View Categories

SURAH YAASIN : AYAT 55-58

\"\"

NIKMAT AHLI SYURGA, BERGEMBIRA BERSAMA KELUARGA & MENDAPAT PENGHORMATAN DARI ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/SDQn-C7QcL8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman menyebutkan balasan yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Iaitu nikmat yang disediakan dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya iaitu nikmat syurga.
  2. Hadis Rasulullah s.a.w tentang syurga: Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, \”Allah Ta\’ala berfirman (sebagai hadis qudsi), \’Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh: nikmat yang mata tidak pernah lihat, telinga tidak pernah dengar dan tidak terbayang oleh hati manusia.\” [HR Bukhari & Muslim].
  3. Sekarang ini apa yang kita kena fikir ialah bagaimana nak sampai ke syurga itu!
    Ya Allah rezekikan kami syurga melalui iktidad kami, amalan kami dan perkataan kami!
  4. Munasabah ayat- dalam siri yang lepas Allah s.w.t ceritakan keadaan orang kafir yang terkejut dan menggemparkan apabila dibangkitkan dari kubur serta suasana huru-hara hari Kiamat.
  5. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang nikmat ahli syurga dan ketenangan bagi golongan yang beriman.
  6. Dalam siri yang lepas Allah jelaskan bahawa setiap orang akan mendapat balasan setimpal dengan perbuatan dan amalnya di dunia, apa yang kamu tanam itulah yang akan kamu tuai.
  7. Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang ahli syurga yang sibuk dalam menikmati segala nikmat kurnia yang Allah sedikan bagi mereka!
    Hari yang tiada lagi taklif dan kewajipan yang wajib ditunaikan, hari untuk bersenang-senang dan sibuk dengan nikmat.

AYAT 55- {AYAT 50- {SESUNGGUHNYA PENDUDUK SYURGA PADA HARI ITU, BERADA DALAM KEADAAN SIBUK LEKA MENIKMATI KESENANGAN;} (YAA SIIN 36:55)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t. berfirman menyebutkan balasan untuk penghuni syurga.
  2. Setelah selesai dari urusan di Padang Mahsyar, mereka ditempatkan di taman-taman syurga.
    Mereka merasa kagum dan berbangga dengan kenikmatan yang mereka alami.
  3. Mereka sibuk bersenang-senang dengan urusan mereka sendiri, tenggelam dalam kenikmatan yang abadi, tiada lagi kepenatan dan kesusahan, gembira bahagia. semua perasaan yang baik dan indah-indah.
  4. Ulama\’ tafsir cuba menterjemahkan apakah maksudnya (فِي شُغُلٍ) sibuk ini:
    i- ulama\’ salaf kata mereka sibuk memecahkan selaput dara isteri-isteri mereka.
    ii- sibuk mendengar bunyian yang indah.
    iii- sibuk dengan segala jenis nikmat yang disediakan oleh Allah s.w.t.
    *Ibnu Athiyah kata yang tepatnya: sibuk dengan segala nikmat yang Allah s.w.t sediakan di dalam syurga, tidak perlu kita tentukan atau jelaskan apakah bentuk nikmatnya.
  5. Kita tidak perlu memikirkan mereka sibuk dengan nikmat manakah, atas kita untuk sibuk mempersiapkan diri dengan bekalan untuk menjadi ahli syurga, insya\’ Allah!

AYAT 56- {MEREKA DENGAN PASANGAN-PASANGAN MEREKA BERSUKARIA DI TEMPAT YANG TEDUH, SAMBIL DUDUK BERBARING DI ATAS PELAMIN;} (YAA SIIN 36:56)

  1. Ahli syurga dan pasangan mereka duduk berehat dan bersukaria, berehat di tempat yang indah.
  2. Mereka duduk di tempat yang teduh, iaitu naungan di sebalik balik pepohonan syurga. Ara-ik (الْأَرَائِكِ) adalah dipan-dipan, sofa-sofa, pelamin-pelamin atau katil-katil yang mempunyai tempat bersandar dan berkelambu.
  3. Begitulah fitrah naluri manusia, mereka akan ingin dan suka untuk bersama pasangan dan keluarga yang disayangi untuk turut menikmati kebahagian yang didapati.
  4. Maka untuk mencapai cita-cita dan impian masuk syurga sekeluarga, kita wajib berusaha dan beramal ke arah itu, dengan gaya dan cara yang sesuai!
    Bukan hanya bapa ke masjid anak isteri sibuk dan lagha dengan dunia di rumah.
  5. Ibnu Asyur kata maksudnya {pasangan-pasangan mereka- وَأَزْوَاجُهُمْ } ini ialah para bidadari yang disedikan bagi mereka dalam syurga serta ketuanya adalah isteri manusia dari dunia dulu.
  6. Firman Allah s.w.t: {Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;}. (Ar-Ra\’d 13:23)

AYAT 57- {MEREKA BEROLEH DALAM SYURGA ITU PELBAGAI JENIS BUAH-BUAHAN, DAN MEREKA BEROLEH APA SAHAJA YANG MEREKA KEHENDAKI;} (YAA SIIN 36:57)

  1. Mereka akan dapat makan pelbagai jenis buah-buahan. Tidak perlu tanya buah itu ini adakah ada, tidak perlu fikir.
  2. Apa saja yang mereka inginkan dan cita-citakan ada di hadapan mereka.
  3. Firman Allah s.w.t: Fussilat
    i- {\”Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, untuk kamu makan daripadanya\”}. (Az-Zukhruf 43:73)

ii- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan matair-matair (yang mengalir), Serta menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini. (Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): \”Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan.\”} (Al-Mursalaat 77: 41- 43)

AYAT 58- {(MEREKA JUGA BEROLEH) UCAPAN SALAM SEJAHTERA DARI TUHAN YANG MAHA MENGASIHANI.} (YAA SIIN 36:58)

  1. Mereka mendapat ucapan salam dari Allah s.w.t. sendiri.
    Tuhan yang melimpahkan keselamatan kepada penduduk syurga dan mereka mendapat penghormatan tertinggi.
  2. Dia telah melimpahkan keredhaan-Nya kepada mereka, dan tidak akan murka kepada mereka untuk selama-lamanya. Tidak ada kenikmatan yang serupa dengannya.
  3. Sabda Rasulullah s.a.w:
    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى
    Dari Abu Hurairah R.A, bahwa Rasulullah S.A.W bersabda: \”Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan. \”Para sahabat bertanya, \”Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?\” Nabi menjawab: \”Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan.\” (HR Bukhari No: 6737)
  4. Maka muhasabah diri kita masing-masing adakan kita ini termasuk dalam golongan yang ingin ke syurga atau tidak? Hanya ingin ke syurga dengan mulut saja tetapi tidak dengan amal perbuatan. Jika kita tersasar kembalilah ke jalan yang benar, kepada Syari\’ah Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 55- {Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;}- menunjukkan sempurnanya nikmat yang Allah sediakan untuk ahli syurga. Bila nikmat itu besar maka kebahagiaan itu juga besar.
    Amat malang dan bodohlah jika kita memilih jalan yang sebaliknya.
  2. Ayat 56- {Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria} – kita tidak akan sunyi di dalam syurga, kita akan bersama pasangan dan ahli keluarga yang disayangi. Kita juga akan jumpa dengan kawan-kawan yang lain, yang masuk syurga juga.
    Yang paling indah juga kita akan bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang dirindui selama ini!
    Maka berusahalah untuk masuk syurga sekelurga!
  3. Ayat 56- {di tempat yang teduh,} – di bawah bayangan yang teduh (فِي ظِلَالٍ) sedangkan kita sudah belajar sebelum ini bahawa di dalam syurga itu tiada matahari, jadi bagaimana boleh ada bayang?

Firman Allah s.w.t: { Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;} (Al-Insaan 76:13)
Ulama\’ kata maksud teduhan di sini ialah:
i- ia adalah ibarat bayangan atau teduhan pokok-pokok yang rendang dan bangunan-bangunan, tiada matahari yang menyakitkan di dalam syurga.
ii- juga ibarat bayangan untuk menyejukkan kita ini kerana udara syurga sudah sedia nyaman dan redup.
iii- maksudnya bayangan itu ialah naungan nikmat dan kerehatan, kehidupan yang di bawah bayangan kebahagiaan, nikmat dan keindahan.

  1. Ayat 56- {sambil duduk berbaring di atas pelamin;}- menunjukkan sempurnanya kerehatan ahli syurga, relax dan tenang, bersandar atau berbaring dengan tenang tiada apa kesusahan yang perlu difikirkan. Orang yang ada masalah dan kusut fikiran tidak akan dapat bersandar rehat begitu.
  2. Ayat 57- {Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan,} – mereka makan bukan kerana lapar tetapi semata-mata untuk menikmati segala nikmat kurniaan Allah s.w.t sediakan di dalam syurga itu.
  3. Ayat 58- { (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.}- ayat ini dalil bahawa ahli syurga itu sentiasa selamat dan sihat, tiada penyakit dan kesakitan, apatah lagi kematian. Samada penyakit hati atau fizikal, tiada lagi kecemburuan dan sakit hati!
    Maksud salam ini bukan doa tetapi perkhabaran tentang keadaan ahli syurga itu.
  4. Ayat 58- { (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.}- ucapan salam yang datang terus dari Allah s.w.t ini menunjukkan betapa mulianya ahli syurga.
  5. Ayat 58- { (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.}- kalimah ucapan ini (قَوْلًا) dalil bagi pegangan kita akidah ahli Sunnah wal-Jamaah bahawa Allah s.w.t itu berkata-kata.
  6. Ayat 58- { (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.}- ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa kita sampai ke syurga dan mendapat nikmat yang besar ini semuanya dengan rahmat dari Allah s.w.t, bukan semata-mata kerana amalan kita.

Rasulullah S.A.W bersabda menyatakan, tiada seorang manusia masuk ke syurga dengan amalannya. Semua orang masuk syurga dengan rahmat Allah SWT.:
\”Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Ayat 55 sehingga Ayat 58-diceritakan tentang nikmat dan kedudukan ahli syurga dalam ayat ini untuk menunjukkan kepada pihak kafir betapa indahnya nikmat dan keadaan ahli syurga. Ini untuk menyakitkan hati mereka, menyatakan kesesatan dan kekufuran mereka itu adalah sesuatu yang merugikan dan zalim kepada diri mereka sendiri. Inilah apa yang kamu lawan, dustakan dan ingkari dulu serta tidak mahu beriman. Maka menyesallah kamu.

Ada ketikanya kita kena sentap juga puak kafir ini supaya mereka berfikir dan faham.

Dari sudut dakwah kita wajib nyatakan yang benar itu Islam yang tidak benar itu agama lain.

Allah s.w.t telah sebutkan dalam al-Quran tentang orang mukmin dan orang kafir. Tetapi ingat jangan sampai menghina dan maki tuhan sembahan mereka nanti mereka akan hina balik Tuhan kita! Kena nyatakan kesesatan mereka itu dengan uslub dan gaya dakwah yang baik.
Toleransi dan hubungan dalam muamalat dengan kafir yang bukan harbi kena jaga dan boleh kita berbuat baik kepada mereka, tetapi bukan toleransi dalam agama, kita jelaskan pendirian dan pegangan agama Islam.

Powered by BetterDocs