View Categories

SURAH TO-HA : AYAT 9-16

\"\"

BERMULA KISAH NABI MUSA BERSAMA KELUARGANYA, MUSA BERADA DI WADI MUQADDAS THUWA & CARA MENGHORMATI TEMPAT DAN MENERIMA WAHYU BERKATA-KATA DENGAN ALLAH.
Full video: https://youtu.be/YCcD-ziBosk

MUQADDIMAH :
1. Sebelum ini Allah s.w.t telah sebut bahawa Al-Quran diturunkan bukan untuk menyusahkan Rasulullah s.a.w, tetapi untuk menghidupkan hati-hati yang telah mati, iaitu kitab peringatan dan hidayah petunjuk.
2. Sekarang kita masuk dalam episod pertama tentang kisah Nabi Musa a.s dalam surah Toha ini. Bermula dari ayat 9.
3. Ia adalah kisa tauladan untuk memperkuatkan hati Rasulullah s.a.w sebagai persiapan mental dan fizikal untuk menghadapo karenah kaum Quraisy yang semakin mengancam dan jahat.
4. Fitnah ujian dan cabaran yang yang dihadapi oleh Musa a.s adalah begitu besar, untuk Rasulullah ambil kekuatan sebagai persediaan awal dakwahnya di Makkah.
5. Ayat sebelumnya juga menyebut tentang bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Allah mempunyai nama-nama yang indah. الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى
Dikatakan indah kerana:
i- Kerana semua nama-Nya merupakan pujian yang indah.
ii- Bukan semata-mata nama, tetapi nama dan sifat.
iii- Hakikat semuanya menunjukkan sifat-Nya yang sempurna.
iv- Allah perintahkan kita untuk berdoa dengannya. Sebagai satu wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
6. Nabi SAW bersabda :
إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصاها دخلَ الجنةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”. [HR al-Bukhari].

AYAT 09- {DAN SUDAHKAH SAMPAI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) PERIHAL NABI MUSA?} (TAHA 20:9)
1. Permulaan tentang perbincangan kisah Nabi Musa a.s. Allah mulakan dengan soalan kepada Rasulullah s.a.w, ulama\’ kata mungkin inilah kali pertama diwahyukan tentang Musa a.s kepada Baginda s.a.w, atau cerita penuh tentangnya dalam surah Toha ini..
2. Sebagai satu semangat supaya Rasulullah meneruskan perjuangan dakwahnya dengan tabah dan kuat hati, lalu Allah s.w.t kisahkan kepada-nya kisah Nabi Musa a.s yang menghadapi Firaun yang begitu berkuasa dan zalim.

AYAT 10- {KETIKA IA MELIHAT API, LALU BERKATALAH IA KEPADA ISTERINYA: \”BERHENTILAH! SESUNGGUHNYA AKU ADA MELIHAT API SEMOGA AKU DAPAT MEMBAWA KEPADA KAMU SATU CUCUHAN DARIPADANYA, ATAU AKU DAPAT DI TEMPAT API ITU: PENUNJUK JALAN.} (TAHA 20:10)
1. Cerita sebelum sampai ke sini, Musa a.s keluar dari Mesir selepas berlaku satu peristiwa. Di mana dia tanpa sengaja telah membunuh seorang lelaki Qibti, kaum Firaun. Lalu dinasihati supaya keluar meninggalkan Mesir agar selamat.
2. Lalu Musa a.s keluar mengembara sehingga tiba di Madyan, di sana jumpa dua orang gadis sedang menunggu giliran memberi minum ternakan. Musa a.s lalu menolong mereka yang bercerita bapa mereka sudah tua dan tiada keluarga lelaki lain.
3. Sebagai membalas budinya, bapa mereka suruh jemput Musa a.s menjadi tetamu, berkenan lalu pilih jadi menantu dengan mahar selama 8/10 tahun menjaga kambing mereka. Dan tinggallah Musa a.s di Madyan beberapa tahun lamannya. Dikatakan bapa gadis itu adalah Nabi Syuaib a.s
4. Selepas cukup tempohnya yang dijanjikan, Musa a.s minta izin untuk balik ke Mesir melihat keluarganya. Maka dalam perjalanan Musa dan keluarganya ke Mesir inilah berlakunya peristiwa dalam ayat ini.
5. Dalam keadaan malam yang gelap gelita dan sejuk itu, berhampiran dengan gunung Tursina, di Semenanjung Sinai, Mesir, Musa a.s nampak dari jauh nyalaan api yang cerah bersinar, lalu meminta isteri dan keluarganya menunggu disitu.
6. Musa a.s mahu pergi ke tempat api itu tujuannya untuk membawa balik cucuhan api untuk mereka manfaatkannya, atau dapat di tempat api itu maklumat penunjuk jalan.

AYAT 11- {MAKA APABILA IA SAMPAI KE TEMPAT API ITU (KEDENGARAN) IA DISERU: \”WAHAI MUSA! \”} (TAHA 20:11)
1. Setibanya di tempat cerah atau api itu, tiba-tiba kedengaran satu suara menyerunya: \”Wahai Musa!\”
2. Begitu tekejut Musa a.s, dalam keadaan gelap gelita dan entah di mana itu amanya dikenali dan dipanggil.
3. Ulama\’ kata ia mungkin api yang sebenar atau cahaya/nur Allah s.w.t yang menghijab-Nya.

AYAT 12- {\”SESUNGGUHNYA AKU TUHANMU! MAKA BUKALAH KASUTMU, KERANA ENGKAU SEKARANG BERADA DI WADI TUWA YANG SUCI.} (TAHA 20:12)
1. Suara itu memperkenalkan dirinya bahawa: {\”Sesungguhnya Aku Tuhanmu!}.
2. Wadi Tuwa ini terletak di kaki bukit Tursina, disinilah Nabi Musa a.s mendapat penghormatan; berkata-kata dengan Allah s.w.t secara lansung tanpa perantaraan serta dilantik menjadi nabi dan rasul. Kerana itulah dia digelar Kalimullah.
3. Hakikatnya Musa a.s tidak dapat melihat Allah s.w.t pada waktu itu, hanya berkata-kata dan nampak cahayanya sahaja. Sebab bila Musa a.s minta untuk melihat-Nya, Allah menyuruhnya melihat kea rah bukit lalu Musa a.s jatuh pengsan.
4. Allah s.w.t memerintah Musa a.s membuka kasutnya sebagai menjaga adab peraturan kerana pada masa itu dia sedang mengadap Allah s.w.t ditempat yang suci.
5. Persoalan; kenapa Musa a.s diminta buka kasutnya:
i- Kerana dia berada di Wadi Tuwa, lembah yang suci. Allah sendiri yang menamakannya, lembah yang suci. Inilah tafsiran yang paling baik dan paling zahirnya mengikut pandangan Ibnu Jarir.
ii- Ada juga yang kata kasut Musa a.s tadi diperbuat daripada kulit himar yang tidak suci, maka tidak layak untuk menghadap Allah s.w.t. Ini pula pendapat Ibnu Kathir r.h.m.
iii- Untuk mengajar nabi Musa bersikap tawadhuk, kerana dia akan berkata-kata dan menghadap Allah Tuhan sekelian alam Yang Maha Agung.
6. Maka menjadi Syariat kepada umat Yahudi apabila mahu solat untuk membuka kasut. Maka Rasulullah s.a.w mengajar umatnya untuk menyalahi yahudi ini dengan bersolat sambil memakai stokin, khuf atau kasut (yakni apa-apa alas kaki) tetapi dengan syarat ia suci daripada najis.
7. Beberapa hadis tentang solat dengan kasut ini:
i- Nabi S.A.W bersabda: خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ
Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf.” [HR Abu Daud].
ii- Nabi S.A.W bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.” [HR Abu Daud].
iii- Daripada Abu Sa\’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW menjadi imam kepada para sahabat di dalam solat, Baginda membuka selipar dan meletakkan disisi kirinya; maka apabila jemaah melihat keadaan tersebut, mereka juga turut membuka selipar. Selepas selasai menunaikan solat, Baginda bertanya: Apa yang menyebabkan kamu semua membuka selipar? Maka para jemaah menjawab: Kami melihat tuan membuka selipar, maka kami membuka selipar kami. Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya, malaikat Jibrail a.s. telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa terdapat kekotoran di selipar tersebut. Jika sesiapa yang datang ke masjid, dia perlu melihat, jika ada kekotoran terdapat pada seliparnya, maka dia perlu membersihkannya sebelum mendirikan solat. [HR Abu Daud].
8. Tetapi kita tengoklah alam realiti hari ini, jika kita bersolat dalam rumah atau masjid sekarang yang ada tikar, karpet dan seumpamanya maka kena bukalah kasut dan selipar itu. Tengok keadaan.
9. Isu capal Rasulullah s.a.w: Betulkah capalnya mulia kerana Baginda tidak membuka capalnya ketika Mikraj? Seorang penulis, Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Maqqari al-Maliki dalam bukunya berkata; ini adalah satu kisah palsu yang sempuna dan tidak ada satu pun Riwayat yang sabit dan sahih tentang ini, sedangkan banyak sekali hadis yang sahih tentang peristiwa Isra\’ dan dan Mi\’raj. Maka jangan sekali-kali kita silap buat kisah palsu dan melampau dalam menghormati capal sehingga dicium atau dipakai di kepala.

