View Categories

SURAH AT-TALAQ : AYAT 1

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & HUKUM TALAQ.

Full video : https://youtu.be/2SPChTj75vc

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 23 Jumadal Thani 1444H bersamaan 16 hb Januari 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Talaq – سورة الطلاق.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah At-Talaq adalah surah ke-65 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah At-Taghabun – dalam juz ke 28, mengandungi 12 ayat. Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل), iaitu surah yang pendek atau sedikit bilangan ayatnya, tetapi ayatnya panjang-panjang.
  4. Ramai ulama\’ tafsir menukilkan ijma\’ bahawa surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah At-Talaq – سورة الطلاق yang bermakna perihal {Talak- perceraian} kerana pada awal surah ini dan ayat-ayat yang berikutnya Allah s.w.t sebut dan menerangkan tentang hukum perceraian iaitu talaq dan perkara yang berhubung dengannya.
    Lalu Allah menegaskan sesiapa yang melanggar hukum-hukum yang telah ditetapkan, maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri dan buruklah akibatnya!

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan tentang panjang lebar cara seorang Islam yang ingin menceraikan isterinya selepas hal itu tidak dapat dielakkan lagi. Iaitu sudah habis jalan, apabila mustahil untuk berdamai dan berbaik kembali.
  2. Demikianlah juga tentang isteri yang telah diceraikan, memerlukan tempat tinggalnya yang sementara sebelum habis iddahnya.
  3. Patuhilah hukum itu kerana engkau tidak tahu, boleh jadi Allah s.w.t akan mengadakan selepas itu hukum yang lain yang diputuskan.
  4. Yakni boleh jadi dia akan menyesal dan ingin rujuk semula atau hukum lain yang akan diputuskan Allah selepas itu.
  5. Kemudian diterangkan apabila isteri yang diceraikan itu sudah hampir habis tempoh iddahnya; maka bolehlah suami merujuk semula secara baik atau melepaskan secara baik.
  6. Kemudian ditegaskan lagi sesiapa yang bertaqwa kepada Alllah dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, nescaya Allah s.w.t akan memberikannya jalan keluar serta memberi rezeki melalui jalan yang tidak terlintas dalam hatinya.
  7. Oleh itu sesiapa yang menyerahkan dirinya secara bulat-bulat kepada Allah, cukuplah baginya Allah s.w.t untuk menolong dan menyelamatkannya.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah menyatakan hukum yang berkait dengan perceraian dan apa kesan darinya!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah menyebut cara-cara perceraian yang dibenarkan. Selepas bercerai ada iddah, jika ada anak kena susukan, bekas suami kena bagi nafkah & tempat tinggal selagi belum habis tempoh.
  2. Untuk bercerai kena saksi, untuk rujuk juga kena ada saksi.
  3. Larangan dari memudharatkan perempuan yang telah diceraikan seperti menggangu dan mengkhiantinya.
  4. Peringatan yang diulang supaya bertaqwa kepada Allah, menjaga segala arahan Allah, jangan cuai dan abai.
  5. Allah nyatakan besarnya pahala dan dan eloknya orang yang bertawakkal kepada Allah. Sesiapa yang bertawakkal eloklah akhir pekerjaannya.
  6. Menyebut buruknya akhir pekerjaan orang-orang yang derhaka kepada Allah dan menyalahi arahan Rasulullah s.a.w.
  7. Memperingatkan umat ini tentang rahmat yang Allah berikan kepada mereka dengan mengutuskan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri bukan dari kalangan malaikat atau sebagainya.
  8. Allah nyatakan eloknya akhir pekerjaan orang beriman yang benar.
  9. Allah s.w.t akhiri surah ini dengan perkara yang menunujukkan kepada sempurnanya kudrat Allah s.w.t dan luasnya ilmu Allah s.w.t.

MUNASABAH SURAH AT-TALAQ – سورة الطلاق DENGAN SURAH AT-TAGHABUN – سورة التغابن SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah At-Taghabun.

  1. Pada akhir Surah At-Taghabun Allah s.w.t menyebut bahawa ada di antara isteri dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu.
    Maka sudah pasti ada perceraian (at-Talaq) antara suami & isteri. Jika anak-anak sudah derhaka, tidak dengar kata & tidak ikut arahan, sudah pasti bapa tidak akan memberi nafkah kepadanya.

ii- Maka datang surah ini Allah s.w.t sebut tentang panduan dan cara untuk bercerai, ada SOP yang ketat yang perlu dipatuhi.
Juga tentang rezeki yang Allah sediakan bagi mereka yang bercerai dan berpisah, pasti ada jalannya jangan runsing.

