BEBERAPA KAUM TERDAHULU MENDUSTAKAN RASUL & KEBANGKITAN SEMULA.
Full video : https://youtu.be/XKqkAkRGtxk
MUQADDIMAH :
- Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t menceritakan tentang pendustaan yang dibuat oleh umat-umat terdahulu terhadap nabi-nabi mereka.
- Kemudian Allah nyatakan kebinasaan mereka dan kekuasaan-Nya untuk menghidupkan semula mereka.
- Menjadi bukti dan untuk kita berfikir bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan semula manusia selepas mereka mati.
- Munasabah ayat: Dalam ayat 5 sebelum ini Allah s.w.t telah menyebut bahawa umat-umat terdahulu telah mendustakan kebenaran yang dibawa oleh rasul-rasul mereka, tetapi tidak menyebut siapakah mereka secara khusus.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebut secara jelas dan namakan secara khusus siapakah mereka umat terdahulu yang itu.
Tujuannya untuk menenangkan hati Nabi s.a.w.
AYAT 12- {SEBELUM MEREKA (YANG MENENTANG NABI MUHAMMAD) ITU – KAUM NABI NUH, DAN \”ASHAABUR-RASSI\” SERTA THAMUD (KAUM NABI SOLEH), TELAH JUGA MENDUSTAKAN RASUL MASING-MASING,} (QAAF 50:12)
- Sebelum kaum Quraisy yang menentang dan mendustakan Rasulullah s.a.w, kaum terdahulu juga telah mendustakan para rasul mereka.
- Ayat ini dan dua ayat yang berikutnya menerangkan akibat umat-umat yang tidak beriman serta menentang rasul- mereka.
Ini untuk umat Nabi Muhammad s.a.w mengambik iktibar & pengajaran terhadap apa yang berlaku terhadap mereka, umat terdahulu. - Siapakah mereka ini?
Iaitu:
i- kaum Nabi Nuh a.s
ii- \”Ashaabur-Rassi\” adalah kaum Nabi Syuaib atau kaum salah seorang nabi yang terdahulu. (وَأَصۡحَٰابُ ٱلرَّسِّ)
Kata al-Mawardi- makna ar-Rassi (ٱلرَّسِّ) ialah semua benda yang digali dalam tanah samada kubur atau telaga, lubang yang digali. Atau telaga yang digali.
Yakni mereka adalah kaum penggali lubang.
4. Tentang siapakah mereka ini ada 4 pendapat:
a- telaga yang digali yang dicampak ke dalamnya sohibul-Yaasin iaitu pendakwah yang diceritakan dalam surah Yaasin.
b- ahli telaga di Azarbijan.
c- satu kaum telaga di Yamamah.
d- telaga bagi ashabul-Ukhdud (أَصۡحَٰابُ ٱلۡأُخۡدُودِ) di Najran yang menggali parit api dan campak orang yang beriman ke dalamnya.
Kata Ibnu Jarir rhm. Ulama\’ tafsir berbeza pendapat tentang siapakah mereka ini, ada kata kaum Thamud, ada kata yang timbus nabi mereka dalam telaga.
Kata at-Tobari: Yang sahihnya disimpulkan bahawa mereka adalah kaum yang jahat, telah membunuh nabi mereka dan dicampakkan ke dalam telaga.
Di manakah dan siapakah nabi mereka itu Allah tidak sebutnya, wallahu a\’lam!
iii- kaum Thamud iaitu yang mendustakan Nabi Soleh di al-Hijir (sekarang al-Ula) lebih kurang 400km dari Madinah ke arah Tabuk.
Ia telah menjadi tempat pelancongan.
Peringatan: Jika kita pergi melawat sekarang ini ingatlah ia bukan tempat pelancongan, tempat suka-suka tetapi tempat kaum zalim yang telah diazab untuk kita ambil pengajaran!
AYAT 13- {DAN JUGA AAD (KAUM NABI HUD), DAN FIRAUN, SERTA KAUM NABI LUT,} (QAAF 50:13)
- Juga kaum Nabi Hud iaitu kaum Ad di Yaman lama dulu.
Peringatan telah menjadi satu kekhurafatan sekarang ini di tempat yang didakwa sebagai kubur Nabi Nuh. - Juga kaum Firaun, yang telah menentang Nabi Musa a.s. dikatakan namanya Ramses.
Firaun adalah gelaran kepada raja pemerintah Mesir, mereka ada nama tersendiri pula. - Juga kaum Nabi Lut a.s di Qura Sadum. Sekarang ini telah menjadi Laut Mati di Jordan & sempadan Palestin.
