View Categories

SURAH QAF : AYAT 31-35

\"\"

KEADAAN ORANG MUTTAQIN, SIFAT MEREKA & NIKMAT SYURGA YANG DIJANJIKAN.

Full video : https://youtu.be/RLCWf6J0LyA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan orang yang bertaqwa di akhirat kelak. Betapa keadaan mereka sangat menggembirakan dengan ditunjukkan tempat yang mereka akan diami nanti iaitu syurga yang penuh nikmat sebelum perbicaraan (hisab) lagi!
  2. Antara sifat dan ciri-ciri mereka ialah orang yang banyak kembali kepada Allah dan menjaga hukum dan Syari\’ah.
  3. Kemudian Allah nyatakan nikmat mereka yang terbesar setelah masuk syurga ialah dapat memandang kepada wajah Allah s.w.t yang Maha Mulia!
  4. Munasabah ayat: Allah sebut keadaan orang mukmin selepas ditiup sangkakala pada hari Kiamat, iaitu apabila semua jiwa keluar dari kubur berkumpul di Mahsyar untuk dihisab.
    Sebelum ini Allah s.w.t telah sebut tentang kisah dan keadaan orang kafir dan berdosa para penghuni neraka.
    Begitulah ayat-ayat al-Quran ini akan disebut terus dua keadaan dan yang berbeza seperti syurga & neraka, orang mukmin & orang kafir.

Tetapi kenapa dalam ayat ini disebut neraka dulu sebelum syurga?
Jawapan: Ini kerana ayat-ayat ini adalah perbincangan tentang amaran dan peringatan maka disebut tentang neraka dan penghuninya dahulu. Kemudian baru diikuti dengan syurga dan nikmatnya.

  1. Kemudian dicertakan juga dalam ayat lepas bagaimana neraka minta tambah penghuninya (مَزِيدٞ) tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t yang nak beri tambah (مَزِيدٞ) kepada ahli syurga pula. Keduanya mempunyai kalimah tambahan (مَزِيدٞ) tetapi dimensi yang amat berbeza.

AYAT 31- {DAN (INGATKANLAH PULA HARI) DIDEKATKAN SYURGA BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DI TEMPAT YANG TIDAK JAUH (DARI MEREKA).} (QAAF 50:31)

  1. Ingatlah pada hari Kiamat nanti iaitu apabila manusia keluar dari kubur dan berkumpul di padang Mahsyar.
  2. Syurga didekatkan kepada mereka orang yang beriman dan bertaqwa. Iaitu ditunjukkan kepada mereka samada secara dekat (seperti zoom sekarang) atau bagaimana, wallahu a\’lam.
  3. Orang yang bertaqwa ialah mereka yang mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh keimanan dan ikhlas.
  4. Ini adalah untuk memuliakan ahli syurga dan menyegerakan sebab yang mengembirakan mereka, bahawa itu adalah destinasi terakhir mereka walaupun mereka terpaksa melalui proses hisab dan pengadilan dulu.
  5. Ya Allah permudahkanlah urusan kami di Padang Mahsyar dengan tanpa hisab atau hisab yang mudah dan selamat dari neraka!
  6. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {\”Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat;} (Asy-Syu\’araa\’ 26: 90-91)

ii- {Dan apabila Syurga didekatkan;} (At-Takwiir 81:13)

  1. Hadis Rasulullah s.a.w: \”Allah kumpulkan manusia pada hari Kiamat; maka bangun berdiri orang mukmin di depan Allah dan nampak syurga dekat di hadapan mereka…. [HR Muslim].

AYAT 32- {(SERTA DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”INILAH YANG DIJANJIKAN KEPADA KAMU, – KEPADA TIAP-TIAP HAMBA YANG SENTIASA KEMBALI (KEPADA ALLAH DENGAN MENGERJAKAN IBADAT), LAGI YANG SANGAT MEMELIHARA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA (SEGALA HUKUM DAN PERATURAN ALLAH);} (QAAF 50:32)

  1. Lalu dikatakan kepada mereka: Inilah balasan yang dijanjikan kepada kamu, iaitu syurga yang penuh nikmat dan keindahan.
  2. Mereka yang layak mendapat kemuliaan ini ialah:
    i- setiap hamba yang sentiasa kembali kepada Allah dengan mengerjakan ibadat, (أَوَّابٍ ).
    ii- juga yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya segala hukum dan peraturan Allah. (حَفِيظٖ).
  3. Hadis Rasulullah s.a.w: Dari Ibnu Abbas r.anhuma; Pada suatu hari Rasulullah membawa aku menggendong tunggangannya kemudian Baginda bersabda:

\”يَا غُلاَمُ، إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ؛ احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ،\”……
Wahai anak (غلام)! Aku nak ajar kepada kamu beberapa patah perkataan nasihat:
i- kamu jaga hak Allah, Dia akan jaga hak kamu!
ii- kamu jaga hak Allah, Dia akan membimbing kamu!\”
[HR Ahmad & at-Tirmizi].

AYAT 33- {\”(IAITU) ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR PERINTAH ALLAH) YANG MAHA PEMURAH, SEMASA TIDAK DILIHAT ORANG DAN SEMASA IA TIDAK MELIHAT AZAB ALLAH, SERTA IA DATANG (KEPADA ALLAH) DENGAN HATI YANG TUNDUK TAAT\”.} (QAAF 50:33)

  1. Sifat ketiga orang mukmin ini: Dia takut kepada Allah s.w.t dan tidak buat dosa maksiat samada ketika ada orang lihat (terang-terangan) atau secara ghaib, tidak ada orang lihat.
  2. Sifat keempat: Mereka datang kepada Tuhannya dengan hati yang tunduk taat, penuh kecintaan kepada Allah dengan melakukan ketaatan patuh dan akur serta ikhlas kepada lah Azza wa Jalla.

AYAT 34- {(MEREKA DIPERSILAKAN OLEH MALAIKAT DENGAN BERKATA): \”MASUKLAH KAMU KE DALAM SYURGA DENGAN SELAMAT SEJAHTERA; HARI INI IALAH HARI (BERMULANYA) KEHIDUPAN YANG KEKAL\”.} (QAAF 50:34)

  1. Apabila selesai perbicaraan dan dia layak ke syurga, maka malaikat mempersilakanya untuk masuk ke dalam syurga dengan selamat sejahtera.
  2. Kemudian malaikat sifatkan syurga itu sebagai kehidupan yang kekal abadi. Semenjak hari itu bermulanya hidup mereka yang kekal.
  3. Apa faedah diberitahu kekal, sedangkan sudah maklum syurga itu kekal?
    Jawapan: Sebagai satu kepastian yang jelas untuk menenang dan menggembirakan hati ahli syurga bahawa mereka akan kekal di situ selamanya.

AYAT 35- {MEREKA BEROLEH APA YANG MEREKA KEHENDAKI DI SITU, DAN DI SISI KAMI ADA LAGI TAMBAHAN (LIMPAH KURNIA YANG TIDAK TERLINTAS DI HATI MEREKA).} (QAAF 50:35)

  1. Allah nyatakan juga di dalam syurga terdapat segala nikmat yang mereka inginkan dan terlintas dalam hati.

2, Kemudian ada lagi tambahan (مَزِيدٞ) limpah kurnia yang Allah akan beri kepada mereka, yang tidak pernah terlintas di hati mereka.

  1. Iaitu nikmat memandang kepada wajah Allah s.w.t yang Maha Mulia.
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia.} (Yunus 10:26)

iii- {Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.} (Al-Qiaamah 75: 22-23)

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah S.A.W membaca ayat dari surah Yunus ini:
    لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ

Maksudnya: {Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia.}

Setelah bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta\’ala berfirman: \”Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?\”

Mereka menjawab: \”Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?\”

Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah \’Azza wa Jalla. [HR Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187)].

ii- Hadis riwayat Jarir bin Abdillah R.A:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ ‏ \”‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ

Maksudnya: Suatu malam kami duduk bersama Rasulullah S.A.W dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: \”Kamu akan melihat Tuhan kamu sepertimana kamu melihat bulan ini, dan kamu tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.\” [Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)]

iii- Hadis riwayat Abdullah bin Umar R.\’Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَعَلَّمُوا أَنَّهُ لَنْ يَرَى أَحَدٌ مِنْكُمْ رَبَّهُ حَتَّى يَمُوتَ

Maksudnya: Ketahuilah, bahawa tiada seorangpun dari kamu yang akan melihat Tuhannya sehinggalah setelah dia meninggal dunia. [Sahih Muslim (2930)].

  1. Inilah huraian ringkas tentang sifat orang yang bertaqwa yang layak untuk memandang wajah Allah Azza wa Jalla kelak. Ya Allah jadikan kami daripada golongan ini.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 31- {Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka).}- Syurga didekatkan (أُزۡلِفَتِ) kepada orang yang bertaqwa.

Ulama\’ membawa beberapa pandangan tentang makna didekatkan ini:
i- Allah s.w.t yang Maha berkuasa mendekatkan secara hakiki syurga itu kepada orang mukmin. Yakni diangkat dan dibawa datang syurga itu dekat kepada mereka, untuk menyatakan kemuliaan ahli syurga.

ii- syurga itu tidak begerak dan tidak dipindahkan, orang mukmin juga belum masuk syurga lagi, cuma Allah menampakkan syurga itu seolah dekat dengan mereka.
Sebagai gambaran; Seolah teknologi zoom gambar seperti kita sekarang.

iii- Allah dekatkan syurga maknanya Allah menyatakan orang yang bertaqwa itu layak ke syurga. Dekat saja yakni tidak lama lagi mereka akan masuk syurga.
Wallahu a\’lam.

  1. Ayat 32- {(Serta dikatakan kepada mereka): \”Inilah yang dijanjikan kepada kamu, – kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah);}- di sini Allah sebut dua sifat hamba-Nya, apa bezanya? Kerana seolah sama saja dua sifat ini kembali & taat kepada Allah (أَوَّابٍ حَفِيظٖ).

Jawapannya; Ulama\’ kata nafsu kita ini ada dua kekuatan:
i- kehendak menuntut mahu sesuatu (طلب)
ii- kekuatan menahan diri dari melakukan sesuatu (إمساك)

Maka kalimah:
i- Awwab- menunjukkan orang ini kuat beramal ibadat, kuat melakukann perkara yang boleh mendapatkan keredhaan Allah s.w.t!

ii- Hafiz- pula menjaga diri, jaga keselamatan dan SOP Syari\’ah dari terjebak dengan benda mungkar dan maksiat.

Ada juga ulama\’ kata hafiz yakni dia jaga semua arahan Allah Taala, dalam semua perkara, jaga ibadat, jaga solat, jaga aurat, jaga mu\’amalat dan lain-lain.

  1. Ayat 33- {\”(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah (ٱلرَّحۡمَٰنَ) semasa tidak dilihat orang}- kata ulama\’; kita takut kepada Allah s.w.t itu dalam semua keadaan, secara ghaib tersembunyi atau secara terangan di depan orang, inilah orang yang benar-benar bertaqwa.

i- Hadis- Rasulullah s.a.w:
عَنْ ثَوْبَانَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- أَنَّهُ قَالَ : « لأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِى يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا ». قَالَ ثَوْبَانُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لاَ نَكُونَ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لاَ نَعْلَمُ. قَالَ : « أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا »

Dari Thauban, dari Nabi s.a.w, ia berkata, \”Sungguh aku mengetahui suatu kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan banyak kebaikan seperti Gunung Tihamah. Namun Allah menjadikan kebaikan tersebut menjadi debu yang bertebaran.\”

Thauban berkata, \”Wahai Rasulullah, coba sebutkan sifat-sifat mereka pada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.\”

Rasulullah s.a.w bersabda, \”Adapun mereka adalah saudara kamu semua. Kulit mereka sama dengan kulit kamu. Mereka menghidupkan malam (dengan ibadah) seperti kamu. Akan tetapi mereka adalah kaum yang jika berseorangan mereka merobek tirai untuk berbuat maksiat pada Allah.\” [HR. Ibnu Majah].

ii- Maka antara sifat orang mukmin ialah beriman dan takut kepada Allah s.w.t secara ghaib dan terang.

iii- Disini disebut dua sifat: kembali kepada Allah (أَوَّابٍ) & tunduk taat kepada Allah (مُّنِيبٍ). Ini kerana orang yang takut dia akan kembali kepada Allah dan akan menjaga (حَفِيظٖ) segala hak Allah ke atasnya. Inilah sifat tiga serangkai yang amat besar.

Allah s.w.t juga kata hamba yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pengasih (خَشِيَ ٱلرَّحۡمَٰنَ):
yakni Tuhan yang Maha Kasihan Belas dan Maha Pengampun, ini kerana jika kita takut semata-mata dan takut yang amat tanpa ada peluang bertaubat maka ia akan membawa kepada sakit jiwa, tekanan dan stress.

Maka jauhilah larangan-Nya dan jika tersalah bertaubat dan beristighfar memohon keampunan-Nya, bukan sekadar takut tanpa usaha, cuma angan-angan saja.

  1. Ayat 34- {(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): \”Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal\”.} – kenapa Allah sebut masuk ke dalam syurga yang kekal (يَوۡمُ ٱلۡخُلُودِ) sedangkan sudah pastilah dalam syurga itu kekal? Yakni sesuatu yang sudah dimaklumi jika masuk syurga tak keluar-keluar dah.

Jawapan:
i- ini adalah khabar yang kita terima semasa di dunia, dunia tidak kekal berlawanan dengan akhirat. Maka beramal dan beribadatlah untuk mendapatnya, patutlah dinyatakan kekekalan syurga itu.

ii- sebagai satu ta\’kid yang jelas, walaupun sudah tahu tetapi bila ada yang bertulis lebih pasti dan yakin, serta untuk ketenangan hati.

iii- ia juga sebagai satu kemuliaan untuk ahli syurga.

  1. Ayat 35- {Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).}- Allah nyatakan bahawa bagi ahli syurga itu:
    i- semua apa yang kamu inginkan dan terlintas dalam hati ada dalam syurga, kamu akan dapatinya!

ii- Tetapi ada lagi nikmat tambahan (وَلَدَيۡنَا مَزِيدٞ) yang Allah s.w.t kurniakan kepada ahli syurga, limpah kurnia yang tidak pernah terlintas di hati mereka, yang tidak dijangka, lebih dari yang dicita-citakan oleh manusia..

iii- iaitu melihat kepada wajah Allah Azza wa Jalla yang amat Mulia.
Inilah nikmat yang terbesar, yang terbaik, sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ya Allah jadikanlah kami ahli syurga-Mu yang kekal abadi dan nikmat untuk memandang wajah-Mu kelak.

Powered by BetterDocs