View Categories

SURAH AT-TALAQ : AYAT : 2-3

\"\"

HUKUM IDDAH DAN RUJUK SEMULA & ORANG BERTAQWA REZEKINYA LUAS- CERITA AYAT SERIBU DINAR.

Full video : https://youtu.be/G8eK6EFBx64

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan tentang hukum iddah iaitu seorang perempuan itu masih ada lagi kaitan dengan suaminya yang sudah melafakan talaq.
    Suami masih kena sediakan tempat tinggal, beri nafkah, masih boleh duduk serumah & seumpamanya seperti seorang isteri biasa.
  2. Apabila sudah hampir masa habis tempoh iddah maka buatlah pilihan yang tebaik.
    Iaitu samada:
    i- Dalam tempoh dua atau tiga bulan itu jika terasa masih ada kebaikan dan kasih sayang, ada keinsafan dan penyesalan maka boleh rujuk semula dengan cara baik juga, cari saksi untuk menjadi saksi atas kes itu.

ii- atau jika memang sudah tidak boleh undur atau rujuk kembali maka berpisahlah dengan cara yang baik, carilah saksi untuk mengesahkan perceraian tersebut.

  1. Allah s.w.t juga menyatakan bahawa orang bertaqwa kepada Allah s.w.t maka rezekinya luas serta akan datang pertolongan dari arah yang tidak disangka.

AYAT 2- {KEMUDIAN, APABILA MEREKA (HAMPIR) HABIS TEMPOH IDAHNYA, MAKA BOLEHLAH KAMU PEGANG MEREKA (RUJUK) DENGAN CARA YANG BAIK, ATAU LEPASKAN MEREKA DENGAN CARA YANG BAIK; DAN ADAKANLAH DUA ORANG SAKSI YANG ADIL DI ANTARA KAMU (SEMASA KAMU MERUJUKKAN ATAU MELEPASKANNYA); DAN HENDAKLAH KAMU (YANG MENJADI SAKSI) MENYEMPURNAKAN PERSAKSIAN ITU KERANA ALLAH SEMATA-MATA. DENGAN HUKUM-HUKUM YANG TERSEBUT DIBERI PERINGATAN DAN PENGAJARAN KEPADA SESIAPA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT; DAN SESIAPA YANG BERTAQWA KEPADA ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA), NESCAYA ALLAH AKAN MENGADAKAN BAGINYA JALAN KELUAR (DARI SEGALA PERKARA YANG MENYUSAHKANNYA),} (AT-TALAAQ 65:2)

  1. Allah ajar kepada kita apabila sudah habis tempohnya kamu lepaskan mereka dengan cara yang baik atau rujuk kembali dengan cara yang baik juga.
  2. Berpisah iaitu bercerailah dengan cara yang baik, sebagaimana kamu ambil anak perempuan orang itu dari ibu bapanya dengan cara yang rasmi dulu maka hantarkannya pulang juga dengan cara yang baik dan ikut Syari\’ah.
  3. Perpisahan terjadi kerana tiada keserasian dan kesesuaian; bukan kerana permusuhan dan kebencian.

Mungkin juga ada masalah lain seperti sihir, hasutan atau godaan orang ketiga. Inilah kerja utama syaitan memisahkan antara dua orang suami isteri.

  1. Allah bagi peluang sekali lagi untuk suami membuat pilihan dengan syarat semua hak si isteri itu telah dipenuhi, jaga hak & nafkahnya semasa dalam iddah.
  2. Jaga suhbah (persahabatan) dengan baik, jangan main-main dengan rujuk jika tiada niat untuk hidup bersama semula. Hanya niat untuk memudharat atau menyusahkan si wanita dengan memanjangkan iddahnya, maka itu adalah satu dosa.
  3. Selepas berpisah jangan saling mengeji dan mendedahkan keburukan kepada orang lain samada suami atau isteri. Hal rumahtangga kita tak perlu didedahkan kepada umum, jika ada hutang seperti mahar, nafkah dalam iddah lunas dan selesaikan.
  4. Begitu indah dan eloknya ajaran Islam, mulianya adab yang diajar Allah s.w.t untuk hamba-Nya. Islam mengajar dan memberi jalan penyelesaian jika rumahtangga sudah tidak dapat diselamatkan.
  5. Kemudian Allah s.w.t memberi arahan untuk mengadakan dua orang saksi yang adil jika mahu rujuk kembali atau mahu bercerai. Ini supaya orang tahu dan tidak menimbulkan masalah dan fitnah.
  6. Kata al-Qurtubi rhm.: Apakah faedah mengadakan saksi itu?
    Supaya nanti tidak ada ingkar-mengingkari atau tidak mengaku antara mereka berdua itu. Sekurang-kurangnya kita ada saksi yang boleh membantu menceritakan keadaan yang sebenar.
  7. Jika tidak ada saksi kamu tanyalah dan muhasabahlah diri kamu sendiri jangan sampai terjebak ke dalam perhubungan yang haram!
  8. Allah s.w.t juga berpesan kepada para saksi untuk menunaikan tanggung-jawab dengan amanah & benar apabila dituntut.
    Jangan tukar dan ubah persaksian, amanah & ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t!
  9. Persoalan: Sekarang ini banyak berlaku perceraian & rujuk tanpa saksi. Sah atau tidak perbuatan tersebut?
    Jawapan: Mengikut kitab Feqah:
    i- sepakat EMPAT MAZHAB mengatakan SUNAT dan elok untuk ada saksi ketika mahu rujuk.

