View Categories

SURAH AT-TORIQ : AYAT 1-10

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & ALLAH BERSUMPAH SETIAP DIRI PENJAGA DAN AKAN DIBANGKIT SEMULA.

Full video : https://youtu.be/EIY4z9rYcQY?si=LqR1-KQg-uuLK13K

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Sabtu 07 Zulqa\’dah 1444H bersamaan 27hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Toriq – سورة الطارق.
  2. Surah At-Toriq – سورة الطارق adalah surah ke-86 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kesembilan dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Buruj – سورة البروج.
    Mengandungi 17 ayat yang pendek.
  3. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  4. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah At-Toriq- سورة الطارق yang bermakna {Nama Bintang } kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah dengan langit & dengan bintang yang demikian sifatnya iaitu at-Toriq bahawa tiada satu diri pun kecuali baginya ada malaikat yang menjaga keadaannya & akan menyimpan peringatan segala bawaaan amalannya.
  2. Surah ini juga dikenali dengan nama lain seperti:
    i- dengan ayat pertamanya {وَٱلسَّمَآءِ وَٱلطَّارِقِ}

Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Bin Samurah r.a, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَليه وسَلم كَانَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ بِـالسَّمَاءِ وَالطَّارِقِ والسَّمَاءِ ذَاتِ الْبُرُوجِ وَنَحْوِهِمَا مِنَ السُّوَرِ

Maksudnya :\”Sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca di dalam solat Zohor dan Asar surah السماء والطارق dan السماء ذات البروج
atau mana-mana surah yang serupa dengan kedua surah tersebut.\” [HR At-Tirmizi (307) & Abu Daud (782)].

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menegaskan bahawa manusia sentiasa dijaga & diawasi oleh malaikat yang ditugaskan mencatat segala amalannya yang baik atau yang buruk!
  2. Setelah mengetahui hakikat yang sedemikian; maka wajiblah manusia memikirkan asal kejadiannya & kekuasaan yang menciptakannya serta apa faedahnya catatan malaikat itu!
  3. Ini kerana semua itu akan menambahkan imannya, melakukan suruhan Allah mendorongnya untuk dan menjauhkan diri dari larangan Allah s.w.t!
  4. Kemudian diterangkan hari akhirat yang didedahkan pada segalanya yang terpendam {يَوْمَ تُبْلَى ٱلسَّرَآئِرُ}
    dalam hati samada dari iktiqad, niat atau kepercayaan.
    Pada hari itu tiada sebarang kekuatan untuk manusia membela diri & tiada penolong yang dapat memberi pertolongan.
  5. Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa keterangan al-Quran adalah kata-kata pemutus yang benar & bahawa setiap perancangan jahat kaum kafir terhadap Rasulullah s.a.w maka Allah tetap akan mengagalkannya & membalasanya.
    Jangan juga kamu gopoh untuk membalas kejahatan kafir itu sabarlah sehingga tiba masanya yang ditetapkan Allah s.w.t!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menegakkan dalil kekuasaan Allah s.w.t & bahawa al-Quran itu datang dari Allah Azza wa Jalla.
  2. Akhir kesudahan bagi orang bertaqwa ialah mendapat kemenangan!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t bersumpah bahawa setiap manusia ini ada malaikat yang menjaganya; jaga dari benda tak baik, mencatat amalan baik atau buruk semuanya!
  2. Menegakkan dalil bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati untuk Kebangkitan.
  3. Untuk menyatakan kedudukan al-Quran yang tinggi dan benarnya apa yang disebut dalam al-Quran bahawa manusia akan dibangkitkan semula & menetapkan bahawa al-Quran itu datang dari Allah Azza wa Jalla.
  4. Untuk memberi amaran kepada puak kafir, siapa yang menentang dia akan binasa.
    Serta menetapkan hati & keyakinan Rasulullah s.a.w bahawa kemenagan itu akan berpihak kepada umat Islam.

MUNASABAH SURAH AT-TORIQ- سورة الطارق DENGAN SURAH AL-BURUJ- سورة البروج SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Buruj – سورة البروج :

  1. Persamaan dalam permulaan surah keduanya Allah s.w.t bersumpah dengan langit sama juga seperti surah al-Infitar & at-Takwir.
  2. Isi kandungannnya juga dekat; semuanya membincangkan tentang kebangkitan semula dan manusia akan kembali bertemu dengan Allah s.w.t.
    Juga menyebut sifat al-Quran untuk menolak tuduhan jahat puak kafir yang mendustakan kebangkitan semula & tidak percaya kepada al-Quran.

i- dalam surah al-Buruj Allah berfirman:
{إِنَّهُۥ هُوَ يُبْدِئُ وَيُعِيدُ}-
{Sesungguhnya Dia lah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).}.

ii- manakala dalam at-Toriq ini Allah kata
{إِنَّهُۥ عَلَىٰ رَجْعِهِۦ لَقَادِرٌ}-
{Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),}.

  1. Persamaan pada akhir surah:
    i- dalam surah al-Buruj Allah berfirman:
    { . بَلْ هُوَ قُرْءَانٌۭ مَّجِيدٌۭ فِى لَوْحٍۢ مَّحْفُوظٍۭ}-
    {Bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.}.

ii- manakala dalam at-Toriq ini Allah kata
{ إِنَّهُۥ لَقَوْلٌۭ فَصْلٌ}-
{Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar),}.

  1. Kelebihan surah ini sebagaimana hadis Jabir r.a di atas tadi bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa menbacanya dalam solat zohor bersama surah-surah lain juga.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

AYAT 1- {DEMI LANGIT DAN \”AT-TAARIQ\”;} (AT-TAARIQ 86:1)

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan langit & dengan bintang at-Toriq yang muncul pada waktu malam!

AYAT 2- {DAN APA JALANNYA ENGKAU DAPAT MENGETAHUI APA DIA \”AT-TAARIQ\” ITU?} (AT-TAARIQ 86:2)

  1. Kemudian Allah s.w.t tanya: Apakah yang kamu tahu (wahai Muhammad s.a.w) tentang at-Toriq yang Aku bersumpah dengannya ini?

AYAT 3- {(AT-TAARIQ) IALAH BINTANG YANG MENEMBUSI (SINARAN CAHAYANYA);} (AT-TAARIQ 86:3)

  1. At-Toriq ini ialah sebiji bintang yang menembusi sinaran cahayanya.
  2. Terdapat beberapa pandangan ulama\’ tentang makna bintang ini:
    i- kata ulama\’ tafsir: Yang bercahaya & bersinar. Cahayanya dapat menembusi kegelapan malam & dapat dilihat!

ii- Kata al-Farra\’, seorang ulama\’ lughah; erti {ٱلثَّاقِبُ} ialah bintang Zuhal, ia juga terletak lebih tinggi daripada bintang-bintang lain!

iii- Kata Atho\’ pula: {ٱلثَّاقِبُ} ialah bintang yang dilontar syaitan dengannya.
Wallahu a\’lam.

  1. Apa yang kita mahu ialah apa yang datang dalam ayat seterusnya, iaitu Allah bersumpah dengan bintang ini kerana apa.

AYAT 4- {TIADA SESUATU DIRI JUAPUN MELAINKAN ADA MALAIKAT YANG MENJAGA (KEADAANNYA SERTA MENYIMPAN CATITAN MENGENAI SEGALA BAWAANNYA).} (AT-TAARIQ 86:4)

  1. Sesungguhnya setiap manusia itu ada malaikat yang menjaganya.
    Jaga keadaannya & keselamatannya dari bahaya dan makhluk lain seperti dari dimasuki semut. Lipas, lalat dan seumpamanya dalam tidur kita.
  2. Juga menjaganya dengan maksudnya mengawas & memantau dengan mencatat segala amal perbuatannya di dunia ini.
  3. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu,
    (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu);
    Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.} (Al-Infitaar 82:12).

Yakni Malaikat catat untuk kes yang ada kepentingan untuk pendakwaan; yakni yang ada dosa & pahala!
Bukan semua yang kita buat seperti tidur diam dan lain-lain.

AYAT 5- {(SETELAH MENGETAHUI YANG DEMIKIAN), MAKA HENDAKLAH MANUSIA MEMIKIRKAN: DARI APA IA DICIPTAKAN.} (AT-TAARIQ 86:5)

  1. Setelah kita tahu ada malaikat menjaga kita; maka hendaklah manusia memikirkan daripada apa dia dijadikan!
  2. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Yakni setelah diketahui bahawa bagi setiap diri manusia ada malaikat yang mengambil tahu mencatat segala bawaan hidupnya, maka;

ii- Wajiblah atas seseorang memikirkan asal kejadiannya dan kekuasaan Allah s.w.t yang menciptanya, serta faedahnya catatan malaikat itu!

Ini supaya dia percaya dengan yakin bahawa Allah yang berkuasa menjadikan manusia itu pasti akan berkuasa juga untuk menghidupkan semula manusia- untuk menerima balasannya mengikut apa yang tercatat dalam surat catatan malaikat itu!

Maka dengan kepercayaan itu, tentu dia berusaha membersihkan surat amalannya dari segala yang buruk & memenuhinya dengan segala amal soleh!

SEBAGAIMANA YANG SELALU DIUCAPKAN AAM :

Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah s.w.t nanti;
Kitalah sendiri penulisnya!

Kita akan dipersoalkan atas segala percakapan, perbuatan kita, semuanya apa yang dilakukan atas dunia ini akan dihisab!

AYAT 6- {IA DICIPTAKAN DARI AIR (MANI) YANG MEMANCUT (KE DALAM RAHIM)} (AT-TAARIQ 86:6)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar & mengajak manusia agar berfikir akan asal kejadiannya! Tengok dengan fikir & mencari dalil!
    i- bagi yang sudah beriman untuk lebih mantap keyakinannya.
    ii- bagi yang belum beriman biar dia fikir supaya beriman!
  2. Allah kata manusia dicipat dari air mani yang terpancut {مِن مَّآءٍۢ دَافِقٍۢ}.
  3. Kata ulama\’ maksudnya air mani yang terpancut {مِن مَّآءٍۢ دَافِقٍۢ} ialah dari yang lelaki & yang perempuan. Iaitu:
    i- air mani lelaki keluar dari batunya dan dipanggil sperma

ii- manakala yang perempuan ialah benih atau telur yang keluar dari rahimnya.
Apabila dua ini bertemu &hidup ia akan bercambah menjadi janin manusia.

  1. Antara ayat-ayat al-Quran tentang air mani ini ialah:
    i- {Ia menciptakan manusia dari air benih, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.} (Al-Nahl 16:4)

ii- {Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);} (An-Najm 53:46)

AYAT 7- {YANG KELUAR DARI \”TULANG SULBI\” LELAKI DAN \”TULANG DADA\” PEREMPUAN.} (AT-TAARIQ 86:7)

  1. Allah nyatakan dari mana keluarnya air mani ini. Dari ayat ini ulama\’ kata:
    i- bagi lelaki ia keluar dari tulang sulbi,
    ii- bagi perempuan ia keluar dari tulang dada.
  2. Ada juga ulama\’ kedua tempat asal itu adalah untuk kedua-dua lelaki & perempuan! Wallahu a\’lam.
    *Cukuplah kita bahawa air mani itu berasal dari tulang sulbi dan tulang dada.
  3. Untuk penjelasan lanjut rujuklah kepada ahli perubatan semasa!
    Jika ada pertembungan pandangan antara ulama\’ & ahli perubatan;
    ini kerana yang satu tengok dari luar yang satu lagi tengok dari dalam, keduanya saling melengkapi!

AYAT 8- {SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA UNTUK MENGEMBALIKANNYA (HIDUP SEMULA SESUDAH MATI),} (AT-TAARIQ 86:8)

  1. Semua ini, fikir & kaji asal kejadian manusia agar kita sedar & yakin bahawa:
    Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya, untuk menghidupkan semula kamu sesudah mati wahai manusia!

AYAT 9- {PADA HARI DIDEDAHKAN SEGALA YANG TERPENDAM DI HATI (DARI IKTIQAD, NIAT, DAN LAIN-LAINNYA),} (AT-TAARIQ 86:9)

  1. Ayat ini amat menakutkan bagi orang yang benar-benar beriman!
    Hari Akhirat yang amat menakutkan!
  2. Pada hari itu segalanya akan dibentangkan, didedahkan segala rahsia!
    Tiada yang akan tersembunyi atau tercicir, semuanya akan terdedah di hadapan Allah s.w.t!
  3. Pada hari Allah s.w.t dedahkan rahsia manusia, maka akan terbongkar, terdedahlah apa yang manusia sembunyikan samada yang baik atau yang buruk.
  4. Rahsia yang baik ada juga seperti kisah Ali bin Zainal Abidin (cicit Rasulullah s.a.w) yang selepas kematiannya baru diketahui rahsia dia setiap malam memberi sedekah kepada orang miskin secara rahsia.
  5. Firman Allah s.w.t:
    {Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.} (Yunus 10:30)

AYAT 10- {MAKA (PADA SAAT ITU) TIDAK ADA BAGI MANUSIA SEBARANG KEKUATAN (UNTUK MEMBELA DIRI), DAN TIDAK ADA PENOLONG (YANG DAPAT MEMBERIKAN PERTOLONGAN).} (AT-TAARIQ 86:10)

  1. Sebagaimana semasa atas dunia manusia yang tiada kuasa & kekuatan tidak dapat menolong orang lain.
  2. Di akhirat kelak Allah nyatakan bahawa kamu lansung tidak akan ada kekuatan untuk menolak sebarang azab yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada orang yang jahat & berdosa.
  3. Manakala orang beriman dia menunggu rahmat Allah s.w.t untuk masuk ke dalam syurga dengan nikmat-nikmatnya yang istimewa.
  4. Kita berdoa semoga Allah hidupkan kita atas dunia penuh keimanan, mati dalam husnul-khatimah, masuk dalam kubur yang seluas mata memandang, keluar di akhirat kelak di bawah bayangan teduh, dihisab dengan hisab yang mudah, dibawa ke syurga yang diredhai Allah kemudian dapat memandang ke wajah Allah yang mulia!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi langit dan \”At-Taariq\”;} (At-Taariq 86:1)
    & Ayat 2- {Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia \”At-Taariq\” itu?}- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan bersumpah dengan langit.
    Ada 4 surah yang Allah bersumpah & mulakan dengan langit & bintang.

Iaitu apabila Allah gunakan sesuatu yang besar & hebat untuk bersumpah seperti langit & bintang yang besar, yang cahayanya menembusi kawasan; maka ini menunjukkan Allah s.w.t mahu memberi peringatan yang besar.
Hati-hati wahai manusia, Aku sudah lantik malaikat sebagai penjaga pengawas & pencatat kamu!

Kata ulama\’ tadabbur: Jarang surah dalam al-Quran kecuali pasti ada Allah s.w.t sebut pasal langit, maksudnya untuk tengok besarnya penciptaan langit atau Allah bersumpah dengan langit, atau Allah bimbing manusia untuk tengok kepada alam di atas untuk mengetahui betapa besar & berkuasa-Nya Pencipta alam yang besar ini.

Maka Allah yang berkuasa mencipat semua makhluk itu pastilah berkuasa juga untuk menghidupkan semula manusia sesudah matinya!

Kata ulama\’ tadabbur lagi: Tidak ada benda yang Allah s.w.t bersumpah dalam al-Quran lebih banyak daripada Dia bersumpah dengan langit, bintang, bulan & matahari.

Ini kerana ia adalah benda yang besar dan semua manusia nampak & tahu akan kewujudannya.

  1. Ayat 1- {Demi langit dan \”At-Taariq\”;} – dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah dengan bintang at-toriq.

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk sedangkan ada hadis Rasulullah s.a.w yang melarangnya???

Hadis:
i- Rasululullah bersabda tentang bahaya sumpah menyebut selain Allah SWT:

وَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ وَأَشرَكَ.

Rasulullah s.a.w bersabda, \”Barangsiapa bersumpah dengan (nama) selain Allah, maka ia kafir dan musyrik.\” [HR. Bukhari].

ii- Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: \”Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.\” [HR al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)].

JAWAPAN :

i- Larangan dalam dua hadis ini adalah khas untuk manusia yang juga hanya makhluk Allah s.w.t!
Manusia hanya boleh bersumpah dengan nama atau sifat-sifat Allah s.w.t yang mulia.

ii- Allah s.w.t bebas bersumpah dengan apa sahaja kerana Dia adalah Pencipta yang telah menjadikan semua makhluk.
Allah S.W.T juga bebas bersumpah dengan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dari kalangan makhluk-Nya sebagai menandakan akan kemuliaan dan ketinggian-Nya.

Juga apabila Allah s.w.t bersumpah dengan makhluk itu, menunjukkan akan tingginya kedudukan makhluk itu.

  1. Ayat 5- {(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.}- wajib ke atas setiap manusia itu perhatikan kepada kejadiannya untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla.

Allah s.w.t mahu kita sedar diri bahawa kita ini datang dari air mani yang terpancar yang hina, maka kenapa kamu mahu sombong & takabbur kepada Allah s.w.t!

Jangan bangga diri dengan harta yang ada- kecuali jika ia datang dari sumber yang halal & digunakan pula untuk kebajikan & kebaikan Islam.

  1. Ayat 7- {Yang keluar dari \”tulang sulbi\” lelaki dan \”tulang dada\” perempuan.}- Air mani itu keluar dari tulang sulbi lelaki & tulang dada wanita.

Sudah ada perbincangan dalam ayat di atas tentang dari mana asal air mani ini.

Kata ulama\’ tafsir: Janin itu terjadi selepas bercampurnya air mani lelaki dan perempuan dalam rahim ibunya.

Hadis yang panjang riwayat daripada Anas bin Malik, beliau menceritakan bahawa telah sampai berita ketibaan Nabi S.A.W di Madinah kepada Abdullah bin Salam, salah seorang pendeta Yahudi yang alim.
Lalu beliau datang untuk menguji Rasulullah s.a.w. dengan menanyakan beberapa perkara kepada Baginda.

Katanya: \”Aku akan bertanya kepadamu tiga perkara yang tidak akan akan diketahui kecuali oleh seorang Nabi.
1- Apakah tanda-tanda pertama hari kiamat?
2- Dan apa makanan pertama yang akan dimakan oleh penghuni syurga?
3- Dan bagaimanakah seorang anak mirip dengan bapanya dan bagaimana dia mirip dengan ibunya?\”

Baginda menjawab: \”Jibril baru sahaja memberitahuku.\”
Abdullah bin Salam berkata: \”Dia adalah malaikat yang menjadi musuh orang-orang Yahudi.\”

Baginda bersabda:
1- \”Adapun tanda pertama hari kiamat adalah api yang akan muncul dan akan menghimpunkan manusia daripada timur menuju barat.
2- Dan makanan pertama penghuni syurga adalah ketulan hati ikan paus.
3-Dan (miripnya) seorang anak (ditentukan), apabila suami mendatangi isterinya dan air maninya mendahului air mani isterinya, bererti akan lahir anak yang menyerupai bapanya. Namun bila air mani isterinya mendahului air mani suaminya, maka akan lahir anak yang mirip dengan ibunya.\”

Mendengar jawapan ini (lantas) Abdullah bin Salam berkata:
\”Aku bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan engkau adalah Rasulullah.\”

Kemudian dia berkata: \”Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah kaum yang sangat suka memutar belit. Tanyalah mereka mengenai aku sebelum mereka mengetahui keislamanku.\” [HR Bukhari].

  1. Ayat 8- {Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati),} (At-Taariq 86:8) & Ayat 9- {Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),}- dalam ayat ini Allah kata pada hari didedahkan segala rahsia.

Persoalan: Kenapa tak kata segala amalan tetapi hanya rahsia didedahkan?

JAWAPAN :

Ini kerana segala amalan zahir datang dari batin, jika hati baik amalan pun baik.
Manakala kalau hati buruk maka amalan anggota juga akan jadi tak baik.

Maka apabila didedahkan segala rahsia tiada siapa yang dapat ingkar lagi kerana ia adalah perkara dalaman, suatu rahsia yang tiada siapa yang tahu semasa kita hidup.

Kita takut jika ada terdetik dalam hati perasaan riyak dalam ibadat, rasa bagus & baik daripada orang lain, maka kita perbetulkan, terus insaf & perbanyakkan beristighfar kepada Allah untuk sucikan hati, agar Allah tidak hilangkan pahala kita kerana apa yang kita tidak sengaja atau sedar ini!

Kita minta dengan Allah yang Maha Perkasa, Yang Maha Luas rahmatnya agar pada hari didedahkan segala rahsia, Allah tidak dedahkan apa yang ada dalam hati kita, apa yang kita telah beristighfar & bertaubat!

Powered by BetterDocs