Mereka tiada nama khas, disandarkan kepada nabi yang diutuskan kepada mereka iaitu nabi Nuh a.s.
Sadum- asal kepada perkataan untuk perbuatan Sodomy sekarang. Mereka ini kaum yang mengamalkan LGBT lalu dibinasakan Allah s.w.t dengan dahsyat.
AYAT 14- {DAN JUGA PENDUDUK \”AIKAH\”, SERTA KAUM \”TUBBA\’ \”; TIAP-TIAP SATU KAUM ITU TELAH MENDUSTAKAN RASUL-RASUL (YANG DIUTUS KEPADANYA), LALU MEREKA DITIMPA AZAB YANG AKU JANJIKAN.} (QAAF 50:14)
- Juga penduduk Aikah (nama pokok), sebuah kampung di Madyan, Jordan sekarang. Mereka telah mendustakan nabi mereka, nabi Syuaib.
- Juga kaum \” Tubba\’\”, iaitu nama raja bagi kaumnya di negeri Himyar, Yaman.
Dia adalah seorang raja (tubba\’) yang soleh bernama As\’ad.
Allah mencela kaumnya tetapi tidak Tubba\’ As\’ad yang beriman ini. - Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tobarani dari Ibnu Abbas R.A, Rasulullah s.a.w bersabda, \’\’Janganlah kamu mencaci Tubba\’ kerana dia telah masuk Islam.\’\’
- Dalam riwayat UM Aisyah R.A, sebagaimana dikutip Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengatakan, Tubba\’ adalah seorang laki-laki yang soleh, dia telah buat haji, menutupi Ka\’bah dengan kain bersambung, dan berkorban sebanyak 6.000 ekor unta, serta sentiasa mengagungkan Allah.
- Setiap kaum ini telah mengkhianati dan menentang rasul-rasul mereka, maka Allah s.w.t binasakan mereka!!!
AYAT 15- {(SETELAH MEREKA MELIHAT DAN MEMERHATIKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMI CIPTAKAN ITU) MAKA ADAKAH KAMI TELAH LEMAH DENGAN CIPTAAN YANG PERTAMA ITU (SEHINGGA KAMI TIDAK DAPAT MENGADAKANNYA SEMULA? TIDAK! DAN MEREKAPUN TIDAK MENGINGKARI KEKUASAAN KAMI). BAHKAN MEREKA BERADA DALAM KEADAAN KELIRU DAN RAGU-RAGU TENTANG CIPTAAN MAKHLUK-MAKHLUK (HIDUP SEMULA) DALAM BENTUK YANG BAHARU.} (QAAF 50:15)
- Allah menyuruh manusia yang menentang ini untuk melihat kepada kejadian dan penciptaan diri mereka sendiri yang berasal dari air mani. Allah s.w.t yang telah mencipta mereka untuk kali pertama tidak akan lemah untuk mencipta semula (menghidupkan semula) mereka untuk kali kedua!
- Firman Allah s.w.t:
{\”Tidakkah manusia melihat bahawasanya Kami menciptakan dia dari nuthfah (air mani), kemudian (setelah menjadi manusia) ia menjadi orang yang menentang secara jelas?
Dan dia memberikan suatu permisalan serta melupakan penciptaannya. Ia berkata: Siapa yang akan menghidupkan tulang yang sudah hancur lebur?!.\”} [Yaasin: 77-78]. - Hadis Nabi s.a.w:
عن أبي هريرة رضي الله عنه مرفوعاً: «قال الله: كذَّبني ابنُ آدم ولم يكن له ذلك، وشتمني ولم يكن له ذلك، فأمَّا تكذيبُه إيَّايَ فقوله: لن يعيدَني، كما بدأني، وليس أولُ الخلق بأهونَ عليَّ من إعادتِه، وأما شتمُه إيَّايَ فقوله: اتَّخذَ اللهُ ولدًا، وأنا الأحدُ الصمد، لم ألِدْ ولم أولَد، ولم يكن لي كُفْؤًا أحدٌ». [صحيح] – [رواه البخاري]
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman:
\”Anak Adam telah mendustakan-Ku padahal itu tidak boleh baginya, anak Adam menghina-Ku padahal itu tidak boleh baginya.
Adapun pendustaannya kepada-Ku iaitu perkataannya: (Allah tidak akan membangkitkanku sebagaimana Ia menciptakanku),- padahal tidaklah awal penciptaan lebih mudah bagi-Ku dari membangkitkan.
Adapun penghinaannya kepada-Ku iaitu perkataannya: (Allah mengambil anak),- padahal Aku Maha Esa dan Akulah tempat bergantung, Aku tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sesuatu apapun yang setara dengan-Ku.\” [HR Bukhari].
- Puak kafir ini tidak percaya dan mengingkari kekuasaan Allah s.w.t, mereka sangka Allah itu lemah. Mereka juga keliru dan ragu-ragu serta menyangka Allah s.w.t akan membuat ciptaan makhluk yang baharu.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 12- {Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu – kaum Nabi Nuh, dan \”Ashaabur-Rassi\” serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing,}- Allah s.w.t mencerita dan menyebutkan nama-nama kaum terdahulu ini yang dikatakan telah mendustakan kesemua rasul. Sedangkan mereka ini ada yang beriman dengan sebahagian rasul dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain seperti kaum Nasrani dan yahudi.
Tetapi hukumnya seolah-olah mereka telah mendustakan semua rasul yang Allah s.w.t utuskan dan mereka semuanya adalah kafir!
Ulama\’ kata setiap yang mendustakan rasul itu kafir dan bukan semua kafir yang mendustakakan rasul cuma tidak percaya, maka tetap kafir. Peringkat kekufuran mereka berbeza-beza.
- Ayat 13- {Dan Firaun,}- Allah sebut khas nama dan batang tubuh Firaun sendiri, bukan kaum-kaum seperti yang lain, ini kerana tidak ada lagi firuan yang lain, dia ketua besar dan utama.
Allah sebut nama dia kerana menunjukkan kebesaran dia, kesombongan dan keangkuhannya, menindas kaumnya sendiri. Yakni dia sendiri yang zalim lagi jahat! - Ayat 14- {tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya)}- semua umat yang disebut tadi serta ada lagi yang lain yang tidak disebut nama mereka yang mendustakan rasul-rasul. Ulama\’ juga kata siapa yang mendustakan seorang rasul maka dia akan dikira telah mendustakan semua nabi dan rasul.
Firman Allah swt: {Kaum Nuh telah mendustakan para rasul.} [Asy-Syu\’ara\’: 105.]
Walaupun mereka hanya mendustakan nabi Nuh seorang, tetapi seolah mereka telah mendustakan semua para rasul lain juga.
Matematik akidah: 6-1 = 0!
Yakni jika tidak percaya walaupun dengan hanya salah satu rukun Iman yang enam, akan dikira tidak beriman!
- Ayat 14- {tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab yang Aku janjikan.}- yakni setiap yang menentang rasul akan ditimpa azab yang telah Allah janjuikan (وعيد)!
Janji Allah ini benar tetapi ada pengecualiannya.
ULAMA\’ KATA :
i- Allah s.w.t tidak akan mungkir janji baik-Nya (الوعد) yakni seorang yang akan mendapat balasan baik tidak mungkin akan dibatalkan!
ii-Tetapi Allah mungkin akan tukar janji buruk-Nya (الوعيد) mengikut kehendak Allah. Mungkin seorang yang berdosa akan diampunkan Allah dan ditukar azabnya kepada yang lebih ringan.
Maknanya kita jangan mudah putus asa kerana rahmat Allah itu luas dan mendahului kemurkaan-Nya.
Boleh baca buku susunan DDAAM:
http://www.dartaibah.com/
- Ayat 15- {Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu tentang ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baharu.}- ayat yang mulia adalah sebahgaian dari tanda sebagai dalil tentang kebangkitan semula- Allah s.w.t tidak lemah untuk mencipta makhluk pada kali pertama pasti akan berkuasa dan mampu juga untuk mengulang dan menghidupkan semula mereka!
Allah s.w.t namakan kebangkitan semula dalam al-Quran ini dengan beberapa nama seperti:
i- dalam ayat ini (خلق جديد) dalam bentuk yang baru. Yakni orang sama Cuma hidup balik.
ii- ada juga dengan beberapa perkataan lain seperti (المعاد) bangkit semula. (النشأة الأولي) kejadian yang lain.
Tetapi kata ulama\’ ia adalah orang yang sama, dipasang dan dihidupkan semula untuk dibangkitkan di Akhirat. Ingatlah kita akan bangkit, dihitung dan dihisab, akan dipertanggung-jawabkan dengan semua perbuatan kita atas dunia ini!
Maka kita hendaklah sentiasa beristighfar meminta ampun dari Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t itu Maha Pengampun dan Pengasih.
Mana-mana dosa itu boleh dihapuskan atau Allah sembunyikan dengan istighfar dan penyesalan yang ikhlas.