Allah juga beri arahan kepada para bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak- jika mereka derhaka didiklah mereka kembali ke pangkal jalan jangan biarkan mereka hanyut.

  1. Dalam Surah At-Taghabun Allah s.w.t sebut tentang sempurnanya ilmu Allah yang Mengetahui semua benda yang ghaib & nyata.

ii- pada akhir surah at-Talaq, sekali lagi Allah sebut tentang sempurnyanya ilmu-Nya. Juga tentang kepentingan wanita dan beberapa ilmu khas yang berkait dengan wanita & perceraian.
Maka ia seolah Allah nyatakan bahawa dalam surah lepas Dia tahu secara umum, sekarang ini Allah tahu segala detailnya secara terperinci.

Allah Maha Mengetahui segala yang besar & kecil semuanya bukan hanya perkara yang besar sahaja sebagaimana sangkaan mereka yang sesat.

  1. Tidak disebut dalam tafsir-tafsir ini tentang kelebihan khas tentang surah ini, cuma ia adalah istemewa seperti ayat-ayat dan surah al-Quran yang lain, iaitu mempunyai kelebihan yang besar bagi sesiapa yang membacanya setiap perkataan akan mendapat 10 pahala! Sesiapa yang tidak bacanya akan kerugian pahala.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 1- {WAHAI NABI! APABILA KAMU – (ENGKAU DAN UMATMU) – HENDAK MENCERAIKAN ISTERI-ISTERI (KAMU), MAKA CERAIKANLAH MEREKA PADA MASA MEREKA DAPAT MEMULAKAN IDAHNYA, DAN HITUNGLAH MASA IDAH ITU (DENGAN BETUL), SERTA BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, TUHAN KAMU. JANGANLAH KAMU MENGELUARKAN MEREKA DARI RUMAH-RUMAH KEDIAMANNYA (SEHINGGA SELESAI IDAHNYA), DAN JANGANLAH PULA (DIBENARKAN) MEREKA KELUAR (DARI SITU), KECUALI (JIKA) MEREKA MELAKUKAN PERBUATAN KEJI YANG NYATA. DAN ITULAH ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH (MAKA JANGANLAH KAMU MELANGGARNYA); DAN SESIAPA YANG MELANGGAR ATURAN-ATURAN HUKUM ALLAH MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BERLAKU ZALIM KEPADA DIRINYA. (PATUHILAH HUKUM-HUKUM ITU, KERANA) ENGKAU TIDAK MENGETAHUI BOLEH JADI ALLAH AKAN MENGADAKAN, SESUDAH ITU, SESUATU PERKARA (YANG LAIN).} (AT-TALAAQ 65:1)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru dan perintahkan kepada Nabi s.a.w dan umatnya seluruhnya, kerana ini bukan ayat khas kepada Nabi tetapi kepada Nabi dan umatnya.
  2. Iaitu apabila mereka mahu menceraikan isteri mereka, maka ceraikanlah mereka pada masa yang dibenarkan iaitu supaya mereka dapat melakukan iddah mereka dengan baik, iaitu:

i- tunggu sehingga isterinya suci daripada haid dan tidak disentuh lagi selepas suci itu.

ii- jangan ceraikan isteri ketika isteri di dalam haid.

iii- jangan ceraikan selepas berlakunya persetubuhan selepas suci daripada haid.

  1. Perkara ini dipanggil dalam feqah sebagai Talaq Sunni (الطلاق السُّني) iaitu perceraian yang mengikut SOP Sunnah atau kalau tak ikut maka jadi Talaq Bid\’i (الطلاق البدعي).
  2. Hadis tentang hukum ini:
    i- peristiwa yang berlaku ke atas Abdullah bin Umar r.anhuma:

أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ, وَهْىَ حَائِضٌ, عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رضي الله عنه رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ, فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا، ثُمَّ لِيُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ, ثُمَّ تَحِيضَ، ثُمَّ تَطْهُرَ، ثُمَّ إِنْ شَاءَ أَمْسَكَ بَعْدُ, وَإِنْ شَاءَ طَلَّقَ قَبْلَ أَنْ يَمَسَّ، فَتِلْكَ الْعِدَّةُ الَّتِى أَمَرَ اللَّهُ أَنْ تُطَلَّقَ لَهَا النِّسَاءُ

