View Categories

SURAH NUH : AYAT 5-12

\"\"

NABI NUH A.S MENGADU KEPADA ALLAH, KARENAH KAUMNYA & USLUB DAKWAHNYA.

Full video : https://youtu.be/ToJPlcdY-3s

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritkan tentang Nabi Nuh a.s yang mengadu kepada Allah, tentang karenah kaumnya.
  2. Juga diceritakan uslub dakwah Nabi Nuh a.s yang pelbagai, adakalanya secara perlahan dan rahsia, secara terang-terangan & umum, secara berlembut atau berkeras, pelbagai cara telah digunakannya.
  3. Walaupun pelbagai cara telah diguna olehnya, tetapi kaumnya tetap berdegil, ingkar dan menentang!

AYAT 5- {(SETELAH PUAS MENYERU MEREKA), NABI NUH BERDOA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENYERU KAUMKU SIANG DAN MALAM (SUPAYA MEREKA BERIMAN);} (NUH 71:5)

  1. Nabi Nuh lalu merayu mengadu kepada Tuhannya bahawa dia telah menyeru kaumnya supaya beriman tidak kira pada waktu siang atau malam.

AYAT 6- {\”MAKA SERUANKU ITU TIDAK MEMBERIKAN MEREKA (SESUATU FAEDAH PUN) SELAIN DARIPADA MENAMBAHI MEREKA MELARIKAN DIRI (DARI KEBENARAN).} (NUH 71:6)

  1. Tetapi apa dayanya, seruan dan dakwah Nabi Nuh tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka, bahkan membuatkan mereka makin lari menjauhinya!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga telah mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Dia seorang gila dan dia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).} (Al-Qamar 54:9)

Inilah modal sama yang digunakan oleh penenentang para Nabi; mereka melemparkan tuduhan yang sama, gila, ahli sihir atau penyair!

AYAT 7- {\”DAN SESUNGGUHNYA AKU, TIAP-TIAP KALI MENYERU MEREKA (BERIMAN) SUPAYA ENGKAU MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA MEREKA, – MEREKA MENYUMBATKAN TELINGANYA DENGAN JARI MASING-MASING, DAN BERSELUBUNG DENGAN PAKAIANNYA, SERTA BERDEGIL DENGAN KEINGKARANNYA, DAN BERLAKU SOMBONG TAKBUR DENGAN MELAMPAU.} (NUH 71:7)

  1. Nabi Nuh mengadu lagi perihal perbuatan kaumnya setiap kali dia berdakwah kepada mereka:

i- mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing,

ii- dan berselubung dengan pakaiannya,

iii- serta berdegil dengan keingkarannya,

iv- dan berlaku sombong takbur dengan melampau.

  1. Yakni tetapi tidak mahu mendengar dan menerima kebenaran yang dibawa oleh nabi Nuh a.s serta menghina dan mengejeknya pula sebagai hanya orang biasa dan pengikutnya hanya orang-orang yang hina!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: \”Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta\”.} (Hud 11:27)

AYAT 8- {\”KEMUDIAN AKU TELAH MENYERU MEREKA DENGAN TERANG-TERANG;} (NUH 71:8)

  1. Ada kalanya aku menyeru mereka dengan secara terangan dan jelas.
  2. Nabi Nuh menyatakan cara dakwahnya satu persatu dan menyatakan keuzurannya, lemahnya dia kerana tidak berjaya juga!

AYAT 9- {\”SELAIN DARI ITU, AKU (BERULANG-ULANG) MENYERU MEREKA SECARA BERAMAI-RAMAI DENGAN BERTERUS-TERANG, DAN MENYERU MEREKA LAGI SECARA BERSEORANGAN DENGAN PERLAHAN-LAHAN.} (NUH 71:9)

  1. Kemudian Nabi Nuh berulang kali menyeru mereka secara beramai-ramai secara terang-terangan yakni secara publik dan umum.
  2. Ada kalanya dia menyeru berdakwah kepada mereka secara personal, berjumpa sama seorang, berdakwah dengan perlahan-lahan secara khusus.