AYAT 13- {\”DAN AKU TELAH MEMILIHMU MENJADI RASUL MAKA DENGARLAH APA YANG AKAN DIWAHYUKAN KEPADAMU.} (TAHA 20:13)
1. Jelas menunjukkan sifat Allah s.w.t Yang Maha Berkata-kata. Musa a.s mendengarnya sendiri.
2. Allah s.w.t melantik Musa sebagai rasul-Nya.
3. Allah s.w.t perintahkan Musa a.s supaya mendengar baik-baik apa yang akan diwahyukan kepadanya.

AYAT 14- {\”SESUNGGUHNYA AKULAH ALLAH; TIADA TUHAN MELAINKAN AKU; OLEH ITU, SEMBAHLAH AKAN DAKU, DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG UNTUK MENGINGATI DAKU.} (TAHA 20:14)
1. Pengenalan tentang tauhid kepada Allah s.w.t, tiada tuhan melainkan Aku.
2. Sembahla Allah s.w.t semata-mata.
3. Arahan mendirikan solat serta ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t.

AYAT 15- {\”SESUNGGUHNYA HARI KIAMAT ITU TETAP AKAN DATANG – YANG AKU SENGAJA SEMBUNYIKAN MASA DATANGNYA – SUPAYA TIAP-TIAP DIRI DIBALAS AKAN APA YANG IA USAHAKAN.} (TAHA 20:15)
1. Allah s.w.t mahu supaya kita bersiap sedia untuk menghadapi kematian atau kiamat bila-bila masa sahaja.
2.Tarikhnya Allah s.w.t sengaja sembunyikan agar kita sentiasa berbuat baik dan amal ibadat. Kerana setiap manusia akan mendapat balasan berdasarkan hasil usahanya.

AYAT 16- {\”MAKA JANGANLAH ENGKAU DIHALANGI DARIPADA MEMPERCAYAINYA OLEH ORANG YANG TIDAK BERIMAN KEPADANYA SERTA IA MENURUT HAWA NAFSUNYA; KERANA DENGAN ITU ENGKAU AKAN BINASA.} (TAHA 20:16)
1. Maka berimanlah kepada Allah, ikut arahan dan perintah Allah s.w.t.
2. Jangan sekali-kali ikut golongan yang menentang Allah s.w.t serta menurut hawa-nafsu, kelak kita akan binasa.

PENUTUP BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Firman Allah s.w.t: {Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.}
Menunjukkan solat itu sebagai satu peringatan hubungan kita dengan Allah s.w.t. Bermakna sesiapa yang tidak solat sudah putus hubungannya dengan Allah s.w.t.
2. Firman Allah s.w.t: {\”Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu.}
Kata ulama\’ menunjukkan elok kita berjalan di tempat yang baik-baik untuk membuka kasut seperti di dalam masjid, mahu tawaf dan lain-lain. Tetapi jika nak solat sambil pakai kasut/selipar di tempat yang sesuai boleh pakai.
3, Firman Allah s.w.t: {Maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.}
Ini menurut ulama\’ salaf, Sufyan bin Uyainah, tahap awal untuk menerima ilmu ialah dengan mendengar dulu. Susunan peringkatnya ialah; dengar, faham, hafaz, amal kemudian sebarkan. Begitu juga dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
4. Firman Allah s.w.t: {\”Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul.}
Menunjukkan nabi-nabi dan rasul itu dipilih dan dilantik sendiri oleh Allah s.w.t.
5. Firman Allah s.w.t: {\”Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku.}
Menunjukkan perkara pertama yang wajib ke atas seorang hamba yang mukallaf adalah tahu bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t. iaitu mengenal Allah, kemudian mengenal rasul dan ajaran agama kita.
6. Tiga perkara menjadi asas kepada usul iman – beriman, beribadat dan yakin akan hari akhirat.
7.Tamatlah episod pertama nabi Musa a.s a.s iaitu kisah pertabalannya sebagai Nabi dan Rasul di lembah Tuwa yang suci, di kaki gunung Tursina, Mesir.
8. Episod seterusnya tentang kisah Nabi Musa a.s berkata-kata dengan Allah s.w.t., insya\’ Allah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs