View Categories

SURAH YAASIN : AYAT 68-70

\"\"

PANJANG UMUR TUBUH SEMAKIN LEMAH, NABI S.A.W TIDAK DIAJAR SYAIR & QURAN SEBAGAI PERINGATAN BAGI HATI YANG HIDUP.

Full video : https://youtu.be/M9t_9X4fS_s

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t mengingati bahawa tiada siapa yang berkuasa menetapkan kejadian manusia ini kecuali Allah s.w.t.
  2. Kesinambungan ayat ini dengan ayat yang lepas:
    Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang manusia ini yang akan diubah rupa atau perangainya kerana sifat buruk mereka. Maka dalam ayat ini diceritakan bahawa manusia asal kejadiaanya lemah, kemudian apabila tua akan kembali kepada keadaan asalnya yang lemah itu!
  3. Manusia tidak akan diazab kecuali setelah datangnya amaran dan peringatan melalui rasul yang diutus kepada mereka.
  4. Dalam ayat ini Allah s.w.t mengingatkan bahawa manusia setelah mencapai umur tertentu seperti 60 tahun tiada lagi keuzurannya untuk tidak insaf bertaubat dan melakukan kebaikan.
    Telah banyak peringatan dan tanda fizikal yang Allah hantar seperti beruban, lemah tubuh badan, penyakit datang dan lain-lain.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): \”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): \”Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan\”.} (Faatir 35:37)

AYAT 68- {DAN (HENDAKLAH DIINGAT BAHAWA) SESIAPA YANG KAMI PANJANGKAN UMURNYA, KAMI BALIKKAN KEMBALI KEJADIANNYA (KEPADA KEADAAN SERBA LEMAH; HAKIKAT INI MEMANG JELAS) MAKA MENGAPA MEREKA TIDAK MAHU MEMIKIRKANNYA?} (YAA SIIN 36:68)

  1. Allah menciptakan manusia dari keadaan lemah. Kemudian Dia menjadikan manusia membesar menjadi semakin kuat dan bersemangat. Ada yang dimatikan-Nya diusia muda.
  2. Maka sesiapa yang Allah panjangkan usianya, maka dikembalikanlah dia kepada keadaan lemah, iaitu lemah fizikal, lanjut usia, beruban, kurang akal dan nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya.
  3. Ingat- biasanya orang tua yang nyanyuk akan mengulang sifat atau watak kebiasaanya semasa muda dulu.
    Maka biasakanlah diri kita dengan sifat yang baik, mulut sentiasa berzikir mengucapkan kata-kata yang baik, bukan sebaliknya seperti suka menyumpah dan kata-kat yang buruk, na\’uzubillah.
  4. Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa perjalanan hidup manusia bermula dari lemah kemudian kuat kepada lemah kembali!
  5. Firman Allah s.w.t: {Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);} (Al-Mulk 67:2).
  6. Kemudian Allah tanya: {Maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?} Orang-orang yang bijak akan menggunakan akal fikirannya untuk merenungkan permulaan kejadian mereka, kemudian perjalanan hidup mereka yang berakhir di usia tua dan nyanyuk.
    Pastilah Allah s.w.t yang berkuasa seperti itu berkuasa juga membangkitkan yang telah mati.

AYAT 69- { (NABI MUHAMMAD BUKANLAH PENYAIR) DAN KAMI TIDAK MENGAJARKAN SYAIR KEPADANYA, DAN KEPANDAIAN BERSYAIR ITU PULA TIDAK SESUAI BAGINYA. YANG KAMI WAHYUKAN KEPADANYA ITU TIDAK LAIN MELAINKAN NASIHAT PENGAJARAN DAN KITAB SUCI YANG MEMBERI PENERANGAN;} (YAA SIIN 36:69)

  1. Orang-orang kafir menuduh Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyair dan apa yang Beliau bawa adalah syair.
  2. Allah s.w.t nafikan dan mengatakan dengan jelas bahawa Nabi Muhammad bukanlah penyair. Allah s.w.t tidak pernah mengajarkannya syair, dia adalah seorang rasul dan tidak selayak dan tidak sepatut baginya sebagai seorang penyair!
  3. Dalam al-Quran ada tiga usul atau asas agama ini:
    i- Tauhid (التوحيد) kepada Allah s.w.t. Dalam ayat 60-61.
    ii- Tentang Kebangkitan (البعث) semula di Akhirat. Ayat 64-65.
    iii- Ar-Risalah (الرسالة) kerasulan Nabi s.a.w dalam ayat 69 ini.
  4. Nabi kita s.a.w bercakap dengan ilmu dan wahyu yang diberikan Allah s.w.t kepadanya. Baginda tidak bercakap dengan benda yang lagha dan rekaan semata.
  5. Apa yang Allah wahyukan kepada Rasulullah s.a.w itu adalah satu pelajaran dan peringatan bagi orang-orang yang berakal. Suatu kemuliaan dan suatu nasihat.
  6. Kata ulama\’ kenapa al-Quran itu disebut sebagai (ذِكْرٌ) satu peringatan:
    i- menjadi penasihat dan peringatan.
    ii- al-Quran itu memperingatkan kita kepada Allah s.w.t.
    iii- al-Quran itu memberi satu kemuliaan dan mengangkat darjat bagi orang yang faham dan mengamalkannya.
  7. Al-Quran yang Allah ajarkan kepada Rasulullah s.a.w itu adalah kitab yang jelas, nyata, memberi penerangan dan penjelasan tentang hukum-hukum dan hal lain yang diperlukan. Al Quran menerangkan semua yang hak dengan dalil-dalilnya yang tafsil (terperinci).
  8. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.} (Al-Nahl 16:89)

AYAT 70- {SUPAYA IA MEMBERI PERINGATAN KEPADA ORANG YANG SEDIA HIDUP (HATINYA), DAN SUPAYA NYATA TETAPNYA HUKUMAN (AZAB) TERHADAP ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR.} (YAA SIIN 36:70)

  1. Ayat ini menyatakan tentang peranan al-Quran. Fungsi al-Quran yang utama ialah sebagai Kitab hidayah kepada manusia.
  2. Ia memberi peringatan dan pengajaran bagi orang yang hatinya hidup. Maka dia akan mendapat manfaat dan faedah darinya! Akan bertambah ilmu dan amalnya.
  3. Kata ulama\’: Al-Quran bagi hati manusia diibaratkan seperti hujan bagi bumi yang subur. Semuanya akan menjadi hijau dan segar. Demikianlah al-Quran dengan hati yang baik akan memberi hidayah dan petunjuk yang besar.
  4. Juga untuk menyatakan bahawa akan tetap & nyata hukuman bagi golongan yang kufur dan ingkar. Setelah datang al-Quran membawa dalil dan hujjah tetapi masih tidak mahu terima, maka akan tetaplah hukuman ke atas mereka yang tidak beriman dan ingkar.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 68- {Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas)} – kata ulama\’, ayat ini mengingatkan kita untuk mengambil peluang ketika umur kita masih muda, badan masih sihat dan ada masa lapang untuk meningkatkan ilmu dan melakukan amal ibadat semaksima mungkin, membuat persiapan bekalan untuk Akhirat kelak.
  2. Ayat 68- {maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?}- ayat ini menggalakkan agar kita menggunakan akal dan berfikir akan setiap tanduk kita agar kita disebut sebagai orang yang berakal.
  3. Ayat 69- {(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya,}- timbul persoalan daripada ayat ini; kenapa Allah sebut {Kami tidak mengajarkan syair kepadanya}- sedangkan tuduhan orang kafir kepada Rasulullah s.a.w banyak lagi seperti tukang sihir, ahli nujum, tukang ramal dan lain-lain, tetapi Allah s.w.t tidak sebutnya.

Ini kerana apabila:
i- mereka tuduh Rasulullah s.a.w sebagai peramal (كَاهِنٍ) apabila Baginda menceritakan apa yang akan berlaku pada masa depan seperti kebangkitan semula, Hari Kiamat dan lain-lain.

ii- mereka tuduh sebagai penyihir (السَّاحِرُ) apabila Baginda menunjukkan mukjizatnya yang tidak mampu dibuat oleh orang lain seperti bulan terbelah, batu bercakap, batang tamar menangis, haiwan bercakap dengan Baginda dan lain-lain.

iii- adapun tuduhan mereka kepada Rasulullah sebagai penyair (شَاعِرٌ) adalah ketika Baginda s.a.w membaca al-Quran. Baginda tidak cabar mereka dengan sihir atau ramalan sepertinya- tetapi mereka dicabar dengan al-Quran- untuk bawa yang seumpamanya. Maka Allah s.w.t fokuskan untuk jawab tuduhan ini kerana al-Quran adalah cabaran utama kepada mereka.

Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.} (Al-Baqarah 2:23)

  1. Ayat 69- {(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya,}- timbul lagi persoalan, ada waktunnya sekali sekala Rasulullah s.a.w melontarkan ayat-ayat atau kata-kata indah yang seolah bersajak atau bersyair (ada dalam beberapa hadis Bukhari dan lain-lain.)
    i- Tentang kemulian keturunan Baginda apabila mencabar puak kafir Quraisy. [HR Bukhari].
    ii- Ketika jari Baginda luka dalam peperangan Uhud. [HR Bukhari & Muslim].

Pakar bahasa sepakat mengatakan itu bukanlah bait-bait syair yang lengkap tetapi hanya kata-kata berima yang indah hasil kepetahan Baginda Rasulullah s.a.w.

  1. Ayat 69- {Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;}- al-Quran itu sebagai satu peringatan dan bimbingan kepada manusia. Setiap muslim yang berpegang dengan al-Quran akan bertambah kemuliaan dan kebahagian.
    Maka sesiapa yang nak jadi mulia, hendaklah menjadi ahli al-Quran yang baca, faham dan mengamalkannya.
  2. Ayat 70- {Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya),} – ayat ini sebagai isbat sebab (\’illah) menunjukkan kepada hikmah dan kebaikan di sebalik hukuman dan perintah yang Allah s.w.t bawa. Samada kita tahu atau faham, ia semuanya mengandungi hikmat dan faedah.
  3. Ayat 70- {Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.} – manusia itu tebahagi kepada dua iaitu:
    i- orang yang hidup hatinya, apabila dengar al-Quran terus menerimanya.
    ii- dan satu lagi hati yang membatu keras, yang benci dan marah apabila dengar Quran, lalu terus menolak dan mengingkarinya.
  4. Ayat 70- {dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.}- al-Quran itu adalah hujjah ke atas orang kafir, kerana Allah s.w.t tidak akan turunkan azab sebelum al-Quran di bawa. Tetapi setelah dibawa al-Quran diberi ajaran dan peringatan oleh para rasul dan pendakwah kepada mereka tetapi jika tetap degil keras kepala tidak mahu menerima peringatan yang dibawa oleh al-Quran, maka ketika itulah akan datang azab ke atas kepala mereka.
  5. Allah s.w.t sebut dalam ayat sebelum ini: Ayat 46- {Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).} – bila datang ayat dalil mereka berpaling.
    Maka Allah s.w.t bawa ayat ini Ayat 69- {(Al-Quran) itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;}- di sini Allah nyatakan sifat dan tugas utama al-Quran.

Kata ulama\’ kategori orang berpaling dari al-Quran ini ada beberapa jenis:
i- dengar al-Quran dan tidak beriman dengannya.
ii- tidak beriman dan mereka juga mendustakan al-Quran.
iii- mereka mencela dan menghina al-Quran.
iv- mengatakan bahawa Rasulullah itu penyair.

Bagi orang beriman pula percaya kepada al-Quran; tetapi tidak mahu beramal dengan undang-undang al-Quran. Bila dengar al-Quran lari, tidak mahu beramal dengan hukumnya.

  1. Ayat 70- {Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya),}- al-Quran ini fungsinya memberi peringatan dan faedah bagi orang yang hidup hatinya! Diguna lafaz satu sahaja (mufrad-single) bagi hati yang hidup (حَيًّا) kerana hanya sedikit orang yang hidup hatinya.

Tetapi dalam ayat yang sama Allah s.w.t guna lafaz jamak (plural) untuk perkataan kafir (الْكَافِرِينَ): {dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.}- untuk menyatakan yang ingkar dan kafir dengan al-Quran itu ramai!

Jadi kita minta perlindungan dari Allah s.w.t daripada menjadi golongan yang ramai tetapi tidak benar, biarlah walaupun kita sedikit tapi di atas jalan yang benar.

Begitulah al-Quran ini setiap patah perkataannya boleh dikorek, ditadabbur untuk diambil pengajaran dan peringatan. Iaitu bagi orang yang hatinya hidup, kita tidak mahu tuannya hidup tetapi hatinya mati!!!

Powered by BetterDocs