View Categories

SURAH AT-TAGHABUN : AYAT 9-10

\"\"

HARI AT-TAGHABUN (KERUGIAN), ORANG BERIMAN UNTUNG & BURUK TEMPAT KEMBALI SI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/Y5WaQSg_pAk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang suasana hari akhirat kelak iaitu hari at-Taghabun (kerugian).
    Inilah sempena nama surah ini.
  2. Samada kerugian sepenuhnnya seperti orang kafir atau kerugian separuh seperti orang beriman yang sedikit amalannya.
  3. Orang beriman yang banyak amalannya akan beruntung dan mendapat kejayaan yang dijanjikan Allah s.w.t.
  4. Manakala bagi orang kafir yang tiada amalan nerakalah seburuk-buruk tempat kembali bagi mereka.
  5. Munasabah ayat:
    Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang kebangkitan semula bahkan Allah s.w.t telah memerintahkan agar Rasulullah s.a.w bersumpah kepada orang kafir bahawa bangkit semula ini benar dan pasti akan berlaku!
    Siapa yang tidak percaya masih ragu-ragu maka dia orang yang rugi.

Serta Allah nyatakan cara untuk selamat pada hari kebangkitan itu iaitu dengan mengikut Allah, Rasulullah s.a.w & al-Quran (ayat-9)
Kemudian Allah mengingatkan agar kita sentiasa beringat bahawa Dia Maha mengetahui akan segalanya, supaya kita beringat jangan ada hasad dengki dalam hati & ikhlas.

ii- semua ini sebagai persiapan untuk ayat hari ini yang menceritakan tentang hari berkumpul yang penuh kerugian bagi yang tidak membuat persiapan yang sepatutnya.

AYAT 9- {(INGATKANLAH) MASA ALLAH MENGHIMPUNKAN KAMU PADA HARI PERHIMPUNAN (UNTUK MENERIMA BALASAN), – ITULAH HARI MASING-MASING NAMPAK KERUGIANNYA. DAN (INGATLAH), SESIAPA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH SERTA MENGERJAKAN AMAL SOLEH, NESCAYA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA-DOSANYA DAN MEMASUKKANNYA KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA; YANG DEMIKIAN ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR.} (AT-TAGHAABUN 64:9)

  1. Allah beri peringatan kepada semua manusia tentang hari perhimpunan (لِيَوْمِ ٱلْجَمْعِ ۖ) untuk mereka menerima balasan masing-masing. Itulah hari yang penuh kerugian (يَوْمُ ٱلتَّغَابُنِ ۗ).
  2. Kenapa dinamakan Hari Berkumpul
    (يَوْمِ ٱلْجَمْعِ)?
    Kata ulama\’ tafsir Syeikh ar-Razi rhm. kerana beberapa perkara:
    i- kerana semua makhluk akan berkumpul pada hari itu di satu tempat. Penduduk bumi & langit semuanya di bumi Mahsyar.

ii- kerana kembalinya roh yang sudah keluar, ke tubuh asalnya.

iii- kerana berkumpulmnya semua orang yang berkerja (buat) amal dengan amalannya, yang baik atau buruk.

iv- berkumpulnya orang yang zalim dan yang dizaliminya!
Kesimpulannya semua di atas.

  1. Kata Ibnu Kathir rhm.: Hari Berkumpul itu ialah hari Kiamat. Dinamakannya hari Berkumpul kerana dikumpulkan semua manusia sejak dari zaman Adam sehingga ke hari Kiamat. Telinga akan dengar semua arahan & mata melihat, menyaksikan semuanya.
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.} (Hud 11:103)

ii- {Katakanlah (kepada mereka): \”Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari kiamat yang termaklum.} (Al-Waaqi\’ah 56:50)

  1. Hadis: Sabda Rasulullah s.a.w:
    \”Pada hari Kiamat Allah s.w.t kumpulkan semua manusia yang terdahulu & terkemudian pada satu tempat.\” [HR Bukhari & Muslim].
  2. Apakah pula maksudnya hari at-Taghabun {itulah hari masing-masing nampak kerugiannya }?
    (يَوْمُ ٱلتَّغَابُنِ ۗ).
    i- Yakni pada hari Kiamat orang -orang kafir akan nampak kerugiannya pada hari itu kerana mereka tidak beriman. Kerugian sepenuhnya.

ii- orang-orang beriman juga akan nampak kerugiannya kerana mereka tidak memperbanyakkan amalannya yang baik atas dunia. Rugi separuh dari peluang yang diberi.

