Surah Al-Baqarah : Ayat 111-113

YAHUDI DAN NASARA SALING BEREBUT AKUAN, MEMBUAT TUDUHAN & HANYA ORANG MUKMIN YANG SELAMAT.

Full video : https://youtu.be/gRVYw6ocQ6A

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 111 sehingga ayat 113 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’k’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang Yahudi dan Nasara saling berebut mengeluarkan kenyataan & membuat pengakuan, yang ini tidak betul, bahawa hanya mereka yang benar & ahli syurga!
  1. Ahli kitab dahulu lagi sudah bertelingkah tuduh-menuduh. Maka tidak peliklah jika umat Islam hari ini juga berselisih.
    Sudah lumrah kehidupan manusia ini tidak sunyi dari berbeza pendapat, cuma kita sebagai umat Islam kena tahu SOP & jaga adab peraturan dalam berkhilaf ini, yang mana boleh khilaf yang mana tidak boleh! Ini yang penting!
  1. Begitulah sikap ahli kitab yahudi & nasrani ini apabila sesama mereka. Mereka akan berbalah, saling tuduh-menuduh, mengaku hanya golongan mereka yang benar!
    Tetapi apabila mahu menentang Islam, mereka akan bergabung pula!
  1. Di akhir ayat Allah nyatakan hanya orang mukmin yang selamat.
    Ya Allah jadikan kami daripada golongan mukmin yang selamat ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 111- {DAN MEREKA (YAHUDI DAN NASRANI) BERKATA PULA: “TIDAK SEKALI-KALI AKAN MASUK SYURGA MELAINKAN ORANG-ORANG YANG BERAGAMA YAHUDI ATAU NASRANI”. YANG DEMIKIAN ITU HANYALAH ANGAN-ANGAN MEREKA SAHAJA. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “BAWALAH KEMARI KETERANGAN-KETERANGAN YANG (MEMBUKTIKAN KEBENARAN) APA YANG KAMU KATAKAN ITU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (AL-BAQARAH 2:111)

  1. Kaum yahudi & nasrani membuat pengakuan & perisytiharan yang perasan sendiri & tidak diiktiraf!
    Mereka mendakwa hanya orang yahudi & nasrani yang akan masuk syurga!
    Orang lain semuanya tidak diiktiraf.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 109- Allah nyatakan bahawa ahli kitab sangat berharap untuk memesongkan umat Islam dari agamanya.
    Pelbagai dakyah, komplot, konspirasi sepanjang zaman telah mereka buat!

    ii- Maka ayat ini sekali lagi menegaskan dakyah mereka itu, yang mengajak orang Islam ikut mereka jika nak selamat kerana mereka dakwa tidak akan masuk syurga kecuali orang Yahudi & Nasrani.
    Yahudi dakwa hanya mereka akan masuk syurga, begitu juga nasrani yang dakwa hanya mereka akan masuk syurga!
  1. Kemudian Allah balas & bidas balik kenyataan mereka itu dengan mengatakan dakwaan itu hanya angan-angan yang batil, suatu cita-cita dalam jiwa yang bohong!
    Mereka berangan-angan, meletakkan cita-cita yang tidak benar ke atas Allah SWT!
    Kita janganlah percayakan mereka, inilah golongan yang tidak benar, golongan yang banyak kelentong!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
    {(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat, selain dari Allah, seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.} (An-Nisaa’ 4:123)
  1. Pastilah ini hanya angan-angan kosong kerana mereka tidak berimanpun atau ikut apa yang ada dalam kitab mereka Taurat & Injil! Mereka si kafir ini juga saling tuduh-menuduh sesama mereka!
  1. Lalu setiap dakwaan mesti dibawa bukti!
    Inilah undang-undang Islam, siapa yang mendakwa atau menuduh orang- dia mesti bawa bukti!
    Bukan seperti keadaan hari ini yang mana sebaliknya berlaku, orang yang dituduh kena kemukakan bukti bahawa dia tidak bersalah!
    Dalam Islam tidak mudah untuk kita menuduh orang kerana kita kena bawa bukti!
    Undang-undang netizen sekarang ini mudah untuk membuat tuduhan kerana orang yang kena tuduh pula kena bawa bukti bahawa mereka tidak bersalah!
    Inilah keajaiban akhir zaman.
  1. Yakni Allah perintahkan kepada Rasulullah SAW untuk panggil yahudi, panggil nasrani dan berhujjah minta dalil.
    Jika mereka benar seperti apa yang mereka dakwa, bawa & tunjukkanlah buktinya!
  1. Akibat kerana tidak beriman, tidak beriman Al-Quran & tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW ini, ahli Kitab berpecah dua: Yahudi & Nasrani.
    Yahudi lebih jahat daripada Nasrani. Ini kerana:
    i- Mereka mendakwa mereka adalah bangsa terpilih, manusia lain selain daripada yahudi semuanya sesat!
    Mereka adalah anak pilihan & kesayangan Allah SWT & para nabi dan rasul hanyalah berkisar di kalangan bani Israil!

    ii- Yahudi juga telah menyesatkan nasrani & nasrani telah menyesatkan yahudi.
    Sedangkan keduanya ada kitab Allah & kitab Injil adalah pelengkap kepada kitab Taurat.
  1. Yahudi adalah golongan yang dimurkai Allah {ٱلْمَغْضُوبِ} manakala nasrani adalah golongan yang sesat {ٱلضَّآلِّين} yang memesong dan mereka-reka ibadat.
    Maka kita umat Islam pengikut Rasulullah SAW, kena hati-hatilah dengan golongan ini!
  1. Kita mungkin tidak pesongkan atau seleweng Al-Quran seperti yahudi tetapi kita ada sedikit perangai nasrani dalam perbuatan bid’ah (mereka-reka ibadat), kita juga ada isu ini, maka berhati-hatilah sekali lagi!
  1. Bila kita ceritakan tentang bid’ah ini kerana untuk masyarakat kenal mana bid’ah mana Sunnah!
    Jangan pula apabila disebut tentang bid’ah terus koyak, menuduh ustaz ini mahu mengkafirkan orang!
    Menyatakan batas iman & kufur, batas sunnah & bid’ah adalah tanggungjawab pendakwah, jika tidak orang tidak tahu!

AYAT 112- {(APA YANG KAMU KATAKAN ITU TIDAKLAH BENAR) BAHKAN SESIAPA YANG MENYERAHKAN DIRINYA KEPADA ALLAH (MEMATUHI PERINTAHNYA) SEDANG IA PULA BERUSAHA SUPAYA BAIK AMALANNYA, MAKA IA AKAN BEROLEH PAHALANYA DI SISI TUHANNYA DAN TIDAKLAH ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-BAQARAH 2:112)

  1. Sekali lagi ditegaskan bahawa ia bukan seperti yang kamu sangkakan wahai yahudi & nasrani, ia hanyalah angan-angan kosong!
    Bukan kamu yang akan dapat balasan baik di sisi Allah nanti!
  1. Tetapi sesiapa yang ikhlas menyerahkan diri beriman kepada Allah, mematuhi perintah-Nya dengan tauhid & berusaha supaya baik amalannya {مُحْسِنٌۭ}, maka ia akan mendapat pahala & sebaik balasan di sisi Allah.
  1. Isu di sini ada dua:
    i- Tauhid ikhlaskan amalan ibadat kepada Allah

    ii- Dan muhsin iaitu melakukan amalan yang baik!
  1. Sebagaimana yang sering kita ulang, syarat amalan untuk menjadi muhsin & qabul (diterima) ialah:
    i- Ikhlas beribadat kepada Allah.

    ii- Mutaba’ah : Ikut ajaran Rasulullah SAW (bertepatan).
    Maka bagi mereka ini akan mendapat pahala yang sebaik & sebanyak mungkin dari Allah SWT!
    Marilah kita raih & mengumpul sebanyak mungkin pahala supaya kita ada asset & tapak yang kukuh untuk bertemu dengan Allah Azza wa Jalla!
  1. Selain mendapat pahala yang banyak mereka juga akan tenang, tidak akan ada kebimbangan akan berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita!

AYAT 113- {DAN ORANG-ORANG YAHUDI BERKATA: “ORANG-ORANG NASRANI ITU TIDAK MEMPUNYAI SESUATU PEGANGAN (AGAMA YANG BENAR)”; DAN ORANG-ORANG NASRANI PULA BERKATA: “ORANG-ORANG YAHUDI TIDAK MEMPUNYAI SESUATU PEGANGAN (AGAMA YANG BENAR)”; PADAHAL MEREKA MEMBACA KITAB SUCI MASING-MASING (TAURAT DAN INJIL). DEMIKIAN JUGA ORANG-ORANG (MUSYRIK DARI KAUM JAHILIYAH) YANG TIDAK BERILMU PENGETAHUAN, MENGATAKAN SEPERTI YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA ITU. MAKA ALLAH AKAN MENGHUKUM (MENGADILI) DI ANTARA MEREKA PADA HARI KIAMAT MENGENAI APA YANG MEREKA BERSELISIHAN PADANYA.} (AL-BAQARAH 2:113)

  1. Ayat ini menunjukkan perbalahan & pertembungan yang jelas antara ahli Kitab, isu kafir mengkafir & sesat menyesat!
  1. Orang yahudi dan nasrani saling tuduh menuduh & kafir mengkafir antara satu sama lain!
    Jelas sekali permusuhan & tuduhan antara mereka!
    Semua mendakwa agama mereka saja yang betul- yang lain adalah batil!
  1. Sedangkan mereka keduanya mempunyai kitab suci masing-masing yang diturunkan oleh Allah SWT dan telah membacanya; iaitu Taurat & injil!

    Sedangkan mereka telah saling tuduh-menuduh, berbuat perkataan & perbuatan yang menyalahi kitab mereka itu:
    i- Dalam kitab Injil mengandungi maklumat tentang benarnya ajaran dakwah Nabi Musa AS & mengikrarkan (akui) benarnya apa yang ada dalam Taurat.

    ii- Dalam Taurat pula ada khabar gembira tentang kedatangan Nabi Isa AS & benarnya dakwah kenabiannya!

    iii- Kedua Kitab itu pula memberi khabar gembira tentang kedatangan Muhammad Rasulullah SAW & membenarkan akan dakwahnya dan Al-Quran!
  1. Kemudian kaum kafir lain yang tidak ada kitab (musyrikin jahiliyah), yang jahil dalam isu ini, yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh yahudi & nasrani itu, mengkafirkan orang lain juga.
    Inilah keburukan yang paling jelek. Orang jahil masuk campur dalam urusan orang yang ada Kitab!
  1. Beginilah fenomena & isu yang berlaku hari ini, terdapat mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut ahli Sunnah, menuduh orang lain mengkafirkan atau menyesatkan orang atau mengkafirkan terus orang yang dituduh itu!
    i- Malangnya mereka ini diberi ruang & tempat untuk bercakap di mana-mana!
    Ingatlah tuduhan mengkafirkan orang ini adalah bola getah yang akan melantun balik ke atas kepala penuduhnya!

    ii- Para jemaah yang telah mengikuti seorang ustaz atau pendakwah itu bertahun-tahun, jangan mudah koyak & terpengaruh!
    Jika tidak dapati apa yang sesat atau terseleweng dalam ajaran dan kuliahnya tetapi sekali dengar tuduhan orang terus terpengaruh & percaya tanpa selidik & usul periksa.
    Sifat adil & insof tidak ada, sekali dengar tuduhan terus gugur ukhuwwah yang telah terbina bertahun-tahun!
  1. Atas dunia ini mungkin bebas, tuduhlah sebanyak mana kamu nak tuduh, katalah apa yang kamu nak kata, sekatlah di mana kamu boleh sekat, jatuhkanlah hukuman ikut kuasa kamu tetapi ingatlah di akhirat kelak kita akan bangkit semula untuk bertemu dengan Allah & menghadapi pengadilan!
  1. Allah telah berjanji & beri jaminan bahawa di akhirat kelak kamu akan dipertanggungjawabkan, dibicarakan di hadapan Allah SWT atas segala perbuatan & tuduhan kamu!
    Marilah kita sama-sama insaf agar tidak jatuhkan hukuman ke atas orang tanpa hak!
  1. Doa yang selalu Rasulullah SAW baca: Daripada Abu Salamah Bin Abdul Rahman Bin Auf RA, dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah, Ummul Mukminin RA., apa doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW dalam memulakan solat malamnya?”
    عَنْ أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ:
    UM Aisyah menjawab, “Apabila Baginda mendirikan solat malam, Baginda membuka solatnya dengan doa ini:
    «اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ» [صحيح مسلم.]

    “Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi, Zat Yang mengetahui perkara ghaib dan nampak. Engkaulah yang menetapkan keputusan apa yang diperselisihkan di antara hamba-hamba-Mu. Tunjukkanlah aku kepada kebenaran yang diperselisihkan (manusia) dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.” [HR Muslim].
  1. Doa ini penting khususnya ketika kita di dalam keadaan huru-hara sekarang ini, huru-hara tuduh-menuduh supaya masyarakat kita boleh berdoa. Apabila ulama’ kita berselisih, tunjukkan kepada kita jalan yang Allah redha!
  1. Allah yang Maha Berkuasa, Maha Adil, di akhirat kelak, bahkan mati saja kita sudah boleh nampak!
    Kita silap dulu, tuduh orang ni kafir orang ni jahat, orang ni sesat atau mujassimah!
    Apabila tuduh orang mujassimah yakni kita menuduhnya kafir kerana mujassimah ini ialah menyamakan Allah berjisim seperti dengan makhluk!
    Tetapi kita mengaku kita pejuang kesatuan, pejuang Sunnah tetapi mulut sedap saja menuduh orang!
  1. Atas dunia ini mungkin selamat & mendapat sokongan, tetapi ingatlah apabila mati atau di akhirat kelak segalanya akan terzahir, segala kebenaran akan dapat dilihat.
    Maka kita minta petunjuk dari Allah bukan dengan orang lain dalam perselisihan ini!!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 111- {Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”.}-

    Orang yahudi dakwa mereka benar, orang nasrani juga dakwa mereka betul!
    Kata ulama’ tadabbur : Apabila orang tidak beriman dan tidak mengikut kitab Allah dengan betul-betul, maka ketika itulah perpecahan dan perbalahan akan berlaku & tersebar. Puncanya mengikut hawa-nafsu.
    Yahudi lebih jahat & dahsyat kerana tuduhannya lebih berat & teruk dari orang lain!
    Maka hati-hatilah, sesiapa yang suka menuduh orang tanpa bukti yang jelas & tanpa haq, termasuk dalam kumpulan ahli kitab sepsis yahudi ini.
    Manakala golongan nasrani pula sambil mereka-reka ibadat pun mereka mengaku mereka yang betul!

    Benarlah hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
    Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. [HR Abu Daud (4596)]

    Yahudi sudah berpecah, nasrani sudah berpecah, kita umat Islam hari ini pun sudah berpecah! الله المستعان
    Jadi apa yang kita nak sekarang ialah kembali kepada petunjuk hidayah Allah SWT dalam beragama, untuk mendapat bimbingan & pertolongan-Nya dalam perkara yang diperselisihkan ini.
    Jika tidak kita akan terumbang-ambing, masing-masing orang mendakwa dia betul, mendakwa dia benar!
    Masing-masing membuat tuduhan yang tidak berasaskan kebenaran, tanpa asas & bukti yang kukuh.
    Kecuali mengikut tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh orang terdahulu seperti Jaham Bin Safwan yang telah mencetuskan polemik perbalahan umat Islam dalam dunia ini dalam bab sifat.
    Kemudian Abdullah Bin Saba’ pula yang mencetuskan perbalahan antara puak Sunnah & Syi’ah.
    Puak kita sekarang ini perbalahan sesama ahli politik pun boleh tahan juga!
    Timbul isu sekarang ini orang kafir tidak mahu dipanggil orang kafir, habis tu nak panggil apa?
    Beginilah yang akan terjadi apabila umat Islam tidak bersatu!
    Asalkan mereka bukan dari kumpulan yang sama, kita sanggup hentam sesama Islam semata-mata mencari keredhaan orang kafir!

    Kata Imam Malik RHM : Tidak selamat umat ini kecuali dengan apa yang telah selamat orang-orang terdahulu!
    Kita minta Allah SWT selamatkan kita dari terumbang-ambing.
    Yakni jalan yang selamat hendaklah kembali kepada Al-Quran, kembali kepada Sunnah & tafsir para salafus-soleh yang terdahulu!
  1. Ayat 111- {Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja.}-

    Siapa hidup berangan-angan untuk dapat darjat yang tinggi balasan syurga namun tidak beramal, bercita-cita mendapat keadaan yang tinggi di dunia tetapi tidak berusaha, berada dalam kepincangan, termasuk dalam sepesis yahudi & nasrani.
    Jika ada yang berangan-angan nak masuk syurga tetapi tidak melakukan amal ibadat maka ini adalah satu kepincangan- angan-angan yang batil sepertimana para ahli kitab yahudi & nasrani, yang beranga-angan tetapi i’tiqad & amalan mereka sebaliknya!
    Tidak berpada, tidak mencukupi hidup kita dengan angan-angan & cita-cita saja, kita mesti buat kerja, mesti ada perancangan mesti ada plan.
    Jika kita bercita-cita nak masuk syurga sekeluarga, maka kita wajib didik mereka supaya beriman, asas aqidah yang mantap, bertaqwa kepada Allah, mencari ilmu yang sahih & beramal dengannya.
    Ini tidak! Datang ke masjid untuk berjemaah & dengar kuliah hanya bapa yang pergi, isteri & anak-anak entah di mana.
  1. Ayat 112- {(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya.}-

    Hanya orang betul-betul menyerahkan dirinya kepada Allah, tauhid hanya pada Allah dan ikhlas beribadat, ikut sunnah hanya mereka yang berada di jalan yang benar.
    Allah kata {Ya, bahkan- بَلَىٰ}- hanya mereka ini, iaitu orang yang betul-betul ikhlas beriman, menyerahkan diri kepada Allah, beramal soleh & mengikut ajaran Nabi SAW itulah orang yang akan selamat, yang mendapat pahala & balasan baik dari sisi Allah SWT!
    Bukan yahudi, bukan nasrani seperti yang mereka sendiri dakwa atau orang Islam sendiri yang berangan-angan semata-mata!

    Sekali lagi diulang, bahawa orang yang betul-betul beriman & betul-betul beramal soleh ialah orang yang ikhlas dalam segala amalannya kepada Allah semata-mata, ikhlas dalam mutaba’ah mengikut Nabi SAW dalam semua perkara, barulah amalannya menjadi soleh, cita-citanya benar & berada di atas landasan yang digariskan oleh Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat 113- {Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”;}-

    Orang yahudi kata : Orang nasrani itu tiada apa-apa pegangannya, yakni tak betul ajarannya!
    Orang nasrani kata pula kepada yahudi : Orang yahudi itu tiada apa-apa pegangan yakni tak betul ajarannya.

    Ayat ini memberi amaran agar jangan fanatik kepada agama kita membabi-buta serta melontarkan tuduhan kafir mengkafir yang boleh memecahkan kesatuan muslimin.
    Allah ajar kepada kita untuk berpegang dengan jemaah muslimin yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, para sahabat & para salafus-soleh.

    Ulama’ yang kemudian ini adalah yang mengikut ajaran mereka, bukan mereka-cipta agama atau ajaran yang baru!
    Ahli yang benar atau firqah yang selamat (الفرقة الناجية) itu ialah mereka yang benar-benar mengikut agama Allah & mengikut Sunnah Rasulullah SAW.
    Bagaimana boleh mendakwa kita adalah pengikut ahli Sunnah wal Jamaah atau pejuangnya, sedangkan perbuatan & amalannya tidak ikut ajaran Nabi SAW yang sahih!
  1. Ayat 112- {Maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.}-

    Allah minta dalil atau bukti yakni jika kamu nak selamat, nak aman maka serahkan diri kamu kepada Allah dengan ikhlas dan muhsin, ikut Nabi SAW maka kamu akan mendapat yang besar dari sisi Allah SWT!
    Allah kata lagi : Kamu tidak akan takut, tidak akan dukacita.
    Di atas dunia ini mungkin kita takut apabila diancam oleh orang tetapi kita tidak akan takut lagi apabila kita berada di sisi Allah iaitu setelah kita mati.
    Ketika dibangkitkan di Akhirat kelak kita tidaklah berada dalam ketakutan!
    Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang menyerah dirinya kepada Allah, matikanlah kami dalam keadaan aman dengan husnul-khatimah, berada dalam kubur dengan tenang, dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan aman damai, bukan dalam ketakutan, tiada kebimbangan & dipimpin dengan syafaat Rasulullah SAW ke kolamnya dan terus ke syurga!

Powered by BetterDocs