View Categories

SURAH AT-TIN : AYAT 1-8

\"\"

MUQADDIMAH INTISARI SURAH, ALLAH BERSUMPAH DENGAN BUAH TIN, ZAITUN, TURSINA DAN MAKKAH & ELOK KEJADIAN MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/ScHkfxq9fGs?si=4AG5Us_T_NrAATX0

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Jumaat 10 Muharram 1445H bersamaan 28hb Julai 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Tin – سورة التين.
  2. Surah At-Tin- سورة التين adalah surah ke-95 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kelapan-belas dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Surah Asy-Syarh – سورة الشرح. Mengandungi 8 ayat yang pendek.
  3. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah At-Tin – سورة التين yang bermakna {Buah Tin} kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah dengan buah tin dan zaitun, dengan bukit Tur Sina dan negeri Makkah yang aman; iaitu tentang bagaimana Dia mencipta manusia dalam bentuk dan keadaan sebaik-baiknya!
  2. Surah ini tidak ada & tidak dikenali dengan nama lain selain ini.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan perihal manusia dan menegaskan bahawa Allah s.w.t menciptaknnya dengan sebaik cara kejadian makhluk serta lengkap dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Sebagai orang yang berakal yang dicipta di muka bumi ini.
  2. Kemudian dinyatakan jika manusia panjang umur dalam tua atau dia menyalah-gunakan kelengkapan itu seperti untuk maksiat; Allah akan merendahkan darjatnya ke serendah-rendah peringkat.
    Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.
  3. Yakni orang beriman jika semasa mudanya tetap mengerjakan amalan soleh, maka apabila dia tua nyanyuk- lemah tidak dapat melakukan amal seperti muda dan kuatnya dulu; maka Allah perintahkan malaikat untuk menulis apahala amalan seperti yang dia kerjakan dulu sekalipun dia tidak melakukannya lagi sekarang!

Inilah pahala pencen- ikut gred amalan kita dulu, jika sempurna dan elok amalan maka elok & banyaklah juga pahala pencen kita, Insya\’ Allah!

  1. Kemudian Allah s.w.t menujukan amaran-Nya kepada manusia yang ingkar; jika demikianlah kekuasaan-Ku; maka apa yang menyebabkan engkau menjadi seorang pendusta, bercakap tidak benar tentang hari Kiamat, hari Pembalasan.
    Sesudah ternyata dalil-dalil yang mebuktikan kekuasaan-Ku untuk mengadakan hari tersebut???

Ayat 8- {Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?}- jawabnya- bahkan kita menyaksikannya bahawa Allah adalah sebaik & seadil Hakim!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya ialah untuk mengisbatkan3 perkara; tauhid keesaan Allah s.w.t, kenabian Rasulullah s.a.w serta tentang kebangkitan semula pada hari Kiamat.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk-Nya untuk menyatakan Dia telah mencipta manusia dengan sebaik-baik penciptaan kejadian.
  2. Manusia akan jatuh serendah-rendah kedudukan jika dia kufur kepada Allah s.w.t walaupun di dunia ini seorang jutawan dan ternama!
  3. Allah s.w.t memuliakan orang mukmin dengan menyediakan pahala-pahala yang banyak!
    Yang diberikan kepada orang yang beriman.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan ini.
  4. Allah tegaskan di sini bahawa Dia adalah sebaik-baik Penghukum yang menyediakan peraturan & balasan.

MUNASABAH SURAH AT-TIN – سورة التين DENGAN SURAH ASY-SYARH – سورة الشرح SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Asy-Syarh – سورة الشرح:

  1. Dalam surah Asy-Syarh, Allah menyebut manusia yang paling sempurna kedudukan & akhlaknya, dialah manusia yang terbaik atas dunia ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

ii- dalam surah ini Allah s.w.t menyebut manusia secara umum, bahawa Allah telah menciptanya dalam bentuk yang cantik, sempurna & comel-llotey!

iii- Tetapi ada di kalangan mereka yang memilih jalan yang salah, maka mereka akan mendapat tempat yang hina disisi Allah s.w.t atau-

iv- mereka akan dilanjutkan usia sehingga ke umur nyanyuk yang tidak tahu apa seperti bayi.

Kita berdoa dan minta berlindung dengan Allah dari dua-dua perkara yang membawa kehinaan ini!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {DEMI BUAH TIN DAN ZAITUN,} (AT-TIN 95:1)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah dengan 4 perkara iaitu:
    buah tin dan buah zaitun, dengan bukit Tur Sina dan negeri Makkah yang aman.
  2. Apabila disebut buah tin dan zaitun; ayat ini sebagai isyarat kepada kemuliaan bumi suci iaitu Palestine. Kerana inilah tempat utama tumbuhnya tin & zaitun.

Buah tin & zaitun yang terbaik adalah yang tumbuh di Bumi Syam yang diberkati dan lebih berkat daripada Bumi yang lain.

Sebagaimana buah tamar yang terbaik dan diberkati ialah yang tumbuh asli di bumi Madinah. Tidak perlu yang mahala-mahal!

  1. Bumi Syam juga di Baitul-Maqdis ialah tempat kelahiran & kebangkitan Nabi Isa a.s. Ia juga menjadi tempat turunnya kembali Nabi Isa iaitu di Manaratul-Baidha\’, Damsyik.
  2. Ada juga ulama\’ yang kata Allah s.w.t bersumpah dengan bumi Palestin/Syam itu sendiri; iaitu tempat tumbuhnya buah tin & zaitun!
    Tidak jadi masalah yang penting sekitar itulah.

AYAT 2- {DAN GUNUNG TURSINA,} (AT-TIN 95:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t bersumpah dengan Bukit Tur Sina di Mesir.
  2. Ini adalah tempat Allah s.w.t berkata-kata dengan Nabi Musa a.s sebagaimana Allah ceritakan dalam firman-Nya ini:
    {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.} (Maryam 19:52)

AYAT 3- {SERTA NEGERI (MAKKAH) YANG AMAN INI,} (AT-TIN 95:3)

  1. Yang keempat Allah bersumpah dengan bumi yang aman ini iaitu Makkah.
    Sesiapa yang masuk bumi Makkah akan aman walaupun orang kafir asalnya.
  2. Orang kafir pun dulu jika nak bunuh orang mereka akan bawa keluar ke tanah halal dulu. Yang malangnya orang Islam hari ini tak kenal kemuliaan bumi Makkah, bawa rokok yang haram gi buat maksiat masuk ke Makkah!
  3. Kerana itu ulama\’ Salaf seperti Ibnu Abbas r.a di akhir usianya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w; tidak duduk di Makkah tetapi tiggal di Taif, hanya apabila rindukan Ka\’bah baru turun ke Makkah.
    Ini kerana katanya negeri yg besar pahalanya, sudah pasti dosanya pun besar juga.

Kita hari ini nak duduk lama di Makkah tetapi SOP Tanah Haram tak jaga!

  1. Firman Allah s.w.t tentang Makkah yang aman ini lagi:
    i- {Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.} (Aali-\’Imran 3:97)

ii- {Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh) ? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?} (Al-\’Ankabuut 29:67)

  1. Untuk bacaan & maklumat lebih lanjut tentang sejarah Makkah, keamanan serta berkatnya yang berkait rapat dengan Kaabah dan sumber Air Zamzam, sebagai tempat kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w dan lain-lain, boleh baca dalam buku Makkah: Kelebihan & Sejarah.
    https://dartaibah.com/?page_id=179…

dan kembarnya:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

AYAT 4- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTAKAN MANUSIA DALAM BENTUK YANG SEBAIK-BAIKNYA (DAN BERKELENGKAPAN SESUAI DENGAN KEADAANNYA).} (AT-TIN 95:4)

  1. Setelah empt kali Allah bersumpah- dinyatakan tentang bagaimana Dia mencipta manusia dalam bentuk sebaik-baiknya dan keadaan yang sesuai dengan keperluannya.
  2. Mereka juga dicipta atas landasan fitrah yang suci, mengesakan Allah s.w.t!
    Kemudian ibu bapa & pendidikan merekalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak samada menjadi yahudi atau sekular atau orang yang beriman & bertaqwa kepada Allah.