ii- tentang wajibnya ada khilaf. Sunat supaya ada bukti & saksi apabila berlaku kes penafian atau pengakuan.

iii- dinukilkan dengan ijma\’ bahawa cerai tanpa saksi jatuh talaqnya, tetapi disunatkan ada SAKSI.
Ini kerana biasanya perceraian berlaku secara spontan dan ketika berkelahi, dikuasai oleh syaitan dan kemarahan.

  1. Jika ada masalah rumahtangga, terutama yang berkaitan dengan nikah, cerai & rujuk; sila rujuk kepada pegawai agama atau Qadhi, pejabat agama yang berdekatan.
    Bukan kepada ustaz-ustaz biasa, yang tiada kuasa dalam bab nikah cerai ini.

Maka para ustaz/ustazah juga tahanlah diri daripada memberi pendapat apatah lagi fatwa, suruhlah mereka rujuk kepada pejabat qadhi yang berhampiran, kerana disebaliknya ada perkara tersembunyi yang kita tidak tahu. Biarlah ia dikorek dan disiasat oleh hakim/qadhi apakah kes sebenar.

  1. Kerana itu kata ulama\’: Saksi dalam talaq bukan wajib tetapi ia adalah sesuatu yang amat dituntut dan sunat sebagai satu kebaikan untuk orang yang bercerai kerana akan ada saksi untuk menjelaskan kekeliruan.
  2. untuk kuliah tentang talaq yang detail boleh tengok kuliah DAAM dalam Kitab fiqh Manhaji J4, Bab Perkahwinan ini:
    https://youtu.be/qOsL7pli-aU
  3. Semua hukum yang Allah s.w.t nyatakan dan jelaskan ini, hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah & Hari Akhirat akan mengambil iktibar & pengajarannya.
    Mereka akan takut dan cuba mengikuti segala ajaran dan perintah Allah s.w.t!
  4. Di akhir ayat Allah s.w.t sebut: Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhkan larangan-Nya; nescaya Allah s.w.t akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya.
  5. Kenapa tiba-tiba ada kenyataan ini- sedangkan kita sedang membincangkan isu perceraian?

Kata ulama\’ ini kerana munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
Ini kerana ada punca perbalahan suami isteri sehingga bercerai adalah kerana suami terlalu bakhil dalam nafkah. Nafkah yang tidak cukup atau tidak diberi lansung.

ii- maka Allah s.w.t sebut dalam ayat ini jangan kamu takut sempit rezeki, jika kamu benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t; Allah s.w.t akan beri rezeki dan hilangkan masalah kamu.

Bagi suami isteri yang rumahtangga sedang bergolak dan retak menanti belah itu Allah s.w.t pesan supaya bertaqwa agar selesai masalah kamu. Ini kerana hilang taqwalah mereka jadi berbalah dan ada masalah.

Samada kerana nafkah yang tidak diberi atau perhubungan lain yang tidak baik. Maka Allah s.w.t perintahkan agar bertaqwa kepada Allah, hentikan perbuatan maksiat dan mungkar itu, kembali ke pangkal jalan, bertaubat kepada Allah.
Insya\’Allah, Allah s.w.t akan buka jalan-jalan kelepasan yang baik mengikut ilmu dan hikmah-Nya!

iii- kemudian datang ayat 3 selepas ini.

AYAT 3- {SERTA MEMBERINYA REZEKI DARI JALAN YANG TIDAK TERLINTAS DI HATINYA. DAN (INGATLAH), SESIAPA BERSERAH DIRI BULAT-BULAT KEPADA ALLAH, MAKA ALLAH CUKUPLAH BAGINYA (UNTUK MENOLONG DAN MENYELAMATKANNYA). SESUNGGUHNYA ALLAH TETAP MELAKUKAN SEGALA PERKARA YANG DIKEHENDAKINYA. ALLAH TELAHPUN MENENTUKAN KADAR DAN MASA BAGI BERLAKUNYA TIAP-TIAP SESUATU.} (AT-TALAAQ 65:3)

  1. Jika kamu bertaqwa, Allah s.w.t akan memberikan kamu rezeki yang tidak pernah terlintas dalam hati sebelum ini.
  2. Sesiapa yang berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t yang Esa, serahkanlah segala urusannya selepas berusaha; bulat-bulat kepada Allah s.w.t, maka cukuplah bagi Allah untuk menolong dan menyelamatkannya.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w:
    Dari Umar bin al-Khatab.r.a bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
    \”Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka keluar pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang hari dengan perut kenyang.\” [HR at-Tirmizi].
    Sesiapa yang bertawakkal Allah akan jaganya.
  4. Semua yang Allah s.w.t kehendaki pasti akan terjadi. Cepat atau bangat; sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.} (Al-Buruuj 85:16)
  5. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menentukan kadar & masa berlaku semua perkara mengikut ketetapan dan kehendak-Nya.
  6. Munasabah ayat:
    i- Bila Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas; sesiapa yang bertaqwa rezeki akan datang, sesiapa yang bertawakkal pertolongan Allah akan datang!

ii- Maka untuk menyekat manusia dari berfikir bahawa hanya dengan bertaqwa dan bertawakkal; rezeki dan pertolongan akan datang bergolek maka Allah s.w.t sekatnya dengan ayat ini:
{Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.}

Yakni semua benda ada waktu dan kadarnya, ia akan berlaku dengan kehendak dan ketentuan yang Allah s.w.t telah tetapkan!
Mungkin tidak sekarang tetapi ada tempoh dan masanya, ada yang segera ada yang tertangguh.

  1. PERHATIAN: Ayat ini terkenal dengan Ayat Seribu Dinar yang biasanya digantung untuk menarik rezeki atau pelaris kononnya.

Jangan salah guna; ayat ini untuk mendidik manusia supaya bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. Allah kata sesiapa yang takut kepada-Nya akan diberi rezeki dan jalan penyelesaian. Ayat al-Quran bukan hanya untuk digantung & dipamer, tetapi ayatnya mesti dibaca, difahami & dihayati.

  1. Kisah seribu dinar yang sebenarnya adalah sebuah kisah berkenaan dengan seorang yang ingin membayar hutang seperti yang termaktub dalam Sahih Bukhari:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ رَجُلًا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ سَأَلَ بَعْضَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يُسْلِفَهُ أَلْفَ دِينَارٍ فَقَالَ ائْتِنِي بِالشُّهَدَاءِ أُشْهِدُهُمْ فَقَالَ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا قَالَ فَأْتِنِي بِالْكَفِيلِ قَالَ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا قَالَ صَدَقْتَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَخَرَجَ فِي الْبَحْرِ فَقَضَى حَاجَتَهُ ثُمَّ الْتَمَسَ مَرْكَبًا يَرْكَبُهَا يَقْدَمُ عَلَيْهِ لِلْأَجَلِ الَّذِي أَجَّلَهُ فَلَمْ يَجِدْ مَرْكَبًا فَأَخَذَ خَشَبَةً فَنَقَرَهَا فَأَدْخَلَ فِيهَا أَلْفَ دِينَارٍ وَصَحِيفَةً مِنْهُ إِلَى صَاحِبِهِ ثُمَّ زَجَّجَ مَوْضِعَهَا ثُمَّ أَتَى بِهَا إِلَى الْبَحْرِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنِّي كُنْتُ تَسَلَّفْتُ فُلَانًا أَلْفَ دِينَارٍ فَسَأَلَنِي كَفِيلَا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ كَفِيلًا فَرَضِيَ بِكَ وَسَأَلَنِي شَهِيدًا فَقُلْتُ كَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا فَرَضِيَ بِكَ وَأَنِّي جَهَدْتُ أَنْ أَجِدَ مَرْكَبًا أَبْعَثُ إِلَيْهِ الَّذِي لَهُ فَلَمْ أَقْدِرْ وَإِنِّي أَسْتَوْدِعُكَهَا فَرَمَى بِهَا فِي الْبَحْرِ حَتَّى وَلَجَتْ فِيهِ ثُمَّ انْصَرَفَ وَهُوَ فِي ذَلِكَ يَلْتَمِسُ مَرْكَبًا يَخْرُجُ إِلَى بَلَدِهِ فَخَرَجَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ يَنْظُرُ لَعَلَّ مَرْكَبًا قَدْ جَاءَ بِمَالِهِ فَإِذَا بِالْخَشَبَةِ الَّتِي فِيهَا الْمَالُ فَأَخَذَهَا لِأَهْلِهِ حَطَبًا فَلَمَّا نَشَرَهَا وَجَدَ الْمَالَ وَالصَّحِيفَةَ ثُمَّ قَدِمَ الَّذِي كَانَ أَسْلَفَهُ فَأَتَى بِالْأَلْفِ دِينَارٍ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا زِلْتُ جَاهِدًا فِي طَلَبِ مَرْكَبٍ لِآتِيَكَ بِمَالِكَ فَمَا وَجَدْتُ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي أَتَيْتُ فِيهِ قَالَ هَلْ كُنْتَ بَعَثْتَ إِلَيَّ بِشَيْءٍ قَالَ أُخْبِرُكَ أَنِّي لَمْ أَجِدْ مَرْكَبًا قَبْلَ الَّذِي جِئْتُ فِيهِ قَالَ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ أَدَّى عَنْكَ الَّذِي بَعَثْتَ فِي الْخَشَبَةِ فَانْصَرِفْ بِالْأَلْفِ الدِّينَارِ رَاشِدًا

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Rasulullah S.A.W bahawa beliau pernah mengisahkan: bahawa terdapat seorang daripada Bani Israil yang meminjam wang seribu dinar kepada seorang Bani Israil.

Orang yang meminjamkan berkata, \”Datangkanlah saksi-saksi! Aku ingin mempersaksikan peminjaman ini kepada mereka.\” Peminjam berkata, \”Cukuplah Allah sebagai saksinya.\” Orang yang meminjamkan berkata lagi, \”Datangkanlah seorang penjamin.\” Peminjam berkata, \”Cukuplah Allah sebagai penjamin.\” Orang yang meminjamkan berkata, \”Kamu benar.\”

Kemudian dia memberikan wang itu dalam tempoh tertentu. Kemudian orang yang meminjam wang itu pergi ke laut untuk memenuhi hajatnya.

Dia pun mencari perahu untuk dinaikinya bagi menghantar wang pinjamannya yang sudah sampai tempoh pembayarannya. Namun dia tidak mendapatinya.

Kemudian dia mengambil kayu dan membuat lubang padanya. Lalu dia memasukkan ke dalamnya wang sebanyak seribu dinar bersama secarik tulisan yang ditujukan kepada pemilik wang. Kemudian dia melapisinya agar tidak terkena air. Lalu dia membawa kayu tersebut ke laut.
Dia berkata, \”Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku telah meminjam wang seribu dinar kepada si fulan. Dia meminta penjamin daripadaku, kemudian aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai penjamin, dan dia pun rela. Dia memintaku mendatangkan saksi, lalu aku katakan bahawa cukuplah Allah sebagai saksi, dan dia pun rela.

Sesungguhnya aku telah berusaha untuk mendapatkan perahu yang akan aku gunakan untuk menghantarkan wangku kepadanya, namun aku tidak mendapatkannya. Kini, kutitipkan wang itu kepada-Mu.\”

Kemudian dia melemparkan kayu itu hingga tenggelam. Dia pun pergi. Walaupun demikian, dia tetap berusaha mencari perahu yang menuju ke negerinya.

Orang yang meminjamkan wang pergi untuk menanti, barangkali ada perahu datang membawa piutangnya. Tiba-tiba dia menemui kayu yang berisi wang itu. Dia membawanya pulang sebagai kayu api untuk isterinya. Apabila dia membelahnya, dia menemui sejumlah wang dan secarik tulisan pesanan.

Sementara itu, si peminjam pun datang membawa seribu dinar. Dia berkata, \”Demi Allah, sebelum aku datang sekarang, aku sentiasa berusaha untuk mencari perahu bagi menghantarkan wangmu kepadamu, namun aku tidak mendapat satu perahu pun sebelum aku tiba dengan menaiki perahu yang aku tumpangi ini.\”

Orang yang meminjamkan berkata, \”Apakah kamu mengirimkan sesuatu kepadaku?\”
Peminjam berkata, \”Aku telah sampaikan kepadamu bahawa aku tidak menemukan perahu, sebelum aku mendapatkannya sekarang ini?\”
Orang yang meminjamkan berkata, \”Sesungguhnya Allah telah menghantarkan pinjamanmu yang kau letak dalam kayu. Maka gunakanlah wangmu yang seribu dinar itu dengan baik, maka bawalah kembali seribu dinarmu itu.\” [HR al-Bukhari (2291)].

Kisah ini menunjukkan bahawa seorang yang bertaqwa akan berusaha sedaya upaya membayar hutangnya apabila tiba tempoh yang dijanjikan.
Dia juga setelah berusaha cara biasa untuk mengirim duit itu akhirnya bertawakkal kepada Allah untuk menyampaikan duit kirimannya kepada si pemiutang dengan melemparnya ke dalam laut.

  1. Setiap perkara ada taqdir Allah, iaitu ada tempoh dan kadarnya kita jangan gopoh dan hendaklah bersabar!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 2- {Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik;}- Ini adalah arahan Allah s.w.t, agar jangan khianat kepada sesama manusia apatah lagi bekas pasangan kita.
    Allah s.w.t bagi dua pilihan bagi para suami apabila sudah hampir habis tempoh iddahnya, samada mahu rujuk kembali dengan cara baik atau lepaskan mereka (bercerai) terus dengan cara baik juga.

Ada setengah lelaki berniat buruk kepada isterinya; apabila hendak habis tempoh iddah dirujuknya semula sehingga beberapa kali, semata-mata untuk memanjangkan tempoh iddah wanita itu! Ini adalah perbuatan zalim yang tiada hak untuk dia berbuat begitu!

Wanita bekas isteri kamu itu bukan mainan atau tempat kamu membalas dendam, bertaqwalah kepada Allah s.w.t- jangan berlaku zalim dan tidak menjalankan tanggung-jawab.

Mana-mana wanita yang ditinggalkan suami, digantung tidak kembali boleh menuntut fasakh (cerai) di mahkamah, ada undang-undang yang membolehkannya. Ketahuilah hak anda.

  1. Ayat 2- {dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); ayat ini menjadi dalil, sunat kena ada saksi untuk bercerai dan juga untuk rujuk kembali, supaya senang di kemudian hari, tidak menimbulkan masalah dan perbalahan.

Semua ulama\’ empat mazahab kata SUNAT yang digalakkan untuk membawa saksi jika ada penafian atau tidak mengaku.

  1. Ayat 2- {dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.}- apakah maksudnya saksi yang adil ini (ذَوَىْ عَدْلٍۢ)?

Jawapan:
Setiap zaman ada keadilannya mengikut kategori dan uruf (adab) pada lzamannya. Yang pentingnyna bukan orang pembohong, penipu, seorang amanah dalam persaksiannya.

Contoh: Dalam kitab Fathul-Qarib: Ada satu zaman orang yang berjalan di pasar-pasar tidak tutup kepala (pakai kofiyyah atau serban), maka dia tidak boleh menjadi saksi. Orang yang tidak pakai pada masa itu ialah orang yang kena ta\’zir- kena hukum jenayah.

  1. Ayat 2- {Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat;]- inilah nasihat Allah s.w.t, orang yang dengar nasihat dan arahan inilah orang beriman kepada Allah s.w.t.

Yakni tanda orang yang baik dan beriman ialah patuh dan taat kepada perintah dan nasihat Allah s.w.t semata-mata.
Meninggalkan maksiat dan semua larangan Allah s.w.t serta melaksanakan perintah-Nya.

  1. Ayat 2- {dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),}-

Maka Allah akan


Ayat 3- {Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)- kaitan dua ayat ini rapat, Allah kata siapa bertaqwa Allah akan beri rezekinya; serta ayat yang ketiga sesiapa yang bertawakkal akan dibuka masalahnya.

Ayat ini pula Allah bawa dalam surah at-Talaq selepas menceritakan tentang perceraian, apakah hikmahnya?

Ulama\’ kata ini kerana para wanita biasanya berasa sedih dan terkapai-kapai, tidak tahu arah samada dalam rezeki atau tempat pergantungan rezeki selepas kehilangan suami. Mereka mungkin tiada pekerjaan dan tidak tahu hendak berniaga, mencari nafkah sendiri sebelum ini.

Jadi datangnya ayat ini kerana untuk menguatkan semangat dan memberi dorongan kepada para isteri dan ibu tunggal yang samada kematian atau berpisah dengan suami mereka untuk bertaqwa dan tawakkal kepada Allah.

Maka jangan takut dengan apa yang terjadi, musibah yang menimpa, Allah s.w.t akan buka jalan dan pintu rezeki, dan tunjuk jalan-jalan untuk keluar dari masalah dan kesempitan hidupnya bagi yang bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah.

Powered by BetterDocs