SURAH AN-NABA\’ : AYAT 6-16

\"\"

BEBERAPA TANDA QUDRAT ALLAH S.W.T, BUMI DAN BUKIT & MANUSIA DAN KEHIDUPAN.

Full video : https://youtu.be/6bOyWHSVnWw?si=NEPy5fk7lZkOSxlw

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa beberapa ayat atau tanda yang menunjukkan akan qudrat kekuasaan Allah s.w.t menjadikan bumi dan bukit & manusia yang berpasangan, awan & hujan.
  2. Semua ini menjadi dalil dan tanda akan kekuasaan Allah s.w.t untuk menciptakan manusia dan menghidupkannya semula selepas mati.
  3. Maka tiada sebab untuk kamu tidak percaya & lawan, tidak mahu menerima hujjah dan dalil bahawa Allah berkuasa membangkitkan semula manusia ini untuk dihisab- pengadilan serta pembalasan atas setiap perbuatan mereka atas dunia ini dulu!
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebutkan tentang sebahagian manusia yang tidak percaya- mengingkari akan kebangkitan semula & perhimpunan besar di akhirat kelak.

ii- maka dalam ayat siri ini Allah s.w.t bawa 10 tanda yang menjadi dalil akan qudrat kekuasaan & keagungan Allah s.w.t untuk menghidupkan semula manusia.

  1. Allah bawa dua asas yang menunjukkan akan qudrat & kekuasaan Allah s.w.t dalam mencipta makhluk-Nya:
    i- Allah cipta dari tiada kepada ada
    ii- serta kesenian ciptaan tersebut yang teliti & sempurna pentadbiran-Nya selepas itu.

AYAT 6- {(MENGAPA KAMU RAGU-RAGUKAN KEKUASAAN KAMI MENGHIDUPKAN SEMULA ORANG-ORANG YANG TELAH MATI?) BUKANKAH KAMI TELAH MENJADIKAN BUMI (TERBENTANG LUAS) SEBAGAI HAMPARAN?} (AN-NABA\’ 78:6)

  1. Mengapa kamu masih ragu-ragu lagi akan kekuasaan Allah s.w.t untuk menghidupkan semula manusia selepas kematian mereka?
  2. Bukankah Allah s.w.t telah mencipta bumi ini terbentang luas seperti hamparan. Ini untuk memudahkan manusia hidup dan bekera di atasnya, mengambil manfaat darinya seperti membina kediaman & bercucuk tanam.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).} (Al-Baqarah 2:22)

ii- {(Dia lah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.} (Taha 20:53)

iii- {Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.} (Az-Zaariyaat 51:48)

AYAT 7- {DAN GUNUNG-GANANG SEBAGAI PANCANG PASAKNYA?} (AN-NABA\’ 78:7)

  1. Tanda kedua: Allah s.w.t jadikan gunung-ganang sebagai pancang pasak bumi yang meneguhkannya supaya tidak bergoncang dan bergerak tidak tentu hala. Ada sekali sekala berlaku gempa bumi untuk mengingatkan manusia.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.} (Al-Nahl 16:15)

AYAT 8- {DAN KAMI TELAH MENCIPTAKAN KAMU BERPASANG-PASANG?} (AN-NABA\’ 78:8)

  1. Allah jadikan manusia ini berpasang-pasangan, ada lelaki ada perempuan.
  2. Yakni manusia sebagai isi (penghuni) kepada bumi yang menjadi bekas atau gedungnya.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.} (Ar-Ruum 30:21)

ii- {Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).} (Az-Zaariyaat 51:49)

AYAT 9- {DAN KAMI TELAH MENJADIKAN TIDUR KAMU UNTUK BEREHAT?} (AN-NABA\’ 78:9)

  1. Allah jadikan tidur sebagai satu kerehatan yang memberi ketenangan!
  2. Ini kerana manusia ini lemah, jika tidak cukup rehat akan membawa tekanan (stress) yang membawa kepada kematian yang cepat. Jadi Allah s.w.t jadikan tidur itu sebagai satu rehat untuk manusia.
  3. Maka tidur ini adalah satu nikmat yang besar bagi manusia, kerana itu Allah s.w.t sebutnya sebagai salah satu tanda kekuasaan Allah s.w.t.
  4. Tidur juga adalah seolah satu kematian yang sementara, kita bangun lalu hidup semula, jika tidak bangun-bangun maka itu mati terus. Ini juga sebagai satu peringatan kepada kematian & bangkit semula.
  5. Allah s.w.t sebut khas semasa dalam peperangan Badar bahawa Dia anugerahkan nikmat kepada tentera Islam perasaan mengantuk lalu mereka tidur dengan lena. Ia sebagai penenang- ketenangan jiwa & rehat badan untuk membina stamina.
  6. Dapat tidur semasa saat genting & takut adalah satu rahmat & nikmat dari Allah! Tetapi jika mengantuk & tidur semasa kuliah/khutbah itu permainan syaitan!
  7. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.} (Al-Furqaan 25:47)

AYAT 10- {DAN KAMI TELAH MENJADIKAN MALAM (DENGAN GELAPNYA) SEBAGAI PAKAIAN (YANG MELINDUNGI)?} (AN-NABA\’ 78:10)

  1. Waktu tidur & rehat yang paling baik ialah pada waktu malam yang gelap. Tidur dalam gelap yang baik bagi kesihatan.
  2. Allah s.w.t jadikan waktu malam itu dengan kegelapannya seolah seperti satu pakaian yang melindungi dan memberi perlindungan.
  3. Para pakar perubatan juga menyatakan tidur malam tidak sama dengan tidur siang. Tidur malam satu keperluan dan kekurangannya boleh membawa kepada penyakit. Manakala tidur siang itu hanya Qailulah (nap) rehat sekejap sahaja.
  4. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.} (Al-Furqaan 25:47)

ii- {Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya),} (Al-Lail 92:1)

AYAT 11- {DAN KAMI TELAH MENJADIKAN SIANG (DENGAN CAHAYA TERANGNYA) – MASA UNTUK MENCARI REZEKI?} (AN-NABA\’ 78:11)

  1. Kemudian Allah jadikan siang dengan cahaya terang mataharinya waktu untuk manusia bangun keluar mencari rezeki!
  2. Allah sudah tentukan sistem kehidupan manusia ini;
    i- malam untuk rehat & ibadat
    ii- siang untuk bangun bekerja, mencari rezeki
  3. Firman Allah s.w.t:
    {Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.} (Al-Furqaan 25:47)

AYAT 12- {DAN KAMI TELAH MEMBINA DI ATAS KAMU TUJUH PETALA (LANGIT) YANG KUAT KUKUH?} (AN-NABA\’ 78:12)

  1. Allah juga telah membina di atas kita ini tujuh lapis langit yang kukuh sebagai atap kepada bumi ini!
  2. Allah jadikan langit satu binaan yang kukuh, tidak pernah terbelah, bocor atau rosak. Kecuali apabila tiba Kiamat nanti.
  3. Firman Allah s.w.t:
    {(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!
    Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,} (An-Naazi\’aat 79:28)

AYAT 13- {DAN KAMI TELAH MENGADAKAN MATAHARI MENJADI LAMPU YANG TERANG-BENDERANG CAHAYANYA?} (AN-NABA\’ 78:13)

  1. Lalu Allah ciptakan bagi langit satu lampu iaitu matahari yang terang-benderang cahayanya. Sebagai satu tanda untuk kita tahu siang telah tiba untuk kita bangun meneruskan urusan pada waktu siang.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {\”Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),} (Nuh 71:16)

AYAT 14- {DAN KAMI TELAH MENURUNKAN DARI AWAN, AIR (HUJAN) YANG MENCURAH-CURAH, } (AN-NABA\’ 78:14)

  1. Ini adalah dalil yang ke-9, tanda antara langit dan bumi; ada awan yang darinya Allah turunkan air hujan yang mencurah-curah.
  2. Awan (ٱلْمُعْصِرَٰتِ) ini berat kerana mengandungi air hujan yang banyak. Ia dicurahkan ke tempat-tempat yang telah ditentukan Allah s.w.t.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;} (Ar-Ruum 30:48)

ii- {Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan.} (\’Abasa 80:25)

  1. Cuaca kita di Malaysia sekarang ini amat panas & kering. Maka sama-samalah kita beristighfar & berdoa minta hujan dari Allah s.w.t samada dengan melakukan solat istisqa\’.

AYAT 15- {UNTUK KAMI MENGELUARKAN DENGAN AIR ITU, BIJI-BIJIAN DAN TUMBUH-TUMBUHAN,} (AN-NABA\’ 78:15)

  1. Tanda yang ke-10; Allah s.w.t mengeluarkan dari air hujan itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan.

AYAT 16- {SERTA KEBUN-KEBUN YANG SUBUR BERTAUT-TAUT POKOKNYA?} (AN-NABA\’ 78:16)

  1. Serta kebun-kebun yang subur dan merimbun pokok-pokoknya!
  2. Allah s.w.t bawa 10 dalil yang menunjukkan kekuasaan & keagungan Allah s.w.t supaya kita tambah beriman & membuat persiapan & ibadat yang sepatutnya!
    Orang yang mantap keimanannya terhadap kebangkitan semula akan kuat beribadat kepada Allah Azza wa Jalla.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?}- semua ayat-ayat yang kita baca ini kerana Allah s.w.t mahu kita lihat, perhati tilik kepada makhluk-makhluk ini untuk dijadikan dalil bahawa Allah s.w.t itu berkuasa, qudrat & mampu untuk menghidupkan semula manusia selepas kematiannya!

Ia juga dalil bahawa Allah jadikan bumi ini sebagai satu nikmat kepada manusia. Lalu manusia wajib bersyukur kepada Allah s.w.t dengan menyembah dan melakukan ibadat kepada-Nya!

  1. Ayat 8- {Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?}- dari sama jenis manusia ada pula pasangan lelaki & perempuan.
    Ini supaya mereka dapat hidup tenang & bahagia bersama. Jodoh itu adalah ketentuan Allah s.w.t, sebelum ini kita adalah orang asing tetapi selepas itu adalah pasangan untuk hidup bersama.
    Ajal, jodoh & rezeki adalah ketentuan Allah s.w.t yang kita tidak tahu rahsianya!

Perkataan {زوج} ini membawa maksud pasangan- bukan khas untuk suami sahaja, boleh digunakan untuk isteri juga. Ini yang asalnya dalam bahasa Arab.

Cuma ulama\’ Feqah takut keliru dalam masalah hukum- maka ditambah huruh ta\’ {زوجة} sebagai perkataan khas untuk isteri.

Ini adalah dalil berasaskan kepada diri kita sendiri.

  1. Ayat 9- {Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?}-Allah s.w.t ciptakan khas tidur ini sebagai satu sistem rehat untuk manusia.

Jika tidak cukup tidur boleh membawa kepada kerosakan fizikal & mental manusia. Ini terbukti secara saintifik & perubatan.

Tidur adalah satu nikmat yang Allah berikan kepada kita, tetapi jangan salah gunakannya, jika terlebih tidur maka ia adalah satu pembaziran; iaitu pembaziran MASA! Kita akan terlepas tugas & ibadat yang sepatutnya dilakukan.

Kata ulama\’: Manusia zaman sekarang ini lebih baik tidur daripada bangun malam!
Ini kerana orang dahulu bangun beribadat bertahajjud kepada Allah. Orang sekarang sebaliknya; kerana itu lebih tidur daripada berjaga!

  1. Ayat 11- {Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?}- bila ada malam pastilah ada siang!
    Allah jadikan malam & siang silih berganti sebagai satu nikmat & hikmah yang besar kepada manusia!

ii- dengan bergantinya siang & malam ini juga menjadikan umur kita bertambah!

Kerana itu di dalam syurga- umur penghuninya sebaya & tidak bertambah tua kerana tidak ada matahari dan peredaran siang & malam!

  1. Ayat 14- {Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah,}
    Ayat 15- {Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,}
    Ayat 16- {Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?}- ini bukti bahawa hujan adalah satu nikmat yang amat besar kepada manusia.

Hikmah turun hujan untuk menumbuhkan tumbuhan. Jika hujan tak turun bumi kering, pokok mati, maka manusia tidak ada makanan!

Kesimpulan dari 10 tanda ini; bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan balik (Kebangkitan) semula manusia pada hari Kiamat kelak untuk hisab & pembalasan.

Dalilnya bumi yang kering merekah dengan air hujan dapat hidup kembali dan tumbuh pokok-pokok, kemudian kering balik. Begitulah juga kejadian manusia, akan mati kemudian bangkit semula pada hari Kiamat untuk hari Hisab.

Ya Allah siramilah hati kami dengan iman & taqwa sebagaimana bumi yang kering disirami hujan lalu tumbuh pokok yang subur.

Ini supaya kita sedar dan menyiapkan bekalan untuk hari kebangkitan semula nanti!

Powered by BetterDocs