View Categories

SURAH AT-TAHRIM : AYAT 6-7

\"\"

Kewajipan Menjaga Diri Dan Keluarga, Sifat Malaikat & Tiada Maaf Bagi Kafir Di Akhirat.

Full video : https://youtu.be/7rHeeXZm5Jk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini perbincangan tentang arahan Allah s.w.t akan kewajipan menjaga diri kita dan keluarga kita dari bahaya yang amat besar iaitu api neraka.
  2. Bahaya atas dunia ini terhad jika kita sakit atau mati akhirnya ke kubur.
    Tetapi api neraka ini tiada bandingan akan azab siksanya, kepanasan apinya sahaja pun 70x ganda daripada api atas dunia ini serta tiada pengakhirannya.
  3. Bahawa tempoh untuk menyesal & bertaubat ada had & tempohnya, jika sudah mati maka ia adalah penyesalan yang tidak berguna di akhirat kelak.
  4. Allah s.w.t juga menyatakan tentang sifat malaikat yang sentiasa patuh dan taat kepada Allah s.w.t. dalam menjalankan tugasnya.
  5. Kemudian dinyatakan bahawa tiada maaf bagi kafir di akhirat kelak kerana sudah terlambat dan masa sudah tamat untuk menyesal.

AYAT 6- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! PELIHARALAH DIRI KAMU DAN KELUARGA KAMU DARI NERAKA YANG BAHAN-BAHAN BAKARANNYA: MANUSIA DAN BATU (BERHALA); NERAKA ITU DIJAGA DAN DIKAWAL OLEH MALAIKAT-MALAIKAT YANG KERAS KASAR (LAYANANNYA); MEREKA TIDAK MENDERHAKA KEPADA ALLAH DALAM SEGALA YANG DIPERINTAHKANNYA KEPADA MEREKA, DAN MEREKA PULA TETAP MELAKUKAN SEGALA YANG DIPERINTAHKAN.} (AT-TAHRIM 66:6)

  1. Allah s.w.t memerintahkan orang yang beriman agar memelihara diri kita sendiri dan keluarga kita daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah daripada manusia dan berhala sembahan manusia yang syirik.
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menegur para isteri Rasulullah s.a.w sebagai nasihat khas dalam rumahtangga Rasulullah s.a.w.

ii- Allah s.w.t menegur isteri Rasulullah s.a.w maka pastilah para isteri orang lain juga lagi patut & mesti ditegur dan diberi nasihat bimbingan jika tersilap langkah.

Allah s.w.t sudah akui bahawa para isteri Rasulullah adalah wanita yang solehah semuanya, cuma dalam kehidupan manusia ada ketika tersilap langkah lalu Allah s.w.t menegur mereka dengan keras dan tegas untuk bertaubat.

iii- maka datang ayat ini sebagai satu nasihat yang umum untuk orang mukmin dan seluruh keluarga mereka. Pastilah keluarga kita manusia biasa akan ada kesalahan dan kesilapannya, maka lebih layak ditegur dan dinasihati. Kita jadikan Rasulullah s.a.w dan keluarganya sebagai qudwah (contoh) yang baik dalam seluruh kehidupan kita.

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyuruh pertamanya agar setiap muslim jaga dan perbaiki dirinya sendiri dulu kemudian jaga dan didiklah keluarganya yang terdekat seperti anak isterinya.
  2. Allah s.w.t menyuruh kita membuat pagar, tembok benteng daripada api neraka ini:
    i- pertamanya dengan ilmu yang bermanfaat. Kita belajar ilmu tauhid untuk akidah yang benar, kita belajar Feqah untuk muamalat yang sahih, belajar Hadis & akhlak dan lain-lain.

ii- kita beramal dengan amal yang soleh iaitu:
Amal yang ikhlas dan ikut apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

iii- Tugas ketiga: Didiklah anak isteri dengan keluarga kamu dengan ilmu agama supaya mereka jadi baik, ajar amar ma\’ruf dan nahi munkar.

  1. Kata as-Sa\’di rhm. bagaimanakah cara untuk membina benteng menyelamatkan diri dari api neraka ini:
    i- Laksanakan segala apa yang diperintah Allah jauhilah segala larangan-Nya.
    ii- bertaubat jika ada kesalahan dan terjebak melakukan perkara yang dimurkai Allah.
    iii- serta jaga & didiklah anak cucu kita dengan didikan ilmu, akhlak dan aqidah yang salim maka Insya\’ Allah kita & mereka akan selamat.
    Jaga yang dekat dan rapat dengan kita dulu sebelum sibukkan diri dengan orang luar dan yang jauh.
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang arahan ini:
    i- {Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.} (Taha 20:132)

ii- {Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:214)

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- \”Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertang-gungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu.\” [HR Bukhari & Muslim].

