Surah Al-Baqarah : Ayat 116-119

MENOLAK AQIDAH NASARA TERHADAP NABI ISA AS, KUASA ALLAH “KUN FAYAKUN” & NABI SAW BASYIRA WA NAZIRA.

Full video : https://youtu.be/WXX3T4Zqa8s?si=2MVlU0Pb9V-oen5L

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah pengajian tafsir kita dalam ayat 116 sehingga ayat 119 bagi surah Al-Baqarah, surah yang kedua dalam juzu’ yang pertama.
  1. Dalam siri ini tajuk yang dibincangkan ialah menolak aqidah nasara terhadap Nabi Isa AS, mereka melampau mengatakan Isa adalah anak Tuhan!
    Jika Tuhan ada anak bererti dia tidak berkuasa penuh, berhajat kepada anak kena ada isteri! Hanya orang yang lemah bergantung & memerlukan kepada orang lain!
  1. Dalam ayat ini juga Allah SWT menyatakan kuasanya. Jika Allah nak apa saja, dia akan kata “Kun” (jadilah) maka benda itu akan terjadi “Fayakun.” { كُن فَيَكُونُ}
  1. Kemudian Allah nyatakan sifat Nabi SAW sebagai (Basyira Wa Nazira) iaitu:
    I- Pembawa khabar gembira bagi orang mukmin {بَشِيرًۭا -basyiran)

    ii- Dan pembawa amaran peringatan {نَذِيرًۭا -naziran} untuk orang yang kafir & derhaka!
  1. Dalam ayat-ayat ini adalah untuk mendedahkan dakwaan karut ahli kitab & orang kafir yang mendakwa bahawa Isa anak Tuhan.
    Mereka juga meminta untuk bercakap direct dengan Tuhan tidak perlu guna malaikat sebagai perantaran.
  1. Inilah sifat puak kafir yang keras kepala & tak dengar kata. Dia saja yang betul, yang lain semua salah!
    Itulah kepincangan besar yang berlaku dalam hidup. Kita minta perlindungan dengan Allah SWT dari menjadi manusia degil, tak dengar kata & keras kepala begini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 116- {DAN MEREKA (ORANG-ORANG MUSYRIK) BERKATA: “ALLAH MEMPUNYAI ANAK”. MAHA SUCI ALLAH (DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU), BAHKAN DIA LAH YANG MEMILIKI SEGALA YANG DI LANGIT DAN DI BUMI, SEMUANYA ITU TUNDUK DI BAWAH KEKUASAANNYA.} (AL-BAQARAH 2:116)

  1. Puak kafir musyrikin mendakwa bahawa Allah SWT mempunyai anak.
  1. Nasrani mendakwa nabi Isa AS sebagai anak Tuhan, kaum musyrikin Quraisy pula mendakwa malaikat sebagai anak perempuan Allah SWT! Kaum yahudi pula mendakwa Uzair anak Tuhan!
  1. Maka Allah menjawab Maha Suci Allah SWT yang suci & bersih daripada segala sifat yang mereka nyatakan itu!
    Allah Yang Maha berkuasa milik-Nya semua langit & bumi. Tidak perlu kepada anak atau pasangan seperti yang diperlukan oleh orang yang lemah!
    Bukan seperti yang mereka dakwa & sangka!
  1. Allah bukan seperti makhluk ciptaan-Nya, yang perlu kepada makhluk yang lain, semua perkara atas dunia ini tunduk kepada kuasa Allah SWT.
    Inilah kepincangan puak kafir yang sepatutnya kita tidak perlu layan.
  1. Kaum nasrani juga mengatakan Isa ini telah dibunuh oleh pihak yahudi yang menyalibnya.
    Sehingga ke hari ini mereka masih bersedih tentangnya dan melakukan upacara khas untuk memperingati hari itu!
  1. Maka kita berhati-hatilah dalam amalan & perbuatan kita yang tidak ada dalam Sunnah Nabi SAW contohnya seperti mengadakan upacara hari Haul (memperingati kematian seseorang yang dimuliakan) dikhuatiri akan menyerupai perbuatan mereka ini!
  1. Ia menyalahi Sunnah & tidak pernah dibuat oleh para sahabat hatta kepada kubur & kematian Rasulullah SAW. Imam-mam besar pun tidak pernah buat!
    Tetapi malangnya kubur-kubur mereka pula dipuja oleh para pengikut yang terkemudian!
    Kubur Imam Syafe’i di Mesir & kubur Imam Abu Hanifah semuanya berkilat digosok oleh orang yang taksub.
    Kubur Imam Malik pula masih selamat setakat in kerana ia berada di Madinah dan dikawal rapi oleh pihak pemerintah yang tahu batas bagaimana kubur sepatutnya dijaga. Ini satu kebaikan!
  1. Allah kata semua perkara atas dunia ini tunduk kepada peraturan Allah SWT!
    Tiada siapa yang boleh keluar dari kehendak, kudrat & kuasa Allah SWT tanpa sebarang pengecualian!
    Semua orang hatta mereka yang mendakwa Isa sebagai anak Tuhan pun terpaksa mengakui bahawa Isa adalah hamba Tuhan & rasul-Nya!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa puak yahudi itu mendakwa bahawa syurga hanya untuk mereka, nasrani pun tidak akan dapat masuk syurga!
    Mereka juga mendawa bahawa Uzair anak Tuhan.
    Manakala nasrani mendakwa Isa sebagai anak Tuhan & puak kafir Quraisy pula mendakwa malaikat sebagai anak perempuan Tuhan!

    ii- Maka Allah SWT turunkan ayat ini untuk menafi & membatalkan ketiga-tiga jenis tuduhan & dakwaan yang palsu itu.
    Lalu kita mengatakan bahawa dakwaan ini tidak betul, tidak benar sama sekali!
    Uzair adalah hamba Allah, Isa hamba & rasul Allah, malaikat juga makhluk & hamba Allah yang diberikan tugas oleh Allah SWT!
  1. Firman Allah SWT tentang masalah ini juga:
    i- {Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).} (An-Nisaa’ 4:171)

    ii- {Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya, tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?
    Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.} (Yunus 10: 68-69)

    iii- {Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
    Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.} (Al-Furqaan 25:2)

AYAT 117- {ALLAH JUALAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI (DENGAN SEGALA KEINDAHANNYA); DAN APABILA IA BERKEHENDAK (UNTUK MENJADIKAN) SUATU, MAKA IA HANYA BERFIRMAN KEPADANYA: “JADILAH ENGKAU!” LALU MENJADILAH IA.} (AL-BAQARAH 2:117)

  1. Allah SWT sekali lagi menegaskan akan kekuasaan-Nya.
    Allah lah yang menciptakan langit & bumi dengan segala isi kandungan & perhiasannya. Tanpa contoh yang telah ada sebelumnya!
  1. Maka amatlah tidak benar dakwaan nasrani bahawa Isa adalah anak Allah.
  1. Allah yang telah mencipta alam di atas & alam di bawah yang begitu besar, maka untuk buat & cipta sesuatu yang lebih kecil pastilah lebih mudah & senang. Tiada beza besar & kecil semuanya mudah bagi Allah.
  1. Apabila Allah berkehendak untuk mencipta atau mengadakan sesuatu, Dia hanya berfirman: {“Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia. كُن فَيَكُونُ }.
    Ada juga yang mengatakan bahawa kuasa Allah itu berada di antara huruf Kaf & nun!
    Allah sudah katakan kun bukan antara-antara lagi!
    Jika over sangat nak mencari benda pelik maka kita akan menjadi manusia yang pelik!
  1. Ayat ini juga ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini: {(Dia-lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.} (Al-An’aam 6:101)
  1. Ayat ini menafikan Allah SWT mempunyai anak!
    Apabila Allah SWT mahu menjadikan sesuatu maka ia akan terjadi tanpa perlu ada tempoh atau prosesnya, kun fayakunlah!
    Cuma Allah SWT menjadikan Nabi Isa tanpa bapa dengan meletakkan roh rahim ibunya, satu proses yang luar-biasa, tetapi dia tetap bukan anak Tuhan!
  1. Ayat tentang Nabi Isa juga telah ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    i- {Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.} (Maryam 19: 34-35)

    ii- {Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”} (A-li’Imraan 3:47)

    iii- {Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia.} (A-li’Imraan 3:59)

    iv- {Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.} (Yaa Siin 36:82)

AYAT 118- {DAN (ORANG-ORANG MUSYRIK) YANG TIDAK BERILMU PENGETAHUAN, BERKATA: “ALANGKAH ELOKNYA KALAU ALLAH BERKATA-KATA DENGAN KAMI (MENGENAI KEBENARAN MUHAMMAD) ATAU DATANG KEPADA KAMI SESUATU KETERANGAN (MUKJIZAT)?” DEMIKIAN PULA ORANG-ORANG (KAFIR) YANG TERDAHULU DARI MEREKA PERNAH BERKATA SEPERTI YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA; HATI MEREKA (SEKAMUNYA) ADALAH BERSAMAAN (DEGIL DAN KUFUR). SESUNGGUHNYA KAMI TELAH PUN MENERANGKAN AYAT-AYAT KETERANGAN (YANG MENJADI DALIL DAN BUKTI) KEPADA KAUM YANG MAHU PERCAYA DENGAN YAKIN.} (AL-BAQARAH 2:118)

  1. Allah menyatakan bahawa puak kafir musyrikin Quraisy yang tiada ilmu & maklumat (kerana mereka tiada Kitab wahyu) datang berjumpa kepada Rasulullah SAW dan meminta beberapa tuntutan.
  1. Antara tuntutan yang berupa cabaran yang tidak logik itu ialah:
    i- Mahu Allah berkata-kata dengan mereka secara lansung.

    ii- Atau datang kepada mereka sesuatu keterangan (mukjizat).
  1. Ini hanyalah cadangan atau cabaran untuk memerli & mencabar Rasulullah SAW, sedangkan banyak sudah Allah bawa mukjizat Rasulullah SAW yang jelas nampak di hadapan mata mereka.
    Terutamanya mukjizat Al-Quran yang begitu hebat, yang tidak dapat mereka lawan atau menirunya!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.} (Al-An’aam 6:124)

    ii- {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.} (Al-Israa’ 17:90)
    {Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.} (Al-Israa’ 17:91)

    {Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.} (Al-Israa’ 17:92)

    Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17:93)
  1. Sebenarnya semua cadangan, cabaran, pertanyaan perli & ugutan yang dibawa oleh kaum musyrikin Quraisy adalah ajaran dari pihak yahudi.
    Allah nyatakan kata-kata mereka itu adalah sama dengan perkataan kaum kafir sebelum mereka!
  1. Firman Allah SWT : {Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka berkata: “(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)”. Lalu mereka disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah); kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).} (An-Nisaa’ 4:153)
  1. Allah nyatakan lagi bahawa hati para puak kafir itu adalah sama & serupa dalam menolak kebenaran, keras kepala, degil dalam menolak & mengingkari kebenaran!
    Kata-kata puak kafir Quraisy itu samalah dengan kata-kata puak yahudi & kaum kafir sebelum ini yang mendustakan para rasul mereka!
  1. Firman Allah SWT tentang isu ini juga:
    {Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) – tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: “Dia adalah seorang ahli sihir, atau seorang gila”.
    Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).} (Az-Zaariyaat 51:53)
  1. Allah tutup ayat dengan menyatakan bahawa Allah SWT telah zahirkan & bawa penjelasan tentang ayat-ayat keterangan yang menjadi dalil dan bukti kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin!
    Mu’jizat Rasulullah SAW sudah cukup banyak jika mahu menerimanya!
  1. Tetapi kalau telah tertutup pintu hati maka tidak ada guna semua itu, mereka tetap akan menolak kebenaran walaupun segala keterangan, dalil & bukti jelas di depan mata mereka!

AYAT 119- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUSKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN KEBENARAN, (SERTA MENJADI) PEMBAWA KHABAR GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN) DAN PEMBAWA AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR). DAN (SETELAH ENGKAU SAMPAIKAN SEMUANYA ITU), ENGKAU TIDAK AKAN DIMINTA (BERTANGGUNGJAWAB) TENTANG AHLI NERAKA.} (AL-BAQARAH 2:119)

  1. Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW dengan kebenaran sebagai pembawa khabar gembira { بَشِيرًۭا } (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran { َنَذِيرًۭا} (kepada orang-orang yang ingkar).
    Begitulah juga ajaran & tugas semua para rasul & nabi sebelum Baginda pun!
  1. Syarat nak bahagia ialah ikut Nabi SAW! Periksa diri kita apakah amalan kita mengikut & bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW??
  1. Kemudian Allah SWT bagi jaminan kepada Rasulullah SAW bahawa setelah Baginda menjalankan tugas sampaikan semuanya itu, dia tidak bersalah & tidak akan diminta bertanggungjawab terhadap mereka yang masih syirik, mereka yang ingar, menolak dakwah & ajarannya!
  1. Begitu juga kita hari ini, para pendakwah hari ini. Kita nyatakan kebenaran, kita bantah perkara mungkar & maksiat, kita nyatakan benda yang menyalahi Sunnah & peraturan.
    Orang nak buat juga jika kita sudah sampaikan dakwah, tukang kempen tukang lulus, mereka bertanggungjawablah di akhirat kelak!
    Atas dunia ini seronoklah ada kuasa sekat orang situ sekat sini.
    Dunia sudah terbalik hari ini, orang yang layak & patut diberi tempat-disekat, orang yang tidak layak & patut disekat diberi tempat pula!
    Apa yang kita nak buat yang betul jadi salah, yang salah jadi betul!
    Apa boleh buat? Kita sabarlah atas dunia ini kita buat setakat yang kita mampu!
  1. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
    “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.” [HR Ibnu Majah].
  1. Ayat dikembarkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya. Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Ali-‘Imraan 3: 20-21)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 116- {Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu),}-

    Ini adalah satu tuduhan jahat yang buruk! Menuduh satu perkara yang tidak benar.
    Apatah lagi tuduhan itu terhadap Allah SWT yang Maha Berkuasa Maha Memiliki segala sesuatu!
    Dalam dunia ini Allah lah Pemilik segala-galanya!

    Hadis- menceritakan bahawa Nabi Musa mengadu kepada Allah tentang bani Israel yang telah menuduhnya dengan bermacam tuduhan!
    Allah menjawab: Wahai Musa, jika setakat kamu saja mereka tuduh, pelik apa (kerana sesama manusia), terhadap Aku sebagai Tuhan pun mereka berani buat tuduhan Tuhan ada anak!!
    Maknanya tuduhan itu amat jahat & berat!
    Jadi atas dunia ini benda yang paling jahat ialah buat tuduhan jahat terhadap orang, apalagi buat tuduhan keatas Tuhan!
    Allah SWT telah menyatakan syirik adalah satu kezaliman yang amat besar, kerana menyekutukan Allah SWT & mengatakan sesuatu yang amat tidak layak bagi-Nya.
  1. Ayat 116- {Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.}-

    Maha Suci Allah dari segala tuduhan itu, sedangkan Allah yang memiliki segala yang di langit & di bumi, semuanya di bawah kekuasaan Allah SWT!
    Ayat ini menafikan tuduhan Nasrani, yahudi & Quraisy yang mengatakan Tuhan ada anak!
    Jika Allah yang mencipta dan memiliki semua ini, pastilah Dia tidak perlu kepada anak & isteri seperti manusia yang lemah & memerlukan kepada satu sama lain!
    Bukan seperti kita manusia yang memerlukan peneman, pembantu, pasangan dan akhirnya anak-anak, cucu-cicit serta keturunan kerana kita tahu kita lemah, perlu ada kawan & peneman.

    Ingatlah segala pergantungan hati & permintaan hanyalah kepada Allah SWT, pemilik langit & bumi!
    Kita mengangkat tangan meminta hanya kepada Allah SWT, jangan cari yang lain selain dari-Nya.
  1. Ayat 117- {Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya)}-

    Allah SWT telah mereka/mencipta {بَدِيعُ} langit & bumi tanpa contoh sebelumnya!
    Kerana itulah orang yang mencipta sesuatu yang tidak diajar oleh Rasulullah SAWlam bab ibadat maka ia dikatakan sebagai satu bid’ah (بدعة)!
    Manakala rekaan dalam bab lain seperti makan minuman kemudahan dan lain-lain hal kehidupan dibenarkan!

    Hadis Rasulullah SAW tentang bid’ah ini:’‘Barangsiapa yang mengada-adakan (sesuatu yang baru) pada urusan kami ini (syari’at), padahal ia bukan sesuatu daripadanya, maka ia adalah tertolak.” [HR Bukhari].
    Dari sudut agama ialah semua perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW adalah bid’ah!
    Jangan kita dok reka, dok cari yang pelik yang tidak ada dalam Sunnah Rasulullah SAW!
  1. Ayat 117- {Dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.}-

    yakni apabila Allah SWT berkehendak untuk mengadakan sesuatu { قَضَىٰٓ أَمْرًۭا} cukuplah hanya Allah bagi arahan- kun (jadilah) maka ia pun jadilah (fayakun).

    Perkataan {قَضَىٰٓ} ini pula boleh membawa pelbagai maksud, antaranya:
    i- Dengan maksud buat, mengadakan

    ii- Dengan makna ik’lam- untuk memberitahu/maklumkan.

    iii- Dengan makna arahan.

    iv- Ada juga dengan makna tunai iaitu buat!

    v- Dalam ayat ini dengan makna apabila Allah mahu, nak buat.

    Yang dimaksud dengan perkataan {أَمْرًۭا} ini pula.
    Kata Ulama’ : Ada 14 maksudnya (amaran) ini dalam Al-Quran!
    Antaranya dengan makna agama.
    Untuk yang selanjutny ablh lihat Tafsir Al-Munir.
    Insya’ Allah kita akan tulis penjelasan penuhnya.
  1. Ayat 118- {Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekamunya) adalah bersamaan (degil dan kufur).}-

    Berkata orang tak tahu, yang tiada ilmu, mereka kafir Quraisy berkata sama seperti puak kafir sebelum mereka yang ada kitab!
    Yakni puak kafir itu hati mereka semua sama saja, sama ada kafir Quraisy zaman Rasulullah SAW, kafir nasrani pada zaman Nabi Isa AS, kafir yahudi pada zaman Nabi Musa AS, hatta kafir kita pada hari ini, hati mereka sama degil, keras kepala & mendustakan para nabi AS.

    Yakni semua kafir itu sama, musyrikin Makkah dulu, yahudi & nasrani terdahulu dari mereka, semua tuduhan mereka semua sama saja, seorang nabi itu mereka kata gila, ahli sihir, tidak betul serta macam-macam tuduhan jahat.
    Maka kafir yang ada pada hari ini pun jika mereka menuduh kepada Rasulullah SAW dengan apa saja tuduhan yang tidak betul, maka adalah satu sepsis dengan puak ini, kerana Allah telah katakan: {hati mereka (semuanya) adalah bersamaan (degil dan kufur) تَشَـٰبَهَتْ قُلُوبُهُمْ}!

    Kata pepatah bahasa Arab: كل إناء بما فيه ينضح
    Setiap bekas akan mengeluarkan apa yang ada di dalamnya.
    Maksudnya, jika kita nak kenal orang, pergi bercakap dengannya, sentuh isu sikit sahaja sudah cukup untuk mengetahui pendiriannya!
    Apa saja isu. Sentuh sikit saja, akan keluarlah apa yang ada dalam hati.
    Zaman sekarang nak kenal orang, boleh lihat kepada FB atau lain-lain media sosialnya. Lihatlah apa yang dia share maka itulah sebenanya apa yang dia minat, sokong & cenderung hati kepadanya.
    Mudah-mudahan Allah SWT pasangkan dalam hati kita cintakan kepada Allah, cintakan kepada kebenaran, cintakan kepada Rasulullah SAW.
    Insya’ Allah kita akan selamat!
    Boleh dapatkan buku Tafsir Surah Al-Kahfi di: https://dartaibah.com/?page_id=179…

Powered by BetterDocs