Modal besar yang Allah s.w.t berikan kepada kita adalah umur kita!
Jika dihabiskan dengan sia-sia tanpa diisi dengan kebaikan dan amal soleh, maka pastilah akan kerugian!

  1. Kata ulama\’ lagi pada hari itu mereka yang di padang mahsyar:
    i- ahli batil munkar & bid\’ah akan merasa kerugian dengan ahli haq & as-Sunnah.

ii- Orang beriman akan merugikan (membuatkan berasa rugi) orang kafir .

iii- Orang buat ketaatan merugikan ahli maksiat.

iv- ahli syurga merugikan ahli neraka!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya)!} (Az-Zumar 39:56)
  2. Hadis- Sabda Rasulullah s.a.w:
    Setiap orang mempunyai dua tempat, satu di neraka & satu syurga. Jika seseorang itu tidak beriman maka akan masuk neraka dan tempatnya di dalam syurga akan diambil oleh orang lain yang masuk syurga. Begitu juga sebaliknya. Inilah maksudnya firman Allah s.w.t: {Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.} (Al-Mu\’minuun 23:10) [HR Ibnu Majah & Baihaqi].
  3. Sesiapa yang beriman dan beramal soleh maka baginya:
    i- Allah akan ampunkan dosa-dosanya.
    ii- Allah masukkannya ke dalam syurga yang penuh nikmat.
    iii- mereka kekal di dalam syurga itu selama-lamanya.
    iv- inilah kemenangan (ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ) yang besar!
  4. Jika nak kejayaan ini kena ada dua syarat ini iaitu:
    i- beriman dengan ikhlas kepada Allah s.w.t semata.
    ii- beramal soleh sebagaimana ajaran Rasulullah s.a.w, bukan yang direka-reka.

AYAT 10- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKALAH AHLI NERAKA, KEKALLAH MEREKA DI DALAMNYA; DAN ITULAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.{ (AT-TAGHAABUN 64:10)

  1. Ayat ini adalah cerita tentang kumpulan sebaliknya iaitu orang kafir ahli neraka yang telah mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t!
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t telah sebut bahawa orang yang mendapat kemenangan ialah orang yang bertaqwa, ini sebagai galakan supaya kita menjadi orang yang bertaqwa.

ii- maka ayat 10 ini adalah tentang orang yang rugi orang yang celaka yang telah menyalah-gunakan nikmat yang Allah beri untuk kufur & syirik kepada lah s.w.t.
Ini sebagai amaran supaya kita tidak terjebak atau termasuk dalam golongan ini!

  1. Mereka inilah orang-orang yang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t dan jaran Rasul-Nya. Balasan dan pengakhirannya- merekalah ahli neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali
    {وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ}.
  2. Kenapa Allah sebut mereka itu sebagai ahli neraka { أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ}?
    Sebagai menunjukkan mereka sebagai penghuni atau pemiliknya yang tidak akan keluar darinya, akan kekal di dalam neraka selama-lamanya.
    Macam kita kata tuan rumah, pastilah dia akan tinggal di dalam rumahnya itu.
  3. Ia adalah seburuk-buruk tempat kembali { وَبِئْسَ ٱلْمَصِير},
    yang penuh dengan azab siksa dan hukuman pedih yang tidak dapat dibayangkan. Tiada benda baik di dalamnya!
    Kita orang beriman yang yakin dan percaya akan janji Allah ini maka belilah diri kita dengan keimanan & ketaatan.
  4. Ingatlah pasar akhirat untuk kita berniaga nanti memang wujud & modalnya mudah saja, harganya sudah ada- buatlah ibadat sebagaimana yang Allah perintah dan Rasul ajar.
  5. Allah s.w.t telah beri kepada setiap manusia umur dan masa sebagai kepala modalnya. Maka gunakan dan penuhilah ia dengan kebaikan agar kita tidak menjadi orang yang kerugian di akhirat kelak!
    Moga kita menjadi orang yang disayangi & dikasihi Allah s.w.t dunia & akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 9- {(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), – itulah hari masing-masing nampak kerugiannya.}- hari Allah s.w.t kumpulkan semua manusia yang dilangit & di bumi. Hari yang penuh kerugian.

