View Categories

SURAH QAF : AYAT 16-22

\"\"

SEMUA PERBUATAN AKAN DICATAT, KEADAAN SAKARATUL MAUT & HARI KIAMAT TERDEDAH SEGALANYA.

Full video : https://youtu.be/X1h1BLs2fqw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa ilmu-Nya meliputi semua perkara bahkan yang terwaswas dalam hati kita pun Allah s.w.t tahu. Maka semua Perbuatan dan perkataan kita Akan Dicatat oleh malaikat.
  2. Allah gambarkan akan keadaan sakit nak mati iaitu sakaratul-maut yang begitu dahsyat serta di hari Kiamat segala dosa perbuatan kita juga akan didedahkan.
  3. Kita memohon kepada Allah s.w.t agar segala dosa kita diampunkan dan jangan didedahkan di hadapan khayalak ramai kelak.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang:
    i- penciptaan dua makhluk yang besar iaitu langit dan bumi.

ii- Kemudian Allah sebut kejadian manusia pula dalam ayat ini, manusia yang memakmurkan kedua ini.

iii- Allah juga sebut dalam ayat yang lepas tentang dalil kekuasaan-Nya untuk menghidup & membangkitkan semula manusia ini.
Kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan ilmu-Nya yang mengetahui apa yang ada dalam hati kamu pun, apatah lagi tentang jasad kamu yang sudah hancur samada yang hancur dimakan tanah, tebakar atau reput dalam air, dia mengetahui kesemuanya dan berkuasa untuk memanggil baliknya tumbuh bercantum kembali dan hidup semula sebagaimana yang asalnya!


AYAT 16- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENCIPTA MANUSIA DAN KAMI SEDIA MENGETAHUI APA YANG DIBISIKKAN OLEH HATINYA, SEDANG (PENGETAHUAN) KAMI LEBIH DEKAT KEPADANYA DARIPADA URAT LEHERNYA,} (QAAF 50:16)

  1. Ayat ini dan dua ayat berikutnya mengingatkan kita manusia bahawa kita adalah ciptaan Allah serta segala yang ada di bumi dan di langit.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t kata:
    i- Dia yang mencipta manusia!

ii- Allah s.w.t tahu apa terdetik dalam hati manusia, tiada yang tersembunyi dari ilmu-Nya. Apa yang terkhayal dalam hati kita semuanya di bawah ilmu Allah.

Kita manusia tidak mungkin tahu apa yang ada dalam hati manusia lain kecuali diluah atau didedahkannya.

3. Kata Syeikh al-Biqa\’i rhm. maksud ayat ini: Bahawa Allah s.w.t mengetahui wahai orang kafir, walaupun kamu menafi dan mendustakannya tetapi:
i- dalam hati kamu terdetik mengakui kekuasaan Allah s.w.t.

ii- bahawa al-Quran itu benar.

iii- serta benarnya Rasulullah s.a.w dan ajaran yang dibawanya.
Tetapi dek kerana hasad dengki, takabbur dan takut akan kehilangan kuasa dan pengaruh dunia kamu terus menerus mendustakannya dan menolak Islam.

4. Pada zaman kita ini bahayanya; kerana ramai yang tahu kebenaran tetapi berdiam, sembunyikannya kerana takut hilang pengaruh & pangkat, takut kena tukar, takut dilabel dan seumpamanya.

5. Allah s.w.t katakan lagi bahawa Dia lebih dekat dengan kita manusia, lebih daripada urat di leher kita.

6. Kata ulama\’ ada beberapa pendapat:
i- para malaikat yang dekat dengan kita apabila tiba kematian manusia.
ii- ada kata hanya khas malaikat maut yang paling dekat.
iii- Allah dekat dengan kita dengan ilmu-Nya yang mengetahui segala maklumat dan keadaan kita.

7. Kata Ibnu Kathir rhm: Siapa takwil ayat ini dengan ilmu Allah; kerana dikhuatiri akan membawa kepada kefahaman hulul dan ittihad, sedangkan Allah itu rapat dan dekat dengan kita pula- wallahu a\’lam.
Maka banyak ulama\’ tafsir kata ia adalah malaikat atau malaikat maut.

