View Categories

SURAH AZ-ZARIYAT : AYAT 20-23

\"\"

SERUAN BERFIKIR DAN MENGAMBIL IKTIBAR DENGAN BUMI DAN DIRI SENDIRI & REZEKI DARI LANGIT.

Full video : https://youtu.be/OrsrDX1Wqt4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyeru manusia supaya berfikir Dan Mengambil Iktibar Dengan apa yang berlaku di bumi dan tentang ciptaan Bumi sendiri siapa yang menciptanya.
  2. Juga agar kita melihat kepada diri Sendiri yang amat unik dan sempurna ciptaannya.
  3. Juga untuk melihat kepada rezeki kita manusia yang datang dari Langit.
  4. Munasabah ayat: Setelah menerangkan sifat-sifat orang yang beriman maka diterangkan pula mulai ayat ini- dalil-dalil bukti yang terdapat pada langit dan bumi serta kejadian manusia itu sendiri yang menunjukkan keEsaan, kekuasaan, kebesaran dan kemurahan rahmat Allah s.w.t.
    Jika mereka berfikir dengan akal yang terbuka luas maka akan mendapat iktibar dan faedah darinya, maka mereka akan beriman.
    Jika tidak akan bertambah kekufuran mereka!


AYAT 20- {DAN PADA BUMI ADA TANDA-TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEESAAN DAN KEKUASAAN ALLAH) BAGI ORANG-ORANG (YANG MAHU MENCAPAI PENGETAHUAN) YANG YAKIN,} (AZ-ZAARIYAAT 51:20)

  1. Terdapat pada bumi dalil-dalil (ءَايَٰاتٞ) dan alamat yang menunjukkan kepada Keesaan dan kekuasaan Allah untuk menghidupkan semula manusia, kita ambil iktibar dan pengajaran.
  2. Tanda-tanda ini akan memberi kesan & faedah bagi orang yang yakin (لِّلۡمُوقِنِينَ) iaitu yakin kepada Allah s.w.t dan yakin kepada benarnya apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
  3. Kata asy-Syaukani rhm. antara tanda-tanda (ءَايَٰتٞ) yang zahir di bumi ini ialah:
    i- bukit-bukau yang besar,
    ii- lautan dan daratan,
    iii- pokok-pokok tumbuhan,
    iv- tanda kebinasaan kaum kafir terdahulu yang telah mendustakan para rasul a.s.
    Seperti di Mesir peninggalan Firaun dan kesan tasik Qarun yang ditelan bumi dan seumpamanya.
  4. Atas dunia ini banyak sangat dalil, tetapi jika hati telah tersumbat, kepala yang tidak mahu berfikir, degil dan sombong, maka tidak akan memberi apa-apa faedah.
    Hanya memberi kesan kepada hati yang yakin dan beriman dengan Allah s.w.t!
  5. Antara firman Allah s.w.t yang menafsirkan ayat ini juga:
    i- {Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir).
    Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
    Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.} (Ar-Ra\’d 13:4)

ii- {Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan
Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.} (Yaa Siin 36: 33-36)

iii- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Fussilat 41:39)

iv- {(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.
Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, –
Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,
Dan buah anggur serta sayur-sayuran,
Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma,
Dan taman-taman yang menghijau subur,
Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput,
Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.} (\’Abasa 80: 24-32)

AYAT 21- {DAN JUGA PADA DIRI KAMU SENDIRI. MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MELIHAT SERTA MEMIKIRKAN (DALIL-DALIL DAN BUKTI ITU)?} (AZ-ZAARIYAAT 51:21)

  1. Kemudian seruan Allah untuk kita melihat kepada dalil yang amat dekat kepada diri kita, iaitu kepada diri kita sendiri.
  2. Kata ulama\’ bermula sejak kita dari setitis air mani kemudian berubah menjadi segumpal darah, daging sehingga sempurna kejadian dilahir menjadi manusia yang membesar dan berubah sehingga mati pula.

Yakni kata as-Sam\’ani kira semua yang boleh menjadi dalil dan tanda yang ada pada diri kamu.

  1. Al-Qasimi pula tambah lagi dari berbezaannya pada bentuk badan kamu, sifat, bahasa, warna kulit dan lain-lain.
  2. Yakni kepada seluruh asal kejadian manusia, bentuk & anggota badan kita yang sempurna dan berbeza, berbeza warna kulit dan bahasa.
    Semuanya terdapat dalil akan sempurnanya kudrat dan tanda kekuasaan Allah s.w.t!

AYAT 22- {DAN DI LANGIT PULA TERDAPAT (SEBAB-SEBAB) REZEKI KAMU, DAN JUGA TERDAPAT APA YANG TELAH (DITAKDIRKAN DAN) DIJANJIKAN KEPADA KAMU.} (AZ-ZAARIYAAT 51:22)

  1. Kemudian kita dibawa pula dalil ketiga akan tanda kekuasaan Allah s.w.t ini, iaitu punca rezeki yang datang dari langit.
  2. Iaitu dari langit itu:
    i- air hujan yang turun membawa air yang mengeluarkan tumbuhan yang menjadi sumber makanan iaitu punca rezeki manusia.
    Tumbuhan ini dimakan oleh manusia dan haiwan pula. Termasuk salji dan air embun, semua komponen air.

ii- pelbagai taqdir yang telah dituliskan untuk kamu! Iaitu di Lauh Mahfuz, umur, ajal, jodoh & rezeki semuanya telah ditaqdirkan.

  1. Air hujan disebut langit kerana kata ahli bahasa semua yang turun dari atas dinamakan dari langit.
  2. Rezeki datang dalam bentuk hujan, angin; udara panas dan sejuk semuanya memberi kesan kepada pertumbuhan tanaman dan pokok-pokok.
  3. Serta kepada apa yang telah dijanjikan kepada kamu (وَمَا تُوعَدُونَ), kata ulama\’ ia adalah:
    i- hari Kiamat yang akan datang kelak.
    ii- atau azab yang dijanjikan akan turun di dunia ini lagi bagi mereka yang ingkar.
    iii- semua perkara yang dijanjikan oleh Allah s.w.t daripada kebaikan dan balasan kejahatan.
  4. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah s.w.t:
    i- {Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang \”ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: \”Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati\” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: \”Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)\”.} (Hud 11:7)

ii- {Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).} Ghaafir 40:13)

iii- {Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.} (Al-Jaathiyah 45:3)

  1. hadis – Sabda Rasulullah s.a.w: \”Allah telah menetapkan takdir untuk setiap makhluk sejak lima puluh ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.\” [HR Muslim].

AYAT 23- {MAKA DEMI TUHAN LANGIT DAN BUMI, SESUNGGUHNYA (APA YANG TERSEBUT) ITU TETAP BENAR, (TIDAK PATUT DIRAGU-RAGUKAN) SEBAGAIMANA (TIDAK SEPATUTNYA DIRAGUKAN) BENARNYA KAMU DAPAT BERKATA-KATA.} (AZ-ZAARIYAAT 51:23)

  1. Allah s.w.t bersumpah sekali lagi demi langit & bumi bahawa semua yang disebut-Nya tadi adalah benar dan bahawa janji-Nya benar.
  2. Munasabah ayat: Allah s.w.t telah nyatakan kepada kita beberapa tanda di atas seperti awan, angin, hujan, malaikat & bintang-bintang di langit, kemudian bahtera di laut lalu di bawa pula dalil di bumi dan kepada diri kita sendiri & sumber rezeki kita.
  3. Allah buat bandingan bahawa antara dalil yang amat besar pada diri kita ialah kita dapat bercakap atau berkata-kata (تَنطِقُونَ).
    Apabila kita bercakap ia berbunyi dan mengeluarkan suara.
  4. Apabila kita tidak syak lagi bahawa kita ini boleh bercakap dengan baik, maka kita jangan syak dan ragu lagi terhadap aa yang dijanjikan oleh Allah s.w.t bahawa Dia berkuasa untuk membangkitkan semula!
  5. Allah s.w.t telah menyuruh Rasulullah s.a.w bersumpah sebanyak tiga kali dalam al-Quran, untuk menyatakan benar apa yang dibawanya, iaitu dalam firman-Nya:

i- {Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): \”Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? \”Jawablah: \”Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya\”.} (Yunus 10:53)

ii- {Dan orang-orang yang kafir berkata:\” Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami\”. Katakanlah (wahai Muhammad): \”Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang kepada kamu\”.} (Saba\’ 34:3)

iii- {(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati).
Katakanlah: \”Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.} (At-Taghaabun 64:7)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 20- {Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,}- ayat ini seruan (دعوة) dari Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya supaya berfikir dan mengambil iktibar dengan semua ciptaan yang ada atas bumi ini, langit, laut, sungai daratan, bukit-bukau, perigi mata air, tumbuh-tumbuhan & haiwan yang pelbagai jenis.

Allah s.w.t tidak sebut apakah ia tapi menyebutnya secara umum.
Pada bumi dan tanah itu sendiri, pakar geologi yang mengkaji bumi dan tanah-tanah yang mempunyai 1001 keajaiban dan keunikan yang mendapat memberi dalil akan kekuasaan dan keaguangan Allah s.w.t bagi mereka yang beriman.

  1. Ayat 21- {Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?}- ayat ini peringatan dari Allah s.w.t agar kita berfikir tentang diri kita sendiri! Pada diri kita akan kita dapati kejadian manusia yang amat pelik dan unik.

Semua anggotan badan kita ini tiada spare-part atau alat ganti yang baru. Para doktor dengan ilmu yang diberi oleh Allah s.w.t cuba mengganti atau menukar dengan anggota kita yang dicipta Allah- recycle atau ambil dari manusia lain.

Semua ini menjadi dalil bahawa ia ada Pencipta yang Maha Hebat, jangan dok gilap badan perasan kita hebat dan sempurna! Bila Allah dah bagi isyarat ini maka kita ambillah perhatian besar akannya dan buat iktibar!

  1. Dalam empat ayat ini ada susunan tertib yang indah & menarik. Ini kerana manusia itu perlukan kepada 3 perkara:
    i- tapak atau asas. Maka tapak dalam isu ini ialah bumi, Allah sebut bumi dulu, darinya kita keluar, kita hidup dan kita mati kembali.

ii- lepas bumi adalah kejadian kita manusia sebagai penghuni bumi yang menjadi tapak.

iii- kemudian kita hidupa atas bumi nak makan minum. Maka dari bumi rezeki kita datang, Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah s.w.t akan segala nikmat dan anugerah-Nya ini!

  1. Ayat 22- {Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.}- kata ulama\’ tadabbur kamu jangan sibuk memikirkan rezeki kamu.
    Kerana Allah s.w.t telah tetapkannya. Ia juga datang dan ditetapkan di langit, kamu tidak perlu dan tidak akan dapat naik ke langit untuk melihatnya samada rezeki kita banyak atau sedikit.

Bila kita dah tahu rezeki kita sudah ada, maka kerja kita hanya berusaha untuk mendapatkannya,tetapi jangan duduk sahaja menunggu rezeki datang bergolek!

Atas dunia ini kita kena buat apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t dan amalan kita akan dibawa naik semula ke langit dilaporkan kepada Allah s.w.t.

Kata ulama\’: Solat dan ibadat adalah ketukan kepada pintu rezeki. Siapa nak rezeki banyak maka banyakkan ibadatnya kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:
{Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.} (Taha 20:132)

  1. Ayat 23- {Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata.}- Allah telah bersumpah sebelum ini dengan beberapa tanda-tanda keagungan Allah s.w.t!

Semua tempat itu samada di langit & bumi Allah s.w.t telah sebut.
Maka dalam ayat ini kita ambil perhatian bahawa Allah bersumpah demi langit & bumi bahawa apa yang dinyatakan-Nya adalah benar belaka.

Maka kata ulama\’, harus untuk kita bersumpah bagi menyatakan benarnya apa yang kita bawa apabila perlu!

Contoh; jika orang tidak percaya kepada dakwah kita, maka kita boleh bersumpah bahawa ia adalah benar berdasarkan kepada al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w yang sahih!

Sumpah ini bukan satu mainan, hanya ketika kita perlu untuk mengguatkan hujjah dalam sesuatu perkara yang besar dan dakwah sahaja!

Powered by BetterDocs