AYAT 10- {\”SEHINGGA AKU BERKATA (KEPADA MEREKA): `POHONKANLAH AMPUN KEPADA TUHAN KAMU, SESUNGGUHNYA ADALAH IA MAHA PENGAMPUN. (NUH 71:10)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila nabi Nuh telah menyatakan dalam ayat yang lepas tentang pelbagai cara dakwah yang telah digunakannya, siang atau malam, rahsia atau nyata untuk menyelamatkan kaumnya, tetapi tidak berjaya juga!

ii- maka Nabi Nuh pun menyuruh mereka memohon keampunan dari Tuhan atas kesalahan mereka yang tidak mahu beriman dan menerima dakwahnya, kerana sesungguhnya adalah Allah itu Maha Pengampun sifat-Nya.

  1. Maka para pendakwah jangan putus asa, teruskan usaha walaupun disekat dan dihalang; cubalah pelbagai cara dan method yang ada sekarang ini, jalan dakwah itu masih luas dengan teknologi hari ini Insya\’ Allah kita manfaatkannya!

AYAT 11- {\”(SEKIRANYA KAMU BERBUAT DEMIKIAN), IA AKAN MENGHANTARKAN HUJAN LEBAT MENCURAH-CURAH, KEPADA KAMU;} (NUH 71:11)

  1. Jika kamu beriman dan meminta ampun kepada Allah, Dia akan menghantar hujan Rahmat sebagai rezeki yang mencurah-curah kepada kamu.
    Inilah faedah utama istighfar!

AYAT 12- {\”DAN IA AKAN MEMBERI KEPADA KAMU DENGAN BANYAKNYA HARTA KEKAYAAN SERTA ANAK-PINAK; DAN IA AKAN MENGADAKAN BAGI KAMU KEBUN-KEBUN TANAMAN, SERTA MENGADAKAN BAGI KAMU SUNGAI-SUNGAI (YANG MENGALIR DI DALAMNYA).} (NUH 71:12)

  1. Antara faedah istighfar lagi ialah:
    i- memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan`
    ii- serta anak-pinak yang ramai;
    iii- dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman yang subur,
    iv- serta sungai-sungai yang mengalir di dalamnya sebagai sumber air.
    Inilah faedah istighfar atas dunia ini.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.} (Al-A\’raaf 7:96)
  3. Allah nyatakan bahawa jika penduduk sebuah negeri itu beriman dan beramal soleh, Allah s.w.t akan curahkan kepadanya rezeki dan rahmat yang mencurah-curah dari-Nya.
  4. Tetapi apa boleh buat jika negara itu sudah menjadi kafir atau jatuh kepada pemimpin yang lagha tidak mahu beramal dengan hukum Allah; maka tunggulah saat keruntuhannya dengan sebab maksiat yang berleluasa!
    Kita mohon keselamatan dan keamanan untuk negara kita dan negara para muslim semuanya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 5- {(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);}- nabi Nuh a.s telah mengadu kepada Allah s.w.t bahawa dia telah berdakwah kepada kaumnya.

Maka ulama\’ tafsir membuat kesimpulan bahawa Nabi Nuh ini dakwahnya:
i- hanya khas kepada kaumnya sahaja; perkataan kaum itu termasuk lelaki & perempuan semuanya.

ii- nabi Nuh berdakwah tidak kira siang atau malam, tetap berjalan!
Tiada waktu pejabat bagi kerja dakwah ini!

Ini sebagai motivasi dan pengajaran kepada kita para pendakwah hari ini, jangan susah dan sempitkan uslub dakwah!
Jika kita pilih dakwah ini untuk satu masa saja maka ia tidak akan mantap!

Yang bergaji dan ada elaun kena ada, serta yang percuma & sukarela kena ada juga, biar seimbang keduanya!

  1. Ayat 8- {\”Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;} & Ayat 9- {\”Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.}- nabi Nuh menyatakan uslub cara dakwahnya serta jadual masa yang digunakannya! Dia menggunakan pelbagai cara dan waktu yang sesuai!

Ini untuk menyatakan betapa dakwah yang dijalankan tanpa mengira waktu (siang & malam) dan cara itu lebih mantap dan meluas, lebih kuat kesannya, serta dapat mencapai lebih ramai khayalak.

Kita pilihlah mana cara & waktu yang sesuai, yang dapat memberi kesan serta boleh sampai kepada orang yang mahu didakwah!

  1. Ayat 11- {\”(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;} – kamu minta ampun kepada Allah, Allah akan hantar hujan yang mencurah kepada kamu!

Ayat ini menjadi dalil bahawa istighfar itu menurunkan rezeki & hujan rahmat! Istighfar banyak faedahnya dan membawa rezeki dan pelbagai kebaikan!

Maka disunatkan untuk kita perbanyakkan beristighfar apabila di dalam kesusahan- contoh ketika kemarau dan ketiadaan makanan! Istighfar adalah pintu untuk menarik rezeki dan menarik rahmat Allah s.w.t!

Kisah kemarau pada zaman Khalifah Umar r.a:
Umar r.a mengumpul orang ramai untuk melakukan solat minta hujan (istisqa\’) kemudian dalam khutbah dan doanya, Umar menyuruh manusia meminta ampun dan beristighfar kepada Allah s.w.t!
Apabila ditanya kenapa tidak minta hujan, apakah lupa tetapi menyuruh manusia supaya beristighfar?

Umar kata: Aku tidak lupa tetapi kerana istighfar itulah kunci kepada rahmat & rezeki (termasuk hujan) dari Allah s.w.t!
Semua kebaikan akan datang bersamanya.

Ini menunjukkan betapa tingginya ilmu & feqah dan kefahaman Sayyidina Umar r.a.

  1. Ayat 12- {\”Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak;}- nabi Nuh kata sesiapa yang beristighfar, Allah akan berikan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak!

Kata ulama\’ tadabbur: Ayat ini menjadi dalil orang yang mahu ramai anak keturunan; kena banyak beristighfar & amal soleh!

Kerana nabi Nuh telah menjanjikan kepada kaumnya dan Allah s.w.t itu benar dalam janjinya, maka kena rajinlah beristighfar, bertaubat dan beramal soleh kepada Allah s.w.t!

Hatta orang yang ada anak perempuan saja pun boleh cuba kaedah ini untuk mendapatkan anak lelaki pula!

  1. Ayat 12- {\”Dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).}
    Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t akan memberi kebaikan yang banyak dan kehidupan yang baik untuk hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

FIRMAN ALLAH S.W.T :

{Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:97)

Timbul persoalan; bolehkah buat amal untuk mencari kebaikan dunia?

Kita memang mahukan keredhaan Allah s.w.t dunia & akhirat; tetapi apabila kita istiqomah Allah akan beri dan luaskan rezeki semasa masih di atas dunia lagi, tidak salah untuk dunia itu datang sekali!
i- Apabila kita beriman dan buat apa yang Allah s.w.t suka, Allah akan beri dua-dua dunia & akhirat.

ii- Apabila kita buat apa yang Allah tidak suka mungkin Allah s.w.t akan beri kebaikan dunia TETAPI tidak sekali-kali kebaikan di akhirat!

iii- Walaupun ada juga orang beriman yang susah di dunia ini, jangan bimbang, itu hanya ujian dari Allah, kebaikan akhirat yang berganda-ganda menunggunya di akhirat kelak, Insya\’ Allah!

Ayat ini sebagai satu motivasi besar kepada kita untuk sentiasa beristighfar kepada Allah s.w.t, mencari keampunan dan keredhaan-Nya.

Powered by BetterDocs