Maksudnya: \”Abdullah bin Umar R.anhuma yang menceraikan isterinya ketika haidh pada zaman Rasulullah S.A.W.
Bapanya Umar bin al-Khattab bertanyakan hal itu kepada Rasulullah S.A.W.
Lalu, Baginda bersabda: \”Suruhlah dia rujuk semula kepada isterinya.
Janganlah ceraikannya sehingga dia suci, kemudian haidh dan suci lagi. Kemudian, jika dia ingin bersama isterinya, teruskanlah. Dan jika dia ingin bercerai, ceraikanlah sebelum menyetubuhinya.
Inilah \’iddah yang diperintahkan oleh Allah dalam menceraikan isteri.\”
[HR al-Bukhari (4953) dan Muslim (1471].

ii- bahawa Umar bin al-Khattab mengatakan Rasulullah S.A.W telah menceraikan UM Hafsah tetapi Baginda S.A.W merujuknya semula (dengan Hafsah RA).

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَّقَ حَفْصَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ثُمَّ رَاجَعَهَا

Maksudnya: \”Rasulullah S.A.W telah menceraikan Hafsah RA kemudian merujuknya semula\”. [HR Abu Daud & Ibnu Majah].

  1. Sebuah Kitab yang amat indah tentang hikmah disebalik segala hukum yang Allah buat termasuk tentang talaq dan poligami: Keindahan Islam- terjemahan Abu Anas Madani.
  2. Kata Imam al-Qurtubi rhm. ulama\’ Islam meletakkan tujuh (7) syarat barulah talaq itu mengikut Sunnah dan SOP Syari\’ah:
    i- diceraikan dengan lafaz yang satu sahaja. Jika menyesal boleh rujuk balik.

ii- isteri itu seorang perempuan yang sudah dewasa, sudah haidh bukan lagi kanak-kanak.

iii- isteri sudah suci daripada haidhnya.

iv- suami tidak sentuh lagi apabila sucinya itu.

v- perceraian tidak berlaku ketika isteri dalam haidh.

vi- tidak dikuti perceraian apabila isteri suci yang berikutnya.

vii- tidak ada sebarang tuntutan bayaran.

  1. Tujuh syarat ini diambil daripada hadis peristiwa Abdullah ibnu Umar di atas yang tersalah menceraikan isterinya dalam haidh.
  2. Kemudian Allah perintahkan agar menghitung tempoh iddah dengan teliti dan betul. Ini kerana undang-undang Syari\’ah amat mengambil berat tentang iddah ini!
    Jangan main-main dengan iddah dan terperangkap dengan permaianan syaitan ini.

Iddah ialah si isteri tidak boleh kahwin lelaki lain selepas bercerai sebelum habis tempoh iddah ini. Tempohnya tiga kali suci daripada haid.

  1. Kenapa diberi tempoh iddah ini?
    i- supaya suami berfikir kemungkinan akan menyesal dan mahu rujuk kembali. Isteri juga mungkin akan merasai keperitan hidup keseorangan tanpa suami.

ii- untuk memastikan rahim perempuan itu suci dari benih si suami.

iii- supaya mereka tenang dan sejuk hati, maka lain fikiran dan caranya pula.

  1. FIRMAN ALLAH S.W.T : {Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).} (Al-Baqarah 2:228)
    jika habis tempoh ini maka tamatlah iddahnya.
  2. Kemudian Allah s.w.t ingatkan agar bertaqwa kepada Allah, ini kerana perceraian adalah satu perkara yang besar. Jika ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi atau bercerai kerana Allah dan ikut SOP-nya, maka mereka adalah orang yang bertaqwa.
  3. Kemudian jika sudah bercerai, (ini adalah sesuatu yang jarang diamalkan dalam budaya kita); Allah s.w.t perintahkan kepada para suami agar:
    i- jangan mengeluarkan isteri itu dari rumah tempat tinggal mereka sebelum habis tempoh iddah. Hanya berpisah bilik tetapi tetap serumah. Jika halau keluar juga maka haram perbuatan itu.

ii- isteri juga jangan sekali-kali lari keluar sendiri dari rumah kerana ini adalah perbuatan mungkar yang menyalahi Syara\’ yang telah ditetapkan Allah s.w.t.

iii- kecuali jika mereka (suami atau isteri) terlibat dalam perbuatan yang keji & nyata seperti curang, zina dan seumpamanya.
Atau perangai terlalu jahat & mungkar yang tidak boleh dihadapi seperti lidah/mulut yang jahat, tidak tahan maka bolehlah keluar dari rumah.

  1. Semua ini adalah aturan-aturan hukum Allah, jangan kamu langgari dan bermudah-mudah dengannya.
    Sesiapa yang melanggar undang-undang & hukum Allah maka ia telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri.
  2. Patuhilah hukum itu kerana boleh jadi Allah akan tetapkan perkara & hukum lain. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan hanya alh yang tahu hikmanya.

Yakni boleh jadi kamu akan menyesal kerana bercerai dan ingin merujuk kembali isterinya. Atau akan hilang perasaan marah dan benci bertukar menjadi lebih kasih dan berdamai. Atau mungkin dengan berpisah masing-masing membawa diri dan mendapat pasangan lain yang lebih baik dari sebelum ini.

  1. Ayat ini memberi satu jalan dan nasihat yang menenangkan, jika sudah tiada jalan bercerailah dulu, kita kena ada sikap positif, bukan semua perceraian itu negatif dan buruk. Cuma wajib kena ikut seperti yang digariskan Syari\’ah agar mendatangkan perkara yang lebih baik kepada pasangan yang berpisah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu),}- ayat ini walaupun khitab (gaya percakapan) ayatnya seolah ditujukan kepada Nabi s.a.w tetapi arahannya adalah umum kepada semua umatnya, orang Islam yang beriman.

Ia juga menunjukkan bahawa perceraian itu adalah menyalahi asal, asal orang kahwin bukan ada niat bercerai tetapi kerana dalam perjalanan ada gangguan dan perselisihan, tidak serasi, ada sebab yang tidak boleh dielakkan, maka talaq dibolehkan dalam Islam, selesaikan dengan cara baik.

Bukan seperti setengah agama lain yang mengharamkan terus perceraian walaupun sudah tidak ada persefahaman dan kebahagiaan, terpaksa meneruskan perkahwinan tanpa rohnya bahkan masing-masing ada pasangan haramnya pula!

  1. Ayat 1- {Serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu.} – amaran daripada mengambil mudah tentang hukum perceraian dan hukum iddah. Kena belajar betul-betul, jika tidak tahu kena belajar dan rujuk kepada qadhi atau pejabat agama.

Orang jahiliyyah dulu tidak meletakkan nilai bagi wanita. Bila sudah bercerai berambus pergi dan tiada lagi nafkah, tamat sudah episodnya.

Bagi Islam belum tamat tanggung-jawab selagi belum habis iddah. Kena sediakan lagi tempat tinggal, nafkah & makan minumnya.
Jangan ikut perangai jahiliyyah, bila sudah cerai belum tamat selagi belum habis iddah.

Islam menyuruh kita mengambil berat tentang hukum yang besar ini jangan bermudah-mudah.

  1. Ayat 1- {Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya}- Allah buat garisan dan panduan untuk kita ikut dan patuh, maka jangan kamu melanggar dan melampauinya.

Allah s.w.t suruh kamu duduk di rumah yang sama dalam iddah, jangan kamu halau isteri keluar atau kamu lari tinggalkan rumah itu.

Masalah perceraian ini wajib kena belajar dan faham kerana inilah sempadan yang Allah s.w.t letakkan bagi kita.

  1. Ayat 1- {Dan hitunglah masa idah itu (dengan betul)}- hendaklah kamu tanda dan kirakan betul-betul tempoh dan tarikh iddah!

Tanda & rekod betul-betul serta maklumat kena jelas! Jangan main-main dan bermudah dengannya kerana ia boleh membawa kepada hubungan yang tidak sah & dosa yang lebih besar!

Dalam iddah suami masih kena bertanggung-jawab ke atas isteri- beri nafkah dan menyediakan tempat tinggalnya.

  1. Ayat 1- {Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),}- jika bercerai talaq yang boleh dirujuk kembali (talaq raj\’i) isteri mesti kekal di rumah suami, jangan dia sendiri lari atau suami keluarkan dia! Jangan dikeluarkan mereka dari rumah mereka, atau bagi isteri jangan lari keluar sendiri selagi belum habis iddah.

Manakala jika talaq yang tidak boleh dirujuk lagi ada khilaf dan perbincangan di kalangan ulama\’ dalam kita-kitab Feqah yang panjang.
Kita sekadar menyebut hukum tetapi tidak secara detail.
Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs