MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH S.W.T BERSUMPAH DENGAN ANGIN, AWAN & JANJI ALLAH ITU BENAR.
Full video : https://youtu.be/bbfVRQZl_90
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada pagi ini, Khamis 18 Safar 1444H bersamaan 15hb September 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Az-Zariyat – سورة الذاريات.
- Surah Az-Zariyat adalah surah ke-51 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Qaf, di akhir juz ke 26, mengandungi 60 ayat yang pendek-pendek.
Termasuk dalam kumpulan surah Mufassal (المفصل) surah yang pendek-pendek. - Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
- Dinamakan surah ini sebagai Surah Az-Zariyat – سورة الذاريات kerana Allah s.w.t bersumpah dengan perkataan itu yang bererti (Angin yang menerbangkan dan menaburkan) pada ayat yang pertama.
Kalimah (الذاريات) ini tiada dalam surah lain di dalam al-Quran. - Allah s.w.t juga bersumpah dengan 4 makhluk-Nya yang lain seperti awan, bahtera yang belayar di lautan dan Malaikat & hari Akhirat.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Setelah diterangkan kebenaran hari akhirat lalu dibentangkan tentang perihal kehidupan manusia di dunia ini.
Mengenai golongan yang ingkar, Allah menegaskan bahawa mereka berada dalam keadaan berlainan pendapat terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Kecuali orang yang beriman mereka terhindar dari perselisihan itu dengan sebab ikhlasnya mereka mencari kebenaran.
- Setelah diterangkan sifat orang yang beriman, diterangkan dalil-dalil yang ada pada alam langit & bumi serta pada manusia sendiri yang menunjukkan akan kebesaran, keEsaan, kemurahan dan kekuasaan Allah s.w.t yang menciptakannya.
- Jika semua ini difikir & diperhati oleh golongan yang ingkar pastilah mereka akan beriman. Tetapi apa boleh buat mereka keras kepala & tak dengar kata.
- Setelah diterangkan tentang perihal nabi-nabi terdahulu a.s dan tentangan keras yang dihadapi oleh mereka dari kaumnya yang ingkar, ia memberi semangat agar Baginda jangan menghiraukan golongan yang menentangnya tetapi tekun memberi peringatan kerana ianya berkesan dan memberi faedah kepada orang yang beriman.
- Serentak dengan itu Allah juga menegaskan satu hakikat yang perlu disedari dan dipatuhi bahawa Allah tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Nya.
- Kemudian ditegaskan sesungguhnya Allah-lah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya serta Dia-lah yang mempunyai kuasa yang mutlaq & tidak terhingga.
- Setelah ternyata yang demikian, maka orang-orang yang zalim dan derhaka kepada Allah & Rasul-Nya s.a.w, disediakan untuk mereka azab yang tidak terperi sebagaimana disediakan untuk orang kafir yang terdahulu.
OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :
- Objektif utamanya ialah menegakkan dalil bahawa ibadat tidak boleh dilakukan kecuali kepada Allah yang Esa dan kebangkitan semula (البعث) selepas kematian itu adalah benar.
- Dimulai surah ini dengan sumpah Allah s.w.t dengan beberapa makhluk-Nya bahawa bangkit semula dan pembalasan terhadap segala perbuatan amalan atas dunia ini adalah benar!
TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :
- Pertamanya; Allah berhak untuk bersumpah dengan apa sahaja yang Dia mahu dari makhluk-Nya. Manakala manusia sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w; dibolehkan bersumpah hanya dengan nama Allah!
- Isu kedua; Membatalkan sangkaan pendusta dan diberi janji azab yang pedih jika mereka tidak beriman dan meninggalkan syirik & pendustaan yang dilakukan.
- Ketiga; menyatakan apa yang disediakan Allah kepada hamba-Nya yang bertaqwa.
- Keempat; disebut kisah beberapa orang nabi seperti Ibrahim, Lut, Hud, Soleh, Musa dan Nuh a.s.
- Kelima; Allah s.w.t sebut perkara-perkara yang menunjukkan sempurnanya kuas Allah s.w.t & betapa luasnya rahmat Allah s.w.t.
- Keenam; Menetapkan satu keputusan bahawa Allah s.w.t tidak mencipta jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepada-Nya semata.
7.Ketujuh: Janji siksa terhadap orang kafir musyrik bahawa mereka akan ditimpa azab sebagaimana telah ditimpakan ke atas pendusta zaman dulu.
Jika tidak beriman akan rasa azab yang telah disediakan oleh Allah Azza wa Jalla kamu!
MUNASABAH DENGAN SURAH QAF SEBELUMNYA :
- Pertama munasabah kaitan antara penutup dan permulaan:
i- Surah Qaf ditutup dengan menyebut kebangkitan semula, pembalasan, balasan syurga & neraka dengan disebut bahawa semua ini adalah mudah bagi Allah s.w.t.
ii- Surah az-Zariyat ini Allah mulai dengan bersumpah dengan angin, awan, bahtera dan para malaikat bahawa apa yang dijanjikan-Nya itu seperti dalam surah Qaf adalah benar dan pembalasan pasti berlaku.
- Munasabah kedua:
i- dalam surah Qaf disebut secara umum umat-umat yang telah dibinasakan seperti seperti kaum Nuh, Ad, Thamud, Syua\’ib, Lut & Tubba\’.
ii- Manakala dalam surah ini disebut nama & kisah enam para nabi dengan lebih terperinci.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
MUQADDIMAH :
- Allah s.w.t memulakan surah ini dengan bersumpah dengan empat makhluk-Nya iaitu; angin, awan, bahtera yang belayar di lautan & Malaikat.
- Kemudian diakhiri dengan janji bahawa apa yang dijanjikan Allah itu benar, tiada yang tidak benar!
- Menegaskan bahawa balasan itu tetap akan berlaku.
AYAT 1- {DEMI ANGIN YANG MENERBANG DAN MENABURKAN (DEBU, BIJI-BIJIAN BENIH, DAN LAIN-LAINNYA), DENGAN PENERBANGAN DAN PENABURAN YANG SESUNGGUH-SUNGGUHNYA,} (AZ-ZAARIYAAT 51:1)
- Allah s.w.t bersumpah demi angin yang menerbang segala benda dan menaburkan debunga pokok-pokok serta bawa debu, awan & hujan.
- Kerja angin ini banyak sekali. Ia tolak awan kemudian turunkan hujan, menolak kapal layer dan lain-lain. Ia juga memainkan peranan penting dalam proses pendebungaan pokok-pokok.
AYAT 2- {DAN AWAN YANG MEMBAWA DAN MENGANGKUT MUATANNYA (KE TEMPAT YANG DIKEHENDAKI),} (AZ-ZAARIYAAT 51:2)
- Kemudian Allah bersumpah dengan awan yang mengandungi hujan. Kerja awan ini membawa air ke tempat yang diperintahkan Allah s.w.t kepadanya.
- Sebagai kisah awan yang bercakap sesama mereka untuk membawa air ke kebun si fulan yang tertentu sebagaimana perintah Allah s.w.t.
AYAT 3- {DAN KAPAL-KAPAL YANG BELAYAR LAJU DENGAN KEMUDAHAN YANG DIBERIKAN KEPADANYA,} (AZ-ZAARIYAAT 51:3)
- Juga demi kapal yang belayar dengan mudah, dengan tiupan angin. Iaitu kapal layar zaman dulu yang bergerak dengan bantuan angin yang menolak layarnya.
- Kata Syeikh Syanqiti rhm. – tafsir yang mengatakan kapal ini kerana banyak dalam al-Quran yang menyebut tentang berlari (تَجۡرِي) adalah tentang perjalanan kapal bahtera dalam laut.
- Sebagaimana firman Allah s.w.t:
i- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.} (Asy-Syuura 42:32)
ii- {Sesungguhnya Kami, – ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), – telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya).} (Al-Haaqqah 69:11)
iii- {Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya?} (Al-Hajj 22:65)
iv- {Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya.} (Al-Jaathiyah 45:12)
- Namun begitu ada juga pandangan kedua yang mengatakan yang berlari (تَجۡرِي) itu merujuk kepada bintang-bintang yang di langit.
Kerana berdasarkan firman Allah s.w.t yang ini:
{ وَٱلشَّمۡسُ تَجۡرِي لِمُسۡتَقَرّٖ لَّهَاۚ- Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya;} (Yaa Siin 36:38)
Ini kerana susunan ayat ini menunjukkan semua benda yang Allah sebut ini (angun, hujan & malaikat) adalah komponen yang berada di atas langit. Maka ia lebih sesuai untuk dikatakan bintang yang berada di alam atas juga. - Inilah ilmu perbincangan para ulama\’ tafsir yang amat hebat kefahaman mereka!
AYAT 4- {DAN MALAIKAT-MALAIKAT YANG MEMBAHAGI-BAHAGIKAN SEGALA PERKARA YANG MEREKA DITUGASKAN MEMBAHAGIKANNYA;} (AZ-ZAARIYAAT 51:4)
- Kemudian Allah bersumpah demi para malaikat yang membahagikan tugasan mereka; ada yang jaga rezeki, jaga manusia, jaga awan, hujan dan lain-lain.
- Penjelasan tentang sumpah dalam al-Quran dari Kitab at-Tibyan:
Dari apa yang diperhatikan, urusan pentadbiran alam atas langit dan alam bawah dunia; kebanyakannya Allah letakkannya di tangan malaikat, yakni melantik mereka untuk menguruskannya. - Hadis-hadis Rasulullah s.a.w:
i- Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas\’ud r.a., beliau berkata Rasulullah S.A.W menceritakan kepada kami, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan. Sesungguhnya seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari bentuk air mani, kemudian dia menjadi seketul darah selama tempoh itu, kemudian dia menjadi seketul daging selama tempoh itu juga, kemudian Allah mengutuskan kepadanya satu malaikat lalu dia meniupkan ruh padanya. Malaikat itu disuruh oleh Allah dengan 4 kalimah; iaitu menulis rezekinya, ajalnya, amalannya, dan celaka atau bahagia janin tersebut.
Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak tinggal antaranya dengan syurga kecuali sehasta, takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia memasuki neraka.
Sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga tidak tinggal antaranya dengan neraka kecuali sehasta, lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia memasuki syurga. (HR al-Bukhari dan Muslim)
ii- Dari Huzaifah bin Usaid r.a, Sabda Nabi s.a.w:
إذا مر بالنطفة ثنتان وأربعون ليلة، بعث الله إليها ملكا، فصورها وخلق سمعها وبصرها وجلدها ولحمها وعظامها، ثم قال: يا رب أذكر أم أنثى؟ فيقضي ربك ما شاء ويكتب الملك…). صحيح مسلم رقم: 2645.
Maksudnya: \”Apabila air mani telah melalui proses selama 42 malam Allah mengutus kepadanya seorang malaikat, maka ia membentuk rupanya, menjadikan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, daging dan tulangnya, kemudian malaikat bertanya: Wahai Tuhan, janin ini lelaki atau perempuan? Maka Allah telah menentukan apa yang dikehendakinya, dan malaikat menulisnya…\”. [Sahih Muslim No. 2645].
Hadis inilah yang menguatkan kajian serta hadis di atas bahawa dalam masa 40 hari janin itu akan ditiup roh, bukan selepas 120 hari sebagaimana fahaman ramai.
iii- untuk bacaan lanjut boleh lihat di:
https://www.abuanasmadani.com/proses-kejadian-janin-dan…/
- Maka kita dengan rezeki ini jangan sombong, semuanya adalah anugerah Allah. Jangan sombong dan terlalu menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan hasad dengki orang lain atau membawa kepada penyakit ain.
- Satu lagi tugas malaikat penjaga bumi ialah sebagaimana dalam kisah sekembalinya Rasulullah s.a.w berdakwah dari Taif ke Makkah. Di mana malaikat penjaga bukit datang bersama malaikat Jibril menunggu arahan Baginda s.a.w untuk menghempap bukit ke atas penduduk Thaqif, Taif yang menolak dakwah dan menyakiti Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w menolaknya dan mengharapkan mereka akan mendapat hidayah di kemudian hari. Kisah penuh dalam hadis. [HR Bukhari & Muslim].
AYAT 5- {(SUMPAH DEMI SUMPAH) BAHAWA SESUNGGUHNYA SEGALA YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU (MENGENAI HARI AKHIRAT) TETAP BENAR;} (AZ-ZAARIYAAT 51:5)
- Setelah Allah bersumpah demi sumpah, sesungguhnya apa yang Allah s.w.t janjikan kepada kamu itu wahai manusia adalah satu janji yang benar { لَصَادِقٞ }, tidak akan dimungkiri sekali-kali.
- Firman Allah s.w.t: {(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu tetap berlaku (لَوَٰقِعٞ)}. (Al-Mursalaat 77:7)
AYAT 6- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA BALASAN AMAL, TETAP BERLAKU.} (AZ-ZAARIYAAT 51:6)
- Balasan amalan pasti akan berlaku, kamu akan dihisab dihitung dan dibalas!
- Kita nak balasan apa di Akhirat maka kita bersedialah, jika nak syurga buatlah amalan kebaikan, jika tidak takut kepada balasan neraka buatlah ikut nafsu dan perangkap syaitan.
- Ayat-ayat ini sangat jelas menunjukkan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t dan janji Allah itu benar!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- {Faedah dari keseluruhan enam ayat hari ini} – Allah s.w.t empat kali bersumpah dengan makhluk-Nya.
Kenapa?
i- Jawapan: Kerana apabila seorang memulakan percakapannya dengan sumpah orang akan beri perhatian untuk mendengarnya.
Kerana tajuk atau isu kita ini besar iaitu kebangkitan semula dan pembalasan maka Allah s.w.t bersumpah dengan 4 makhluk-Nya dalam ayat ini.
Makhluk-makhluk yang menunjukkan akan kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t serta bahawa tiada sebarang kekeliruan atau mungkir janji akan berlaku!
ii- Kita juga perlu perhatikan; Apabila Allah bersumpah di awal sesuatu surah tanpa dimulai dengan huruf terputus (المقطعة) seperti Qaf, Alif Lam Mim dan lain-lain, seperti surah az-Zariyat ini.
Maka ia bermakna untuk mengisbatkan 3 perkara asas iaitu:
a- Keesaan Allah s.w.t (الوحدانية).
b- Kerasulan Nabi s.a.w (الرسالة).
c- Kebangkitan semula (الحشر).
- {Juga dari keseluruhan 6 ayat ini}- Allah s.w.t bersumpah dengan 4 perkara kerana ia mempunyai kedudukan dan tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t yang amat besar. Yang menunjukkan ketuhanan, keagungan dan keesaan Allah s.w.t.
Contohnya:
i-angin- berapa banyak kita boleh ambil pengajaran dari angin, ia banyak tabiat; ada yang ganas ada yang tenang dan lembut, sepoi-sepoi bahasa. Ada angin rahmat ada angin membawa bala azab!
ii- hujan pula- ada 5 jenis angin yang diperlukan sebelum ia berjaya turun.
Ada angin kerjanya mengumpul awan, kemudian menolaknya ke tempat yang ditentukan dan lain-lain kerja.
iii- bagi kapal pula kita perlu angin ikut musim bagi menentukan perjalanan, samada angin timur atau angin barat dan seumpamanya!
Allahu Akbar betapa hebat dan sempurnanya kejadian dan pentadbiran Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa dan penuh hikmah!
- Ayat 3- {Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya,}- bahtera yang begitu besar belayar terapung di atas air laut. Sedangkan kita tahu air itu sifatnya lembut, tidak keras, kita boleh menyelam turun ke dalamnya. Tetapi air yang lembik dan lembut itu boleh menanggung bahtera yang begitu berat dan berat beribu-ribu tan!
Sekali-sekala bila Allah kehendaki pasti akan ada juga tragedi kapal tenggelam, kapal-terbang terhempas dan lain-lain tetapi kemalangan ini tidak biasa.
ii- jika kita ambil tafsir pandangan yang kedua bahawa yang berlari itu adalah bintang-bintang di langit; juga ajaib dan pelik, mereka bergerak berlari atas paksi dan orbit masing-masing tanpa berlanggar dan merempuh satu sama lain. Kecuali apabila Allah kehendaki iaitu pada hari Kiamat.
- Ayat 2- {Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki),} – Allah s.w.t bersumpah dengan awan yang menjadi antara tanda kekuasaan Allah s.w.t di udara.
Awan yang lembut ini boleh menampung air hujan yang beribu-ribu tan beratnya!
Setelah hujan keluar dia kembali menjadi lembut dan terapung-apunng di langit!
Lihatlah keajaiban ini; angin kumpul dan tolak awan, awan kumpul hujan, hujan turun ke bumi, lalu bumi hidup dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan memenuhi keperluan air manusia.
- Ayat 4- {Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;}- malaikat adalah makhluk yang Allah s.w.t cipta dan diberi tugas menjadi pegawai, pengawal dan lain-lain tugasan yang Allah berikan. Semua yang begerak di bumi & langit seperti matahari, bulan bintang, angin dan awan, tumbuhan dan haiwan; ada saja malaikat yang bertugas di situ.
Termasuk malaikat hafazan yang menjaga kita, serta dua malaikat raqib atid yang menulis kebaikan dan keburukan yang kita buat!
Firman Allah s.w.t juga: {Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)!} (An-Naazi\’aat 79:5)
Beriman dengan adanya malaikat adalah salah rukun iman yang lima! Malaikat yang bertugas melaksanakan segala perintah Allah, yang menjaga kita yang sentiasa beribadat kepada Allah s.w.t!
Muqaddimah yang sangat menarik kerana ia memberi tiga tanda keagungan Allah s.w.t: Kuasa Allah, susun-tadbir Allah dan makhluk-makhluk Allah yang bertugas dengan cukup cantik & teratur!
Segala puji bagi-Mu ya Allah, Maha Suci Engkau ya Allah dengan segala tanda yang telah Engkau tunjukkan kepada kami akan tanda keagungan & kebesaran-Mu!
Kita akhiri dengan doa: Anugerahkanlah kepada kami untuk membaca & memahami al-Quran serta mantapkan kefahaman dan keyakinan kami kepada-Mu.