AYAT 5- {KEMUDIAN (JIKA IA PANJANG UMUR SEHINGGA TUA ATAU MENYALAHGUNAKAN KELENGKAPAN ITU), KAMI KEMBALIKAN DIA KE SERENDAH-RENDAH PERINGKAT ORANG-ORANG YANG RENDAH,} (AT-TIN 95:5)

  1. Kemudian apabila mereka sampai kepada peringkat ini iaitu samada:
    i- sampai kepada umur tua yang membawa kepada nyanyuk hilang kewarasan atau;
    ii- atau dia salah guna kelengkapan (anggota) badan yang diberi ini dengan melakukan dosa kemungkaran atau maksiat, berbuat derhaka kepada Allah Azza wa Jalla.
  2. Maka Allah s.w.t akan jatuhkan kedudukannya ke dalam peringkat tahap yang yang paling rendah serendah-rendahnya dan hina di sisi Allah walaupun mungkin di mata manusia dia berkedudukan tinggi & mulia!
  3. Di akhirat kelak selepas kematiannya pula dia akan dijatuhkan ke dalam neraka sekiramya dia tidak taat kepada Allah & ikut sajaran Rasulullah s.a.w!

Ada pendapat ketiga yang mengatakan: orang itu akan sesat apabila dia tidak ikut petunjuk & ajaran Allah & Rasulullah s.a.w.

  1. Ada orang yang nyanyuk mengulangi perbuatan kebiasaanya pada zaman muda:
    i- jika amalannya baik maka bersyukurlah- ada yang sentiasa nak solat bertakbir, mulut sentiasa berzikir menyebut nama Allah walaupun tidak jelas dan lemah!

ii- jika perangainya buruk suka memaki dan marah-marah, itulah yang juga akan diratibnya apabila nyanyuk walaupun tiada sebab- kita minta perlindungan Allah dari sifat ini!

AYAT 6- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MAKA MEREKA BEROLEH PAHALA YANG TIDAK PUTUS-PUTUS.} (AT-TIN 95:6)

  1. Kecuali golongan ini yang tidak akan dicampak ke lembah yang hina & rendah itu dan akan mendapat pahala yang tidak akan terputus!
  2. Iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh.
  3. Munasabah ayat ini: Setelah Allah s.w.t nyatakan bahawa manusia akan dijatuhkan serendah-rendah tempat;

ii- maka Allah nyatakan kecuali dua golongan ini yang akan selamat dari kehinaan itu iaitu: mereka yang beriman dengan keimanan yang mantap dan beramal soleh.
Mereka tidak akan dicampak ke dalam neraka & bagi mereka pahala yang tidak putus-putus!

  1. Yakni orang beriman jika semasa mudanya tetap mengerjakan amal-amal soleh, maka apabila dia tua nyanyuk- lemah tidak dapat melakukan amal seperti muda dan kuatnya dulu; maka Allah perintahkan malaikat untuk menulis pahala amalan seperti yang dia kerjakan dulu sekalipun dia tidak melakukannya lagi sekarang pada masa tuanya!
  2. Terdapat hadis yang mengatakan apabila seseorang manusia yang mengerjakan amal soleh pada masa hidupnya, apabila dia mati maka Allah perintahkan malaikat yang menulis pahala amalannya semasa hidup dulu untuk duduk dekat kuburnya, menulis amal kebajikannya sehingga ke hari Kiamat!
    [Nota Tafsir Pimpinan Ar-Rahman]
  3. Maka bersungguhlah kita mengerjakan amal bakti sebelum tiba waktu kita tidak dapat lagi mengerjakannya!

AYAT 7- {(JIKA DEMIKIAN KEKUASAANKU), MAKA APA PULA YANG MENJADIKAN ENGKAU SEORANG PENDUSTA, (BERKATA TIDAK BENAR) MENGENAI HARI PEMBALASAN, SESUDAH (TERNYATA DALIL-DALIL YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAANKU MENGADAKAN HARI PEMBALASAN) ITU?} (AT-TIN 95:7)

  1. Allah s.w.t berkuasa untuk menjatuhkan & menghina manusia- maka apa yang menyebabkan kamu manusia berani untuk mendustakan hari Kiamat?
  2. Sedangkan sudah jelas dalil-dalil & amaran dari Allah s.w.t tentang hari Kebangkitan Semula, hisab pengadilan & Hari Pembalasan yang akan berlaku!
    Maka kamu mahu ragu & syak untuk apa lagi????