Ketua negara jaga rakyat, bapa jaga keluarga anak isterinya, ibu atau isteri jaga anak-anak dan rumahtangganya dengan baik dan semua.

ii- Hadis riwayat UM Aisyah r.a:
\”Rasulullah s.a.w pernah memasuki ke rumahku dan ketika itu aku memasang satu langsir yang bergambar makhluk yang bernyawa.
Baginda s.a.w melihatnya lalu air mukanya berubah dan terus menarik langsir itu dengan keras.

Kemudian Rasulullah bersabda:
Wahai Aisyah, sesungguhnya orang yang paling berat azabnya pada hari kiamat kelak ialah mereka yang melukis atau menggambar makhluk yang bernyawa. [HR Bukhari & Muslim].

Ada riwayat hadis lain bahawa: Rasulullah menambah, \”Malaikat (pembawa rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar\”.

  1. Maka sama-sama kita berpesan amar ma\’ruf nahi munkar, jika kita lihat sesuatu yang tidak betul dalam keluarga kita, sahabat atau orang yang kita kenal
  2. Kemudian Allah s.w.t sifatkan sedikit tentang sifat atau keadaan neraka supaya kita gerun dan takut:
    i- Bahan bakarnya adalah manusia yang derhaka & kafir dan batu (berhala).
    Firman Allah s.w.t juga tentang neraka:
    {Maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.} (Al-Baqarah 2:24)

ii- manakala sifat atau keadaan penjaga atau pengawal neraka adalah malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); tiada sifat rahmat lansung terhadap ahli neraka, fizikalnya kuat dan gagah perkasa!
Firman Allah s.w.t juga:
{Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat).} (Al-Muddaththir 74:30)

iv- Sifat malaikat ini juga:
a- mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, tidak pernah bantah & terhalang.
b- dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

  1. Setelah Allah s.w.t memerintahkan kepada para isteri Nabi s.a.w agar bertaubat dan memperingatkan mereka akan bahaya menyalahi perintah Rasulullah s.a.w; maka dengan ayat ini diperingatkan kepada seluruh umat Islam untuk menjaga diri mereka dan keluarga mereka dari bahaya melanggar perintah agama!
  2. Oleh itu setiap orang wajib mempelajari serta mengajar anak isteri dan keluarganya akan ajaran dan adab peraturan Islam agar mereka selamat daripada kemurkaan Allah s.w.t & azab neraka-Nya.

AYAT 7- {MALAIKAT ITU AKAN BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG DIMASUKKAN KE DALAM NERAKA): \”HAI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR! JANGANLAH KAMU MENYATAKAN UZUR (DENGAN MEMINTA AMPUN) PADA HARI INI, (KERANA MASANYA TELAH TERLAMBAT). KAMU HANYALAH DIBALAS DENGAN BALASAN APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN\”.} (AT-TAHRIM 66:7)

  1. Kemudian para malaikat penjaga neraka itu berkata kepada penghuninya: \”Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur dengan meminta ampun pada hari ini, kerana masanya telah terlambat.
    Yakni tempoh untuk menyesal dan bertaubat telah tamat tempohnya!
  2. Hari ini adalah hari Pembalasan, bukan hari minta maaf & minta tempoh untuk menambah amalan dan ibadat. Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan. Kamu akan mati atas apa yang kamu kerjakan.
  3. Munasabah ayat:
    Allah s.w.t menyebut ayat ini untuk menambahkan lagi perasaan takut kita kepada neraka Jahannam yang disediakan untuk puak kafir. Kamu jagalah diri kamu dan keluarga kamu dengan sebenarnya agar tidak menyesal di akhirat kelak dengan penyesalan yang tidak berguna lagi!
  4. Hari Kiamat itu adalah hari Pembalasan, bukan hari untuk merayu minta uzur atau memberi alasan, bukan hari minta keampunan dan maaf, mereka juga tidak diminta untuk bertaubat kerana pintu taubat telah ditutup!
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.} (Ar-Rum 30:57)
  6. Jika nak bertaubat adalah sekarang semasa kita masih hidup atas dunia, semasa masih sihat dan berkemampuan!
    Waktu yang masih ada peluang untuk perbetulkan perjalanan hidup kita dan bertaubat kepada Allah sebelum terlambat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka}- ulama\’ tadabbur berkata:
    Adalah menjadi tanggung-jawab ketua keluarga, seorang bapa atau suami untuk memperbaiki dirinya dan belajar penuhkan diri dengan ilmu agama terlebih dahulu. Jangan buat alasan tidak pandai, tidak pandai dan tidak reti belajarlah tambah ilmu.

Kemudian balik didik, ajar dan bimbing ahli keluarganya. Wajib, ikut tertib ini. Jika seorang ketua keluarga itu bertanggugjawab dia akan islah memperbaiki dan didik ahli keluarganya.

Atau jika tak pandai, bawa anak isteri belajar bersama, bawa mereka ke masjid atau majlis ilmu untuk belajar mendengar kuliah ilmu yang ilmiah dan baik. Tetapi pilihlah ustaz yang benar ilmunya dan betul-betul ikut ajaran Rasulullah s.a.w.

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka}- Allah s.w.t tujukan ayat ini kepada orang yang beriman dengan nama iman:
    {يـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟}.

Ulama\’ tadabbur kata ini menunjukkan bahawa jika kamu benar-benar orang yang beriman kepada Allah & Rasulullah s.a.w, maka laksanakanlah arahan dan perintah Allah s.w.t ini!

Tetapi jika seseorang itu beriman tetapi tidak menjaga anak isteri, biarkan mereka dalam keadaan tidak melakukan arahan Allah s.w.t, tidak solat atau tidak tutup aurat contohnya, maka itu menunjukkan kelemahan imannya atau imannya susut.

Hanya orang yang betul-betul beriman akan dengar kata, akan melaksanakan perintah Allah s.w.t, mendidik menjaga anak isterinya agar selamat daripada api neraka!

  1. Ayat 6- {Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka}- sesiapa yang cuai daripada mendidik keluarga dengan pendidikan agama yang baik, maka dia adalah orang tidak bertanggung-jawab, rosaknya keluarga kerana rosaknya bapa atau suami!

Jika bapa atau suami tidak peduli akan keluarga dan mereka yang sekelilingnya, tidak bertanggung-jawab menjaga mereka dalam amar marf nahi munkar, maka dia sendirilah yang merosakkan anak-anak dan keluarganya. Bukan sebab gejala atau anasir luar, itu sebab sampingan; yang utamanya adalah bapa yang cuai & tidak bertanggung-jawab!

  1. Ayat 6- {neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.}
  • Allah s.w.t memperkenalkan sifat malaikat. Malaikat yang ganas dan kasar dengan penderhaka tetapi sangat setia dan taat kepada perintah Allah s.w.t!

Kata ulama\’ tadabbur ayat ini menunjukkan bahawa:
i- malaikat itu ada tanggung-jawabnya juga di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak.
Mereka akan ditanya apakah mereka telah melaksanakan tugas yang telah diperintahkan kepada mereka.

ii- Ayat ini juga sekaligus menunjukkan pujian kepada para malaikat yang tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t, yang sentiasa akur kepada perintah-Nya.

iii- ayat ini juga menafikan dakwaan dan tuduhan sebahagian dari cerita Israiliyyat bahawa Iblis itu berasal dari malaikat yang bernama Azazil adalah tidak benar sama sekali! Iblis itu berasal dari JIN bukan MALAIKAT!
Malaikat adalah makhluk yang taat & tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t.

Ulama\’ juga mengatakan bahawa maksudnya ayat ini:
{لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ}-
{mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.}- kata ulama\’ ini bukanlah ta\’kid kepada tidak menderhaka kepada Allah, tetapi untuk menerangkan bahawa malaikat itu mampu untuk menjalankan tugasan mereka. Dia tidak derhaka tetapi memang menjalankan tugasnya.

Manakala manusia pula apabila diberi arahan tetapi tidak menjalakan tugasnya adalah kerana dua sebab, samada:
i- memang dia tidak mampu untuk melakukannya. (غير قادر)

ii- orang penderhaka yang memang tidak mahu taat, tidak mahu buat arahan itu walaupun dia mampu untuk melakukannya.

Kerana itu Allah kata Dia tidak akan buat sesuatu arahan atau perintah yang tidak mampu ditangung oleh hamba-Nya atau di luar kemampuan manusia normal.

Tidak ada dalam Syari\’ah Islam satu amalan yang kita tidak mampu untuk membuatnya. Jadi sesiapa yang tidak buatnya adalah kerana dia derhaka kepada Allah bukan kerana tidak mampu!

  1. Ayat 7- {Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): \”Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat).}- setiap sesuatu ada tempohnya. Ubat pun ada expiry datenya!

Taubat juga ada tempohnya, iaitu :
i- sebelum berlakunya Kiamat yang besar,

ii- atau sebelum Kiamat kecil iaitu mati bagi setiap insan.

Hadis- Rasulullah S.A.W bersabda:
i- \”Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat, maka Allah menerima taubatnya.\” [HR. Muslim].

ii- \”Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan menerima taubat seseorang, sebelum nyawanya sampai di halkumnya (sebelum ia sakaratul maut).\” [HR. at-Tirmizi]

Wahai orang kafir jangan minta maaf hari ini (Kiamat) jika nak menyesal dan insaflah, buatlah sebelum mati.

Peringatan kepada kita orang Islam juga:
Kita sekarang masih berada dalam zaman boleh taubat iaitu sebelum nyawa dihalkum dan sebelum matahri naik di sebelah barat maka bersegeralah kembali kepada Allah s.w.t, memohon keampunan dan rahmat-Nya!

Bagaimana cara, apa yang hendak kita taubat dan lain-lain, Insya\’ Allah kita sambung dalam ayat seterusnya.

Powered by BetterDocs