8. Firman Allah s.w.t: {Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,} (Al-Waaqi\’ah 56:85)

9. Hadis dari Abu Musa al-Asy\’ari: Nabi ke Khaibar Bersama para sahabat untuk menawan kota Yahudi itu.
Lalu ketika para sahabat sampai dari perjalanan mereka di lembah Khaibar, mereka membaca tahlil dan takbir dengan suara yang sangat kuat.
Lalu Rasulullah berkata kepada mereka:
اِرْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا ، إِنَّمَا تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا …
\”Ringankanlah atas diri kamu (jangan memaksakan diri menguatkan suara secara berlebihan), sesungguhnya kamu tidak meminta kepada zat yang tidak mendengar dan tidak kepada yang ghaib, kamu meminta kepada Allah Yang Maha Mendengar Dan Maha \”Dekat\” …\”. (HR. al-Bukhari) [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 17- {SEMASA DUA MALAIKAT (YANG MENGAWAL DAN MENJAGANYA) MENERIMA DAN MENULIS SEGALA PERKATAAN DAN PERBUATANNYA; YANG SATU DUDUK DI SEBELAH KANANNYA, DAN YANG SATU LAGI DI SEBELAH KIRINYA.} (QAAF 50:17)

  1. Allah nyatakan ada dua malaikat yang menjaga kita, satu duduk sebelah kanan satu sebelah kiri kita. Yang mengawal dan menulis segala amal perbuatan.
  2. Munasabah ayat: Setelah Allah sempurnakan tentang cerita kejadian manusia serta dia tahu apa yang ada dalam hati dan sebut bahawa Dia dekat dengan kita { أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ } dan mengetahui segalanya, maka Allah nyatakan pula bahawa di kiri-kanan kita ada dua malaikat yang mencatat amalan, apa saja yang terbit dari kita. Malaikat akan kira balik (audit) apa yang kita buat dan tidak akan terpisah dari kita sedetikpun!
  3. Kata Ibnu Rajab: Sepakat para ulama\’ salaf bahawa malaikat yang berada di sebelah kanan menulis segala amal kebaikan manakala malaikat yang di sebelah kiri akan menulis yang buruk dan tidak baik.
  4. Persoalan: Allah s.w.t kata Dia tahu semuanya, tetapi kenapa perlu tulis dan catat lagi?
    Jawapan: Kerana ia akan dibentangkan untuk kita baca dan lihat sendiri nanti di akhirat sebagai satu dalil dan hujjah.
  5. Ingatlah: Surat amalan yang akan kita baca nanti, kita sendirilah yang menulisnya sekarang ini!

AYAT 18- {TIDAK ADA SEBARANG PERKATAAN YANG DILAFAZKANNYA (ATAU PERBUATAN YANG DILAKUKANNYA) MELAINKAN ADA DI SISINYA MALAIKAT PENGAWAS YANG SENTIASA SEDIA (MENERIMA DAN MENULISNYA).} (QAAF 50:18)

  1. Tidak akan terlepas atau keluar dari manusia itu, percakapan, tulisan atau perbuatan kecuali akan dikawal, dicatat oleh malaikat pengawal ini.
  2. Malaikat ini tugasnya adalah sebagai pengawal dan pemerhati (رَقِيبٌ ٞ) serta yang sentiasa hadir dan tidak pernah ghaib (عَتِيدٞ). Ini satu malaikat saja, jawatan dan tugasnya adalah (رَقِيبٌ عَتِيدٞ).
  3. Hadis: Dari Alqamah bin Waqqas dari Bilal bin al-Haris, r.a: Ada orang yang bercakap dengan kalimah yang diredhai Allah tanpa fikir besar kesan pahalanya, Allah s.w.t akan tulis keredhaan-Nya sehingga ke hari Kiamat. Manakala sebaliknya orang yang bercakap dengan ucapan yang dimurkai Allah dan dia tidak menyangka ianya begitu berat, Allah s.w.t akan tulis kemurkaan-Nya sehingga ke hari Kiamat.\”

Lalu kata Alqamah: Betapa banyak kata-kata aku nak ucapkan tetapi tersekat apabila teringat akan hadis Bilal ini. [HR At-Tirmizi dan lain-lain].

Ada ulama\’ hadis kata kalimah kufur, kalimah syirik, ada kata tidak sampai ke tahap itu, seperti kalimah mengampu pemimpin yang zalim juga dikira begitu.

AYAT 19- {DAN (APABILA SAMPAI AJAL SESEORANG) DATANGLAH \”SAKARATULMAUT\” MEMBAWA KEBENARAN (YANG TELAH DIJANJIKAN, SERTA DIKATAKAN KEPADA YANG MENGINGKARINYA SEBELUM ITU): \”INILAH PERKARA YANG ENGKAU SELALU MENGELAK DIRI DARIPADANYA!\”} (QAAF 50:19)

  1. Apabila seseorang itu tiba saat kematianya, baru dia sedar dan nampak apa yang didustakannya selama ini adalah benar. Benar apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w.
  2. Setelah hujjah orang yang tidak percaya kepada kebangkitan hidup semula ditolak oleh Allah dalam ayat 4 hingga 11 dan ayat 15, maka dalam ayat ini dan berikutnya, dinyatakan Allah menyatakan bahawa mereka akan tetap menemui perkara yang mereka ingkari dengan jelas dan nyatanya apabila mereka didatangi malaikat maut.
  3. Kata ulama\’: Apabila kesakitan nak mati datang kepada manusia, tiada suara lagi yang keluar kerana terlalu sakit azabnya!
    Maka dia akan nampak apa akan berlaku selepas dia mati, pahala dan dosanya, bahagia atau celakanya pengakhirannya, terzahirlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w!

4.Kata Ibnul Jauzi: – maksud { بِٱلۡحَقِّۖ- dengan benar} iaitu dengan hakikat kematian yang jelas.

  1. Ada ulama\’ kata maksudnya benarnya apa yang dijanjikan selama ini mereka kata dusta.
  2. Hadis dari UM Aisyah r.a:
    رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو بالموت وعنده قدح فيه ماء وهو يدخل يده في القدح ثم يمسح وجهه بالماء ثم يقول :أَللهُمَّ أَعِنِّيْ عَلى غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَسَكَرَاتِ الْمَوْتِ
    Aku melihat Rasulullah s.a.w ketika sudah dekat saat kematiannya. Di sampingnya ada bekas berisi air. Baginda lalu memasukkan tangannya ke dalam bekas itu lalu mengusap wajahnya dengan air.

Kemudian dia berdoa:
أَللهُمَّ أَعِنِّيْ عَلى غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَسَكَرَاتِ الْمَوْتِ
Ya Allah, tolonglah aku dari kesakitan dan kesulitan kematian (sakaratul-maut). [HR at-Tirmizi & Ibnu Majah].

  1. Hadis dari Ibnu Umar r.a, sabda Rasulullah s.a.w: Seorang kamu apabila telah mati akan dibentangkan setiap waktu pagi & petang tempat duduknya di mana lepas Kiamat nanti, jika orang baik syurga yang penuh nikmat atau jika orang jahat ditunjukkan neraka yang penuh azab! [HR Bukhari & Muslim].
  2. Begitulah Sakaratul maut, yang kamu ingkari dan dustai dulu, datangnya sekarang kesakitan didepan mata kamu!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)\”.} (Al-Jumu\’ah 62:8)
  4. Apabila kita sudah mati, masuk dalam kubur hanya menunggu saat dibangkitkan semula pada hari Kiamat nanti!

AYAT 19- {DAN (APABILA SAMPAI AJAL SESEORANG) DATANGLAH \”SAKARATULMAUT\” MEMBAWA KEBENARAN (YANG TELAH DIJANJIKAN, SERTA DIKATAKAN KEPADA YANG MENGINGKARINYA SEBELUM ITU): \”INILAH PERKARA YANG ENGKAU SELALU MENGELAK DIRI DARIPADANYA!\”} (QAAF 50:19)

  1. Apabila tiba hari Kiamat akan ditiup sangkakala/serunai (ٱلصُّورِ) untuk menghidupkan segala makhluk yang telah mati. Sedangkan amaran tentang saat itu telah diberikan tetapi kita yang tidak hiraukannya dan terus dalam lagha!
  2. Hadis dari Abdullah bin \’Amru al-\’Ash r.anhuma:
    جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ \”‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏\”‏
    Maksudnya: \”Telah datang seorang Badwi kepada Nabi S.A.W, lalu berkata: \”Apakah al-Sur (ٱلصُّور)?\”
    Jawab Baginda: \”(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.\” [HR at-Tirmizi (2430)]
    Ini adalah tiupan yang kedua.

AYAT 21- {DAN (SETELAH ITU) DATANGLAH TIAP-TIAP ORANG (KE PADANG MAHSYAR), DISERTAI (DUA MALAIKAT: YANG SATU MENJADI) PEMBAWA, DAN (YANG SATU LAGI MENJADI) SAKSI;} (QAAF 50:21)

  1. Pada ketika itu datang dua malaikat, satu menarik membawanya ke padang Mahsyar, satu lagi mendedahkan segala apa perbuatannya!
  2. Semua manusia samada yang beriman atau yang kafir akan dibawa ke padang mahsyar untuk dihisab.
  3. Ayat ini patut kita tadabburkan, perhati & fahamkan maknanya pada waktu malam. Insya\’ Allah air mata penyesalan dan keinsafan akan mengalir ketakutan,

AYAT 22- {(SERTA DIKATAKAN KEPADANYA): \”DEMI SESUNGGUHNYA! ENGKAU DI DUNIA DAHULU BERADA DALAM KEADAAN LALAI TENTANG (PERKARA HARI) INI, MAKA KAMI HAPUSKAN KELALAIAN YANG MENYELUBUNGIMU ITU, LALU PANDANGANMU PADA HARI INI MENJADI TAJAM (DAPAT MENYAKSIKAN DENGAN JELASNYA PERKARA-PERKARA HARI AKHIRAT)\”.} (QAAF 50:22)

  1. Dikatakan kepada manusia: Kamu dulu lalai dan lupa. Tidak membuat persiapan untuk menghadapi hari Kiamat ini!
    Maka Allah buka pandangan kamu menjadi tajam sehingga sudah jelas segala yang dijanjikan Allah s.w.t pada hari akhirat di depan mata!
  2. Percakapan ini untuk semua manusia, yang kafir atau yang mukmin! Semuanya akan terbongkar terdedah pada hari Kiamat.
  3. Ayat ini elok kita jadikan sebagai ayat tadabbur sebagai pelembut hati kita, supaya kita ingat bahawa kita semua akan bertemu Allah, membuat persiapan untuk menghadapi maut dan Kiamat yang tidak dapat kita elak dan lari!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 16- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,}- kata ulama\’ tadabbur, ayat ini suatu amaran jangan buat maksiat secara zahir atau secara tersembunyi kerana Allah s.w.t tahu apa yang kamu buat, semua rahsia dan apa yang terselindung.

Di sini kita kena faham, letakkan dalam kepala kita bahawa kita ini sentiasa di bawah pengawasan (muraqobah) Allah s.w.t, maka kita buatlah apa yang Allah suka dan redha supaya kita selamat di dunia dan akhirat kelak. Jangan sekali-kali buat benda yang akan menyusahkan kita di akhirat nanti!

Inilah darjat ihsan (sentiasa merasa pengawasan Allah) darjat yang tinggi selepas kita beriman dan melakukan ketaatan.

  1. Ayat 16- {Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,}- ayat ini memberi ketakutan kepada suatu kaum yang beriman, bahawa Allah itu sentiasa ada dekat kita,
    Kata ulama\’: Maka hendaklah kamu berasa malu untuk berada di tempat yang Allah larang dan tidak suka!
    Jangan pula kita hilang dari tempat yang Allah suruh kita pergi seperti di masjid.
    Kita juga kena malu kerana di kiri kanan kita ini ada dua malaikat yang mengawal dan mencatat segala perbuatan kita.
    Semua amalan kita yang baik atau buruk akan dicatat dan dipersoalkan!
  2. Ayat 17- {Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.}- dua malaikat mengawal dan menulis setiap perbuatan dan perkataan kita, satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri!

Kata ulama\’; Allah s.w.t tak kata malaikat ini duduk atas bahu kita tetapi dia duduk di sebelah kanan dan kiri kita. Bukan bertenggek atas bahu kita sebagaimana yang disangka kebanykan orang.
Manakala fahaman malaikat yang sebelah kanan menulis baik dan yang sebelah kiri menulis yang buruk adalah disepakati ulama\’.

  1. Ayat 18- {Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).}- tidak mengeluarkan satu ucapan, perkataan, satu tulisan, share atau forward kecuali ada malaikat yang mengawal dan menulisnya!

Kata ulama\’ penyakit yang dibawa lidah ini besar sekali, jika selamat maka selamatlah tuannya.

Ada dua penyakit lidah:
i- banyak berkata. Orang yang bercakap dengan benda batil itu adalah syaitan yang bercakap. Berapa banyak orang yang dihumbankan ke dalam neraka kerana ucapan yang batil. Samada menipu atau mengampu, menfitnah dan mengeji!

ii- penyakit diam- iaitu diam daripada menyatakan kebenaran atau menegur benda mungkar itu adalah syaitan bisu! Dia derhaka kepada Allah dan bermuka-muka dengan orang yang fasiq.

Malaikat ini adalah satu saja, nama dan jawatannya adalah (رَقِيبٌ عَتِيدٞ) iaitu penulis dan pengawal bagi semua benda perbuatan atau perkataan kita.

  1. Ayat 21- {Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: yang satu menjadi) pembawa, dan (yang satu lagi menjadi) saksi;}- Allah s.w.t menjaga hamba-Nya, dibawa oleh malaikat yang akan menjadi saksi dengan dihantar malaikat untuk menjaga dan mencatat segala amalannya. Ini menunjukkan keadilan Allah s.w.t, kerana mahu manusia tahu, dia akan membaca dan melihat sendiri buku amalannya nanti.

Inilah pentingnya kita beriman dengan malaikat yang sentiasa Bersama kita, menjaga mencatat dan akan menjadi saksi untuk kita nanti.

Kita minta kepada Allah agar tunjukkan kepada kita semasa atas dunia ini lagi kebenaran yang haq, jangan dekat nak mati atau di akhirat nanti baru terdedah segalanya.

Ya Allah! Tunjukkan kepada kami yang benar itu benar agar kami dapat mengamalkannya serta tunjukkan yang batil itu batil agar kami dapat menjauhinya untuk selamat di dunia dan akhirat!

Boleh lihat Kuliah DAAM dalam youtube tajuk: Orang yang didoakan malaikat:
https://www.youtube.com/watch?v=7MHsbARvLQA

Powered by BetterDocs