AYAT 8- {BUKANKAH ALLAH (YANG DEMIKIAN KEKUASAANNYA) SEADIL-ADIL HAKIM?} (AT-TIN 95:8)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Adil seadil-adilnya!
  2. Munasabah ayat:
    i-Jika orang yang zalim & salah kita tidak ambil tindakan- orang yang baik kita tidak beri balasan; itu maknanya itu tidak adil. Yang adilnya ialah orang yang baik diberi ganjaran yang salah diberi hukuman!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t tanya;
Bukankah Allah s.w.t itu (أَلَيْسَ ٱللَّهُ) yang maha Adil dalam ketentuan & pemutus hukuman-Nya.
Jadi kita menjawabnya dengan mengatakan bahkan (بلى) bukan jawab dengan ya (نعم).
Akan jadi nafi semula jika jawab Ya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi buah Tin dan Zaitun,} & Ayat 2- {Dan Gunung Tursina,} & Ayat 3- {Serta negeri (Makkah) yang aman ini,}-

Allah bersumpah dengan 4 perkara ini iaitu demi buah tin, zaitun, bukit Tur Sina dan negeri Makkah yang aman.

Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu menunjukkan bahawa makhluk itu penting untuk kita ambil perhatian, kenali & pelajari.

Ada ulama\’ kata buah tin & zaitun ini merujuk kepada bumi yang suci iaitu Palestin, bukit Tur Sina tempat Nabi Musa a,s dan Makkah Tanah Haram tempat nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Palestin juga tempat asal Nabi Ibrahim a.s, dan anak cucunya sehingga lahir Nabi Musa yang kemudiannya berhijrah ke Mesir & Nabi kita Muhammad s.a.w di Makkah.

Ini menunjukkan di muka bumi ada beberapa tempat yang Allah muliakannya, sebab orang tinggal di situ adalah orang yang mulia:
i- Palestin & bumi Syam- bermula dengan nabi Ibrahim a.s & anak cucunya yang mulia, Ishaq, Ya\’kub sehingga kepada Nabi Musa a.s. Ia juga tenpat kelahiran Nabi Isa a.s.

ii- Bukit Tur Sina- tempat munajat Nabi Musa a.s

iii- Makkah tempat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, tempat Baginda menerima wahyu & tersebar dari agama Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Dalam ayat al-Quran apabila Allah s.w.t menyebut beberapa nama secara susunan ia mahu menceritakan tertib susunan seperti sae\’i antara Safa & Marwah.

Tetapi dalam ayat ini tidak menunjukkan yang disebut pertama lebih afdhal dari yang datang kemudian – iaitu antara tin & zaitun.
Ini kerana menurut kajian buah zaitun mempunyai banyak khasiat & kelebihannnya.

  1. Ayat 1- {Demi buah Tin dan Zaitun,}- Ayat 2- {Dan Gunung Tursina,}
    Ayat 3- {Serta negeri (Makkah) yang aman ini,}-
    Allah s.w.t bersumpah dengan buah tin & zaitun ini menunjukkan kepada sifat ilahiyyah.

Dua jenis buah ini sangat besar manfaatnya kepada manusia.

Kemudian Allah bersumpah dengan nama dua tempat yang mulia.

Adakalanya Allah s.w.t dipermulaan surah- menyebut nama tempat untuk menunjukkan kepada kemasyhuran agama yang tersebar di tempat itu- yakni bermula di situ.

Maka yang pertama di Palestin, betapa ramai para rasul yang duduk di situ, kemudian nabi Musa a.s di Mesir dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w di Makkah.

Agama dalam dunia ini yang dikenali ialah agama yahudi, Nasrani & agama Islam Nabi Muhammad s.a.w. Inilah ikut turutan tuanya.

  1. Ayat 4- {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).}- selepas bersumpah dengan 4 makhluk-Nya, Allah beritahu bahawa sebaik makhluk yang dicipta ialah manusia.

Ia menjadi satu perbahasan ulama\’; siapakah yang lebih mulia antara manusia & malaikat? Tetapi dalam ayat ini kata manusia.
Sebab apa?

Jika nak kira malaikat lebih baik kerana ia tidak pernah derhaka kepada Allah!
Tetapi manusia ada nafsu dan akal, jadi siapa yang menggunakan akal ketika bertembung nafsu; itulah yang menjadi yang terbaik!

Yakni walaupun ada nafsu tetapi tak derhaka- maka tinggi darjatnya.
Malaikat pula memang dicipta tak ada nafsu jadi tak peliklah dia tak derhaka.

Manusia ini dicipta atas fitrah sukakan kebaikan cuma yang terpesong itu kerana tidak jumpa hidayah dari Allah dan jalan petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w

  1. Ayat 5- {Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,}- kata ulama\’ ayat ini menunjukkan fadhila orang yang panjang umur dalam Islam.

Hadis- Rasulullah s.a.w ditanya siapakah manusia yang terbaik? Lalu sabda Rasulullah s.a.w:
\”Manusia terbaik adalah orang yang berusia panjang dan amalnya baik.\” [HR at-Tirmizi & Ahmad].

Ya Allah jadikan kita orang yang panjang umur dalam kebaikan.

Jika tidak, baik mati awal tidak menambahkan dosa di akhirat kelak!

Orang yang tua dalam Islam Allah akan tulis pahalanya yang banyak, tidak putus-putus pahala dari Allah s.w.t seiring dengan amalannya masa muda dulu!

Orang beriman dan beramal soleh akan menerima pembalasan yang setimpal dengan tanggungjawab yang dilaksanakan.

Persoalan: Kenapa dalam surah al-Asr Allah s.w.t sebut semua manusia dalam kerugian kecuali mereka yang:
i- beriman
ii- beramal soleh
iii- berpesan (berdakwah) dengan sabar &
iv- berpesan dengan kebenaran.

Tetapi dalam surah ini Allah sebut manusia akan dicampak serendah tempat jatuh kecuali mereka yang:
i- beriman &
ii- beramal soleh;
tetapi tidak ada yang dua lagi itu!

JAWAPAN :

KATA ULAMA\’ TADABBUR :

i- dalam surah al-Asr { إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ} sesungguhnya manusia yang dikehendaki adalah lebih umum- semua manusia keseluruhannya, yang miskin atau kaya, yang muda kuat gagah perkasa, yang alim atau jahil semuanya rugi kecuali yang 4 kategori ini; beriman, beramal soleh, berpesan (berdakwah) dengan sabar & berpesan dengan kebenaran.

ii- tetapi dalam surah at-Tin ini Allah s.w.t kata: Kami akan kembalikan mereka { ثُمَّ رَدَدْنَـٰهُ} dengan makna orang yang umurnya sudah tua.

Maka bagi orang tua ini cukuplah untuk beriman & beramal soleh.
Tetapi dari sudut berdakwah dia sudah tidak larat lagi!

Masya\’ Allah banyaknya ilmu tadabbur tentang al-Quran ini, ia begitu mendalam & tepat, jika kita korek makin nampak kesempurnaan ajaran dan arahannya!

Jika kita sudah tua tak mampu untuk keluar, tetapi ingat tugas dakwah masih boleh diteruskan kepada ahli keluarga dalam rumah kita sendiri, masih boleh tegur dan nasihat anak cucu dan orang dekat sekeliling.

Jangan tingalkan atau biarkannya terus jika masih mampu menegur & memberi nasihat!

  1. Ayat 8- {Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?}- semua perkara yang diputuskan oleh Allah s.w.t adalah paling indah kerana ia penuh dengan hikmah & rahmat dan kebijaksaan Allah s.w.t.

Kita kena yakin & percaya semua Syariat undang-undang Allah s.w.t adalah adil dan penuh hikmah, ayat ini mengandungi satu ajaran tauhid yang cukup besar.

Boleh baca buku terjemahan AAM iaitu \”Keindahan Islam\” yang amat disyorkan untuk dibaca bagi mengetahui rahsia & hikmah di sebalik segala ajaran & hukum Islam yang dibawa:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Apabila kita tahu apa rahsia disebalik semua ini barulah kita sedar bahawa Islam itu indah.

Kembali kepada fitrah kita kaji balik agama Islam yang kita terima ini untuk membuka kefahaman lalu memantapkan keimanan kita!

Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.

Powered by BetterDocs