View Categories

SURAH MARYAM : AYAT 73-84

\"\"

MENOLAK HUJJAH MUSYRIKIN MENYANGKA MEREKA SENANG KERANA ALLAH SUKA. GOLONGAN BERTAQWA SEMAKIN MANTAP HIDAYAH & KAUM KAFIR DIKUASAI OLEH SYAITAN.

Full video: https://youtu.be/MKRXvurwHGw

MUQADDIMAH :

1. Dalam siri ini kita akan melihat beberapa perbincangan tentang syubhat iaitu kekeliruan, putar-belit yang dimainkan oleh puak kafir tentang kedudukan mereka berbanding dengan orang Islam, pengikut Rasulullah s.a.w pada masa itu.
2. Begitu jugalah situasi kita dan kuffar pada hari ini. Hujjah dan kekeliruan ini tetap digunakan dan dibuat perbandingan.

AYAT 73- {DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT KAMI YANG JELAS NYATA, BERKATALAH ORANG-ORANG YANG KAFIR KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN: \”PUAK YANG MANAKAH (DARI KAMI DAN KAMU) YANG LEBIH BAIK TEMPAT TINGGALNYA DAN LEBIH ELOK MAJLIS PERHIMPUNANNYA?} (MARYAM 19:73)
1. Apabila mereka tidak dapat menolak kebenaran hujjah yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran, maka respon pertama orang-orang kafir apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat al-Quran, ialah dengan menimbulkan syubhah kepada orang-orang yang beriman.
2. Mereka berdalih dengan hujjah membandingkan kekayaan dunia dan bilangan mereka yang lebih ramai berbanding orang Islam pengikut Nabi s.a.w yang sedikit dan miskin kebanyakannya. Bandingan dari sudut asset dan bilangan.
3. Yakni puak yang yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis (kelab) perhimpunannya di atas dunia ini adalah mereka yang kafir.
4. Seolah mereka berkata: Wahai orang Islam, jika agama kamu benar dan Muhammad itu benar, mengapa kamu hidup susah di dunia ini, sedangkan kami senang lenang???
5. Allah s.w.t mengajar kepada Rasulullah s.a.w untuk menjawab tuduhan mereka itu dalam ayat berikutnya ini.

AYAT 74- {DAN BERAPA BANYAK KAUM-KAUM (YANG INGKAR) SEBELUM MEREKA, KAMI TELAH BINASAKAN, SEDANG MEREKA LEBIH ELOK ALAT-ALAT KESENANGANNYA DAN LEBIH ELOK KEADAANNYA PADA PANDANGAN MATA.} (MARYAM 19:74)
1. Allah s.w.t membawa jawapan pertama dan menolak hujjah mereka. Dengan menegaskan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak melambangkan benar atau salah. Itu bukan skemanya.
2. Tidakkah mereka lihat betapa banyak kaum yang ingkar sebelum ini, yang tidak selamat dan telah dibinasakan oleh Allah s.w.t.? Sedangkan mereka kaum yang lebih kaya, lebih hebat, kuat dan mewah daripada mereka kaum Quraisy.
3. Kesan peninggalan umat yang binasa itu telah mereka saksikan dengan mata kepala mereka sendiri semasa dalam musafir mereka ke Yaman dan Syam.
لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1)

إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2)
{Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam).} [Quraisy 106: 1-2].

AYAT 75- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESIAPA YANG BERADA DI DALAM KESESATAN, MAKA BIARLAH (ALLAH) AR-RAHMAN MELANJUTKAN BAGINYA SATU TEMPOH YANG TERTENTU, HINGGA APABILA MEREKA MELIHAT APA YANG DIJANJIKAN KEPADA MEREKA, – SAMA ADA AZAB SENGSARA DUNIA ATAUPUN AZAB KIAMAT, MAKA (PADA SAAT ITU) MEREKA AKAN MENGETAHUI SIAPAKAH ORANGNYA YANG LEBIH BURUK KEDUDUKANNYA DAN LEBIH LEMAH PENYOKONG-PENYOKONGNYA.\”} (MARYAM 19:75)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bawa pula hujjah dan jawapn yang kedua.
2. Wahai Muhammad, jika kamu melihat sesiapa yang berada dalam kesesatan tetapi: Allah bagi mereka tempoh, umur yang panjang dan sihat dan Allah beri kemewahan dan kesenangan di dunia ini; jangan kamu risau, semua itu hanyalah Istidraj daripada Allah s.w.t. supaya mereka terus bertambah kesesatan dan keingkaran mereka.
3. Erti Istidraj adalah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W ini:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: “Apabila kamu melihat Allah S.W.T memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah S.W.T.” [HR Ahmad]
4. Ingatlah, semua ini hanyalah satu tempoh tertentu sahaja, jika terlepas di dunia, mereka tidak akan terlepas di akhirat esok.
5. Maka pada saat itu, yakni samada saat turunnya azab atau pada masa kematian mereka atau pada hari Kiamat nanti, barulah mereka mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.
6. Ulama\’ kata ayat ini membawa dua maksud:
i- Allah s.w.t mengarahkan kepada Rasulullah s.w.t untuk mengatakannya kepada orang kafir sebagai sebagai satu perdebatan dan cabaran. Hah, tunggulah kamu, tengoklah nanti!
ii- Sebagai satu kenyataan, tunggulah! Sebagai satu khabar cerita tentang sunnatullah, apa yang telah Allah lakukan kepada golongan yang sesat dan kafir, samada Allah s.w.t ambil tindakan segera atau diberi tempoh, ditangguh lagi azabnya. Mudah-mudahan mereka insaf dan insaf, tetapi apabila Allah s.w.t ambil tindakan, mereka tidak akan lepas lagi samada saat turunnya azab atau pada masa kematian mereka atau paling lewat pada hari Kiamat nanti
7. Sebuah hadis yang dibincangkan statusnya, samada marfu’ atau mauquf. Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: “Allah s.w.t bagi kepada kita akhlak yang berbeza-beza sebagaimana berbeza rezekinya. Allah s.w.t akan beri harta kekayaan (dunia) kepada sesiapa sahaja samada yang dia sayang atau tidak. Tetapi Allah s.w.t tidak akan beri iman yang benar dan jitu (akhirat) kecuali kepada orang yang disayanginya.” [Keluaran Imam Bukhari].

