SIFAT PARA NABI SUJUD KEPADA ALLAH DENGAN TANGISAN, SIFAT BURUK SEBAHAGIAN PENGIKUT YANG MENINGGALKAN SOLAT, IKUT NAFSU & GOLONGAN YANG BERTAUBAT MENJADI AHLI SYURGA.
Full video: https://youtu.be/DstmwZXhqZg
MUQADDIMAH :
1. Ayat pada hari inilah penutup kepada perbincangan ayat-ayat yang lepas di mana telah diceritakan tentang kisah tiga orang nabi iaitu Musa, Ismail dan Idris a.s. Pada hari ini kita lihat siapakah mereka dan apakah sifat khas mereka semua.
2. Dalam ayat 58 ini terdapat sujud tilawah/sejadah, maka sunat untuk semua yang membaca dan mendengarnya untuk sujud.
AYAT 58- {MEREKA ITULAH SEBAHAGIAN DARI NABI-NABI YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH NIKMAT YANG MELIMPAH-LIMPAH KEPADA MEREKA DARI KETURUNAN NABI ADAM, DAN DARI KETURUNAN ORANG-ORANG YANG KAMI BAWA (DALAM BAHTERA) BERSAMA-SAMA NABI NUH, DAN DARI KETURUNAN NABI IBRAHIM, DAN (DARI KETURUNAN) ISRAIL- DAN MEREKA ITU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG KAMI BERI HIDAYAH PETUNJUK DAN KAMI PILIH. APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT (ALLAH) AR-RAHMAN, MEREKA SEGERA SUJUD SERTA MENANGIS. (MARYAM 19:58)
1. Mereka itulah sebahagian daripada nabi-nabi yang telah diceritakan kisah mereka dalam surah ini iaitu Zakaria, Yahya, Isa, Musa, Ismail dan Idris a.s.
2. Mereka inilah sebahagian anbiya’ yang telah diceritakan.
3. Mereka mendapat kurniaan nikmat Allah s.w.t yang melimpah-limpah. Mendapat pangkat nabi, petunjuk hidayah dan kedudukan yang tinggi dalam kalangan umat manusia.
4. Mereka ini dari 4 jalur keturunan. Yakni episod generasi keturunan manusia, apabila habis golongan yang beriman, tinggal yang kufur dan sesat maka Allah musnahkan mereka semua dan muncul generasi lain:
i- Keturunan Nabi Adam dan sebelum nabi Nuh; iaitu Nabi Idris a.s.
ii- Keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh; iaitu bermula dari Nabi Ibrahim a.s.
iii- Dari keturunan Nabi Ibrahim, yakni nabi Ismail, Ishak dan Ya’kub a.s.
iv- Dari keturunan Israil- Israil ini ialah gelaran kepada Nabi Ya’kub dan keturunannya yang tersebut dalam surah ini iaitu: Musa, Harun, Zakaria, Yahya dan Isa a.s.
Adapun Rasulullah s.a.w adalah daripada keturunan Ismail a.s.
5. Mereka ini Allah beri hidayah petunjuk yakni hidayah beriman dan beramal soleh. Mereka juga dipilih untuk dilantik menjadi Nabi dan rasul.
6. Antara sifat mereka yang amat ketara, apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, melalui kitab masing-masing, mereka segera sujud serta menangis kerana terlalu takut kepada Allah Azza wa Jalla. Inilah sifat orang-orang soleh dan orang yang baik-baik.
7. Sifat ini bukan hanya tertentu kepada nabi dan rasul yang disebut nama-namanya di sini sahaja, bahkan itulah sifat seluruh para anbiya’ dan rasul a.s yang lain. Maka inlah sifat yang sepatutnya kita contohi.
FAEDAH YANG BOLEH DISIMPULKAN DARI AYAT 51-58 INI :
1. Ayat 55: {Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan zakat}. Sifat Nabi Ismail yang wajib dicontohi dan terpuji – sangat mendidik keluarga dan amat menjaga ibadat mereka. Jika nak jadi baik bukan hanya kita seorang sahaja bahkan kena didik dan ambil berat akidah & ibadat semua keluarga dan orang terdekat dengan kita.
2. Kekuatan orang mukmin terletak di hatinya. Kata Imam al-Hasan al-Basri tentang faedah ayat ini: Seseorang yang ada penggera/pemberi ingatan tentang benda baik dalam hatinya, maka dia akan mendapat jagaan Allah s.w.t.
3. Ayat 52: {Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina}- Kelebihan seruan atau munajat ini ini hanyalah untuk Nabi Musa a.s dan tidak pernah berlaku kepada nabi-nabi lain, kerana itulah Musa dikenali sebagai Kalimulllah, yang berkata-kata secara lansung dengan Allah s.w.t.
4. Disebut Nabi Isa a.s sebagai daripada zuriat keturunan Ibrahim dan Israil sedangkan dia dari sebelah anak perempuan iaitu Maryam. Ini kerana dari hukum Feqah bila disebut daripada zuriat biasanya termasuk juga anak lelaki kepada anak perempuan.
5. Ayat ini mengandungi tempat sujud tilawah, maka kena sujud di dalam atau di luar solat. Jika dalam solat kena hati-hati jangan sujud ikut suka. Samada pembaca dan pendengar saja, keduanya sunat untuk sujud juga bila tiba pada ayat sujud tilawah ini.
6. Allah s.w.t memuji sifat para anbiya’ yang menangis dan sujud apabila membaca al-Quran. Menunjukkan sunat kita menangis dan sujud apabila membaca ayat-ayat tertentu dalam al-Quran. Umar al-Khattab r.a apabila sujud membaca al-Quran, dia akan bertanya pula, kita sudah sujud, tetapi di manakah tangisan kita?
AYAT 59- {KEMUDIAN MEREKA DIGANTIKAN OLEH KETURUNAN-KETURUNAN YANG MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT); MAKA MEREKA AKAN MENGHADAPI AZAB (DALAM NERAKA), (MARYAM 19:59)
1. Kemudian apabila golongan mereka yang soleh tadi telah pupus lalu datanglah pula keturunan yang cuai dalam solat dan ibadat mereka serta menurut hawa nafsu.
2. Menurut hawa nafsu kerana mengejar dunia dan sukakan benda yang tidak baik.
3. Cerita dari Syeikh Atiyah r.h.m: Ada seorang pemilik kebun yang luas dan subur, setiap kali nak makan buah dia perintahkan pekerjanya ambil buah daripada kebun sebelah, yakni yang orang lain, yang tidak halal. Kerana sudah biasa makan yang haram, jika makan yang halal tidak sedap baginya. Nauzubillah.
4. Maka mereka yang cuai dan menurut hawa nafsu ini akan menghadapi azab dalam cerun neraka yang dalam.
AYAT 60- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT DAN BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, MAKA MEREKA ITU AKAN MASUK SYURGA, DAN MEREKA PULA TIDAK DIKURANGKAN PAHALA SEDIKITPUN, – (MARYAM 19:60)
1. Tetapi ada pengecualian, tidak semua akan dimasukkan ke dalam neraka dan azabnya.
2. Syaratnya; Mereka yang beriman, beramal soleh maka Allah s.w.t akan memasukkanya ke dalam syurga yang penuh nikmat.
3. Allah s.w.t juga tidak akan mengurangkan pahalanya sedikitpun. Maka kita kena jaga amal ibadat kita agar jangan rosak dan hilang!!
AYAT 61- {(IAITU) SYURGA \” ADN \” YANG TELAH DIJANJIKAN OLEH (ALLAH) AR-RAHMAN KEPADA HAMBA-HAMBANYA DISEBABKAN KEPERCAYAAN MEREKA AKAN PERKARA-PERKARA YANG GHAIB; SESUNGGUHNYA TUHAN ITU, JANJI-NYA TETAP BERLAKU. (MARYAM 19:61)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sifatkan sifat syurga yang dijanjikan kepada hamba-Nya yang beriman secara ghaib; seperti beriman kepada hari Kiamat dan hari Akhirat.
2. Sesungguhnya janji Allah itu tetap akan berlaku, jangan bimbang janji yang tidak pernah akan dimungkiri.
3. Dua sebab manusia itu mungkir janji:
i- Berjanji kemudian tidak mampu nak tunai. Kerana itu kena fikir dulu sebelum berjanji.
ii- Memang sifat dia begitu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w tentang 3 sifat orang munafik.
4. Apa makna ‘Adni? Maknanya yang tetap, tempat tinggal yang dijanjikan.
AYAT 62- {MEREKA TIDAK AKAN MENDENGAR DI DALAMNYA PERKATAAN YANG SIA-SIA TETAPI MEREKA SENTIASA MENDENGAR PERKATAAN YANG BAIK-BAIK; DAN MAKAN MINUM UNTUK MEREKA DISEDIAKAN DI DALAMNYA, PAGI DAN PETANG (SEPANJANG MASA). (MARYAM 19:62)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan sifat atau keadaan dalam syurga.
2. Mereka hanya mendengar perkataan yang baik-baik sahaja di dalamnya. Tiada perkataan yang sia-sia dan tidak memberi faedah. Ia juga boleh bererti ucapan salam daripada para malaikat atau sesama ahli syurga.
3. Makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Terdapat perbincangan ulama\’ tentang ayat ini kerana di dalam syurga tiada matahari dan bulan maka tiada siang atau malam. Kenapa Allah sebut begitu?
i- Kata ulama\’ sebagai satu tanda waktu makan seperti mana kebiasaan waktu kita makan di atas dunia dulu. Menggambarkan waktu sahaja.
AYAT 63- {ITULAH TAMAN SYURGA YANG KAMI AKAN BERIKAN SEBAGAI WARISAN PUSAKA KEPADA ORANG-ORANG. YANG BERTAQWA DARI HAMBA-HAMBA KAMI.} (MARYAM 19:63)
1. Syurga dengan segala nikmat dan taman-tamannya adalah Allah s.w.t sediakan untuk orang yang bertaqwa. Maka jika nak menjadi ahli syurga kita hendakla menjadi orang yang bertaqwa.
2. Makna syurga itu sebagai: “Kami berikan sebagai warisan pusaka”:
i- Allah beri kepada kita tinggal di situ, seolah-olah kita ini sebagai penerima pusaka.
ii- Allah mempusakai hamba-hamba-Nya yang beriman dengan yang syurga disediakan.
3. Dengan berakhirnya ayat 63 ini berakhirlah perihal nabi-nabi dan orang yang mengikut mereka samada yang baik atau yang jahat serta balasan yang akan diterima masing-masing.
4. Maka orang yang baik syurgalah balasannya manakala yang jahat pasti nerakalah tempatnya wal-‘iyazubillah.
BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Antara punca manusia tidak solat ialah kerana terlalu mengikut hawa nafsu. Kerana itu dalam ayat ini Allah kembarkan dua sifat ini.
2. Orang-orang yang soleh tidak sibuk dengan harta dan nikmat dunia, tetapi mereka sibuk mahu menyuburkan jiwa dan amal ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
3. Allah s.w.t memberi isyarat, memperingatkan bahawa di dalam syurga itu tiada di dalamnya perkataan yang buruk dan sia-sia. Maka sesiapa yang ingin mencalonkan dirinya sebagai ahli syurga, hendaklah meninggalkan segala perkataan yang buruk semasa di atas dunia lagi. Jagalah lidah dan tangan kita daripada perkataan yang buruk.
4. Penjagaan solat adalah satu kewajipan. Allah s.w.t puji Nabi Ismail a.s, yang mendidik dan menyuruh anak cucunya menjaga solat. maka kita hendaklah menjaganya dan semua amal ibadat kepada Allah.
Wallahu a’lam.