SURAH AN-NABA\’ : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, MUNASABAH & SOALAN TENTANG BERITA YANG BESAR, KIAMAT.

Full video : https://youtu.be/53STyfTB81Y?si=HTmQU7of5z_6b10W

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Rabu 5 Syawwal 1444H bersamaan 26hb April 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah An-Naba\’- سورة النبأ
  2. Syukur kepada Allah s.w.t kerana kita dapat meneruskan pengajian dalam tafsir al-Quran & tadabburnya. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah An-Naba\’-سورة النبأ adalah surah ke-78 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-Mursalat – سورة المرسلات – ia juga surah yang pertama dalam juz ke 30, mengandungi 40 ayat yang pendek-pendek.
  4. Ijma\’ ulama\’ tafsir mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah An-Naba\’- سورة النبأ yang bermakna {Berita Yang Agung} kerana pada awal surah Allah s.w.t menegaskan berita yang besar iaitu berita bahawa manusia akan dibangkitkan semula untuk menerima balasan.
  2. Kata ulama\’ tafsir dinamakan surah ini an-Naba\’ dalam kebanyakan kitab tafsir, kitab hadis & mushaf yang ditulis menamakannya surah an-Naba\’.
  3. Nama lainnya juga:
    i- Surah Amma {عَمّ}- diambil dari ayat pertama- Tentang Apa.

ii- Surah Amma Yatasa\’alun {عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ}

iii- Surah At-Tasaul {التساؤل}- diambil daripada perkataan Yatasa\’alun- pertanyaan.

iv- Surah al-Mu\’sirat { ٱلْمُعْصِرَٰتِ} – dengan makna awan (ayat ke-14).

  1. Imam as-Sayuti dalam kitabnya \”al-Itqan\”, mengatakan bahawa surah ini ada 5 seperti nama yang tersebut di atas.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Membentangkan hujjah-hujjah yang mendedahkan setakat mana zalimnya & ingkarnya golongan kafir yang meragui tentang adanya hari Akhirat.
    Kerana Allah s.w.t yang telah mneciptakan langit & bumi serta isinya yang terbentang luas di hadapan mereka, sudah tentu berkuasa & mampu untuk menghidupkan semula mereka untuk menerima balasan!
  2. Setelah diterangkan tentang peristiwa yang akan berlaku pada hari Kiamat keadaan orang yang beriman & orang yang ingkar pada hari itu, maka surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa itulah keterangan hari Kiamat yang pasti akan tetap berlaku; maka sesiapa yang mahukan kebaikan bagi dirinya dapatlah ia mengambil langkah & kembali kepada Tuhannya dengan iman & amal soleh!

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah untuk mengisbatkan bahawa ada Kebangkitan semula dan betapa huru-haranya pada hari Kiamat. Serta amaran keras dari Allah kepada mereka yang tidak percayakan kebangkitan semula ini!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Orang kafir datang bertanya tentang al-Quran yang dibawa & dibaca oleh Rasulullah s.a.w. Serta apa yang terkandung di dalamnya; iaitu seruan kepada tauhid, tentang kebangkitan semula, akan berlakunya Hisab- hitungan amalan, serta amaran keras tentang buruknya pengakhiran akibat bagi mereka yang berterusan tidak mahu beriman, berada dalam taghut dan mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w!
  2. Untuk menegakkan dalil yang menunjukkan keesaan Allah s.w.t & serta betapa besar kekuasaan Allah s.w.t serta ianya adalah mudah bagi Allah untuk membangkit, hidup semula manusia. Walaupun kita rasa susah, tetapi bagi Allah ia amat senang!
  3. Allah sebut sebahagian daripada peristiwa hari Kiamat & beberapa kedahsyatan serta huru-hara hari Kiamat.
  4. Menjelaskan apa yang Allah s.w.t telah sediakan bagi puak kafir!
  5. Juga menjelaskan apa yang Allah s.w.t telah sediakan bagi orang yang bertaqwa (al-Muttaqqin), nikmat yang tidak putus-putus dalam syurga!

Ya Allah jadikan kami, kedua ibu bapa kami, zuriat kami dan semua orang kami sayangi dalam golongan al-Muttaqqin!

  1. Menetapkan bahawa hari Kiamat itu tetap benar sekali- tidak ada keraguan tentangnya! Apabila kita sudah yakin tentang hari Kiamat, tentang adanya pembalasan- nikmat & azab yang disediakan: maka buatlah persediaan untuk menghadapi hari yang cukup gawat itu! Jangan setakat tahu saja!
  2. Amaran tentang azab yang dekat! Sekali Allah s.w.t turunkan ribut, banjir atau apa-apa bencana, semuanya akan musnah dalam sekelip mata!
  3. Semua amalan hamba ini yang baik atau buruknya akan dibentangkan di hadapan Allah s.w.t, lalu orang kafir berharap dan berangan alangkah baiknya jika mereka menjadi tanah selepas mati! Kita mengatakan ia adalah mustahil- terimalah akibatnya wahai si kafir yang rugi di dunia dan mendapat bencana di akhirat!

MUNASABAH SURAH AN-NABA\’- سورة النبأ DENGAN SURAH AL-MURSALAT – سورة المرسلات SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Mursalat – سورة المرسلات

  1. Persamaan kedua surah ini yang membincangkan tentang kebangkitan semula dan menerangkan dalil-dalilnya.
    Serta menjelaskan kuasa Allah s.w.t membangkitkan semula manusia dan mencela puak kafir yang mendustakan hari Akhirat.

i- Dalam Surah Al- Mursalat- dari ayat 16- ayat 20 & ayat 25 tiga kali Allah s.w.t sebut pertanyaan ini- {أَلَمْ- bukankah?}.

ii- Dalam Surah An-Naba\’ – سورة النبأ ini Allah s.w.t sambungnya balik dengan pertanyaan {أَلَمْ } ini bermula dari ayat 6 sehingga ayat 25, semuanya adalah dalil tentang kebangkitan semula manusia selepas hari Kiamat.

Dua isu yang sama dalam surah yang berjiran.

  1. Dua surah ini juga sama-sama menyifatkan sifat syurga & neraka.
    Nikmat bagi orang yang bertaqwa dan azab bagi orang kafir.
    Juga menyatakan sifat hari Kiamat & huru-hara yang begitu besar!

Surah Al- Mursalat Allah s.w.t sebut sifat syurga & neraka secara umum.

  1. Surah An-Naba\’ Allah s.w.t perincikan apa yang telah disebut secara ringkas dalam surah al-Mursalat (ayat 12-14), tetapi Allah s.w.t tidak jawabnya.

ii- dalam Surah An-Naba\’ ini dijawab soalan itu bermula dari ayat 17 sehingga ke akhir surah!

Inilah tiga munasabah antara surah al-Mursalat & an-Naba\’.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {TENTANG APAKAH MEREKA BERTANYA-TANYA?} (AN-NABA\’ 78:1)

  1. Ini adalah tentang kaum Quraisy yang datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w secara mengejek-ejek & perlian.
    Ini kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w yang kaumnya adalah Quraisy.
  2. Bukan kerana mahu belajar atau beriman tetapi untuk menyakiti dan memerli Rasulullah s.a.w.
  3. Kata ulama\’ tafsir: Setelah Rasulullah s.a.w dibangkitan menerima wahyu, Baginda mengajar kepada mereka tentang tauhid & kebangkitan semula, lalu mereka saling bertanya sesama mereka; apa yang Muhammad cakapkan dan ajar itu??

AYAT 2- {TENTANG BERITA YANG BESAR, (BERITA KEBANGKITAN MANUSIA HIDUP SEMULA MENERIMA BALASANNYA).} (AN-NABA\’ 78:2)

  1. Mereka bertanya tentang berita yang besar- { ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ}. Apakah ia???
  2. Ada ulama\’ kata ia { ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ} adalah al-Quran kerana dalam al-Quran ada semua berita; tentang kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya, tentang hari Kiamat dan lain-lain.
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.: Semua berita & maklumat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dikira besar dan yang paling besar pastilah al-Quran. Yang memadamkan semua syirik terhadap Allah s.w.t, tidak ada toleransi dalam tauhid kepada Allah s.w.t!
    Kita tidak ada kuasa untuk mengiktiraf agama lain terutamanya kerana ia ada syirik kepada Allah s.w.t!

AYAT 3- {YANG MEREKA (RAGU-RAGU DAN) BERSELISIHAN MENGENAINYA.} (AN-NABA\’ 78:3)

  1. Yakni penduduk Makkah pada masa itu khilaf dan ragu-ragu sesama mereka!
  2. Sikap mereka berbeza tergadap dakwah Rasulullah s.a.w & al-Quran:
    i- ada yang dengar dan terus menerimanya seperti para sahabat yang terawal- Sayyidina Abu Bakar, UM Khadijah r.anha dan lain-lain.

ii- ada yang terus menolak, mendustakan dan lawan sehingga mati seperti Abu Jahal & Abu Lahab.

iii- ada yang mengambil sikap berdiam diri dan berjaga-jaga sahaja tidak menentang & tidak menyokong!

Manakala Abu Tolib- menyokong dan membela dakwah Rasulullah s.a.w cuma dia tidak beriman!

AYAT 4- {JANGAN! (JANGANLAH MEREKA BERSIKAP DEMIKIAN!) MEREKA AKAN MENGETAHUI (DENGAN YAKIN TENTANG KEBENARAN HARI BALASAN ITU).} (AN-NABA\’ 78:4)

  1. Janganlah { كَلَّا} kamu bersikap demikianlah! Iaitu jangan bersikap ragu & mendustai!
  2. Ini kerana kamu akan mengetahui dengan yakin tentang hari kebangkitan itu- apabila kamu mati!

AYAT 5- {SEKALI LAGI JANGAN! (JANGANLAH MEREKA BERSELISIHAN!) MEREKA AKAN MENGETAHUI KELAK (TENTANG APA YANG AKAN MENIMPA MEREKA).} (AN-NABA\’ 78:5)

  1. Sekali lagi; jangan menentang & berselisih! Kelak kamu akan mengetahuinya!
  2. Iaitu apabila mereka nak mati, mereka akan mengetahuinya secara yakin bahawa apa yang mereka dustakan itu adalah satu kebenaran!
  3. Allah s.w.t mengulangnya dua kali dalam dua ayat ini untuk menta\’kidkan- bahawa apa yang mereka dustakan itu akan merugikan mereka sendiri kerana mereka akan diazab di akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Tentang apakah mereka bertanya-tanya?}- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan soalan. Kenapa?

Iaitu untuk membesarkan isu ini dan menjadikan orang mengambil perhatian untuk mengetahui tentangnya.

Kata para ulama\’: Jika kita mulakan sesuatu isu dengan soalan- ia menunjukkan ia adalah satu perkara yang besar yang mesti diberi perhatian!

  1. Ayat 2- {Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).}- lalu Allah s.w.t menjawab soalan-Nya tadi dengan ayat kedua selepasnya.

Kenapa?
Ini menunjukkan bahawa perkara ghaib ini hanya Allah sahaja yang tahu.
Semua maklumat yang zahir atau tersembunyi, nyata atau tidak semuanya di bawah ilmu Allah Azza wa Jalla!

Jika ada manusia yang mengaku tahu maka ia adalah satu pembohongan!

  1. Ayat 1- {Tentang apakah mereka bertanya-tanya?} & Ayat 2- {Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).}

Ada soalan dan ada jawapan- kenapa?

Ini kerana memulakan percakapan dengan soalan kemudian kita jawabnya; lebih kuat untuk mendapat penjelasan dan penerangan, lebih memberi kefahaman.

Ayat ini sama seperti firman Allah s.w.t:
{(Pada saat itu Allah berfirman): \”Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): \”Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!} (Ghaafir 40:16)
Allah s.w.t tanya kemudian Allah jawab juga.

Ini adalah salah satu uslub dakwah nak buka minda- supaya orang lebih fokus kepada apa yang ingin disampaikan; lebih bersungguh untuk mendengar jawapan dan penjelasannya! Juga uslub pendidikan; tanya & jawab.

Apakah pula maksudnya {Tentang berita yang besar- عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ}?
KATA ULAMA\’ TAFSIR :

i- Sebab apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu adalah berita & maklumat yang jelas, besar dan telus dari Allah s.w.t!
Pastilah ia berita yang besar kerana sumber maklumat dari Allah iaitu al-Quran.

ii- maklumat yang disampaikan itu adalah tentang hari Kiamat yang cukup dahsyat & menakutkan, pastilah ia satu berita yang besar!

  1. Ayat 3- {Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.}- berita dan maklumat sudah jelas & besar tetapi kamu masih ragu-ragu & tak percaya tentangnya!

Ini untuk menguatkan bahawa soalan yang Allah s.w.t tanya tadi bukan maian-main; tetapi kamu manusia masih berbeza penerimaan dan kepercayaan tentangnya!

Ia bukan hanya untuk Quraisy, tetapi juga untuk semua kafir selepas itu yang ragu-ragu & tidak percaya tentang al-Quran, berbeza penerimaannya.

Begitu juga di kalangan kita sesama Islam yang berbeza dalam menerima beberapa isu dalam al-Quran.
i- Seperti antara golongan salafus-soleh dan golongan lain.
ii- Seperti dalam isu memahami beberapa hukum yang tidak jelas lalu terjadinya khilaf di kalangan ulama\’.

Tetapi dalam ayat ini ialah perbezaan besar puak kafir dalam menerima al-Quran atau menentang atau berdiam diri!

Kita orang beriman tidak boleh mengambil jalan tengah, kita wajib beriman secara total, 100% dengan al-Quran!

  1. Ayat 4- {Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).} & Ayat 5- {Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).}- dalam bahasa Arab perkataan {كَلَّا} ini adalah untuk menolak, menepis dan membatalkan apa yang difahami oleh orang sebelum ini!

Tidak sekali-kali! Pasti kamu akan tahu bahawa apa yang kamu percaya & pegang sebelum ini adalah satu kesilapan & kesalahan yang mesti diperbetulkan!

Lalu Allah s.w.t ulang perkataan {كَلَّا} ini- ini adalah cara untuk kita beri amaran atau peringatan kepada orang, kita mengulangnya agar lebih terasa.

Allah kata kamu akan tahu; yakni sekarang dia tidak percaya tetapi bila mati nanti baru akan tahu!

Tetapi janganlah tunggu mati baru nak percaya & takut!
Atau tahu, percaya & yakin tetapi tak buat juga kerana tahap keyakinan itu tidak mantap! Jangan hanya yakin apabila Kiamat atau kematian tiba, yang tiada faedah lagi!

Semoga Allah s.w.t mantapkan iman kita, istiqamah bersama sunnah & mati husnul khatimah.

Powered by BetterDocs