HARI KIAMAT SEMUA KELUAR DARI KUBUR & BERI PERINGATAN DENGAN QUR\’AN.
Full video : https://youtu.be/dIxTHof6w28
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah ini adalah siri yang ke-9 dan terakhir bagi surah Qaf yang mempunyai 45 ayat ini.
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang huru-haranya hari Kiamat apabila ditiup sangkakala yang kedua; iaitu apabila manusia keluar dari kubur masing-masing.
- Allah s.w.t juga ingatkan bahawa Rasulullah s.a.w sebagai seorang Rasul yang menyampaikan risalah Allah s.w.t, Baginda tidak mampu untuk memberi hidayah taufiq, membuka hati manusia, Baginda hanya menyampaikan dakwahnya dengan membuka telinga manusia.
- Allah juga nyatakan bahawa al-Quran adalah alat yang paling berkesan dan kuat untuk membuka, menyentuh dan merempuh hati manusia!
AYAT 41- {DAN DENGARLAH (APA YANG DITERANGKAN KEPADAMU SEKARANG INI MENGENAI HARI KIAMAT), HARI (MALAIKAT YANG MENJADI) PENYERU, MENYERU (MAKHLUK-MAKHLUK YANG TELAH MATI) DARI TEMPAT YANG DEKAT YANG DAPAT DIDENGAR OLEH SEMUANYA),} (QAAF 50:41)
- Sekarang dengarlah wahai Muhammad s.a.w tentang hari Kiamat yang diceritakan oleh Allah s.w.t. Iaitu apabila malaikat meniup serunai atau sangkakalanya dari tempat yang dekat.
- Apakah hari Kiamat? Hari yang dekat dan penuh huru-hara, hari Kebangkitan semula manusia keluar dari kubur.
- Apakah pula makna tempat yang dekat? Kerana semua orang boleh dengar apa yang diseru oleh malaikat!
- Kata Syeikh as-Sam\’ani:
i- Siapakah pula yang memanggil (penyeru) itu? Ramai ulama\’ tafsir kata ia adalah; Malaikat Israfil.
ii- Dari manakah Israfil menyeru itu? Dari atas batu di Baitul-Maqdis, Palestin. Dia menyeru semua tulang dan kulitnya telah reput….
- Kata Ibnu Atiyah rhm. Jika cerita ini datang dari Rasulullah s.a.w dengan wahyu Allah s.w.t, kita terimanya. Tetapi jika hanya disampaikan oleh manusia lain maka kita tidak ada cara untuk menentukan samada ia adalah benar atau tidak.
Yakni tidak ada sanad untuk dipegang! - Kata Ibnu Asyur rhm.: Ayat ini memberi ketenangan kepada Rasulullah s.a.w iaitu Allah s.w.t telah memberi amaran kepada puak kafir dengan azab yang segera, yang akan menimpa mereka atas dunia ini.
- Antara yang terawal ialah apa yang menimpa mereka dalam peperangan Badar. Maka mengikut tafsir yang dekat: ayat ini dituju kepada Rasulullah s.a.w iaitu:
i- pada hari Abu Jahal menyeru memanggil semua pengikutnya untuk keluar menyerang Rasulullah s.a.w dan orang mukmin.
ii- Tempat yang dekat; maksudnya Makkah.
iii- Tempat mereka keluar ialah ke peperangan Badar.
- Kisah ini telah berlalu maka untuk kita pilih tafsir yang jauh, yang akan datang iaitu hari Kiamat juga tidak salah. Wallahu a\’lam.
AYAT 42- {IAITU HARI MEREKA MENDENGAR PEKIKAN SERUAN YANG MENYATAKAN PERKARA YANG BENAR; HARI SERUAN ITU IALAH HARI MASING-MASING KELUAR DARI KUBUR.} (QAAF 50:42)
- Hari seruan ini apabila Israfil meniup sangkakalanya dan dapat didengar oleh semua makhluk.
- Hari seruan itu juga apabila manusia keluar daripada kubur masing-masing untuk berkumpul di padang Mahsyar.
- Allah nyatakan hari itu benar dan pasti akan berlaku.
AYAT 43- {SESUNGGUHNYA KAMI MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN, DAN KEPADA KAMILAH SAHAJA TEMPAT KEMBALI (SEKAMU MAKHLUK).} (QAAF 50:43)
- Allah s.w.t yang berkuasa menghidupkan dan mematikan setiap makhluk, apabila tiba waktu ajalnya.
- Firman Allah s.w.t: {Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Hadiid 57:2)
- Allah nyatakan di akhir ayat bahawa semua manusia akan kembali kepada Allah pada hari Kiamat. Mereka akan dihitung dihisab untuk mendapat pembalasan yang adil!
- Ya Allah berikan kami hisab yang mudah dan melalui titian Sirat dengan selamat.
AYAT 44- {PADA HARI BUMI TERBELAH-BELAH UNTUK MEREKA SEGERA KELUAR (DARIPADANYA). PERBUATAN (MENGHIDUPKAN DAN) MENGHIMPUNKAN MEREKA DI PADANG MAHSYAR ITU, MUDAH BAGI KAMI MELAKSANAKANNYA.} (QAAF 50:44)
- Pada hari bumi terbelah terbuka, untuk membolehkan manusia yang hidup kembali keluar dari perutnya iaitu kubur masing-masing.
- Mereka keluar dari kubur lalu bergerak dengan laju dan pantas menuju ke padang Mahsyar.
- Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: Pada hari itu Allah s.w.t turunkan hujan dari langit dan menumbuhkan jasad manusia dari kubur mereka sebagaimana tumbuhnya biji-bijiran yang disirami air hujan. Apabila semua tubuh telah sempurna, Allah s.w.t perintahkan Israfil meniup serunainya yang kedua. Lalu roh setiap manusia datang dan masuk ke dalam jasad masing-masing, bumi pun terbuka terbelah, mereka pun bangun hidup kembali dan keluar dari kubur masing-masing, berjalan cepat-cepat bersegera ke Padang Mahsyar untuk menerima arahan Allah s.w.t!
Ini adalah kesimpulan yang dibuat oleh Ibnu Kathir rrhm berdasarkan beberapa hadis yang dikumpulkan tentang Kebangkitan semula ini. Jazahullahu khaira.
- Hadis Rasulullah s.a.w: \”Aku manusia pertama keluar dari bumi.\” [HR Bukhari].
- Perbuatan membangkitkan dan mengumpulkan semua manusia itu di padang Mahsyar adalah satu perkara yang amat mudah, senang dan kecil bagi Allah s.w.t, tiada susah dan payah!
- Firman Allah s.w.t:
i- {(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Luqman 31:28)
ii- {Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).} (Yaa Siin 36:53)
AYAT 45- {KAMI LEBIH MENGETAHUI APA YANG MEREKA KATAKAN (DARI BERBAGAI TUDUHAN TERHADAPMU WAHAI MUHAMMAD), DAN ENGKAU BUKANLAH SEORANG YANG BERKUASA MEMAKSA MEREKA (SUPAYA MASING-MASING BERIMAN). OLEH ITU, BERILAH PERINGATAN DENGAN AL-QURAN INI KEPADA ORANG YANG TAKUTKAN JANJI AZABKU.} (QAAF 50:45)
- Rasulullah s.a.w tidak pernah mengata dan mencela orang tetapi puak kafir itu mudah-mudah mencela, menuduh dan memfitnah Baginda s.a.w!
- Allah nyatakan bahawa Dia lebih mengetahui segala perbuatan puak kafir itu terhadap Rasulullah s.a.w! mereka kata kepada Allah s.w.t bermacam-macam, kata kepada Rasulullah s.a.w bermacam-macam. Juga kepada para pendakwah selepas itu sepanjang zaman.
- Ayat ini memberi ketenangan kepada hati Rasulullah s.a.w dan orang yang beriman selepasnya. Ayat ini mengajar kita untuk bersabar menghadapi ujian dan bertasbih kepada Allah untuk mencari kekuatan jiwa. Sibukkan diri kita dengan apa yang diarahkan kepada Rasulullah s.a.w jangan hanya sibuk dengan mengeluh dan mencurah perasaan
Tugas kerja Rasul hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan bukan memasukkan hidayah taufiq ke dalam dada mereka, itu kerja dan kuasa Allah s.w.t!
- Hidayah itu ada dua jenis iaitu:
i- Hidayah irsyad maksudnya adalah hidayah berupa memberi ajaran ilmu dan berdakwah pada orang lain. Seperti tugas Rasulullah s.a.w dan para pendakwah sepanjang zaman.
ii- Hidayah taufik, maksudnya adalah hidayah untuk membuka pintu hati membuat seseorang itu beriman & taat pada Allah.
Inilah dibawah kuasa Allah s.w.t semata.
- Firman Allah s.w.t: {Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya).} (Al-Baqarah 2:272)
- Ayat ini juga sekaligus menetapkan bahawa akan berlaku hidup semula dan kita akan dikumpulkan di hadapan Allah s.w.t!
- Allah s.w.t tutup ayat & surah ini menyatakan sifat utama al-Quran sebagai:
i- mau\’izah- (مَّوۡعِظَةٞ)- peringatan
ii- syifa\’- (وَشِفَآءٞ) penawar
iii- huda- (وَهُدٗى)- petunjuk
iv- rahmah- (وَرَحۡمَةٞ)- rahmat. - Firman Allah s.w.t juga: {Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.} (Yunus 10:57)
- Selesailah surah kita ini dengan ditutup dengan ayat { مَن يَخَافُ وَعِيدِ} sedangkan ia bermula dengan { وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡمَجِيدِ }. Betapa indahnya susunan al-Quran sebagai satu mukjizat yang agung.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 41- {Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat),}- kata para ulama\’, Allah s.w.t ajar kepada kita apabila mahu dengar ilmu & maklumat, kita kena buka telinga dengar baik-baik, sebagaimana ayat yang sebelumnya. Bukan dengar sahaja tetapi kena buka telinga, dengar dengan hati & pemikiran yang fokus dan beri perhatian.
Kaedahnya seolah kita mesti lalu & singgah, bukan hanya berlalu pergi lihat saja tanpa singgah! - Ayat 44- {Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya).]- Allah s.w.t nyatakan dalam ayat ini:
i- perkara itu berlaku dengan cepat (سِرَاعٗاۚ) iaitu manusia yang keluar dari kubur itu sudah tahu hala-tujunya, mereka bersegera keluar dari kubur mereka menuju ke tempat yang sudah ditentukan, iaitu Padang Mahsyar.
ii- ia juga sesuatu yang mudah sahaja (يَسِيرٞ), bukan sesuatu yang susah bagi Allah.
Tak perlu kita fikirkannya, kerja kita hanya melakukan persediaan untuk menghadapinya!
Alat-alat gajet dan applikasi cangih yang kita ada hari ini sebagai satu dalil dan tanda akan segala yang Allah nyatakan itu bukan sesuatu yang pelik dan mustahil lagi! Memori dan catatan malaikat pastilah lebih canggih dan hebat.
iii- Hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)
Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah سبحانه وتعالى pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya[Bayang Arasy].
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى,
3)Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah سبحانه وتعالى, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata \’Aku takut kepada Allah\’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya, basah kerana menangis.\” [HR Bukhari, Hadis no 620].
Semoga kita termasuk dalam salah satu golongan ini.
- Ayat 45- {Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.}- dalam ayat ini Allah gambarkan bahawa orang yang selamat di dunia & akhirat ialah mereka yang percaya dan mengakui benarnya janji-janji Allah s.w.t & takut kepada-Nya.
Jika tahu saja tak takut, maka tiada persiapan.
Kata ulama\’ paksinya adalah tentang kepercayaan & keyakinan kepada kebangkitan semula. - Ayat 45- {Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.}- orang yang ingat kepada janji Allah akan melahirkan sifat takut kepada Allah s.w.t dan akan sentiasa berhati-hati. Bila kita tahu janji Allah ini kita akan takut lalu beramal bersungguh-sungnguh, meninggalkan segala larangan dan melakukan segala perintah-Nya.
- Ayat 45- {Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu.}- kata ulama\’ ini dalil bahawa al-Quran menjadi peringatan yang paling besar kepada orang yang takut.
Firman Allah s.w.t juga menunjukkan ia adalah peringatan secara umum:
{Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan;
Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).} (Al-Ghaasyiyah 88: 21-22)
Yakni peringatan dari al-Quran adalah umum untuk seluruh manusia, semua orang baca al-Quran, tetapi yang akan mendapat manfaatnya ialah hanya mereka yang takut!
Kesimpulannya Al-Quran adalah alat yang terbaik & tercanggih, sebagai satu mukjizat Nabi s.a.w untuk kita mencari hidayah!
Dengan ini tamatlah pengajian kita dalam surah Qaf ini alhamdulillah!
Kita tutup dengan doa dari seorang ulama\’ tafsir yang masyhur iaitu Imam Qatadah rhm.:
دعاء قتادة: اللهم اجعلنا ممن يخاف وعيدك، ويرجو موعودك، يا بر يا رحيم. [تفسير ابن كثير]
Maksudnya: \”Ya Allah jadikan kami orang yang takutkan kepada janji siksaan-MU serta orang yang amat mengharapkan kepada janji nikmat & syurga-Mu.\”
Semoga al-Quran menjadi taman yang menerangi dalam hati kami, panduan dan peringatan dalam hidup kami ke jalan yang Engkau redhai.