Maka ditanya apakah perbuatan yang dibuat sehingga mendapat kerugian itu?
Allah buat bandingan ini seolah seperti dalam jual-beli. Orang yang rugi dalam perniagaan dapat dilihat dan difahami. Begitulah bandingan orang yang kerugian pahala, hilang dan rugi! Ada orang yang minat menjual tetapi kurang cerdik, maka jualannya sentiasa rugi!

Firman Allah s.w.t tentang cara bandingan ini juga:
i- {Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.} (Al-Baqarah 2:16)

ii- {Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.} (At-Taubah 9:111)

Maka kita nak keuntungan dalam perniagaan kita dengan Allah s.w.t, kita tidak mahu kerugian di akhirat kelak!

  1. Ayat 9- {Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya}- ulama\’ kata ini menunjukkan bahawa untuk selamat kita wajib beriman dan diikuti dengan amal soleh yang bertepatan dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Ini untuk menolak hujjah murji\’ah yang mengatakan iman tidak masuk dalam amal, amal juga tidak masuk iman! Ini adalah sesat & karut.

Kita berpegang dengan fahaman ahli Sunnah wal Jama\’ah yang mengatakan iman dan amal soleh mesti seiring.

  1. Ayat 9- {Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya}- timbul perbincangan dari sudut bahasa- kenapa dalam ayat ini Allah s.w.t gunakan:
    i- lafaz sekarang (present tense- مضارع) untuk orang yang beriman { وَمَن يُؤْمِن}

ii- sedangkan bagi orang kafir { وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟} digunakan (فعل الماضى) yang telah lepas- past tense.

Jawapan:
Kata ulama\’ ini kerana:
i- maksudnya ayat ini sesiapa yang beriman kepada Allah, sedangkan sebelumnya mereka orang adalah kafir, telah mendustakan ayat-ayat Allah; mereka lalu bertaubat & beriman kepada Allah pada masa akan datang.

Maka Allah akan hapuskan segala dosa kesalahannya yang telah lepas.
Ini adalah satu galakan kepada orang kafir untuk beriman. Allah s.w.t juga akan masukkan mereka ke dalam syurga.

ii- tetapi sesiapa yang kekal dalam kafirnya dan mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t, mereka tetaplah ahli neraka.

  1. Ayat 10- {Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,}- kata ulama\’ asas atau tapak puncanya kerosakan & derhaka manusia atas dunia ini ada dua:
    i- kufur kerana sombong.
    ii- mendustakan iaitu kufur menolak.

Kata ulama\’ tadabbur- kufur itu berpusing pada dua siafat iaitu sombong & menentang menolak.
i- Ikon kesombongan ialah iblis yang kufur kerana sombong walaupun dia tahu & kenal Allah.

ii- kufur menentang ikonnya ialah Firaun, dia menentang Nabi Musa a.s walaupun dalam hatinya dia tahu Musa benar.

Firman Allah s.w.t:
{Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya.} (An-Naml 27:14)
Maka kita manusia berhati-hatilah dengan dua perangkap syaitan & dua asas kerosakan atas dunia ini kerana ia akan membinasakan kita na\’uzubillah.

  1. Ayat 10- {Merekalah ahli neraka, kekallah mereka di dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat kembali}- Allah s.w.t sebut dua perkara di sini- orang kafir sebagai ahli neraka & neraka sebagai seburuk-buruk tempat kembali.

Ini kerana:
i- Orang kafir disebut sebagai ahli neraka { أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ }
kerana mereka kekal di dalamnya. Mereka tuannya tidak akan keluar-keluar darinya.

ii- seburuk-buruk tempat kembali { وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ }- kerana Allah mahu ta\’kid menguatkan lagi bahawa di dalam neraka itu tiada benda yang baik atau kebaikan.
Jangan difikirkan, ingatlah lansung tiada kebaikan dalam neraka.

Sedangkan atas dunia ini semua benda yang Allah buat ada hikmahnya.

Doa:
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Ya Allah, aku mohon kepada-Mu syurga, dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka.

Powered by BetterDocs