaratakan bahawa para ulama\’-ulama\’ dan qadhi-qadhi hendaklah berijtihad setakat yang mereka mampu sahaja!

Contoh dalam bidang muamalat dan perubatan- buatlah setakat yang mampu, jika ada yang tidak halal lagi berusahalah dan ikhtiar sedaya upaya kita setakat yang mampu untuk mencari yang halal dan patuh Syari\’ah. Bukan senang-senang kerana ada pilihannya!

Pihak yang berkuasa seperti panel penasihat Syari\’ah dan ulama\’ kita kena usaha, berijithad dan mencari solusi setakat yang mampu. Apa yang diluar bidang kemampuan mereka maka serahkanlah kepada Allah.

  1. Ayat 16- { Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.}- siapa yang jaga & kawal sifat bakhil dalam dirinya maka itulah orang yang berjaya (هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ).

Ulama\’ kata kenapa sifat bakhil itu dinisbahkan kepada diri kita sendiri? Kenapa kita yang kena jaganya?

JAWAPAN :

Ini kerana sifat bakhil berasal daripada nafsu kita sendiri. Nafsu amat bakhil kepada benda yang ia sayang seperti harta dan amat bakhil. Maka kita kena lawannya dengan bersedekah dan infaq fi-sabilillah.

  1. Ayat 17- {Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu}- kenapa Allah s.w.t bandingkan sedekah itu dengan hutang kepada-Nya?

JAWAPAN :

Ini kerana hutang adalah sesuatu yang wajib dibayar! Yakni sesiapa yang beri hutang kepada Allah yakni bersedekah fi-sabilillah.
Maka Allah jamin dan berjanji akan membayarnya yakni membalasnya dengan memberikan pahala yang berganda-ganda kepada sesiapa yang tidak bakhil sayangkan harta & bersedekah dengan ikhlas.

Ya Allah jadikanlah kami orang yang patuh Syari\’ah, yang suka dan banyak infaq & sedekah, jauhkan dari kami sifat bakhil dan penakut, berikan kepada kepada kami sifat yang pemurah, menunaikan segala hak harta dan suka untuk bersedekah ikhlas kerana-Mu. Sebagai bekalan untuk kami bertemu dengan-Mu ya Allah.

Powered by BetterDocs