AYAT 76- {DAN ALLAH AKAN MENAMBAHI HIDAYAH PETUNJUK BAGI ORANG-ORANG YANG MENURUT JALAN PETUNJUK; DAN AMAL-AMAL YANG BAIK YANG TETAP KEKAL FAEDAH-FAEDAHNYA ITU, (وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ) LEBIH BAIK BALASAN PAHALANYA DI SISI TUHANMU DAN LEBIH BAIK KESUDAHANNYA.} (MARYAM 19:76)
1. Abaikan dan jangan peduli kepada mereka yang mendapat dunia semata-mata itu, kerana samada Allah mahu bagi tempoh kepada mereka atau satu istidraj supaya mereka lagi lagha dan sombong.
2. Tetapi bagi kamu, wahai orang yang beriman, yang menurut jalan petunjuk Allah, walaupun jika tidak dapat habuan dunia, Allah akan menambah hidayah petunjuk-Nya.
3. Amalan yang kekal dan baik itu وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ – iaitu semua amal perbuatan yang baik adalah lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya di sisi Allah s.w.t nanti.
4. Antara contoh amalan soleh ialah: Diriwayatkan dari Samurah bin Jundub R.A berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
“Ucapan yang paling dicintai oleh Allah ada empat kalimat, iaitu , subhanallah, wal hamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar. Keempat kalimat ini boleh dibaca dulu mana yang kehendaki.” (HR. Imam Muslim)

PENGAJARAN AYAT 73-75:
1. Menggunakan hujjah orang yang kaya dan ramai pengikut di atas dunia ini sebagai tanda Allah sayang dan orang yang berada di atas landasan yang betul adalah satu hujjah yang amat rosak/ fasad dan tidak benar samas ekali.
2. Begitu juga pada zaman ini, ustaz dan penceramah yang bawa cerita-cerita pelik dan lucu, bawa hadis-hadis palsu yang tidak sahih, yang mempunyai followers dan pengikut yang banyak itu tidak semestinya menunjukkan kebenaran.
3. Cara untuk menjaga hidayah dan ilmu yang benar yang kita sudah dapat ialah dengan beramal dengannya dan mengajarnya kepada orang lain. Contohnya; amalan sunnah dan zikir-zikir yang sahih seperti zikir 4 kalimah tadi.
4. Kata ulama\’: Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia sudah tahu, maka dia akan dapat lagi ilmu yang dia tidak tahu.
5. Firman Allah s.w.t: {Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.} (Muhammad 47:17)
6. Perbuatan makhluk semuanya di bawah kuasa dan petunjuk Allah s.w.t, cuma kita sebagai pelaksananya,
7. Serta ingatlah iman itu bertambah dan berkurang dengan perbuatan baik dan jahat yang dilakukan seseorang. Bukan hanya statik tidak memberi kesan dengan perbuatan tuannya.

AYAT 77- {MAKA TIDAKKAH ENGKAU MERASA HAIRAN MEMIKIRKAN (WAHAI MUHAMMAD), AKAN ORANG YANG KUFUR INGKAR KEPADA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI SERTA IA BERKATA: \”DEMI SESUNGGUHNYA AKU AKAN DIBERIKAN HARTA KEKAYAAN DAN ANAK-PINAK PADA HARI AKHIRAT?\”} (MARYAM 19:77)
1. Mereka menggunakan hujjah yang berisi perlian dan helah. Sehingga Allah s.w.t memberitahu kepada Rasulullah s.a.w betapa pelik dan tidak logiknya hujjah mereka.
2. Mereka mengatakan bahawa mereka akan tetap mendapat harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat, Dikatakan sebab turun ayat kerana seorang musyrik yang bernama al-‘As العاص بن وائل yang berhujjah dengan seorang sahabat yang bernama Khubaib r.a.

