SURAH AT-TAKWIR 1-14

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & KEADAAN HARI KIAMAT, DISEBUT 12 KALI IZA (APABILA).

Full video : https://youtu.be/fMs4fLUQ-Ks?si=NeB87NIlF3IPRLRr

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 17 Syawwal 1444H bersamaan 8hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah At-Takwir – سورة التكوير.
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya.
    Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah At-Takwir – سورة التكوير adalah surah ke-81 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang ketiga dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah \’Abasa – سورة عبس .
    Mengandungi 29 ayat yang pendek-pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah At-Takwir – سورة التكوير yang bermakna {Melingkari/gulung} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan tentang alamat Kiamat yang akan berlaku ialah apabila matahari dilingkari cahayanya lalu hilang lenyap.

Perkataan { كُوِّرَتْ} ini tidak ada disebut dalam surah lain, hanya dalam surah ini.

  1. Surah ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti:
    i- Diambil nama dari ayatnya yang pertama
    { إِذَا ٱلشَّمْسُ كُوِّرَتْ}-
    Dalil – Hadis Abdullah Ibnu Umar r.a:
    Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang nak dengar tentang hari Kiamat seolah gambaran Kiamat berlaku di depan matamu maka bacalah 3 surah ini:
    { إِذَا ٱلشَّمْسُ كُوِّرَتْ} & {إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنفَطَرَتْ} & {إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنشَقَّتْ}.
    [HR At-Tirmizi].

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menggambarkan pelbagai peristiwa yang akan berlakua pada hari Kiamat.
    Maka pada hari itu tiap-tiap diri akan tahu tentang amalan yang dikerjakannya. Jika baik baiklah balasannya & jika sebaliknya, buruklah juga balasannya.
  2. Juga ditegaskan bahawa al-Quran itu Kalamullah serta dinyatankan sifat & tugas malaikat Jibril a.s yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.
  3. Setelah menolak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas; yang dilemparkan oleh orang kafir terhadap Nabi yang mulia, maka;
  4. Pada akhir surah ini Allah s.w.t memberi amaran kepada pihak kafir sambil menegasakan tentang kebenaran apa yang diwahyukannya kepada Rasulullah.

Maka dengan demikianlah ke mana kamu mahu pergi jika menyeleweang daripada ajaran al-Quran & Islam ini.

  1. Kelebihan surah ini ialah sebagaimana dalam hadis Ibnu Umar di atas tadi.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk menyatakan huru-hara (أهوال) hari Kiamat & keadaannya (أحوال).
    *Perhatikan perbezaan ejaan antara dua perkataan ini.

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t menyebut huru-hara (أهوال) pada hari Kiamat.
  2. Untuk menjelas & Menegaskaan bahawa al-Quran yang mulia ini datang dari sisi Allah Azza wa Jalla. Bukan kata-kata manusia.
    Serta disebut sifat malaikat Jibril yang membawa al-Quran kepada Rasulullah & sifat Nabi yang menerima al-Quran itu juga.
    Ini juga mengisbatkan kenabian Baginda Rasulullah s.a.w.
  3. Al-Quran ini sifatnya memberi nasihat & peringatan bagi orang yang nak petunjuk!
  4. Menetapkan bahawa kehendak & perancangan manusia ini tidak akan terlaksana tanpa kehendak & keizinan Allah s.w.t!
    Dia boleh fikir & kata dia nak, tetapi tidak akan terjadi tanpa kehendak Allah.

MUNASABAH SURAH AT-TAKWIR- سورة التكوير DENGAN SURAH \’ABASA- سورة عبس SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah \’Abasa – سورة عبس :

  1. Kedua surah ini menjelaskan tentang huru-hara hari Kiamat.

Firman Allah s.w.t:
i- dalam surah \’Abasa: {فَإِذَا جَآءَتِ ٱلصَّآخَّةُ }- Ingatlah apabila datang suara tempikan yang dahsyat! Ayat 33 sehingga ayat 42.

ii- dalam surah ini pula bermula dari Ayat 1- {Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);} sehingga ke akhir surah, semuanya adalah tentang hari Kiamat.

  1. Persamaan dalam kesinambungan surah:
    i- dalam dua surah sebelum ini Allah s.w.t sebut tentang apabila tiba hari Kiamat yang dahsyat itu.

ii- dalam surah ini pula Allah sebutkan tanda-tanda, alamat & peristiwa yang akan berlaku selepas tibanya hari Kiamat itu {ٱلطَّآمَّةُ ٱلْكُبْرَىٰ} & {ٱلصَّآخَّةُ}.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {APABILA MATAHARI DILINGKARI CAHAYANYA (DAN HILANG LENYAP);} (AT-TAKWIIR 81:1)

  1. iaitu apabila matahari digulung dan digabung sekali dengan bulan lalu hilang cahayanya kemudian dicampakkan ke dalam neraka!
  2. Matahari, bulan, batu berhala dan segala yang disembah oleh manusia dulu akan dicampak juga ke dalam neraka bersama penyembahnya.
  3. Bukan untuk mengazabnya tetapi bagi menambah azab dan memerli mereka yang menyembahnya dulu!
    Lihatlah apa yang terjadi kepada apa yang kamu sembah selain Allah dulu!
    Bukan dapat menolong kamu tetapi bersama kamu juga dihina.
  4. Dalam ayat yang kita baca ini ada 12 kali {إِذَا} iaitu apabila/ ini yang pertamanya.

AYAT 2- {DAN APABILA BINTANG-BINTANG GUGUR BERSELERAK;} (AT-TAKWIIR 81:2)

  1. Apabila bintang-bintang juga jatuh berterabur, hancur hilang entah ke mana!
  2. Ini kemusnahan bahagian alam atas (langit).

AYAT 3- {DAN APABILA GUNUNG-GANANG DI TERBANGKAN KE ANGKASA (SETELAH DIHANCURKAN MENJADI DEBU); (AT-TAKWIIR 81:3)

  1. Alam bumi juga musnah!
  2. Gunung-ganang hancur menjadi debu yang berterbangan di angkasa.

AYAT 4- {DAN APABILA UNTA-UNTA YANG BUNTING TERBIAR;} (AT-TAKWIIR 81:4)

  1. Apabila unta bunting { ٱلْعِشَارُ} terbiar, tiada yang pedulikannya.
  2. Ini kerana dalam kehidupan bangsa Arab pada masa itu, unta adalah harta yang sangat penting & bernilai dan amat dijaga, lebih-lebih lagi yang sedang bunting nak melahirkan anak!
  3. Tetapi pada hari berlakunya Kiamat, jikalah ada unta bunting ini, tiada siapa yang akan ambil peduli tentangnya, kerana huru-haranya suasana & amat mengerikan.
    Semua orang akan mementingkan dirinya sendiri!

AYAT 5- {DAN APABILA BINATANG-BINATANG LIAR DIHIMPUNKAN;} (AT-TAKWIIR 81:5)

  1. Apabila binatang liar menjadi jinak & lemah! Semuanya keletihan tidak mengamuk atau menyerang manusia lagi!
  2. Pada hari Kiamat semua hak akan ditunaikan, maka tunaikan & hantarkan kembali hak orang yang kamu ambil.
  3. Hadis riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda:

[عن يزيد بن الأصم:] عن أبي هريرةَ قال إنّ اللهَ يحشرُ الخلقَ كلَّهم كلَّ دابةٍ وطائرٍ وإنسانٍ يقول للبهائم والطيرِ كونوا ترابًا فعند ذلك يقول الكافرُ يا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرابًا.
الألباني (ت ١٤7٠)، السلسلة الصحيحة ٤‏/٦٠٧ • إسناده صحيح.

Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Kemudian Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: \’\’Jadilah kamu tanah\’\’.[HR As-Silsilah As-Sahihah]

[عن أبي هريرة:] لتُؤَدُّنَّ الحُقوقَ إلى أهْلِها حتى يُقادَ للشّاةِ الجَلحاءِ مِن الشّاةِ القَرْناءِ..
شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج المسند ٩٣٣٣ • صحيح • أخرجه مسلم (7٥٨7)، والترمذي (7٤7٠)، وأحمد (٩٣٣٣) واللفظ له • شرح رواية أخرى

AYAT 6- {DAN APABILA LAUTAN MELUAP-LUAP BERCAMPUR-BAUR;} (AT-TAKWIIR 81:6)

  1. Yakni semua lautan disatukan menjadi satu- kemudian keluar api yang membuak-buak!

AYAT 7- {DAN APABILA TIAP-TIAP DIRI DISATUKAN DENGAN PASANGANNYA;} (AT-TAKWIIR 81:7)

  1. Yakni apabila setiap satu golongan dikumpulkan dengan sesama jenisnya.
    Ini bukan tentang pasangan suami isteri.
  2. Tafsiran pertama: setiap orang akan dikumpulkan dengan orang yang disayangi atas dunia ini:

3.Contohnya kata ulama\’ :
i- kafir sesama kafir
ii- orang yang sayang kepada orang beriman akan dikumpul sesama beriman.
iii- orang yang sayang dan memuja orang kafir akan diletakkan bersama mereka! Ini bukan perkara maian-main- hati-hati kerana ia akan membawa ke akhirat.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ \”الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ\”.

Dari Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi S.A.W bahawa baginda bersabda:
\”Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.\” (HR Bukhari No: 5702)

  1. Tafsiran kedua: orang beriman akan mendapat pasangan yang disediakan dalam syurga. Yang indah lagi sempurna.
  2. Tafsiran ketiga: Apabila roh dikembalikan kepada jasad asalnya!
    Yang terpilih ialah pendapat pertama.

AYAT 8- {DAN APABILA ANAK PEREMPUAN YANG DITANAM HIDUP-HIDUP: DITANYA,} (AT-TAKWIIR 81:8)

  1. Apabila anak perempuan yang dibunuh dengan ditanam hidup-hidup dulu ditanya.
  2. Ini adalah satu perbuatan buruk & kejam orang Arab jahiliyyah dulu yang diceritakan juga dalam al-Quran!
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.

Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-Nahl 16: 58-59)

AYAT 9- {DENGAN DOSA APAKAH IA DIBUNUH?} (AT-TAKWIIR 81:9)

  1. Dengan sebab apa kamu dibunuh wahai anak? Allah sudah tahu sebabnya tetapi untuk menimbulkan ketakutan & penyesalan kepada orang yang melakukannya.
  2. Soalan ini ditanya untuk menghina & menyerlahkan lagi perbuatan buruk & zalim mereka itu!

AYAT 10- {DAN APABILA SURAT-SURAT AMAL DIBENTANGKAN;} (AT-TAKWIIR 81:10)

  1. Semua perbuatan & amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat kelak!
  2. Sebagaimana kata Abu Anas selalu:
    Surat amalan yang kita nak bentang & baca nanti; ita sendirilah penulisnya!

Maka apa yang kamu nak baca?
Nak baca banyak amalan kebaikan atau sebaliknya?
Maka tulislah (buatlah)!
Apa yang kita buat- itulah kita akan baca!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
    (Lalu Kami perintahkan kepadanya): \”Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)\”.} (Al-Israa\’ 17: 13-14)

Ini adalah salah satu ayat yang menjadi tangisan orang soleh.

AYAT 11- {DAN APABILA LANGIT DITANGGALKAN DARI TEMPATNYA;} (AT-TAKWIIR 81:11)

  1. Apabila langit dicabut dari tempatnya dan ditarik lalu pecah penggal habis!

AYAT 12- {DAN APABILA NERAKA DINYALAKAN MENJULANG;} (AT-TAKWIIR 81:12)

  1. Apabila neraka dinyalakan & dipanaskan, siap untuk menunggu ahli yang akan disiksanya!
    Na\’uzubillah.

AYAT 13- {DAN APABILA SYURGA DIDEKATKAN;} (AT-TAKWIIR 81:13)

  1. Apabila syurga didekatkan kepada orang yang beriman!

Ya Allah jadikan kami dari ahlinya!

  1. Cukuplah 12 {إِذَا} apabila yang akan terjadi apabila Kiamat bermula!

AYAT 14- {(SETELAH SEMUANYA ITU BERLAKU), TIAP-TIAP ORANG AKAN MENGETAHUI TENTANG AMAL YANG TELAH DIBAWANYA.} (AT-TAKWIIR 81:14)

  1. Apabila semua tanda hari Kiamat ini berlaku, setelah Allah s.w.t sebut 12 perkara itu, setiap diri akan tahu- inilah jawapannya!
  2. Sekarang kamu akan lihat apa yang kamu bawa, pegang & amalkan di dunia dulu apakah benar atau tidak!
    Apakah ikut al-Quran & Sunnah atau tidak!
  3. Buatlah tuduhan kepada orang kamu akan lihat di akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);}- ayat ini sebagai iklan atau satu tanda akan binasanya dunia ini!

Kerana itu jangan kita sayang & taksub sangat akan dunia ini, apa yang perlu kita buat persediaan, bagaimana bekalan untuk menghadapi hari yang cukup dahsyat itu!

Allah sebut 12 iza ini supaya semakin kita belajar, semakin kita takut kepada Allah Azza wa Jalla. Bukan makin belajar makin angkuh & sombong!

  1. Ayat 1- {Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);}- yakni apabila matahari hilang cahayanya dan dihilangkan.

Persoalan:
Tetapi kenapa ada hadis Rasulullah yang menyatakan matahari akan berada dekat & di atas kepala manusia pada hari Kiamat nanti?

Bilakah ini- sedangkan dalam ayat ini Allah kata matahari sudah hilang cahayanya & dicampakkan ke dalam neraka?

JAWAPAN :

Hari Kiamat itu berlaku dalam tempoh yang panjang masanya- dalam 50 ribu tahun.
Maka banyak perkara & peristiwa yang berlainan, maka jika kamu baca atau dengar tentang hari Kiamat banyak perbezaan peristiwanya; sekali begitu sekali begini- ini kerana ia adalah tahap atau peringkat yang berlainan.

Contoh:
i- ada ketika manusia boleh bercakap ada ketika dikunci mulut.

ii- matahari datang atas kepala dulu, kemudian digulung.

  1. Ayat 7- {Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;}- yakni setiap orang akan dibangkitkan di akhirat kelak dengan orang yang disayanginya semasa di dunia dulu!

Semua ini adalah satu galakan untuk kita beramal soleh & mencari sahabat dari kalangan orang yang soleh.
Janganlah kita berpasangan di akhirat kelak dengan orang yang Allah murka & marah!

Ingat kita nak bangkit dengan siapa di akhirat kelak, pilihlah kawan dan kumpulan yang dapat memberi manfaat & faedah kepada kita pada hari Kiamat kelak!
Jangan kita benci kepada orang yang beriman serta dalam masa yang sama sayang kepada orang kafir!

  1. Ayat 8- {Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya,}
    & Ayat 9- {Dengan dosa apakah ia dibunuh?}-

Persoalan:
Kenapa ditanya kenapa kanak-kanak itu sendiri? Tidak kepada pelaku yang membunuhnya?

JAWAPAN :

Soalan & jawapan ini untuk menghina & menempelak pelaku-pelakunya yang jahat & zalim.
Supaya lagi dahsyat & teruk dimalukan di hadapan orang ramai, dengan didedahkan kejahatan mereka atas dunia dulu!

Kata ulama\’ tafsir; ayat ini menjadi dalil betapa beratnya dosa melakukan pembunuhan atas dunia ini. Ia adalah satu dosa besar.

Sama juga dengan orang yang menggugurkan kandungan tanpa sebab!

  1. Ayat 14- {(Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.}- semua diri tahu apa yang telah disediakannya atas dunia ini dulu!

Pada hari itu kita akan dapat keyakinan penuh apa yang benar & tidak terseleweng!
Serta kita juga akan tahu apa kesalahan yang telah dibuat dulu!

Maka betul atau tidak, kita akan dihisab & diberi pembalasan yang setimpal mengikut amalannya!
Sekarang ini masing-masing boleh mendakwa bahawa dia betul dan orang lain salah!

Berhati-hati; jika atas dunia ini senang-senang kita buat tuduhan kepada orang, maka tunggulah di akhirat kelak!
Pada hari akhirat terserlahlah segalanya!

Kita atas dunia ini jika nak tahu betul atau salah;
i- kita kembalilah kepada apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, yang sahihnya.

ii- apa yang difahami oleh para sahabat bermula dari Sayyidina Abu Bakar & sahabat yang lain r.anhum.

ii- apa yang difahami oleh para imam-imam yang besar & ulama\’ yang muktabar!

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang takut kepada Allah s.w.t, bersedia dengan amalan soleh yang dapat menyelamatkan kita di akhirat serta dikumpulkan di bersama orang yang baik & soleh.

Powered by BetterDocs