KUASA ALLAH MENCIPTA LANGIT, BANDINGAN ORANG BUTA DAN CELIK & KIAMAT PASTI AKAN BERLAKU.
Full video : https://youtu.be/zRYVBkUT-N4
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang keagungan dan kekuasaan-Nya dalam penciptaan langit & bumi, cakerawala yang begitu besar dan hebat.
Apalah peliknya jika dibandingkan dengan penciptaan manusia yang halus dan kerdil. - Juga bandingan tentang orang buta dan orang celik. Yang adalah sama seperti orang beriman dan orang tidak mahu beriman kerana buta mata mati, tidak mahu melihat kebenaran walaupun di depan mata. Kerana itulah seolah dia buta!
- Hanya orang beriman sahaja yang melihat semua dalil keesaan, kehebatan dan keagungan Allah s.w.t. ini dan ingat kepada Allah s.w.t. Namun begitu Allah katakan tidak ramai yang ingat kepada Allah s.w.t!
- Kemudian Allah s.w.t ingatkan bahawa Kiamat pasti datang, nak atau tidak ia akan tiba, samada:
i- Kiamat kecil bagi setiap individu iaitu kematian dirinya sendiri.
ii- Kiamat besar dan umum bagi seluruh manusia dan dunia, tiada siapa yang tahu bila akan berlaku.
- Ingatlah perangkap syaitan, musuh manusia, maka jangan sekali-kali kamu mengambilnya sebagai pelindung dan tempat memohon pertolongan.
Contohnya; merujuk dan percaya kepada bomoh, inilah sesuatu yang pelik dan sesat, orang suruh baca al-Quran dan hadis dia cari kitab bomoh dan syaitan.
Ajaran semakin hari semakin pelik, tetapi yang pelik itulah mendapat sambutan dari yang buta mata hatinya. - Munasabah ayat: Kaum kafir musyrikin mengakui bahawa Allah s.w.t yang mencipta seluruh alam ini, langit dan bumi, tetapi mereka tidak percaya bahawa manusia akan dihidupkan semula pada hari Kiamat untuk menerima pembalasan.
Mereka tolak kepercayaan ini.
Jika mati akan jadi tanah, kerana itu mereka hanya enjoy berani melakukan keburukan dan kejahatan atas dunia ini. Berbeza dengan kita yang beriman, kita yakin ada Hisab dan Pembalasan! - Maka dengan ayat-ayat ini ditegaskan kepada mereka bahawa Allah s.w.t yang mencipta alam, langit dan bumi yang begitu besar ini, pasti lebih berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia, makhluk ciptaan-Nya yang telah mati di Akhirat kelak untuk membalas segala amalan dan perbuatannya dulu.
AYAT 57-{DEMI SESUNGGUHNYA, MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI (DARI TIADA KEPADA ADA) LEBIH BESAR (DAN LEBIH MENAKJUBKAN) DARIPADA MENCIPTAKAN MANUSIA DAN MENGHIDUPKANNYA SEMULA (SESUDAH MATINYA); AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA (YANG MENGINGKARI HARI KIAMAT) TIDAK MENGETAHUI.} (GHAAFIR 40:57)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia yang berkuasa menciptakan langit dan bumi dari tiada kepada ada, lebih besar dan lebih menakjubkan daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula sesudah matinya. Maka apa yang pelik sehingga kaum kafir itu tidak mahu beriman dengan Kebangkitan semula (البعث)!
- Firman Allah s.w.t:
i- {Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha Mengetahui.} (Yaa Siin 36:81)
ii- {Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya – berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Ahqaaf 46:33)
- Tetapi malangnyna ramai manusia yang tidak mengetahui- tidak mahu berfikir dan bertadabbur, kaji mencari kebenaran, maka mereka mengingkari & tidak mempercayainya!
- Amat sedikit manusia yang menerima dan mengakui kebesaran & kekuasaan Allah s.w.t ini, maka biarlah kita termasuk dalam golongan yang sedikit ini.
AYAT 58-{DAN SEMEMANGNYA TIDAKLAH SAMA ORANG YANG BUTA DAN ORANG YANG MELIHAT, DAN JUGA TIDAKLAH SAMA ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH DENGAN ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN. (MESKIPUN HAKIKAT INI JELAS NYATA, TETAPI) SEDIKIT SANGAT KAMU BERINGAT DAN INSAF.} (GHAAFIR 40:58)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t membuat satu bandingan yang dapat kita lihat dan fahami dengan mudah. Analogi yang mudah bagi mereka yang tidak mahu beriman ini.
- Iaitu bandingan antara orang yang buta tidak nampak, tidak dapat melihat dengan orang yang celik matanya, dapat melihat sekelilingnya. Apa yang Allah s.w.t mahu ialah membandingkan antara orang yang beriman kepada Allah s.w.t dengan orang yang kufur dan mengingkari, tidak beriman dengan-Nya.
- Firman Allah s.w.t:
i- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.} (Al-Maaidah 5:100)
ii-{Bertanyalah (kepada mereka): \”Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?\”} (Al-An\’aam 6:50)
iii- {Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?
(Hud 11:24)
Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t sebut benda yang buruk dulu seperti buta, buruk, tuli dan lain-lain, ini kerana ayat ini ayat perdebatan dengan orang yang tidak beriman. Tetapi jika Allah s.w.t cerita tentang orang mukmin akan diceritakan tentang yang baik dulu. Inilah gaya uslub al-Quran yang mulia ini.
- Allah s.w.t juga tegaskan bahawa tidak sama juga orang beriman serta beramal soleh dengan mereka yang derhaka dan melakukan maksiat kejahatan.
- Meskipun hakikat ini jelas dan nyata tetapi begitulah sedikit sangat yang beriman dan beringat! Tetapi malangnya sedikit sekali orang yang beriman lalu mengambil iktibar dan pengajaran, beringat dan insaf walaupun petunjuk dan al-Quran sudah di depan mata.
- Sekarang ini pilihan di tangan kita: nak jadi orang buta atau orang celik? Nak jadi orang soleh atau orang yang buat kejahatan? Semuanya akan bertemu dengan Allah s.w.t walau apa saja pilian kamu!
AYAT 59-{SESUNGGUHNYA HARI KIAMAT TETAP AKAN DATANG, TIDAK ADA SEBARANG SYAK TENTANG KEDATANGANNYA; AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK BERIMAN (AKAN HAKIKAT ITU).} (GHAAFIR 40:59)
- Allah s.w.t tegaskan bahawa sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya.
- Kita sebagai orang beriman kita yakin 100% bahawa Kiamat itu akan berlaku! Apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t itu akan berlaku! Tetapi jangan gopoh mencari-cari teori dan konspirasi tentang bilakah Kiamat.
- Sudah banyak tanda-tanda & buktinya, lihatlah di sekeliling kita berapa ramai manusia yang lebih muda tau tua daripada kita yang sudah mati meninggal dunia.
- Maka kita wajib sentiasa bersedia, bersiap menyediakan bekalan untuk menghadapinya, jika kita mati mengejutpun pada hari ini, kita tidak akan menyesal dan kerugian.
- Tetapi hakikatnya ramai manusia yang tidak beriman, tidak mahu terima akan hakikat ini. Manusia jika tidak menggunakan akal maka akan samalah seperti haiwan-haiwan yang tidak dapat berfikir, tidak malu dan tidak mengetahui hakikat!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 58-{Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan.}- dalam ayat ini Allah s.w.t bawa dua bandingan kepada kita.
Kata ulama\’ tadabbur menjadi tanggung-jawab kepada guru-guru yang mahu mengajar manusia kaitkan setiap perkara dengan membuat bandingan yang dapat difahami dan mudah bagi pelajarnya untuk berfikir. Inilah pentingnya alat bantuan mengajar dan bantuan teknologi.
Ini kerana lebih dekat untuk difahami dan dipercayai. Tetapi benda yang dapat kita kaji dan fikir dengan akal ini, ramai ada manusia yang walaupun dia tahu dia buat tidak nampak, itulah orang yang takabbur!
Kuman di seberang laut nampak, tetapi gajah di depan mata tak nampak!
- Ayat 58-{Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.}- hanya sedikit manusia yang ingat kepada Allah dan ingat kepada dalil hujjah ini. Jika kamu ingat perjalanan ini banyak perkara, ada benda baik ada benda tak baik, ada orang soleh ada orang yang yang jahat.
Jika kita mempunyai hemah yang tinggi dan semangat yang kuat, kita tidak akan duduk dengan kumpulan yang ramai tetapi sesat, tetapi akan duduk dengan kumpulan yang sedikit tetapi berlandaskan kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya s.a.w.
Jika betul tidak syaratnya ramai, adakala lebih ramai yang tidak betul seperti pengikut Rasulullah s.a.w dan penentangnya mana yang lebih ramai? Pengikut Firaun dan Musa a.s mana yang lebih ramai?
Tetapi ingat tidak semestinya juga yang sedikit itu betul! Ramai atau sedikit sesuatu pengikut bukanlah neraca, ia tidak menunjukkan kepada kebenaran sesuatu ajaran atau kumpulan!
Yang benar ialah apa yang bertepatan dengan Kitab Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w serta apa yang dihuraikan oleh para ulama\’ salafus-Soleh selepas Nabi s.a.w.
Jika nak kira ramai itu yang betul, pastilah gembala kambing yang sedikit kena ikut kambingnya yang lebih banyak!
- Ayat 59-{Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya;}- ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kita beriman dengan hari Kiamat kerana ia suatu khabar Allah s.w.t sendiri yang menegaskannya.
Khabar mu\’akkad (إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ), semua cerita dari Allah s.w.t benar, semua janji-Nya benar!
Beriman dengan hari Kiamat akan memberi kesan yang besar dalam jiwa manusia. Kenapa kita solat dan berpuasa, sanggup menghabiskan duit untuk sedekah dan infaq fisabilillah? Kita akan berlumba-lumba dan suka untuk membuat kebaikan kerana yakin di sana ada balasan dan ganjaran pahala dan nikmat syurga. Kita tidak akan berani lagi buat maksiat dan kejahatan, perkara mungkar dan tidak akan berani lagi langgar perintah Allah s.w.t, kerana tahu ada hisab dan azab yang bakal menanti.
Jangan insaf sekejap sahaja, bila ingat Akhirat mengalir air mata, tetapi bila lihat dunia berair pula air mulut, terliur tidak kira lagi halal & haram.
- Ayat 57-{Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya)}- ayat ini menjadi dalil kepada Kebangkitan semula (البعث). Dengan akal yang biasa ini saja kita sudah dapat kesan mengisbatkannya, tidak yang pelik bagi Allah s.w.t yang maha Berkuasa, Pencipta segalanya. Mencipta langit dan bumi yang begitu hebat, manusia yang bijak dan cerdik berjalan situ sini meneroka, sudah pasti Allah s.w.t mampu & berkuasa menghidupkan manusia, maka apa yang peliknya bagi Allah!
- Ayat 59-{Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu).}- ayat ini menunjukkan bahawa ada sedikit di kalangan manusia yang beriman dan mengetahui! Allah s.w.t bukan menafikan bahawa semua manusia tidak tahu, tetapi hanya kebanyakannya, dan ramai yang tidak beriman. Ramai yang tidak beriman atau ada iman tetapi tidak mantap dan tidak yakin tentang kebangkitan semula.
Ini menunjukkan walaupun sedikit tetapi tetap ada manusia yang mengetahui dan beriman tentang perkara ini.
Ya Allah jadikan kami daripada golongan yang sedikit yang beriman dan percaya kepada Kebangkitan semula; maka dengan itu kami tidak akan melakukan maksiat dan perkara-perkara yang munkar