AYAT 78- {ADAKAH IA TELAH MENGETAHUI AKAN PERKARA YANG GHAIB, ATAU ADAKAH IA TELAH MEMBUAT PERJANJIAN DENGAN (ALLAH) AR-RAHMAN MENGENAINYA?} (MARYAM 19:78)
1. Allah membawa hujjah lagi seolah satu perdebatan dengan mereka. Adakah mereka telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan Allah, iaitu akan mendapat segala harta itu???

AYAT 79- {TIDAK SEKALI-KALI! KAMI AKAN MENULIS APA YANG DIKATAKANNYA, DAN KAMI AKAN TAMBAHI BAGINYA DARI AZAB SEKSA, BERGANDA-GANDA.} (MARYAM 19:79)
1. Pastilah tidak sekali-kali, semua perbuatan jahat mereka itu akan dicatat dan akan dihitung serta diberi pembalasan di akhirat kelak.
2. Dan bagi mereka azab seksa yang berganda-ganda yang akan ditambah, bukan hanya kufur tetapi mempermain dan memerli agama.

AYAT 80- {DAN KAMI AKAN WARISI (HARTA BENDA DAN ANAK-PINAK) YANG DIKATAKANNYA ITU, DAN IA AKAN DATANG KEPADA KAMI DENGAN SEORANG DIRI.} (MARYAM 19:80)
1. Apabila mereka mati, pastilah segala harta benda dan anak-pinak serta pengikutnya yang diberikan di dunia itu akan hilang dan ditinggalkan.
2. Dan mereka akan datang kepada Allah yakni dibangkitkan di akhirat dalam keadaan seorang diri.

AYAT 81- {DAN MEREKA YANG KAFIR MENYEMBAH BENDA-BENDA YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI TUHAN-TUHAN, SUPAYA BENDA-BENDA YANG MEREKA SEMBAH ITU MENJADI PENOLONG-PENOLONG YANG MEMBERI KEMULIAAN DAN PENGARUH KEPADA MEREKA.} (MARYAM 19:81)
1. Orang kafir menganggap segala tuhan dan sembahan mereka di dunia itu akan dapat menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

AYAT 82- {TIDAK SEKALI-KALI! BAHKAN BENDA-BENDA YANG MEREKA PERTUHANKAN ITU MENGINGKARI PERBUATAN MEREKA MENYEMBAHNYA, DAN AKAN MENJADI MUSUH YANG MEMBAWA KEHINAAN KEPADA MEREKA.} (MARYAM 19:82)
1. Jawapannya: Bahkan tidak sekali-kali sembahan mereka itu dapat memberi pertolongan atau kemuliaan di akhirat kelak.
2. Bahkan berhala-berhala dan apa mereka yang sembah di dunia itu akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka, dan dengan kuasa Allah s.w.t dapat berkata-kata dan berlepas diri daripada mereka yang menyembahnya.

AYAT 83- {TIDAKKAH ENGKAU MENGETAHUI (WAHAI MUHAMMAD) BAHAWA KAMI TELAH MENGHANTARKAN SYAITAN-SYAITAN KEPADA ORANG-ORANG KAFIR, UNTUK MENGGALAKKAN MEREKA MENGERJAKAN PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH?} (MARYAM 19:83)
1. Sesiapa yang buat maksiat dan kufur, bermakna mereka telah dikuasai syaitan. Iaitu syaitan itu akan menguasai puak kafir dan orang yang buat maksiat.
2. Syaitan tidak akan berhenti daripada menggoda dan bersungguh-sungguh menggalakkan manusia supaya mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat kepada Allah.

AYAT 84- {OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU SEGERA MARAH TERHADAP MEREKA YANG INGKAR ITU, KERANA SESUNGGUHNYA KAMI HANYA MENGHITUNG HARI YANG SEDIKIT SAHAJA BILANGANNYA UNTUK MEREKA.} (MARYAM 19:84)
1. Allah s.w.t beri nasihat kepada Rasulullah s.a.w supaya jangan risaukan tentang diri dan keadaan mereka yang ingkar dan dikuasai syaitan. Itu kerana mereka akan mnerima padahnya pada hari yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kelak.

BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Sesiapa yang bergantung harapannya selain kepada Allah s.w.t; itulah orang yang akan kecewa, kerugian dan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t.
2. Orang kafir dan kufur serta mereka yang beriman tetapi buat maksiat itulah golongan yang dikuasai syaitan.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs