SURAH AN-NABA\’ : AYAT 31-40

\"\"

PARA MUTTAQIN MENDAPAT NIKMAT, HARI KIAMAT SEMUA DIAM & PENYESALAN BAGI SI KAFIR.

Full video : https://youtu.be/rTr8v22YGK0?si=WcDcnpTs_lYFNRIC

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan khabar gembira bahawa para muttaqin akan mendapat nikmat yang begitu besar iaitu syurga & segala isi kandungannya.
  2. Kemudian Allah s.w.t ceritakan bahawa pada hari kiamat semua akan diam tidak dapat bercakap untuk memberi alasan atau membela diri.
  3. Allah nyatakan penyesalan yang tidak berguna lagi bagi si kafir. Untuk kita ambil iktibar pengajaran; untuk menyesal adalah sekarang semasa masih hidup, atas dunia ini!
  4. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah s.w.t nyatakan tentang keadaan orang-orang yang kafir dan ingkar serta balasan & azab yang menunggu mereka maka dibawa kisah sebaliknya!

ii- maka dalam ayat ini diterangkan pula perihal orang yang beriman & beramal soleh atau al-Muttaqin yang akan menerima balasan nikmat syurga yang tidak ada bandingannya!

AYAT 31- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DISEDIAKAN SYURGA TEMPAT MEREKA BEROLEH APA YANG MEREKA INGINI.} (AN-NABA\’ 78:31)

  1. Bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan nikmat Syurga dan segala isinya serta selamat dari azab neraka. Itulah keselamatan { مَفَازًا} yang mereka dapat.
  2. Orang yang bertaqwa ialah orang yang takut kepada kemurkaan Allah s.w.t & azab-Nya dengan:
    i- mengikut apa yang Allah suruh
    ii- tinggalkan apa yang Allah s.w.t larang.

Yakni mereka membuat dinding antara diri mereka & azab neraka!

  1. Firman Allah s.w.t:
    {Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (A-li\’Imraan 3:185)

AYAT 32- {(MEREKA AKAN BEROLEH) TAMAN-TAMAN BUNGA DAN KEBUN-KEBUN BUAH-BUAHAN, TERUTAMA ANGGUR;} (AN-NABA\’ 78:32)

  1. Antara nikmatnya ialah taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur { وَأَعْنَـٰبًۭا}.
  2. Kenapa Allah sebut khas buah anggur ini?
    Ini kerana orang Arab dulu suka minum arak dan anggur salah satu sumber utamanya. Tetapi setelah Islam mereka meninggalkannya kerana Allah.
  3. Lalu Allah gambarkan nikmat & keindahan syurga termasuk anggur; iaitu menyebut apa yang diminati & diketahui oleh puak Badwi pada saat itu serta kita pada waktu ini adalah satu cara untuk menarik perhatian.

AYAT 33- {DAN PERAWAN-PERAWAN YANG SEBAYA UMURNYA;} (AN-NABA\’ 78:33)

  1. Serta nikmat ketiga: teman-teman di dalam syurga iaitu perawan-perawan { وَكَوَاعِب}.
    yang sebaya umurnya { أَتْرَابًۭا}.
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
    Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
    Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
    (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;} (Al-Waaqi\’ah 56: 35-38)
  3. Ya Allah jadikanlah kami semua dari puak kanan ini! {أَصْحَـٰبِ ٱلْيَمِينِ}.

AYAT 34- {SERTA PIALA ATAU GELAS YANG PENUH DENGAN MINUMAN;} (AN-NABA\’ 78:34)

  1. Nikmat yang keempat: Gelas-gelas yang tersedia- penuh dengan minuman syurga.
  2. Ulama\’ tafsir kata maksud { وَكَأْسًۭا} ini ialah gelas atau piala yang indah, yang sentiasa penuh atau tersusun, tersedia untuk diminum { دِهَاقًۭا}.

AYAT 35- {MEREKA TIDAK MENDENGAR DI DALAM SYURGA ITU PERKATAAN YANG SIA-SIA, DAN TIADA PULA PERKATAAN YANG DUSTA;} (AN-NABA\’ 78:35)

  1. Nikmat seterusnya: di dalam syurga tidak ada perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta.
  2. Ini kerana di dalam syurga tidak ada sebab lagi untuk kita berbohong kerana segalanya sudah baik & tersedia, tidak perlu untuk berebut kuasa atau mengelakkan diri orang zalim.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w:
    Dari Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    \”Ada tiga kelompok orang yang nanti pada hari kiamat Allah tidak akan bercakap dengan mereka, Allah tidak akan membersihkan (mengampuni dosa) mereka, dan Allah tidak akan memandang mereka, serta mereka akan diseksa dengan seksaan yang pedih, iaitu:
    i-Orang tua yang berzina,
    ii- raja (penguasa) yang suka berbohong,
    iii- dan orang miskin yang sombong.\” [HR Muslim].
  4. Ada bohong yang dilaknat tetapi ada juga bohong yang diperlukan iaitu untuk menyelamatkan diri dari kezaliman.

AYAT 36- {SEBAGAI BALASAN DARI TUHANMU, IAITU SATU LIMPAH KURNIA YANG DIKIRA CUKUP (MENURUT YANG DIJANJIKANNYA),} (AN-NABA\’ 78:36)

  1. Semua nikmat yang Allah sediakan ini (lima disebut di sini) adalah disediakan untuk orang yang bertaqwa.
  2. Ia adalah anugerah yang banyak, mencukupi & baik Allah berikan kepada hamba-Nya yang Muttaqin.

AYAT 37- {TUHAN YANG MENTADBIRKAN TUJUH PETALA LANGIT DAN BUMI SERTA APA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA, TUHAN YANG MAHA PEMURAH, TIDAK ADA SESIAPAPUN DIBERI KUASA BERKATA-KATA DENGANNYA (UNTUK MEMOHON PERTIMBANGAN TENTANG BALASAN ATAU PENGURNIAAN ITU);} (AN-NABA\’ 78:37)

  1. Setelah Allah s.w.t sebut tentang limpah kurnia & besarnya nikmat yang dikurniakan; maka Allah s.w.t perkenalkan Zat-Nya yang mulia, yang maha Suci yang menunjukkan kekuasaan, keagungan & pentadbirannya dalam tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya.
  2. Kata ulama\’: Ayat ini menunjukkan keagungan Allah s.w.t & menambahkan kemuliaan kedudukan Rasulullah s.a.w. Ini kerana besarnya kedudukan seorang hamba adalah mengikut kedudukan tuannya.
  3. Pada hari Kiamat hanya Allah s.w.t yang berkuasa, tidak ada orang yang boleh bercakap kecuali mereka yang diberi keizinan oleh Allah s.w.t.

Oleh kerana tempoh waktu hari Kiamat itu terlalu lama, ada waktunya Allah izinkan hamba-Nya bercakap ada waktu hanya diam membisu tidak dapat berkata apa-pun.

  1. Firman Allah s.w.t:
    {(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.} (Hud 11:105)

AYAT 38- {(TAMBAHAN PULA) PADA MASA JIBRIL DAN MALAIKAT-MALAIKAT YANG LAIN BERDIRI BERSAF-SAF (MENUNGGU PERINTAH TUHAN), TIDAK ADA YANG BERANI BERKATA-KATA (MEMOHON PERTIMBANGAN) MELAINKAN YANG TELAH DIIZINKAN BAGINYA OLEH TUHAN YANG MAHA PEMURAH, SERTA IA BERKATA BENAR.} (AN-NABA\’ 78:38)

  1. Allah s.w.t sebut dalam ayat sebelumnya bahawa makhluk tidak boleh bercakap, maka Allah ceritakan tentang keadaan malaikat pula.
  2. Dengan diketuai oleh Jibril, mereka semua beratur dalam saf-saf, tunduk patuh menunggu arahan Allah Azza wa Jalla.
  3. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
    {Dan Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah).} (Al-Fajr 89:22)
  4. Tiada siapa yang berani bercakap pada hari itu kecuali mereka yang diberi keizinan oleh Allah s.w.t untuk bercakap. Percakapan itu pula adalah mengikut keredhaan Allah s.w.t!
  5. Percakapan yang teratur dan benar- bukan kelentong menipu atau alasan merapu!
    Jika ada yang cuba nak menipu Allah s.w.t suruh malaikat tutup mulut mereka tidak akan dapat berkata-kata lagi!
  6. Yang pertama sekali bercakap dan memberi syafaat menyelesaikan masalah manusia pada hari itu ialah Rasulullah s.a.w yang diberi keistimewaan oleh Allah s.w.t!
    Kita pun minta kuasa syafaat Rasulullah ini sebagaimana dalam doa kita selepas azan.

AYAT 39- {ITULAH KETERANGAN-KETERANGAN MENGENAI HARI (KIAMAT) YANG SUNGGUH TETAP BERLAKUNYA; MAKA SESIAPA YANG MAHUKAN KEBAIKAN DIRINYA, DAPATLAH IA MENGAMBIL JALAN DAN CARA KEMBALI KEPADA TUHANNYA (DENGAN IMAN DAN AMAL YANG SOLEH)!} (AN-NABA\’ 78:39)

  1. Allah sebut dalam ayat yang lepas bahawa keadaan manusia ini berperingkat dan banyak tahap samada ahli syurga atau ahli neraka.
  2. Maka Allah sebut di sini hari Kiamat yang besar itu akan tetap berlaku; jangan kamu syak & ragu lagi!
  3. Sesiapa yang membuat amalan yang baik, dia akan kembali kepada Tuhannya dengan cara yang baik. Kita pilihlah jalan mana yang kita mahu, iaitu dengan iman dan amal yang soleh.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
    Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).} (Al-Insaan 76: 29-30)

AYAT 40- {SESUNGGUHNYA (DENGAN KETERANGAN-KETERANGAN YANG TERSEBUT), KAMI MEMBERI AMARAN KEPADA KAMU MENGENAI AZAB YANG DEKAT (MASA DATANGNYA), – IAITU HARI SESEORANG MELIHAT APA YANG TELAH DIUSAHAKANNYA; DAN ORANG YANG KAFIR AKAN BERKATA (PADA HARI ITU): \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU AKU MENJADI TANAH (SUPAYA AKU TIDAK DIBANGKITKAN UNTUK DIHITUNG AMALKU DAN MENERIMA BALASAN)\”.} (AN-NABA\’ 78:40)

  1. Allah S.W.T tutup ayat ini dengan memberi amaran tentang azab yang dekat. Azab yang dekat {عَذَابًۭا قَرِيبًۭا} itu samada azab bala bencana atas dunia ini atau kematian bagi seseorang itu!
  2. Setelah tiba azab, pada hari itu mereka akan melihat apa amalan yang mereka telah buat dan akan bawa sebagai bekalan di Akhirat kelak! Mereka juga akan melihat azab di depan mata mereka!
  3. Maka orang yang kafir akan berkata pada hari itu: Alangkah baiknya jika kami menjadi tanah! Ini supaya mereka tidak dibangkitkan, lalu dihisab & menerima hukuman!
  4. Kata ulama\’ tafsir maksudnya {يَـٰلَيْتَنِى كُنتُ تُرَٰبًۢا}:
    i- jika mereka jadi tanah tak akan kena azab kerana manusia dicipta dari tanah.

ii- jika mereka jadi tanah setelah mati akan duduk dalam kubur, tidak akan hidup dan keluar-keluar lagi dari kuburnya!

iii- Allah s.w.t bawa haiwan untuk dibicarakan lalu setelah selesai semua hancur menjadi tanah. Apabila melihatnya puak kafir berkata begitu, ingin jadi tanah seperti haiwan itu juga!

  1. Alhamdulillah tamatlah ayat terakhir surah an-Naba\’ ini.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 31- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.}- ayat al-Quran ini mempunyai dua dimensi- dosa & pahala, nikmat & azab, baik & buruk, positif & negatif- pasti ada kembarnya.

Sebelum ini Allah s.w.t sebut tentang orang kafir yang mendapat azab maka dalam ayat ini diceritakan pula tentang keadaan orang muttaqin yang akan mendapat nikmat!

Hidup kita ini juga perlu ada dua dimensi iaitu takut (خوف) kepada Allah dan mengharapkan (رجاء) rahmat Allah. Bila kita takut kita buat betul-betul dan apabila kita mengharapkan rahmat Allah kita akan redha & tenang.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal rhm.:
Seorang manusia itu dalam ibadatnya kepada Allah mesti ada dua-dua perasaan takut (خوف) dan mengharap (رجاء). Jika terlebih salah satunya maka ia akan rosak & binasa.

  1. Ayat 31- {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.}- orang bertaqwa akan mendapat nikmat yang banyak. Sedangkan terlepas dari bahaya lebih besar daripada mendapat nikmat!

Timbul persoalam:
Kenapa Allah s.w.t tidak sebut tentang lepas dari azab tetapi terus kepada mendapat nikmat?

JAWAPAN :

Orang yang mendapat nikmat pastilah akan selamat dan terlepas dari azab & kesusahan! Lalu Allah s.w.t tidak sebut orang bertaqwa terlepas dari azab & dapat nikmat dari Allah! Ini kerana uslub al-Quran ayatnya pendek tetapi maknanya mendalam dan lengkap!

  1. Ayat 37- {Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);}
    Apalah hikmah Allah s.w.t nafikan orang kafir daripada bercakap???

JAWAPAN :

Kerana Allah s.w.t mahu batalkan semua hujjah & rayuan yang dibuat oleh buat kafir yang mengatakan berhalanya itu hanya perantaraan mereka dengan Allah s.w.t!

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: \”Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah\”.} (Yunus 10:18)

ii- {Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): \”Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya\”.} (Az-Zumar 39:3)

Maka pada hari ini tidak perlu kamu sebut berhala itu berhala ini; semua akan binasa bersama kamu!

  1. Ayat 38- {(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.}- malaikat berdiri dalam saf & mereka bercakap selepas Allah izinkan dan semua percakapan mereka benar!

Timbul persoalan: Apakah malaikat lebih baik daripada manusia???

JAWAPAN :

i- Ada setengah ulama\’ mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa malaikat itu lebih baik daripada manusia. Kerana mereka sentiasa tunduk patauh, taat kepada Allah s.w.t.

ii- Ada juga yang berpendapat: Manusia yang soleh lebih baik (afdhal) daripada malaikat pada peringkat akhir, manakala malaikat afdhal pada peringkat permulaan.

  • Ini kerana malaikat awal sejak dari peringkat awal lagi berada di atas langit dekat dengan Allah s.w.t!
  • Tetapi pada hari Kiamat semua manusia soleh yang bertaqwa, semuanya berada dalam syurga!

5. Ayat 39- {Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)!} – sesiapa yang nak kembali & yakin akan bertemu dengan Allah s.w.t, maka dia akan membuat persiapan dan persediaan rapi. Nak syurga maka buatlah amal ibadat yang melayakkan untuknya!

Takut & tidak mahu neraka- tetapi kenapa berani buat maksiat & langgar perintah Allah? Ini hanyalah angan-angan tanapa usaha untuknya!

Alhamdulillah tamatlah kita surah an-Naba\’ ini- semoga kita & semua orang yang kita sayangi termasuk dalam golongan al-muttaqin; yang mendapat redha Allah s.w.t & semua nikmat yang dijanjikan ini!

Powered by BetterDocs