View Categories

SURAH TO-HA : AYAT 24-41

\"\"

MUSA DIPERINTAHKAN BERTEMU FIRAUN DAN NABI MUSA MOHON 8 PERKARA SEBAGAI PERSIAPAN DIRI & ALLAH SEBUT 8 NIKMAT YANG TELAH DIANUGERHAKAN KEPADA MUSA.

Full video: https://youtu.be/-HmqZvrUwTM

MUQADDIMAH :
1. Siri yang lepas tentang dialog Nabi Musa a.s dengan Rabbul ‘Alamin
2. Selepas sempurna perlantikan Nabi Musa a.s sebagai nabi dan rasul, Allah s.w.t menganugerahkan dua mukjizat kepadanya iaitu:
i- Tongkat menjadi ular yang besar dan tangkas pergerakannya.
ii- Tangan menjadi putih bersinar.
3. Tentang hadis yang mengatakan tongkat adalah sunnah para nabi, tiada asas yang sorih (jelas) tentang kesahihannya. Mungkin hanya kata-kata sahabat atau ulama\’ selepasnya. Bukan satu hadis yang sahih.
4. Maka kita pun boleh bawa tongkat ketika perlu, bukan sebagai satu sunnah.
5. Maka dalam siri/episod ini, setelah selesai perlantikan, Allah s.w.t perintahkan kepada Nabi Musa a.s untuk pergi berdakwah kepada Firaun dan kaumnya. Firaun adalah Taghut Akbar (Penjahat Besar) dalam dunia ketika itu, bukan calang-calang musuh. Amat besar dan berat tugas nabi Musa a.s.
6. Maka Musa a.s memohon kepada Allah s.w.t tujuh atau lapan permohonan.
7. Lalu Allah s.w.t kabulkan permohonan Musa ini, dan Allah s.w.t juga ingatkan kembali akan 8 nikmat-Nya yang dikurniakan kepada Musa a.s sebelum ini untuk lebih menguatkan semangat dan mantapkan iman Musa a.s dalam menghadapi cabaran dakwah nanti.

AYAT 24- {\”PERGILAH KEPADA FIRAUN, SESUNGGUHNYA IA TELAH MELAMPAUI BATAS\”.} (TAHA 20:24)
1. Dengan ayat ini Allah s.w.t telah mengutuskan nabi Musa a.s kepada Firaun. Sesungguhnya ia seorang yang telah melampaui batas.
2. Bukan hanya kufur dan zalim, bahkan Firaun juga mengaku tuhan.
3. Musa a.s dan Firaun ini mempunyai sejarah yang panjang. Dia pernah menjadi anak angkat peliharaan Firaun di istananya.
4. Seorang pendakwah itu memerlukan kekuatan fizikal, hujjah yang mantap dan hubungan yang teguh dengan Allah s.w.t.
5. Lalu Musa a.s meminta kepada Allah s.w.t 7 atau 8 permohonan dari segi mental dan kerohanian, bukan kekuatan fizikal yang dimintanya, masya’ Allah.

AYAT 25- {NABI MUSA BERDOA DENGAN BERKATA: \”WAHAI TUHANKU, LAPANGKANLAH BAGIKU, DADAKU;} (TAHA 20:25)
1. Permintaan pertamanya adalah supaya Allah s.w.t lapangkan dadanya untuk mudah memahami tugas dakwahnya dan bersedia menghadapi apa saja tentangan dari Firaun.

AYAT 26- {\”DAN MUDAHKANLAH BAGIKU, TUGASKU;} (TAHA 20:26)
2. Permintaan kedua agar Allah permudahkan segala urusan dalam misi dakwahnya.

AYAT 27- {\”DAN LEPASKANLAH SIMPULAN DARI LIDAHKU,} (TAHA 20:27)
1. Permintaan ketiga agar Allah s.w.t: {..lepaskanlah simpulan dari lidahku} yakni menjadikannya fasih dan petah berkata-kata agar orang ramai faham apa maklumat yang mahu disampaikannya.
2. Cerita yang masyhur sebahagian ulama\’ tafsir dan ulama\’ hadis, tetapi riwayatnya hanya terhenti setakat Ibnu Abbas r.a, bukan kepada Rasulullah s.a.w.:
Ketika nabi Musa a.s kecil dia pernah menarik janggut Firaun sehingga menyakitkan lalu dia amat marah dan mahu membunuhnya, tetapi ibu angkatnya, isteri Firaun memujuknya dengan mengatakan Musa hanya seorang anak kecil. Lalu untuk membuktikannya diletakkan bara api dan tamar di hadapan Musa yang masih kecil itu. Lalu Musa pun mengambil bara api tu dimasukkan ke dalam mulutnya lalu memberi kesan kepada lidahnya. Firaun pun tak jadi bunuhnya
3. Analisa yang lebih ilmiah, permintaan Musa a.s ini kerana dia seorang yang mudah panik dan menggelabah dan hilang kata-kata apabila berdepan dengan asakan atau perlawanan, jadi dia minta agar difasihkan lidahnya dan lapang dadanya.

AYAT 28- {\”SUPAYA MEREKA FAHAM PERKATAANKU;} (TAHA 20:28)
1. Semua permintaan ini agar orang mudah faham perkataan dan dakwahnya.

AYAT 29- {\”DAN JADIKANLAH BAGIKU, SEORANG PENYOKONG DARI KELUARGAKU.} (TAHA 20:29)
1. Permintaan keempat; Musa a.s meminta supaya diberikan kepadanya pembantu dari kalangan keluarganya. Yakni dilantik sebagai nabi bersamanya untuk berdepan dengan Firaun.

AYAT 30- {\”IAITU HARUN SAUDARAKU;} (TAHA 20:30)
1. Iaitu saudaranya Harun.
2. Tidak banyak kisah dalam al-Quran tentang Harun ini, ulama\’ mengatakan dia lebih tua daripada Musa, seorang yang tenang, fasih berkata-kata dan tidak mudah panik dan menggelabah. Harun juga sentiasa da di Mesir hatta semasa Musa a.s keluar dari Mesir.
3. Yakni Musa a.s meminta agar Harun dilantik kerana kelayakannya, bukan kerana kronisme.
4. Kerana itu ulama\’ kata Musa a.s adalah orang yang baik dengan adik-beradiknya. Setia dan kenal potensi.

AYAT 31- {\”\”KUATKANLAH DENGAN SOKONGANNYA, PENDIRIANKU,} (TAHA 20:31)
1. Permintaan kelima; Agar Harun dapat memberi sokongan dan meneguhkan pendiriannya.

AYAT 32- {\”DAN JADIKANLAH DIA TURUT CAMPUR BERTANGGUNGJAWAB DALAM URUSANKU}, (TAHA 20:32)
1. Permintaan keenam: Bukan setakat pembantu tetapi agar Allah s.w.t melantik Harun sebagai Nabi dan Rasul juga bersamanya dalam urusan dakwah ini.

AYAT 33- {\”SUPAYA KAMI SENTIASA BERIBADAT DAN MEMUJIMU,} (TAHA 20:33)
1. Ketujuh, agar Allah s.w.t jadikannya dan Harun supaya sentiasa beribadat dan memuji Allah s.w.t. (bertasbih)

AYAT 34- {\”DAN (SUPAYA) KAMI SENTIASA MENYEBUT DAN MENGINGATIMU;} (TAHA 20:34)
1. Kelapan, juga agar Allah s.w.t jadikannya dan Harun supaya sentiasa menyebut dan mengingati kepada Allah s.w.t. (berzikir).
2. Ada ulama\’ tafsir yang mencampurkan sekali permintaan ketujuh dan kelapan ini (bertasbih dan berzikir) menjadi satu permintaan saja.

AYAT 35- {\”SESUNGGUHNYA ENGKAU ADALAH SEDIA MELIHAT DAN MENGETAHUI HAL EHWAL KAMI\”}. (TAHA 20:35)
1. Nabi Musa a.s mengakui bahawa dengan semua permohonannya itu, Allah s.w.t Maha Mengetahui segala hal-ehwal mereka.

AYAT 36- {ALLAH BERFIRMAN: \”SESUNGGUHNYA TELAH DIBERIKAN KEPADAMU APA YANG ENGKAU POHONKAN ITU, WAHAI MUSA!} (TAHA 20:36)

1. Lalu Allah s.w.t mengkhabarkan bahawa segala permohonan nabi Musa a.s itu telah diperkenankan-Nya, Masya’ Allah.

Pengajaran dan faedah tarbawiyyah:
2. Semuanya ini masih lagi di bukit Tursina tadi, permohonan Musa a.s dan perkenannya oleh Allah s.w.t.
3. Nabi Musa a.s mebuat persiapan yang rapi dan cukup syaratnya. Dalam urusan dakwah kita wajib membuat persediaan dan persiapan yang rapi, supaya cukup senjata hujjah untuk berdepan dengan orang yang mahu didakwah agar Islam tidak terfitnah dan nampak lemah.
4. Elok juga kita mencari sokongan dari kalangan ahli keluarga sebagai penyokong atau pembantu untuk menguatkan urusan dakwah. Tetapi biasanya pendakwah ini jarang mendapat sokongan daripada ahli keluarga sendiri, kaumnya atau penduduk setempatnya.
5. Musa a.s meminta daripada Allah s.w.t pertolongan dari segi mental dan spiritual, dia tidak minta kekuatan material dari segi tentera atau senjata canggih.
6. Kita kena belajar dengan Musa a.s dalam perkara ini, kita sekarang semakin sibuk semakin lupa untuk berzikir dan mengingati Allah s.w.t. yakni hubungan dengan Allah mesti mantap baru boleh menjadi orang yang hebat.
7. Akhirnya Musa a.s mengatakan bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui segala urusannya, apa faedahnya, kata ulama\’:
i- Menunjukkan adab yang baik dengan Allah s.w.t.
ii- Nabi Musa a.s mengemukakan keperluannya, dia sangat perlu kepada bantuan Allah s.w.t, maka dia minta 8 perkara tadi.
iii- Musa a.s tahu Harun seorang yang jujur dan baik, mempunyai kepakaran untuk membantunya dalam perkara yang diutusnya. Maka dia minta agar Allah s.w.t melantik Harun sebagai pembantunya.

AYAT 37- {\”DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAHPUN MENGURNIAKAN KEPADAMU BERBAGAI NIKMAT PADA SATU MASA YANG LAIN SEBELUM INI.} (TAHA 20:37)
1. Setelah Allah s.w.t kabulkan segala permohonan Musa a.s itu, Allah mengingatkan pula kepada Musa a.s akan kurniaan Allah s.w.t kepadanya sebelum ini.
2. Bagaimana semenjak lahirnya Allah s.w.t telah melindunginya daripada kezaliman Firaun yang membunuh semua anak lelaki kaum Bani Israil yang lahir pada zaman itu. Ini kerana dia bermimpi bahawa akan lahir seorang bayi dari kalangan bani Israil yang kelak akan membunuhnya dan meruntuhkan kerajaannya.
3. Semua bayi lelaki lain telah dibunuhnya tetapi ajaibnya, Musa a.s yang akan membunuhnya itu diambil dipeliharanya di dalam istananya sendiri!!! Inilah kuasa Allah s.w.t.

AYAT 38- {\”KETIKA KAMI ILHAMKAN KEPADA IBUMU, DENGAN MEMBERITAHU KEPADANYA: (TAHA 20:38)
1. Nikmat pertamanya- Allah s.w.t ilhamkan kepada ibu Musa a.s (yang sedang hamil ketika itu) untuk berbuat begini apabila Musa lahir nanti.

AYAT 39- {\”LETAKKANLAH ANAKMU DI DALAM PETI, KEMUDIAN LEPASKANLAH PETI ITU KE LAUT, MAKA BIARLAH LAUT ITU MEMBAWANYA TERDAMPAR KE PANTAI, SUPAYA DIPUNGUT OLEH MUSUHKU DAN MUSUHNYA; DAN AKU TELAH TANAMKAN DARI KEMURAHANKU PERASAAN KASIH SAYANG ORANG TERHADAPMU; DAN SUPAYA ENGKAU DIBELA DAN DIPELIHARA DENGAN PENGAWASANKU. (TAHA 20:39)
1. Arahan pertama Allah s.w.t agar ibu Musa meletakkan anaknya di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut (ulama\’ kata sungai Nil), maka biarlah air sungai yang mengalir itu membawanya terdampar ke pantai, pengkalan istana Firaun.
2. Nikmat kedua- selamat dan terdampar lalu dipungut oleh (musuh-Ku dan musuhnya) yakni Firaun, musuh Allah s.w.t dan musuh bani Israil semasa itu., dipungut dan dipelihara oleh isteri Firaun.
3. Nikmat ketiga- Allah s.w.t juga akan jadikan perasaan kasih sayang dalam hati orang terhadap Musa; sehinggakan dia dibela dan dipelihara oleh isteri Firaun dengan kasih sayang, ini semua dengan pengawasan Allah s.w.t yang menjaga keselamatannya.
4. Sehinggakan Firaun tidak terfikir inilah budak ajaib yang akan membunuhnya sebagaimana dalam mimpinya.

AYAT 40- {\”KETIKA SAUDARA PEREMPUANMU PERGI MENCARIMU LALU BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMUNGUTMU:\” MAHUKAH, AKU TUNJUKKAN KAMU KEPADA ORANG YANG BOLEH MEMELIHARANYA?\” MAKA DENGAN JALAN ITU KAMI MENGEMBALIKANMU KEPADA IBUMU SUPAYA TENANG HATINYA DAN SUPAYA IA TIDAK BERDUKACITA KERANA BERCERAI DENGANMU; DAN SEMASA ENGKAU MEMBUNUH SEORANG LELAKI, LALU KAMI SELAMATKAN ENGKAU DARI KESUSAHAN PEMBUNUHAN ITU; DAN KAMI TELAH MELEPASKAN ENGKAU BERKALI-KALI DARI BERBAGAI-BAGAI CUBAAN; KEMUDIAN ENGKAU TINGGAL DENGAN SELAMAT BEBERAPA TAHUN DALAM KALANGAN PENDUDUK NEGERI MADYAN; SETELAH ITU ENGKAU SEKARANG DATANG DARI SANA PADA MASA YANG TELAH DITENTUKAN, WAHAI MUSA! (TAHA 20:40)
1. Apabila Musa dihanyutkan ke sungai Nil, kakaknya keluar menyamar diri untuk melihat siapa yang akan mengambil adiknya itu. Didapati Musa a.s tiba di istana Firaun.
2. Apabila bayi itu menangis kelaparan, kakaknya mengesyorkan kepada mereka (istana) ibunya sebagai pengasuh dan penyusu bayi Musa itu. Lalu Musa a.s dikembalikan semula kepada ibunya supaya tenang hati ibunya dan tidak lagi berdukacita.inilah nikmat keempat, kembali ke pangkuan ibunya dengan selamat.
3. Nikmat kelima- semasa Musa membunuh seorang lelaki, lalu Allah s.w.t selamatkannya dari kesusahan pembunuhan itu. Apabila musa dewasa, dia tanpa sengaja telah membunuh seorang lelaki bangsa Qibti (bangsa Firaun) lalu Allah s.w.t selamtkan dari hukuman Firaun.
4. Nikmat keenam, Allah s.w.t telah melepaskan Musa a.s berkali-kali dari segala ujian. Musa a.s banyak sekali ujian ke atas dirinya, semenjak kecil sehingga dewasa,
5. Nikmat ketujuh, menjadikan hidup dengan selamat dan aman semasa berada di Madyan selama beberapa tahun yang ditentukan (8 hingga 10 tahun), sehinggalah datang berjumpa dengan Allah s.w.t pada hari itu di bukit Tursina.

AYAT 41- {\”DAN AKU TELAH MEMILIHMU UNTUK MENJADI RASULKU. (TAHA 20:41)
1. Lalu akhirnya (nikmat kelapan) Allah s.w.t telah melantik dan memilihnya untuk menjadi seorang Rasul Allah.
2. Selesailah segala urusan ini. Musa a.s lalu turun dari bukit Tursina, kembali semula kepada isteri dan keluarganya yang sedang menunggu tadi untuk kembali ke Mesir.
3. Kembalinya kali ini sebagai seorang nabi dan rasul, Musa Kalimullah yang membawa bebanan tugas yang besar untuk berdepan dengan Firaun dan kaumnya.
4. Kembalinya dengan persediaan yang rapi dan jiwa yang mantap.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
A. Lapan permohonan Musa AS kepada Allah SWT dan diperkenankan-Nya:
1. Permintaan pertamanya adalah supaya Allah s.w.t lapangkan dadanya untuk mudah memahami tugas dakwahnya dan bersedia menghadapi apa saja tentangan dari Firaun. (Taha 20:25)
2. Permintaan kedua agar Allah permudahkan segala urusan dalam misi dakwahnya. (Taha 20:26)
3. Permintaan ketiga agar Allah s.w.t: {..lepaskanlah simpulan dari lidahku} yakni menjadikannya fasih dan petah berkata-kata agar orang ramai faham apa maklumat yang mahu disampaikannya. (Taha 20:27)
4. Permintaan keempat; Musa a.s meminta supaya diberikan kepadanya pembantu dari kalangan keluarganya. Yakni dilantik sebagai nabi bersamanya untuk berdepan dengan Firaun. (Taha 20:29)
5. Permintaan kelima; Agar Harun dapat memberi sokongan dan meneguhkan pendiriannya. (Taha 20:31)
6. Permintaan keenam: Bukan setakat pembantu tetapi agar Allah s.w.t melantik Harun sebagai Nabi dan Rasul juga bersamanya dalam urusan dakwah ini. (Taha 20:32)
7. Ketujuh, agar Allah s.w.t jadikannya dan Harun supaya sentiasa beribadat dan memuji Allah s.w.t. (bertasbih) (Taha 20:33)
8. Kelapan, juga agar Allah s.w.t jadikannya dan Harun supaya sentiasa menyebut dan mengingati kepada Allah s.w.t. (berzikir). (Taha 20:34)
Ada ulama\’ tafsir yang mencampurkan sekali permintaan ketujuh dan kelapan ini (bertasbih dan berzikir) menjadi satu permintaan saja.

B. Allah SWT ungkit lapan nikmat yang telah dikurniakan kepada Nabi Musa AS:
1. Nikmat pertama- Allah s.w.t ilhamkan kepada ibu Musa a.s yang sedang hamil ketika itu untuk meletakkan anaknya di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut (ulama\’ kata sungai Nil). (Taha 20:38)
2. Nikmat kedua- selamat dan terdampar lalu dipungut dan dipelihara oleh isteri Firaun. sedangkan Firaun, musuh Allah s.w.t dan musuh bani Israil semasa itu. (Taha 20:39)
3. Nikmat ketiga- Allah s.w.t jadikan perasaan kasih sayang dalam hati orang terhadap Musa; sehinggakan dia dibela dan dipelihara oleh isteri Firaun dengan kasih sayang, ini semua dengan pengawasan Allah s.w.t yang menjaga keselamatannya. (Taha 20:39)
4. Nikmat keempat, kembali ke pangkuan ibunya dengan selamat.
5. Nikmat kelima- semasa Musa membunuh seorang lelaki dengan tidak sengaja, Allah s.w.t telah selamatkannya dari terkena hukuman Firaun.
6. Nikmat keenam, Allah s.w.t telah melepaskan Musa a.s berkali-kali dari segala ujian. Musa a.s banyak sekali ujian ke atas dirinya, semenjak kecil sehingga dewasa.
7. Nikmat ketujuh, menjadikannya hidup dengan selamat dan aman semasa berada di Madyan selama beberapa tahun yang ditentukan (8 hingga 10 tahun). (Taha 20:40).
8. Nikmat kelapan, Allah s.w.t telah melantik dan memilihnya untuk menjadi seorang Rasul Allah. (Taha 20:41).

C. Episod seterusnya Musa AS dan Harun berdepan dengan Firaun di istananya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs